7
Hujan yang turun lebat awal malam membuatkan semua pelajar berasa gusar. Mereka bimbang tidak dapat mendaki hingga ke puncak disebabkan cuaca yang kurang baik. Pastinya jurupandu tidak mengizinkan mereka meneruskan pendakian. Jika begitu keadaannya, sia-sialah pendakian mereka hari itu, hanya sampai separuh jalan sahaja. Namun, menjelang jam 10 malam, hujan mulai berhenti. Masing-masing berasa sungguh lega apabila jurupandu memberikan keizinan untuk meneruskan pendakian. Tepat jam 2.00 pagi, mereka memulakan pendakian semula. Meskipun kedinginan mencengkam namun kegigihan dan kesungguhan untuk menakluk puncak Kinabalu menjadikan semangat pelajar-pelajar itu begitu berkobar-kobar untuk meneruskan pendakian. Walaupun laluan agak sukar kerana jalan licin, mereka berjaya juga menawan puncak Kinabalu hampir jam 7.00 pagi, ketika cahaya mentari mula memancar dari kaki gunung. Pemandangan begitu mengasyikkan. Pelajar-pelajar itu saling berebut untuk mengabadikan kenangan di puncak tertinggi di Asia Tenggara itu. Setelah menikmati pemandangan dan mengambil gambar, pelajar-pelajar itu digesa turun. Walaupun berasa tidak puas hati, namun jurupandu mempunyai alasan tersendiri.
“Bimbang hujan turun lagi kerana nampaknya cuaca kurang elok,” beritahu Jamarin.
Syed Khalid turut mengakui kebenaran kata-kata Jamarin. Walaupun telah banyak kali mendaki Gunung Kinabalu itu, tetapi inilah kali pertama dia menempuh keadaan cuaca yang tidak menentu. Namun dia tetap bersyukur kerana semua anak buahnya dapat mendaki hingga ke puncak. Rasa bangga juga terdetik apabila dia dapat memberi motivasi untuk ahli kumpulannya supaya meneruskan pendakian, terutamanya kepada kedua-dua gadis yang pada tanggapannya agak degil itu. Nampak saja gadis-gadis itu lemah-lembut, hakikatnya semangat mereka begitu kuat. Stamina juga kuat, maklum sahaja dia selalu memerhati mereka berjoging membuat persediaan. Ada juga ahli kumpulan lain yang hanya separuh jalan dan berpatah balik ke Kem Gunting Lagadan kerana tidak sanggup untuk menghadapi laluan yang sukar itu atau pun tiada stamina lagi.
“Tahniah, kerana kumpulan kita berjaya menawan puncak Kinabalu,” ujar Syed Khalid, tersenyum penuh bangga. Kata-katanya menerima tepukan dari ahli kumpulannya. Memang, tanpa semangat yang cekal pastinya mereka tidak mampu berbuat demikian. Nadirah melihat lelaki ini tersenyum buat pertama kalinya. Selalunya serius sahaja. Kan bagus tersenyum begitu, barulah terserlah ketampanannya ... fikir Nadirah. Ini tidak, memandang orang pun macam hendak ditelannya.
“Bila turun nanti, sentiasa pegang tali panduan. Saya bimbang angin kuat akan menerbangkan kamu nanti ...” nasihat Syed Khalid kemudiannya dan disambut dengan deraian ketawa oleh ahli-ahli kumpulannya. Mahu cuba berlawak pula, getus Nadirah dalam hati.
“Eh, saya serius!” tegas Syed Khalid menyebabkan tawa para pelajar itu terhenti serta-merta. Wajahnya kembali serius.
“Keadaan cuaca sekarang sukar dijangka. Kadang-kadang angin bertiup sangat kencang. Saya mahu kamu mengambil berat langkah keselamatan. Turun nanti, pegang tali dan jangan berpisah jauh antara satu sama lain,” Syed Khalid memberikan peringatan. Jamarin turut mengiakan kata-kata jejaka itu. Dia memang sudah kenal dengan Syed Khalid. Dua tiga kali juga dia mengiringi Syed Khalid mendaki bersama rakan-rakannya. Dan yang paling dia suka, lelaki itu tidak lokek menghulurkan wang ringgit sebagai upah tambahan bagi menghargai penat lelahnya.
“Saya akan jalan di hadapan untuk tunjuk arah. Kamu jaga di belakang,” pinta Jamarin kepada Syed Khalid. Syed Khalid mengangguk setuju.
Keadaan ketika menuruni puncak gunung tidaklah sesukar ketika mendaki. Pada bahagian-bahagian yang curam, mereka terpaksa turun dengan bergantung kepada tali yang disediakan. Namun, kawasan gunung yang gondol dan berbatu itu agak licin disebabkarn hujan.
“Pegang tali kuat-kuat! Angin bertiup kencang!” jerit Jamarin tiba-tiba.
Ketika itu Nadirah merasakan dirinya seperti melayang dibawa angin. Mujurlah dia dapat memaut tali sekuat-kuatnya. Pada saat itu dirasakannya nyawanya juga seakan melayang. Benarlah seperti kata Syed Khalid. Timbul rasa hormat terhadap jejaka itu. Jika tidak mengikut arahannya pastilah dia diterbangkan angin kencang sebentar tadi. Semua pendaki diarah untuk duduk seketika sementara menunggu keadaan reda.
“Kalau aku nampaklah cerun di bawah tu pagi tadi, pasti aku takut nak panjat!” bisik Ayu kepada Nadirah sambil menjeling pada cerun yang berada di bawah. Nadirah tidak menjawab. Hatinya turut mengakui bahawa kecuraman cerun yang sedang mereka turuni itu amat mengerikan. Dia tidak berani hendak memberi komen. Selain ketakutan yang menguasai dirinya, kesejukan juga tidak dapat dibendung. Stoking dan sarung tangan bulu yang dipakai juga terasa basah dek air hujan. Hendak membukanya bimbang lebih sejuk.
Setelah tiupan angin kencang berhenti, Jamarin mengarahkan supaya mereka mula bergerak kembali. Menurut Jamarin, tiada lagi laluan yang sesukar itu selepas ini. Nadirah dan Ayu menarik nafas lega. Mereka berjalan agak perlahan kerana kaki mereka mulai terasa sakit. Lutut juga sudah terasa ketat dan urat kaki menegang, membuatkan kaki menjadi berat untuk terus melangkah. Kasut yang dipakai oleh Nadirah juga sudah robek di hujung akibat tekanan bertubi-tubi.
“Kau nak jalan dulu, pergilah. Aku tukar kasut sekejap,” beritahu Nadirah.
Ayu seperti tidak mengendahkan kata-katanya. Mungkin juga tidak mendengar kerana telinganya disumbat dengan earphone walkman. Gadis itu terus sahaja melangkah meninggalkan Nadirah sendirian. Sekejap sahaja hendak menukar kasut, fikir Nadirah. Lagi pun dia tidak berasa begitu khuatir sangat kerana dia tahu masih ramai pendaki lain yang berada di belakangnya. Sekurang-kurangnya dia boleh menjadikan mereka teman ketika turun, jika tidak dapat mengejar Ayu untuk bersama-samanya. Syed Khalid juga berjalan di hadapan mereka, mungkin sudah tidak berasa risau seperti mula-mula tadi. Mereka sengaja membuat Syed Khalid berada lebih ke hadapan kerana tidak suka diekori dari belakang.
“N, kau rasa jauh lagi tak checkpoint yang terdekat? Aku macam tak tahanlah nak buang air ... Sejuk sangat!” rungut Ayu. Bibirnya mula bergetar menahan kesejukan. Namun tiada sahutan daripada rakannya itu. Ayu menghentikan langkahnya dan segera menoleh. Kelibat gadis itu memang tiada berhampirannya.
“N! Nadirah!” Ayu memanggil dengan perasaan cemas. Tadi elok sahaja Nadirah berjalan di belakangnya, fikir Ayu. Kenapa tiba-tiba dia hilang dari pandangan? Hati Ayu mula terasa berdebar-debar. Bukan dia tidak pernah mendengar cerita-cerita mistik tentang gunung ini. Memikirkan hal itu, dia mengucap panjang.
“Kenapa?” tanya Syed Khalid apabila terdengar teriakan Ayu. Dia segera berpatah untuk mendapatkan Ayu yang berada sedikit ke belakang.
“Nadirah, tadi dia ada di belakang saya. Saya tak sedar bila dia hilang!” suara Ayu seperti hendak menangis. Jantungnya berdebar, dia bimbang sesuatu yang buruk menimpa rakannya itu. Wajah Syed Khalid berubah serta-merta.
“Dia ada di hadapan tak? Mungkin bersama-sama dengan yang lain?” ujar Syed Khalid, masih menaruh harapan agar gadis itu tidak pergi jauh. Ayu menggeleng.
“Tak mungkin. Tadi dia di belakang saya. Kalau dia potong saya pun, tentu saya perasan,” beritahu Ayu. Lagipun, takkan Nadirah akan memotongnya, untuk apa! Fikir Ayu.
Syed Khalid mendongak ke atas. Keadaan muka bumi yang curam itu membuatkan dia berfikir lama untuk berpatah balik. Walaupun berjalan sedikit ke hadapan dari dua gadis itu, dia tidak begitu bimbang akan keselamatan mereka. Dia masih dapat mendengar bualan gadis-gadis itu. Kadang-kadang dia turut tersenyum mendengarkan celoteh mereka yang lucu. Tetapi dia juga tidak sedar bila suara kedua-duanya berhenti berbual dan seorang daripada mereka tertinggal. Namun sebagai ketua kumpulan dia tidak boleh membiarkan Nadirah keseorangan. Amanah yang diberikan Abang Wak perlu dipikul walau apa pun risikonya.
“Awak ikut Jamarin dan lain-lain ke depan. Beritahu Jamarin, saya berpatah balik untuk cari Nadirah. Saya rasa dia tak jauh dari sini, mungkin di belakang kita sahaja. Tapi awak tak payahlah tunggu. Hari nak hujan ni, nanti basah kuyup pula,” beritahu Syed Khalid sambil mendongak melihat kepulan awan hitam yang mulai bergerak lambat di atas kepalanya. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Jika mereka tidak mempercepatkan langkah ke checkpoint berhampiran, alamat akan basah kuyuplah nanti.
“Awak macam mana?” tanya Ayu.
“Macam mana apa? Sudahlah, jangan banyak soal lagi. Cepat bergerak, nanti ditinggalkan Jamarin lebih jauh. Takkan awak nak patah balik ikut saya. Kalau hujan bagaimana?”
Ayu terdiam. Memang dia tidak ada pilihan. Hendak berpatah balik mencari Nadirah, dia sudah tidak berdaya. Kakinya terasa begitu berat untuk diangkat. Hendak menunggu di situ sendirian, dia takut. Pundi-pundi kencingnya juga terasa sudah begitu penuh. Memang dia tidak dapat menahan lebih lama lagi. Namun dalam hati, dia masih risaukan Nadirah. Pilihan terbaik ialah menyertai Jamarin dan ahli kumpulan yang lain yang telah berada lebih jauh ke hadapan.
“Apa tunggu lagi? Saya hendak pergi sekarang!” jerkah Syed Khalid.
“Err ... Syed, tolong cari kawan saya. Awak mesti tunggu dia. Jangan tinggalkan dia keseorangan,” pesan Ayu, terketar-ketar.
“Itu memang tugas saya. Awak jangan risaulah. Pergi cepat!”
Ayu tidak menunggu lama lagi. Dia segera beredar dengan rasa yang berat. Namun dia berharap sesuatu yang buruk tidak menimpa Nadirah. Dia berdoa semoga Syed Khalid akan menemui Nadirah dan membawa dia kembali bersama-sama.
No comments:
Post a Comment