Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Wednesday, May 1, 2013

26





Dahi Tan Sri Syed Mokhtar berkerut mendengarkan penjelasan Mansor. Tidak disangkanya sahabat baiknya itu akan menerima nasib sebegini rupa. Setelah tiga bulan, baru kini dia mahu membuka mulut tentang perkara itu. Lelaki berbadan besar itu membuang pandangan ke luar tingkap pejabat yang menampakkan sebahagian kota raya.  Kenderaan kelihatan bertali arus, bersesak-sesak memenuhi jalan utama. Seperti sesaknya fikirannya mendengar berita itu. Hari ini semua persoalan tentang kepulangan Mansor secara tiba-tiba itu telah terjawab. Tan Sri Syed Mokhtar berpaling pada Mansor yang termangu di sofa.
            “Aku ... err ..” Payah benar rasanya Tan Sri Syed Mokhtar hendak meneruskan bicara semula. Mendengarkan cerita Mansor sebentar tadi, mulutnya terasa seperti dikunci. Rasa terkejut masih bersarang di minda.
            “Aku memang malu hendak meminta tolong daripada kamu, Mokhtar. Tapi .. “ kata-kata Mansor terhenti di situ. Dia nampak wajah berkerut sahabatnya, mungkin masih payah hendak mempercayai apa yang diperkatakannya sebentar tadi.
            “Aku memang tidak ada pilihan yang lebih baik. Ketika aku mendapat tahu tentang masalah kesihatanku, apabila terpandang wajah anak-anakku yang terlalu jauh terpesong dari akar-umbinya, aku jadi takut. Aku tidak mempunyai banyak masa lagi,” keluh Mansor.
            “Aku memang malu,” sambung Mansor lagi, “Tersangat-sangat malu tetapi aku terpaksa tebalkan muka ini demi menyelamatkan anak-anak aku. Aku seorang bapa yang gagal ..”
            “Mansor!”
            Tan Sri Syed Mokhtar terpaksa menegah Mansor daripada terus berkata-kata. Sepanjang pengetahuannya, Mansor seorang yang kuat didikan agamanya. Begitu juga Sofiah. Ketika di AS dahulu, mereka sering mengadakan acara-acara berkaitan keagamaan bersama-sama. Mansor sangat aktif mengendalikan majlis-majlis berunsurkan keagamaan di kalangan penuntut di sana kerana dia lebih dahulu berkeluarga. Pengakuan Mansor memang tidak dapat diterimanya. Dia tidak boleh percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.
            Kedua-duanya diam seketika. Mansor menghirup air kopi yang masih bersisa. Tan
Sri Syed Mokhtar masih berfikir. Mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang menimpa Mansor dan keluarganya. Kini masalah Mansor menjadi masalahnya juga. Tidak semena-mena dia terpaksa memikirkan masalah orang lain. Tetapi Tan Sri Syed Mokhtar tidak mahu berkira sangat dengan Mansor. Budi Mansor dan keluarganya sangat-sangat dihargai. Kini sudah tibalah masanya dia membalas jasa Mansor pula walaupun masalah itu sangat berat.
            “Apa kata kalau kita pergi solat Maghrib dulu, kemudian kita makan malam sambil fikir-fikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah kamu ni,” Tan Sri Syed Mokhtar memberi cadangan. Dia mengerling ke luar tingkap. Cahaya matahari sudah menghilang, meninggalkan mega merah menandakan maghrib sudah menjelma. Mansor hanya menurut.
            Ketika melalui meja setiausahanya, Tan Sri Syed Mokhtar terpandang kelibat Syed Mukhriz dan Zarith yang beriringan keluar di pintu pejabat sambil bergelak ketawa. Nampaknya anak-anak mereka cepat mesra. Tan Sri Syed Mokhtar mengerling pada Mansor yang juga kelihatan terkejut. Mereka saling berpandangan. Nampaknya kedua-duanya tidak menyedari kehadiran bapa mereka di situ.
            Usai solat Maghrib berjemaah, mereka makan di sebuah restoran berhampiran. Di situ, perbincangan diteruskan. Mansor meneruskan cerita tentang penyakit yang dihadapinya. Nampaknya, memang tiada harapan untuk sembuh. Secara luarannya, Mansor nampak seperti biasa tetapi doktor meramalkan hayatnya tidak panjang. Mansor tidak mahu berubat lagi. Dia redha dengan penyakit yang diturunkan oleh Allah ke atas dirinya.
            “Selepas mendapat tahu tentang SLE, aku terus menunaikan haji bersama Sofiah. Aku benar-benar insaf. Tetapi aku redha dengan apa yang aku alami. Jika tidak kerana penyakit ini, pastinya aku belum bertaubat,” ujar Mansor lirih.
            Tan Sri Syed Mokhtar memang perasan akan perubahan wajah Mansor yang kemerahan, tetapi dia hanya terfikir bahawa mungkin Mansor tidak biasa dengan cuaca di sini. Tidak pula disangkanya itu adalah simptom SLE, penyakit kronik auto-imun yang jarang sekali menyerang lelaki. Menurut Mansor, penyakit itu telah menyerang buah pinggangnya. Sendi-sendinya juga terasa sakit. Seboleh-bolehnya dia akan mengelakkan cuaca panas, kerana itu dia mahu mengadakan pertemuan lewat petang atau malam.
            “Anak-anak aku terlalu bebas di sana. Aku menyesal kerana terlalu memberi mereka kebebasan. Aku tidak beratkan untuk mereka menjaga solat dan juga berpuasa. Aku juga kadang-kadang terlalai ..,” rintih Mansor. Air matanya mula bergenang. Wajahnya menampakkan penyesalan. Tan Sri Syed Mokhtar hanya menggelengkan kepala. Tidak disangkanya Mansor akan terpesong begitu. Ketika meninggalkan keluarga Mansor lebih 15 tahun dahulu, mereka baik-baik sahaja. Tetapi mungkin arus kemodenan melalaikan Mansor.
            “Apa yang boleh aku bantu kamu?” soal Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya. Memang pada awal pertemuan Mansor sudah membayangkan supaya anak-anaknya diselamatkan. Tetapi dia tidak faham kehendak Mansor yang sebenarnya.
            “Aku minta maaf, aku mungkin keterlaluan.” Balas Mansor. Dia merenung anak mata sahabat lamanya itu. Di mata Mansor, Syed Mokhtar juga sudah berubah. Syed Mokhtar yang dulunya seorang yang biasa-biasa sudah menjadi korporat. Ketika melangkah masuk ke banglo Syed Mokhtar, terasa dirinya begitu kerdil. Syed Mokhtar sudah menjadi usahawan yang begitu berjaya.
            “Ketika aku di Mekah, aku teringatkan kamu. Aku mula terfikir yang aku boleh meminta bantuan kamu untuk menyelamatkan anak-anakku. Sofiah juga bersetuju dengan pendapat aku,” sambung Mansor lagi. Tan Sri Syed Mokhtar mendengar dengan tekun.
            “Malam itu, apabila diperkenalkan dengan semua anak-anak kamu, aku menjadi semakin yakin bahawa firasatku tidak salah. Mereka sangat baik dan terdidik. Jika boleh ...” Mansor tidak menghabiskan kata-katanya. Dia berasa ragu-ragu untuk bersuara. Dipandangnya wajah Tan Sri Syed Mokhtar. Lelaki itu tampak bersahaja, mungkin sudah dapat membaca isi hatinya.
            “Aku minta maaf, Mokhtar,” suara Mansor berbaur kesal. “Aku tidak sepatutnya menyusahkan keluarga kamu dalam hal ini. Tetapi aku mohon sangat-sangat agar anak-anakku diselamatkan. Aku tidak ada orang lain lagi,” rintih Mansor dengan suara yang sebak.
            Tan Sri Syed Mokhtar menepuk-nepuk bahu sahabatnya.
            “Sabarlah, Mansor. Aku faham apa yang kamu mahu. Tetapi aku ini berfikiran terbuka. Aku tidak mahu dipersalahkan jika rumah tangga anak-anak tidak bahagia kerana mereka dipaksa kahwin dengan pilihan kita. Jika mereka suka sama suka, akulah yang paling gembira,” ujar Tan Sri Syed Mokhtar. Mansor terdiam.
            “Amani ... Amani ..” Mansor menyebut nama anak bongsunya beberapa kali.
            “Amani gadis yang baik, lembut dan masih mentah,” Tan Sri Syed Mokhtar memberi tafsirannya pada anak gadis Mansor seperti yang dilihatnya pada malam itu. Gadis itu kelihatan riang dan manja, sesuai dengan usia remajanya.
            “Dia paling rapat dengan aku. Pastinya dia tidak boleh terima jika aku sudah tiada. Aku lihat dia betul-betul menyenangi anak bongsu kamu. Kalau boleh, usahakanlah supaya mereka dijodohkan,” pinta Mansor.
            Tan Sri Syed Mokhtar agak terkejut dengan permintaan itu. Dia tahu Syed Khalid agak matang dan pendiam. Tidak seperti abang-abangnya. Mahukah Syed Khalid menerima hasrat Mansor? Tan Sri Syed Mokhtar menghela nafas panjang. Selepas pertemuan malam itu, dia tahu Amani selalu menghubungi Syed Khalid. Pernah dia terserempak Amani datang ke rumahnya dan meminta Syed Khalid menemankannya berjalan-jalan di Kota Raya Kuala Lumpur. Ketika Syed Khalid mahu berlepas ke Scotland, Amani beria-ia menangis kerana perpisahan itu. Dia tidak pasti perasaan Syed Khalid terhadap Amani. Tetapi pertemuan singkat antara Syed Khalid dan Amani kelihatannya meninggalkan kesan mendalam pada gadis itu.
            “Tentang hal itu, aku boleh bertanya pada Khalid. Tetapi kamu tidak perasankah, hubungan antara Mukhriz dan Zarith tadi?” Tan Sri Syed Mokhtar cuba mengalih perhatian  sahabatnya pada anak sulung mereka.
            “Mukhriz dan Zarith hanya teman baik. Aku sudah bertanyakan hal itu pada Zarith. Lagipun dia sudah ada teman lelaki di AS. Mereka akan berkahwin tidak lama lagi. Aku harap Mukhriz boleh tolong tengok-tengokkan Zarith. Cuma aku berasa agak lega kerana teman lelaki Zarith seorang Islam juga,” terang Mansor.
            Tan Sri Syed Mokhtar mengangguk-angguk. Dia tidak menafikan, Syed Mukhriz memang suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Anak sulungnya itu memang mudah mesra. Teman wanitanya ramai, silih berganti. Berlainan sekali dengan Syed Khalid. Tidak pernah dia mendengar anak bongsunya itu mempunyai teman wanita. Tetapi jika Amani berjaya mencuri hati Syed Khalid, dia tidak pula menahan. Walau sesosial mana pun Amani, dia percaya gadis itu masih boleh dibentuk. Pasti Syed Khalid dapat membimbing Amani.
            “InsyaAllah, Mansor. Aku cuba risik-risik tentang hubungan Syed Khalid dengan Amani. Jika mereka suka sama suka, aku akan usahakan supaya mereka cepat dijodohkan,” beritahu Tan Sri Syed Mokhtar.
            Kata-kata Syed Mokhtar itu sudah cukup membuatkan Mansor kembali bersemangat. Mansor tahu Amani memang sudah mula menaruh hati pada Syed Khalid. Sejak pertemuan malam itu, Amani selalu bercerita tentang Syed Khalid. Dia tidak sanggup melihat Amani kecewa. Dan yang paling meyakinkannya, dia pasti Syed Khalid dapat menyelamatkan Amani.
            Mansor pulang dengan perasaan lega. Tan Sri Syed Mokhtar sahabat baiknya yang tidak pernah mengecewakannya sepanjang mereka berkawan. Dia menerima kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar sebagai janji. Dia berdoa semoga hubungan yang diharapkan antara Amani dan Syed Khalid akan menjadi kenyataan.