Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Sunday, October 2, 2011

BAB 3

3

Nadirah leka menatap senarai barang keperluan yang perlu dibawanya nanti. Kemudian, dia bangun menghadap almari pakaiannya, membelek-belek track-suit dan sweater sama ada yang tergantung mahupun yang berlipat rapi di dalam almari. Dia menggigit jari. Masih tidak cukup, fikirnya. Dia kembali menghempaskan diri ke tilam empuk. Memeluk bantal sambil mendakap anak patung Barney pemberian Saiful. Dalam berkira-kira mahu membeli sehelai dua lagi, ingatannya kembali pada atuk dan nenek di kampung. Kedua-dua orang tua itu memang tidak merestui keinginannya untuk mendaki Gunung Kinabalu. Dia sudah faham benar dengan perangai atuk yang tidak gemar melihat anak gadis sepertinya melakukan aktiviti lasak. Puas memujuk, akhirnya atuk yang keras hati itu memberi keizinan bersyarat. Hanya sekali ini, kata Atuk Malek. Nadirah terpaksa akur. Selepas mendapat sijil pencapaian menakluki gunung tertinggi di Asia itu, Nadirah tidak akan mendaki mana-mana gunung lagi. Itu janjinya pada Atuk Malek. Cukuplah sekali, sekadar mencari pengalaman ketika masih muda remaja.
                Pintu bilik dikuak. Muncul Hazimah, gadis berkulit cerah yang bertudung labuh.
                “Assalamualaikum,” sapa Hazimah apabila menyedari rakan sebiliknya ada di dalam bilik itu.  
Gadis itu segera menuju ke meja dan meletakkan bukunya dengan berhati-hati. Hazimah amat teliti orangnya. Kadang-kadang tidak tahan juga Nadirah dengan sikap hati-hatinya yang keterlaluan. Barang-barangnya pantang dialih walau sedikitpun.
                “Waalaikumussalam,” balas Nadirah, tanpa menoleh pada rakan yang menyapa. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Terasa hendak berehat seketika. Dari pagi menghadiri kelas tidak berhenti-henti sehingga jam 5.00 petang, badannya terasa agak penat.
                Hazimah segera menanggalkan tudung, meninggalkan hanya serkup di kepala. Dia memerhati Nadirah yang masih terbaring lesu di katilnya.
                “Dah solat?” tegurnya.
                “Err ... belum,” jawab Nadirah, antara dengar dengan tidak.
                “Apa, belum?”
Rupa-rupanya gadis itu masih dapat menangkap butir bicaranya, fikir Nadirah. Dia sengaja memperlahankan suaranya, sekadar menjawab. Sudah pasti Hazimah akan menegurnya sebentar lagi.
“Bila nak solat? Dah pukul berapa ni? Karang tertidur terus!” Seperti yang dijangka, Hazimah mula berleter, persis seorang ibu yang menasihati anaknya.
                “Kejap lagilah, mak cik. Kau solatlah dulu. Aku penat, baru balik ni,” balas Nadirah acuh tak acuh. Baru hendak berehat sekejap, Hazimah sudah bising, rungutnya dalam hati. Bukan dia tidak tahu, sudah pastilah dia akan melengkapkan solat lima waktunya. Hanya bertangguh sedikit sahaja.
                “Jangan melengah-lengahkan solat, tak baik. Segerakan yang wajib dulu. Kalau nak ikutkan penat, semua orang pun penat …” Nasihat gadis itu lagi, masih tidak mahu mengalah.
                “Yalah … yalah…”
Malas hendak mendengar leteran Hazimah, Nadirah bingkas bangun. Dia segera menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Sesudah solat dilihatnya Hazimah sudah tidak ada di bilik. Mungkin juga ke bilik air. Hazimah, budak Terengganu itu bersifat ketua-tuaan walaupun usia mereka sebaya. Hampir tiga bulan hidup bersama di asrama itu, Nadirah sudah masak benar dengan perangainya.
                Selepas solat, mata Nadirah berasa segar semula. Dia membatalkan hasrat untuk tidur seketika. Dia kembali membelek senarai keperluan dan tangan kanannya ligat membuat catatan pada senarai itu. Hatinya cukup teruja. Tidak sia-sia dia memilih untuk aktif dalam Kelab Rekreasi, akhirnya dia menjadi salah seorang ahli yang terpilih untuk menyertai ekspedisi ke Gunung Kinabalu. Dia tidak pernah mendaki gunung sebelum ini, tetapi disebabkan ada beberapa orang senior yang menolak tawaran untuk mendaki gunung tersebut atas sebab kesihatan, maka dia dan Ayu ditawarkan untuk menggantikan tempat mereka. Semuanya bermula kerana dia berkenalan dengan Abang Wak atau nama sebenarnya Sukimin bin Parjo, pensyarah Sains Sukan di institusi pengajian tinggi itu. Pensyarah keturunan Jawa dari Sungai Besar yang masih bujang itu merupakan Penasihat Kelab Rekreasi yang disertainya. Walaupun ada yang mengatakan bahawa dia mengambil kesempatan, namun tidak dipedulikannya cakap-cakap begitu. Asalkan hasratnya terkabul, sudahlah. Lagipun seperti kata Abang Wak, bukan mudah hendak mencari pengganti dalam masa yang singkat terutamanya apabila terpaksa menanggung sendiri kos yang agak besar.
                “Jadi juga kamu pergi daki gunung tu, N?” tegur Hazimah dalam loghat Terengganunya yang pekat. Nadirah menoleh sambil tersenyum mengangguk.
                “Hish … kamu ni tak takut ke … tak ada kerja cari kerja …,” tambah Hazimah lagi.
                “Isy, pernyataan kamu tu silap, Imah!” pintas Nadirah, kurang bersetuju dengan kata-kata rakan sebiliknya itu. “Banyak manfaat mendaki gunung ni. Kita dapat mendisiplinkan diri, belajar bekerja secara berkumpulan, bertolak ansur, dan banyak lagilah. Aku dah tak sabar nak melihat keindahan ciptaan Tuhan di puncak sana. Lagipun apa nak ditakutkan, bukan aku seorang saja yang pergi. Empat puluh orang, kau tahu,” balas Nadirah dengan penuh yakin.
                “Aku dengar pernah ada yang hilang kat atas tu.”
                Kata-kata itu diungkapkan Hazimah agak perlahan, tetapi berjaya menarik perhatian Nadirah.
                “Hmm? Bila?”
                “Dah lama, tahun 1989. Masa tu famili aku tinggal di Sabah. Kamu tahulah, kan … ayah aku askar. Dua orang rakyat Sarawak hilang sampai sekarang tak jumpa-jumpa. Agaknya dah matilah tu,” Beritahu Hazimah jujur.
Nadirah tidak pasti tujuan Hazimah, adakah cuba menakut-nakutkannya atau sekadar memberitahu. Namun dia tidak peduli, niatnya hendak mendaki gunung pasti akan diteruskan. Dia sudah berusaha dan bersedia. Setiap petang dia berjoging untuk meningkatkan stamina.
                “Tak kisahlah, Imah. Bukan semua orang yang pergi akan hilang. Dah takdir dia begitu. Kau tu jangan nak menakut-nakutkan aku, doakan keselamatan aku sudahlah,” balas Nadirah dan bingkas bangun. Dia perlu bersiap untuk berjoging. Pasti teman jogingnya, Ayu akan tiba tidak lama lagi.
                “Aku bukan nak takutkan kamu, cuma nak bagi nasihat,” tingkah Hazimah.
                “Terima kasih. Aku nak pergi joging sekarang. Nak ikut?”
                Hazimah geleng.
                “Tunggu aku makan malam nanti, ya?” Nadirah berpesan sebelum keluar dari bilik itu. Gadis itu hanya mengangguk sambil tersenyum. Ketika menjengah ke luar tingkap dilihatnya Ayu sudah sampai dengan skuternya. Nadirah segera berlari turun dari asrama, membonceng skuter Ayu dan mereka berlepas ke tepi tasik untuk berjoging.
                Hari itu tidak seperti semalam. Cuaca amat cerah. Mereka berharap tidak bertemu lagi dengan jejaka semalam. Tetapi selama dua minggu berjoging di situ, mereka memang tidak pernah terserempak dengan kelibat jejaka itu. Mengingati peristiwa semalam, tawa kedua-dua gadis itu berderai. Terasa puas kerana mereka berjaya mempermainkan jejaka itu. Apatah lagi mengenangkan wajahnya yang panik kerana kehilangan kereta kesayangan. Lucu sungguh!
                “N, Abang Wak pesan petang besok ada taklimat khas,” beritahu Ayu ketika mereka berhenti rehat.
                “Taklimat apa lagi? Kan hari tu dah buat taklimat?”
                “Dia masukkan seorang veteran untuk jadi ketua kumpulan kita. Abang Wak kata otai (old timer) tu dah banyak kali daki gunung. Kali ni dia nak join kita pulak. Kalau jadi, masuk kali ni dalam tahun ini saja dah tiga kali dia mendaki Gunung Kinabalu tu. Kira berpengalaman sangatlah orangnya. Senanglah kita nanti …” jelas Ayu bersungguh-sunguh. Yakin benar dia dengan keupayaan orang tua itu. Sambil itu dia mengesat peluh yang mengalir di dahi dengan tuala kecil yang tersangkut di leher.
                “Larat ke dia lagi?” soal Nadirah mula meragui. Berdasarkan kata-kata Ayu, Nadirah dapat membayangkan yang ketua kumpulan yang bakal dilantik itu pastinya sudah berusia orangnya. Entah-entah setua Atuk Malek ... atau sebaya Dr. Osman, pensyarahnya yang berkepala botak, tapi garang macam singa lapar! Hi hi ... Nadirah tertawa dalam hati mengenangkan ‘veteran’ bayangannya itu.
                “Eh … mestilah! Kalau dah selalu daki gunung mesti fit!” ujar Ayu penuh yakin. Nadirah tergelak-gelak mendengarnya.
                “Tapi ... tak bestlah!” ungkap Nadirah kemudiannya.
                Dahi Ayu berkerut mendengarkan rungutan gadis itu.
                “Kenapa pulak?” soal Ayu.
                “Kau saja yang nampaknya suka sangat kat veteran tu! Aku tak yakin dia boleh menjadi ketua kumpulan yang baik. Usia dia dengan kita jauh berbeza. Mesti tak sehaluan!” terang Nadirah. Sudah pasti banyak pantang-larangnya nanti. Lihat saja Atuk Malek, puas dia berusaha meyakinkan orang tua itu tentang kebaikan mendaki gunung. Lagipun orang lelaki selalunya skeptikal dengan keupayaan orang perempuan, menganggap kaum hawa ini begitu lemah! Itu yang Nadirah tak boleh terima.
Ayu terdiam seketika. Mungkin memikirkan kata-kata Nadirah itu.
“Dia kawan Abang Wak, tentu baik macam Abang Wak,” terang Ayu lagi. Dia berpaling tepat pada wajah Nadirah yang kelihatan merenung jauh ke hadapan.
“Eh, cuba kau berfikiran positif sikit. Entah-entah pak cik tu sekepala dengan kita, boleh ngam! Hah ... kalau tidak, takkan dia beria-ia nak masuk kumpulan kita!”
Terkejut Nadirah melihatkan tingkah Ayu yang beria benar mempertahankan veteran itu.
                “Mana kau tahu?” soal Nadirah.
                “Abang Waklah yang cerita. Abang Wak kata dia kasihan pada kumpulan kita, semuanya tak ada pengalaman daki gunung. Takkan nak harap jurupandu aje. Sekurang-kurangnya kalau ada orang yang berpengalaman, tentu lebih senang. Dalam taklimat besok dia akan bagi pendedahan awal. Kau bolehlah tanya apa-apa soalan pun.”
                “Pukul berapa ya? Petang esok aku ada kelas gantilah.” Nadirah sedikit musykil.
                “Kelas ganti kau habis pukul berapa?” soal Ayu.
                “Pukul 6.00. Kalau dia boleh adakan pada pukul 6.30, okey juga. Sekurang-kurangnya sempat aku solat Asar dulu,” beritahu Nadirah sambil memandang Ayu meminta simpati. Tetapi kalau waktu taklimat tidak diganjakkan pun, dia tetap akan mengadakan masa untuk solat Asar. Cuma penangguhan waktu itu memungkinkan dia solat dengan lebih khusyuk lagi dan tidak tergesa-gesa.
                “Nanti aku beritahu Abang Wak. Aku rasa dia okey aje. Cuma tak tahulah pak cik tu okey atau tidaknya.” Balas Ayu.
                “Kau tolonglah cakap pada Abang Wak, ya? Aku memang nak sangat hadir taklimat besok. Rasanya banyak soalan yang aku nak tanya pada pak cik tu,” kata Nadirah.
                No problem!” janji Ayu, gembira. Akhirnya Nadirah dapat juga menerima kehadiran orang tua itu dalam kumpulan mereka.
                Nadirah tersengih melihat gelagat sahabat di sisi. Pantang disebut nama Abang Wak, mulalah wajahnya berseri-seri. Nadirah tahu Ayu ada menyimpan perasaan pada pensyarah itu.
                “Sukalah tu!” usik Nadirah.
                Ayu tersenyum sumbing sambil mencubit paha rakannya itu. Malu. Nadirah segera bangun dan terus berlari. Bimbang dicubit lagi. Ayu bingkas bangun, mengejar sahabatnya itu dari belakang.
                 Mereka meneruskan larian, memintas dua tiga orang tua yang ikut berjoging petang itu. Nama sahaja berjoging, tetapi sebenarnya mereka hanya berjalan-jalan mengambil angin petang yang nyaman di tepi tasik itu.
‘Pak cik-pak cik pencen ...’ getus Nadirah dalam hati. Tetapi sempat juga dia menghadiahi mereka senyuman mesra sambil melambai pada mereka.
Melihatkan pak cik-pak cik itu, terbayang-bayang pula di mata Nadirah susuk pak cik yang dikatakan oleh Ayu itu. Takkan kawan Abang Wak setua ini? Tetapi tidak mustahil juga sebab Abang Wak yang peramah itu berkawan dengan semua orang, tidak kira tua atau muda. Harap-harap pak cik itu seorang yang baik dan sudi membimbing mereka. Dan dia semestinya orang berada juga sebab sudah banyak kali ke Sabah, mendaki Gunung Kinabalu. Bukan sedikit wang yang perlu dihabiskan untuk aktiviti itu. Tetapi seperti kata Ayu, kalau sudah namanya kawan Abang Wak, tentu baik macam Abang Wak juga, fikir Nadirah. Pensyarah Sains Sukan itu sangat bertimbang rasa, mesra dan tidak sedikit pun membezakan jurang antara pensyarah dengan pelajar. Kerana itulah agaknya Ayu jatuh hati padanya. Abang Wak pula buat-buat jual mahal. Bukan dia tidak nampak Ayu meminatinya. Mungkin sebab itulah dia tidak menempatkan Ayu di bawah kumpulannya. Padahal siang malam gadis itu berdoa supaya mereka ditempatkan dalam satu kumpulan yang sama. Tuhan belum mahu memakbulkan doanya, tentu ada hikmah yang tersembunyi ... fikir Nadirah.
Selepas membuat satu pusingan lagi mereka bergegas untuk pulang kerana azan Maghrib daripada masjid berhampiran juga sudah berkumandang. Dan pastinya setibanya di bilik nanti Nadirah akan dileteri oleh Hazimah lagi. Mak tiri aku … gumam Nadirah sambil tersenyum geli hati mengingati gadis pantai timur itu.

No comments:

Post a Comment