6
Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Empat puluh orang pelajar ITM yang terpilih dibawa ke kaki Gunung Kinabalu pagi itu dengan sebuah bas. Cuaca yang cerah seolah-olah begitu gembira menyambut kedatangan mereka. Selain rombongan pelajar tersebut, terdapat juga beberapa kumpulan persendirian dari kalangan orang Eropah yang ikut mendaki. Masing-masing sibuk membuat pendaftaran di Taman Kinabalu sebelum memulakan pendakian. Nadirah dan Ayu serta beberapa orang rakan yang lain mengambil kesempatan itu untuk bergambar di sekitar taman yang cantik dengan pemandangan alam semula jadi. Lebih kurang jam 9.00 pagi urusan pendaftaran mereka selesai dan mereka memulakan pendakian mengikut kumpulan masing-masing. Kumpulan Nadirah diberikan seorang jurupandu anak tempatan dari suku Dusun yang bernama Jamarin. Sambil mendaki, Jamarin rancak bercerita tentang keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini. Menurutnya tidak ramai yang berjaya mendaki sampai ke puncak disebabkan halangan cuaca. Serentak dengan itu juga Syed Khalid mengingatkan anak buahnya tentang kepentingan menjaga keselamatan diri.
“Jangan paksa diri. Jika tidak berdaya, berehatlah dulu,” nasihat Syed Khalid kepada ahli kumpulannya. Pandangannya jatuh pada Nadirah dan Ayu.
Berdesing telinga Nadirah mendengarkan kata-kata itu. Dirasakannya kata-kata itu persis ditujukan untuk dirinya dan Ayu. ‘Mentang-mentang kita orang ni perempuan … dia ingat tak ada stamina agaknya,’ gerutu Nadirah dalam hati. Dia hanya melemparkan senyuman sinis kepada Ayu sambil mencebikkan bibir dan mengangkat kening. Memahami sindiran kawannya itu, Ayu hanya tersenyum.
Pendakian hari itu berjalan lancar. Sambil mendaki, Syed Khalid kelihatan sibuk mengambil gambar menggunakan kamera canggihnya. Tidak ada seorang pun ahli kumpulan mereka yang mempunyai kamera begitu. Kamera mereka biasa-biasa sahaja, sesuai dengan status pelajar yang dipegang mereka. Hidup pun atas biasiswa Kerajaan dan bantuan emak bapak, bagaimana hendak berbelanja mewah. Hanya orang berada yang mampu memiliki kamera sebegitu, fikir Nadirah. Nadirah dan Ayu bertukar kamera, sesekali meminta ahli kumpulan itu mengambil gambar mereka berdua. Sambil mendaki mereka terserempak juga dengan bangsa Eropah. Walau sudah berusia, mereka masih bersemangat hendak mendaki. Ada juga yang membawa anak dalam usia belasan tahun. Ayu tidak ketinggalan mengambil gambar mereka sebagai kenangan. Mat salih itu pun agak sporting juga. Sesekali mereka terserempak dengan orang Dusun yang mendaki sambil mengusung tong gas. Terpegun mereka melihatkan ketangkasan orang Dusun itu mendaki seperti berlari sambil membawa bebanan yang berat. Pastinya menghantar bekalan ke Kem Gunting Lagadan, tempat mereka berteduh malam ini sebelum bertolak esok pagi. Namun, belum pun separuh pendakian, suku Dusun itu sudah turun dan mengangkut tong gas kosong pula. Hebat! Fikir Nadirah.
“Jamarin, kamu carikan kami boyfriend orang Dusun juga, gagah-gagah sekali,” usik Ayu sambil cuba meniru gaya percakapan orang Sabah. Jamarin hanya tersengih.
“Boleh ... boleh! Aku pun belum kahwin lagi,” balas lelaki Dusun itu.
“Aku enggak maulah sama kau! Asyik ditinggalkan saja,” balas Ayu.
Tawa mereka pecah. Syed Khalid ikut ketawa. Sekurang-kurangnya gurauan itu mengalih perhatian mereka daripada keletihan.
“Kalau mahukan orang Dusun, kenalah lasak-lasak. Tidak boleh manja-manja, kan Jamarin?” tambah Syed Khalid. Jamarin tertawa sambil mengiakan kata-kata Syed Khalid. Ayu hanya mencebik, sempat lagi mengata aku, bisiknya. Nadirah ikut terusik. Tetapi dia diam sahaja. Tak habis-habis lelaki ini hendak mengata aku, fikirnya.
Walaupun keletihan, mereka tiba di Kem Gunting Lagadan dalam sekitar jam 2.00 petang, iaitu kumpulan pertama yang berjaya sampai terlebih dahulu. Nadirah dan Ayu segera memilih bilik di asrama Gunting Lagadan. Kemudian bergegas pula untuk memasak bagi semua ahli kumpulan seramai 40 orang itu. Mereka terpaksa memasak sendiri kerana sebagai pelajar, mereka tidak mampu hendak membeli makanan di Kem Laban Rata yang berharga RM8 sepinggan! Namun persediaan telah dibuat. Setiap peserta membawa sedikit bekalan makanan. Mereka telah memasak sambal ikan bilis, telur rebus dan rendang terlebih dahulu. Hanya nasi yang dimasak di kem tersebut. Cara itu lebih jimat dan keseronokannya lebih terasa. Selepas makan tengah hari pelajar-pelajar tersebut mengambil kesempatan untuk berbual mesra dan mengambil gambar di kawasan sekitarnya. Cuaca hari itu cukup baik, udara segar dan nyaman, namun kesejukan amat terasa hingga ke tulang hitam. Nadirah sendiri menyarungkan empat lapis T-shirt bagi menahan kesejukan.
“Kau dah okey ke dengan Cif kita tu?” Soal Ayu tiba-tiba ketika mereka berbual-bual di beranda asrama Gunting Lagadan. Hati Ayu tergerak hendak bertanyakan soalan itu apabila terpandangkan Syed Khalid yang sedang membaca di bawah sepohon pokok rendang. Jejaka itu nampaknya seperti mengasingkan diri, tidak bercampur dengan pelajar-pelajar lain.
“Tak ada maknanya aku nak berbaik dengan dia. Aku hormati dia sebagai ketua saja. Itupun kerana nasihat Abang Wak. Nak kawan lebih-lebih minta maaflah ...” tingkah Nadirah, berbaur geram. Ayu tergelak kecil.
“Tak habis lagi dendam kesumat kau ya?”
“Susah nak lupa. Kau tengoklah betapa sombongnya dia, orang lain mencari kawan dan bermesra. Dia pula mengasingkan diri di situ. Status ketua kumpulan tu besar sangatkah? Mentang-mentang dia banyak pengalaman,” kata Nadirah separuh mengejek. Ayu tertawa.
“Eh, aku dengar dia tu anak Tan Sri. Bapanya hartawan, kau tahu!” bisik Ayu.
“Ye ke? Patutlah lain macam aje ...” Nadirah sedikit terkejut. Tetapi apabila mengamati perwatakan lelaki itu, dia memang nampak seperti orang berada. Apa tidaknya, hari itu dilihatnya lelaki itu memandu kereta mewah. Jika orang biasa sahaja, mana mampu untuk memiliki kereta seperti itu dalam usia yang masih muda. Dan hari ini dia mengeluarkan kamera mahalnya pula.
“Tentu banyak girlfriend, kan? Handsome ... kaya ... Selalunya orang macam tu playboy. Suka guna kelebihan dia untuk memikat perempuan,” Nadirah meneka. Bukan dia tidak nampak, pelajar di asramanya itu berlumba-lumba untuk memenangi hati jejaka yang tampan dan berada. Jiwa remaja katakan ... Dia juga dulu pun begitu. Meminati Saiful dari jauh, bukan kerana kekayaannya tetapi kerana personaliti jejaka itu. Namun apabila Saiful sudah berada di genggaman, dia melepaskannya pula. Dia sendiri sukar menafsirkan perasaannya pada jejaka itu. Hati berasa seronok mendampinginya, tetapi di suatu sudut yang lain tindakan Saiful memang tidak dapat diterimanya.
“Mungkin juga.” Balas Ayu, matanya masih tertancap pada kelibat Syed Khalid yang duduk sendirian.
“Tapi aku tengok dia tak macam itu pun. Pendiam, tak campur orang. Nak kata sombong pun, hampir juga,” tambah Ayu. Sambil berbual, mata mereka sekejap-sekejap memandang pada Syed Khalid di bawah pokok. Bimbang juga jika kata-kata mereka didengari oleh lelaki itu.
“Bukankah kau kata dia anak hartawan? Mana setaraf nak berkawan dengan kita semua? Itu sebab dia lebih rela duduk seorang diri di bawah pokok itu dan baca buku!” balas Nadirah.
“Mungkin dia tak pandai berkawan agaknya? Kesian ...” Ayu seperti bersimpati. Nadirah tergelak melihatkan simpati Ayu yang tidak bertempat.
“Kalau begitu kau pergilah berkawan dengan dia. Mana tahu, nanti jodoh kau sampai dengan dia! Umur kau pun dah nak masuk 21 tahun, kan? Bila lagi nak cari pasangan? Nanti jadi anak dara tua pulak,” usik Nadirah sambil menolak tubuh rakannya itu.
“Eh, tak kuasa aku!” tingkah Ayu. ‘Lainlah kalau dia yang mengurat aku dulu ...’ sambung gadis itu dalam hati. Dalam pada itu, mata Ayu masih tertancap pada jejaka yang kelihatan tekun membaca.
Tawa mereka pecah lagi.
Gelak tawa kedua-dua gadis itu menarik perhatian Syed Khalid tiba-tiba. Matanya yang asyik menghadap buku dialihkan kepada gadis-gadis itu dengan pandangan yang tajam.
“Eh, dia pandang kitalah,” bisik Ayu, mulai berdebar.
“Buat biasa saja,” balas Nadirah sambil memandang ke arah lain.
“Dia terasa agaknya kita mengata dia?” suara Ayu berbaur kegusaran.
“Ah, mana dia boleh dengar? Kan jauh ni?” Nadirah juga sedikit cemas. Mungkin dalam ghairah bercerita suara mereka dapat ditangkap oleh jejaka itu. Maklumlah, walaupun jarak mereka agak jauh, namun keadaan di sekitar sunyi. Hanya bunyi desiran angin sahaja yang bertiup kuat. Kebanyakan pelajar lain mengambil kesempatan itu untuk menikmati pemandangan di sekitar dan mengambil gambar kenangan. Ada juga yang tidur dan berehat.
Syed Khalid menutup buku yang dibacanya, bingkas bangun dan melangkah menuju ke arah gadis-gadis itu.
“Awak berdua tak nak tidur ke?” soalnya apabila hampir dengan Nadirah dan Ayu.
“Kenapa, bang? Abang nak ajak kami tidur sekali?” balas Ayu, sengaja mengusik dan kemudian tertawa. Wajah Syed Khalid agak serius, mungkin tidak suka diajak bergurau begitu. Nadirah menyentap tangan Ayu. Baginya gurauan gadis itu agak keterlaluan.
“Eloklah pergi berehat daripada berbual kosong. Besok, awal pagi kita nak mula mendaki balik. Nanti tak cukup rehat, tak cukup stamina pulak,” Syed Khalid mula bersyarah.
Nadirah dan Ayu saling berpandangan, kurang gemar ditegur begitu. Syed Khalid melayan mereka seperti budak-budak kecil. Buat seketika mereka diam sahaja.
“Jomlah, Ayu ....” Nadirah segera menarik tangan rakannya itu tanpa memandang ke arah Syed Khalid yang hanya memerhati sejak dari tadi. Meluatnya pada lelaki itu tidak dapat digambarkan. Ayu hanya menurut.
“Saya ikhlas memberi nasihat, bukan hendak menunjukkan kuasa!” Laung Syed Khalid kepada kedua-dua gadis itu setelah disedarinya tegurannya itu seperti tidak dihargai. Kata-katanya tidak diendahkan. Gadis-gadis itu segera berlalu tanpa menoleh lagi.
“Apa salah aku?” Rungut Syed Khalid sendirian. Salahkah cuba berbuat baik?
Syed Khalid memeluk tubuhnya yang dicengkam kedinginan. Keadaan cuaca yang agak sejuk tidak memungkinkan dia berdiri lama di situ. Matanya juga terasa begitu berat. Akhirnya Syed Khalid ikut melangkah masuk ke asrama dan mencari tempat tidurnya.
No comments:
Post a Comment