Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Thursday, December 15, 2011

16

16

Tamat sahaja bacaan ayat Kursi itu, Faizul segera menghembuskan nafasnya ke muka sahabat yang terpaku di sisi.
            “Eh, apa ni?” marah Syed Khalid, menepis-nepis tempias air liur yang ikut sekali bersama hembusan kuat Faizul.
            “Baca ayat Kursi-lah. Kau tu nampak semacam aje, naik seram pulak aku!” ujar Faizul, agak lurus bunyinya.
            “Ah, tak ada apa-apalah! Aku, aku cuma nampak Nadirah!”
            Tawa Faizul pecah serta-merta. Tidak dapat dia menahan rasa geli hati mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Fikirnya apa yang dilihat Syed Khalid, rupa-rupanya manusia biasa, perempuan! Bukan dia tidak tahu kisah Syed Khalid dan Nadirah ketika di Kota Kinabalu tempoh hari. Walaupun dia tidak mengikuti ekspedisi ke Gunung Kinabalu itu, namun Syed Khalid seperti tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya dapat berkenalan dengan gadis itu. Segala-galanya diceritakan kepada Faizul.
            “Kau ni, nampak perempuan macam nampak hantu!” ujarnya dalam tawa yang masih bersisa. Namun, sikap Syed Khalid bersahaja, tidak pun terasa hati dengan kata-kata ejekan kawannya itu.
            “Kalau kau boleh tolong aku, katakan pada Nadirah aku boleh tumpangkannya ke luar,” bicara Syed Khalid masih tidak lancar. Entah kenapa terasa getaran di jiwanya apabila terpandangkan Nadirah. Gadis itu sudah lama tidak ditemuinya semenjak pulang dari Kota Kinabalu dulu.
            “Okay, I know my part.” Balas Faizul. Tanpa berfikir panjang dia terus membuka pintu untuk turun.
            Syed Khalid menanti dengan penuh debar. Memanglah dia nampak tidak gentleman, ajak gadis menumpang tetapi tidak mempelawa sendiri. Entah apalah tanggapan Nadirah apabila dia menggunakan orang tengah untuk menyatakan hasratnya. Di saat itu terasakan amat payah untuk membuang rasa malunya untuk mendekati gadis itu. Bukan dia tidak pernah ternampak gadis itu dan kawan-kawannya di kampus, tetapi cepat-cepat dia melarikan diri. Bimbang dirinya disapa di tengah kawan-kawan Nadirah. Bagaimana dia hendak menyembunyikan rasa gelabahnya nanti? Ayu pula memang selalu menghubunginya. Tetapi Ayu tidak pernah bercerita tentang Nadirah. Mereka memang tidak sefakulti, jadi pastilah jarang bersua, fikirnya.
            Resah hatinya melihatkan Faizul berlama-lama dengan Nadirah. Oh ya, Faizul perlu memperkenalkan dirinya dulu kerana Faizul dan Nadirah tidak pernah berkenalan. Pastilah Nadirah terkejut tiba-tiba didekati oleh orang yang tidak dikenalinya itu. Syed Khalid berkira-kira sendiri. Apabila Nadirah menoleh ke arahnya, Syed Khalid berasa tidak tentu arah. Debarannya semakin bertambah apabila dilihatnya Nadirah mula bergerak merapati keretanya, betul-betul di sebelah pemandu. Dia cuma tersenyum apabila mata mereka bertentangan.
            “Hai, Syed!” tegur Nadirah, mesra. Senyuman manis gadis itu menangkap ke jantung hati. Rasa debaran semakin sukar dikawal.
            “Hai, N!” Serta-merta dia melompat turun dari keretanya. Bagaimana lagi hendak disembunyikan wajahnya yang kemerahan menahan malu. Mungkin Nadirah dapat menangkap rasa itu.
            “Faizul kata awak nak tumpangkan saya, betul?” soal Nadirah. Dia kelihatan biasa-biasa sahaja. Syed Khalid cuma mengangguk. Entah kenapa kelu lidahnya untuk berkata-kata ketika itu.
            “Terima kasih. Saya dan Imah nak ke KL. Tapi biarlah kami naik bas saja,” ujar Nadirah. Demi mendengarkan kata-kata si gadis, sekali lagi riak air muka Syed Khalid berubah.
            “Okey, bas pun dah sampai tu. Bye Syed, terima kasih sekali lagi,” kata Nadirah tatkala bas mini berwarna merah jambu mara ke arah perhentian bas.
Hazimah yang masih menunggu di perhentian bas itu kelihatan resah melihat Nadirah masih berbual-bual dengan Syed Khalid. Bimbang ditinggalkan bas pula nanti. Tetapi hatinya bertukar lega apabila melihat Nadirah mulai bergerak dari situ dan menghampirinya.
Faizul hanya memandang wajah suram Syed Khalid. Nampak benar dia kecewa dengan penolakan Nadirah. Dia masuk semula ke dalam keretanya dan memandang bas yang membawa Nadirah berlalu pergi.
“Kita tak jadi ke KL?” Faizul memberanikan dirinya bertanya apabila dilihatnya Syed Khalid masih terpaku di belakang stereng. Soalannya itu tidak berjawab.
Syed Khalid menukar gear dan mula memandu. Faizul berasa lega. Sekurang-kurangnya mood anak jutawan di sebelahnya tidak terganggu dengan penolakan Nadirah.
“Kita ke Kompleks PKNS.”
Luntur rasanya kegembiraan Faizul. Apalah yang ada di situ.  ‘Kompleks PKNS pun jadilah, itu pun orang nak bawa.’ Kemudian dia memujuk hati sendiri. Seperti mulanya, Syed Khalid kelihatan lebih senang mengunci mulutnya. Dia terus memandu dengan tenang dan berhenti di perhentian bas Kompleks PKNS itu.
“Kau tunggu sini,” ujar Syed Khalid seraya turun.
Faizul hanya memerhati langkah sahabatnya itu dengan penuh tanda tanya. ‘Kata nak ke Kompleks PKNS sahaja, tetapi tak parking betul-betul. Aku disuruhnya tunggu di sini,’ rungut Faizul dalam hati. Resah juga dia menunggu lama kerana bimbang disaman oleh polis. Syed Khalid membuat parking haram. Dia pula tidak mempunyai lesen memandu. Ah, saman-samanlah, anak jutawan tu yang bayar, fikir Faizul.
“Eh, Eng. Itu budak lelaki yang ikut kau ke Gunung Kinabalu tu, kan?” bisik Hazimah, apabila ternampak Syed Khalid tertinjau-tinjau dari luar tingkap bas. Nadirah segera menoleh. Serta-merta dia terpandangkan Syed Khalid. Mata mereka bertentangan. Syed Khalid terpaku seketika, air mukanya berubah.
“N, mungkin saya tersilap. Tapi pelawaan saya ikhlas, cuma mungkin caranya sahaja yang tidak betul. Marilah naik kereta saya.”
Kata-kata jejaka itu membuatkan muka Nadirah yang putih bersih menjadi merah padam. Dia memerhati sekeliling. Ada dua tiga penumpang yang nampaknya ikut berminat dengan apa yang didengarinya sebentar tadi. Tanpa berlengah dia segera menarik tangan Hazimah, mengajaknya turun. Ketika menuruni tangga bas, Syed Khalid sudah pun sedia menunggu di situ.
“Awak tak patut buat begitu,” marah Nadirah.
“Maafkan saya. Saya fikir awak menolak kerana saya menggunakan orang tengah. Saya ... saya takkan buat lagi. Saya minta maaf,” ujar Syed Khalid sambil mengiringi Nadirah dan Hazimah ke keretanya. Dalam pada marah, terasa pula geli hati Nadirah dengan jawapan Syed Khalid yang tergagap-gagap begitu.
Melihatkan kedatangan Syed Khalid dengan dua orang gadis itu, Faizul segera turun dari kereta. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak disangkanya Syed Khalid akan bertindak sedemikian. Selepas diperkenalkan kepada Hazimah, mereka segera bertolak ke Kuala Lumpur.
“Ke mana kita?” soal Syed Khalid, sambil menjeling Nadirah yang berada di kerusi belakang melalui cermin pandang belakang.
“Kami nak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, pasar malam!” ujar Nadirah.
“Okey,” balas Syed Khalid sepatah, sambil tersenyum panjang.
Hatinya berasa puas kerana dapat keluar bersama-sama gadis itu. Entah kenapa dia berasa amat senang berkawan dengan Nadirah yang periang. Hatinya berasa terhibur dengan usikan dan kemesraan Nadirah. Dia tidak pernah berkawan sebegitu rapat dengan mana-mana gadis sebelum ini. Insiden di Gunung Kinabalu benar-benar memberikan dia pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kadang-kadang dia terfikir, adakah Nadirah juga berasa senang berkawan dengannya?
Kereta membelok ke kawasan parkir di belakang deretan kedai Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka beriringan keluar sambil menuju ke tapak pasar malam. Nadirah dan Hazimah membeli barang-barang yang menarik minat mereka, tetapi Syed Khalid dan Faizul hanya memerhati sahaja. Mereka turut membantu kedua-dua gadis itu membawa barang-barang yang dibeli. Ketika azan maghrib berkumandang di udara, Hazimah segera mengajak Nadirah ke Kompleks Sogo untuk solat.
“Lepas solat saya tunggu di Manhattan Fish. Saya belanja ....” ujar Syed Khalid. Faizul tersenyum lebar mendengarkan kata-kata Syed Khalid itu. Seumur hidupnya dia tidak pernah masuk ke restoran makanan ‘orang putih’ itu.  Berkawan dengan Syed Khalid membuatkan dia kenal dengan banyak jenis makanan barat.
“Kaya betul kawan mu ni, Eng!” bisik Hazimah. Nadirah tersenyum. Dia segera menarik tangan Hazimah untuk ke surau yang berada di tingkat bawah. Bimbang juga dia jika Syed Khalid mendengar bisikan Hazimah. Dia tahu, Syed Khalid tidak suka identitinya diketahui orang, tetapi dia sendiri tidak dapat menyembunyikan gaya hidupnya. Mengajak makan di tempat mewah bagi seorang pelajar, bukan calang-calang orang yang sanggup melakukannya. Mahu habis sebulan elaun untuk sekali makan.
Seperti yang dijanjikan, sesudah solat dua jejaka itu sedia menunggu di meja. Nadirah dan Hazimah hanya menyerahkan kepada Syed Khalid untuk membuat pesanan. Mereka tidak pernah menikmati makanan di situ, jadi terserahlah kepada Syed Khalid untuk memesan apa yang difikirkannya sedap. Sambil makan, mereka bertukar-tukar cerita. Walaupun seronok dijamu dengan keenakan makanan barat, hati Hazimah dilambung resah. Dia tidak betah keluar bersama lelaki, bimbang perbuatannya dilihat oleh orang-orang yang dikenalinya.  Mereka masih belajar. Lagipun dia bertudung labuh, maruahnya sebagai seorang gadis muslimah harus dipelihara. Menyedari keresahan Hazimah itu, Nadirah segera mengajak Syed Khalid pulang sebaik sahaja selesai makan.
“Saya gembira kerana awak sudi menemani saya keluar dan makan-makan. Lain kali kita keluar lagi, ya?” ujar Syed Khalid sebelum menurunkan kedua-dua gadis itu di hadapan pintu pagar asrama.
“Terima kasih, Syed. Mungkin bukan pada waktu yang terdekat ini. Exam dah dekat.” Nadirah cuba mengelak.
“Selepas exam, bagaimana?”
“Saya akan terus balik kampung!”
“Eh, macam tak sudi saja? Takkan tak boleh walaupun sekejap?” Syed Khalid masih tidak berputus asa.
            “Hmm ... tengoklah nanti, kalau masanya sesuai,” balas Nadirah. “Okeylah Syed. Terima kasih untuk semuanya malam ini. Insya-Allah kita jumpa lagi.”
            Syed Khalid hanya mengangguk. Selepas minta diri daripada kedua-dua jejaka itu, Nadirah dan Hazimah beredar ke asrama dengan barang-barang yang sarat di tangan. Semuanya cenderahati untuk keluarga di kampung. Syed Khalid hanya beredar dari situ setelah kelibat kedua-dua gadis itu hilang dari pandangan.
            “Dah happy?” usik Faizul. Dia perasan perubahan pada gelagat rakannya itu. Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur petang tadi, wajahnya mendung sahaja. Namun, setelah Nadirah naik ke keretanya, sinar kegembiraan terpancar di wajahnya itu.
            “Kau pun sama!” balas Syed Khalid sambil tersenyum, “Kau tacklelah kawan Nadirah tu pulak!” usulnya lagi.
            “Eh, kalau diberi pilihan aku pun nak Nadirah!” balas Faizul, sengaja mengusik.
            “Kalau dia hendakkan kau juga, apa salahnya. Dia berhak buat pilihan.” Suara Syed Khalid didengarinya mendatar sahaja. Faizul tertawa.
            “Aku ke sini nak belajar, bukan nak mencari calon isteri. Lambat lagilah nak fikirkan semua itu.” Sambung Faizul.
            “Ya, betul. Tetapi kalau kau nak tahu, Nadirahlah perempuan pertama yang aku paling rapat. Aku suka berkawan dengannya.”
            “Calon isteri?” usik Faizul. Syed Khalid tidak terus menjawab, tetapi hanya tersenyum panjang.
            “Boleh dipertimbangkan. Tapi rasanya aku memang tidak ada calon lain lagi. Ah ... kau ni merepeklah, Zul!”
            Faizul ketawa terbahak-bahak. Baru berkenalan sudah memikirkan hal-hal sedemikian.  Namun dia berasa gembira malam itu. Dapat meninjau keindahan Kuala Lumpur pada waktu malam dan dibelanja dengan makanan yang enak. Jika tidak berkawan dengan Syed Khalid, tidak mungkin dia dapat merasai kenikmatan itu di kala ini.




Wednesday, December 14, 2011

Bab 15

15

Hendak pulang ke rumah Daddy, tiada sesiapa di sana. Kedua-dua orang tuanya itu sudah lama berangkat ke Eropah. Abang-abangnya pula sibuk dengan urusan masing-masing. Kadang-kadang rumah besar yang tersergam indah itu seperti tidak berpenghuni. Hanya tinggal beberapa pekerja yang menguruskan rumah mengikut rutin masing-masing. Syed Khalid masih terbaring dengan lengannya menutup mata. Rasa bosan menguasai diri. Tiba-tiba pintu biliknya berkeriuk, menandakan ada orang masuk. Syed Khalid bingkas bangun.
            “Aku mengejutkan kau ke?” tanya Faizul cemas.
            “Tak, aku tak tidur pun. Aku memang tunggu kau!”
            Faizul mengerling pada teman yang masih berada di atas katil itu. Dia meletakkan raket tenisnya di celah meja belajar.
            “Aku main tenis tadi. Ingatkan kau balik rumah. Mana tahu kau ada di sini. Kenapa? Nak aku belikan apa-apa?” soal Faizul.
            Syed Khalid menggeleng. Faizul membuka bajunya dan mencampakkan baju yang dibasahi peluh itu ke dalam baldi.
            “Kau nampak tak bersemangat sahaja. Rindu pada seseorang?” usik Faizul.
            Terbeliak mata Syed Khalid mendengarkan usikan itu.
            “Tak ada istilah rindu dalam hidup aku!” pintas jejaka itu dengan yakin. Tawa Faizul menggelegak mendengarkan jawapan daripada rakan baiknya itu.
            “Betul ke ...?” usik Faizul lagi sambil menepuk bahu Syed Khalid yang masih duduk di birai katilnya.
            “Dahlah Zul. Pergi mandi cepat. Aku nak ajak kau ke KL. Malam ni aku belanja kau makan yang istimewa sikit. Hari-hari nasi bungkus pun bosan juga,” Syed Khalid menerangkan hasratnya.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, panjang senyuman Faizul mendengarkan ajakan itu. Memang selama mengenali Syed Khalid, jejaka itu tidak lokek dengan duit. Dia tahu, Syed Khalid anak orang berada. Tetapi dia tidak tahu pula siapa bapanya. Jejaka itu sangat perahsia. Pernah sekali dia mengunjukkan akhbar yang terpapar wajah Syed Mokhtar, antara jutawan terkaya di Malaysia kepada Syed Khalid, tetapi dengan senyuman panjang jejaka itu menafikan bahawa lelaki itu bapanya. ‘Kebetulan nama sama, tak semestinya bapa aku!’ tingkah Syed Khalid. Usaha untuk mengesan siapa bapa Syed Khalid mati setakat itu. ‘Jika dia enggan bercerita, tidak ada hal dengan aku,’ fikir Faizul.
“Aku mandi dulu. Bagi aku lima belas minit, err ... dua puluh minitlah!” kata Faizul dan segera mencapai tualanya menuju ke bilik air.
Syed Khalid menuju ke lokernya dan menarik cermin, bersiap. Sebelum solat Asar tadi dia sudah mandi. Memang dia berhasrat hendak keluar ke ibu kota petang itu. Hanya menunggu Faizul pulang sahaja. Sejak mengenali jejaka dari Felda Jengka itu pada hari pertama mendaftar, mereka menjadi begitu akrab. Mulanya dia merahsiakan identiti dirinya yang sebenar, namun sedikit-sedikit dapat dikorek oleh Faizul melalui gaya hidupnya. Faizul tahu dia dari kalangan orang berada berdasarkan barang-barang miliknya.
“Ah, barang Petaling Street sajalah!” Dia cuba mengelak. Namun akhirnya tembelangnya pecah juga apabila selepas minggu orientasi dia membawa pulang kereta pacuan empat roda ke asrama. Dia tidak betah menaiki pengangkutan awam. Kereta itu hadiah kejayaannya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM daripada bapanya. Sejak itu ramai yang tahu bahawa Syed Khalid anak orang kaya.
“Entah-entah kau ni keturunan kerabat di Raja Perlis tak?” Faizul cuba meneka. Tetapi Syed Khalid hanya tersenyum sahaja. Mengiakan tidak, menidakkan pun tidak. Biarlah Faizul meneka sehingga dia penat. Kalau hendak tahu sangat susur galur keluarganya, carilah sendiri. Dia tidak akan mendedahkan identitinya itu. Namun, dia suka berkawan dengan Faizul, budak Felda yang sangat berkira dalam perbelanjaannya itu tetapi tidak lokek dalam menawarkan bantuan. Dia tahu, Faizul orang susah. Adik beradiknya ramai. Dia pula anak sulung. Kerana itu sifat Faizul kelihatan seperti seorang abang, sangat mengambil berat. Syed Khalid pula anak bongsu daripada keluarga berada. Segala-galanya amat mudah baginya. Mungkin latar belakang mereka yang berbeza itulah mewujudkan keserasian. Namun, Faizul tidak pernah mengambil kesempatan pada kekayaannya.
Sewaktu Faizul kembali ke bilik, dilihatnya Syed Khalid sudah tidak ada lagi dalam bilik itu. Mungkin sudah berada di bawah, memanaskan enjin kereta atau melihat apa yang patut. Cepat-cepat dia mengerjakan solat Asar. Janjinya pada Syed Khalid hanya dua puluh minit.
            Syed Khalid menyambut kedatangan temannya itu dengan senyuman. Dia sudah lama bersedia di tempat duduk pemandu.
            “Maaf, kalau aku membuatkan kau menunggu lama,” ujar Faizul ketika mengambil tempat duduknya. Dia mengerling jam di tangan, “Dua puluh minit, plus minus sepuluh minit masa kecederaan.” Tambah Faizul lagi, menjustifikasikan kelewatannya.
            “Hmm ...” ringkas sahaja jawapan lelaki di sebelahnya itu.
            Tanpa menunggu lagi Syed Khalid meneruskan pemanduan. Tidak ada apa-apa yang dibualkan dalam kereta itu sehinggalah mereka melalui kawasan asrama perempuan. Ramai gadis yang sedang menunggu bas di perhentian bas yang berhampiran. Sempat juga kedua-dua jejaka itu mencuri pandang pada gadis-gadis belasan tahun yang manis-manis belaka.
            “Ya Allah!”
            Jeritan Faizul kedengaran tiba-tiba, serentak dengan brek mengejut yang dibuat oleh Syed Khalid. Faizul memandang teman di sebelah dengan wajah curiga. Dia tidak faham mengapa Syed Khalid perlu berbuat demikian sedangkan tiada apa-apa yang menghalang laluan di hadapannya. Perlahan-lahan Syed Khalid menghalakan keretanya ke tepi.
            “Kenapa Lid?” soal Faizul, cemas. Dilihatnya mata Syed Khalid terpaku pada cermin pandang belakang, seolah-olah melihat sesuatu yang aneh.
            “Kau nampak tak apa yang aku nampak?” soal Syed Khalid gugup.
            Faizul segera menoleh ke belakang. Tiada apa-apa yang pelik di matanya selain beberapa orang gadis sedang menunggu bas. Dahinya berkerut, memikirkan apa yang dilihat oleh Syed Khalid.
            “Tak ada apa pun. Apa yang kau nampak?” soal Faizul.
            Syed Khalid tidak terus menjawab. Dia hanya memandang pada Faizul, agak lama.
            “Aku ... aku ...”
            Faizul mengerutkan dahinya, menantikan bicara Syed Khalid yang teragak-agak. Dia menoleh sekali lagi ke belakang. Sangat pasti tiada apa-apa keanehan di situ. Melihatkan keadaan sahabat yang tergamam seperti disampuk sesuatu, cepat-cepat Faizul membacakan ayat Kursi.

           

Bab 14

14

Keindahan pantai Pulau Manukan begitu mengusik jiwa. Deruan ombak yang menghempas pantai silih berganti bagaikan membentuk irama lagu yang bersenandung.  Sesekali kedengaran kicau burung layang-layang yang bebas terbang di udara. Nadirah menikmati keheningan pantai itu sambil mengutip kulit kerang dan siput yang unik pada pandangan matanya. Sesekali bercuti di tepian pantai terasa mendamaikan. Seingatnya, paling akhir dia menikmati percutian pantai ketika bersama-sama keluarga Nisha di Langkawi, lebih setahun yang lalu.
            Snap!
            Segala kenangan di pantai itu dirakam oleh Ayu. Nadirah membelek gambar-gambar yang baru saja diambil dari kedai gambar ketika pulang dari kuliah petang tadi. Dia tersenyum sendiri melihatkan pelbagai gelagat dirinya yang menjadi mangsa rakaman kamera Ayu. Hinggalah dia terhenti pada sekeping foto yang menyaksikan dirinya dan Syed Khalid menikmati makan malam barbeque sotong dan udang segar. Menyedari kebosanan yang terpamer pada wajahnya, akhirnya Abang Wak melepaskannya untuk bersama-sama dengan teman-teman yang lain. Bukan kepalang gembiranya hati Nadirah dapat kembali bermesra dengan Ayu dan lain-lain. Kenangan malam itu serasa baru sahaja semalam berlalu.
            Nadirah tersenyum panjang mengenangkan peristiwa itu. Syed Khalid yang awalnya nampak garang dan berlagak itu semakin mahu mengurangkan egonya dan mula mesra.  Dan ketika mereka berbual-bual sambil menikmati makan malam itulah Ayu dengan tiba-tiba mengambil gambar mereka berdua secara kandid. Pandai Ayu mengambil sudut, kelihatannya hanya mereka berdua sahaja dalam gambar itu. Gambar Ayu dengan Syed Khalid pula, emm ... penuh satu album! Begitu mesra sekali ...
            “Eh, gambar masa kat KK ya? Bagi aku tengok!” Tegur Hazimah sambil menghenyakkan punggungnya di sisi Nadirah. Mula-mula dia sama-sama memerhati penuh minat. Kemudian, tanpa dipelawa dia ikut menyelak muka surat album kertas itu satu persatu. Akhirnya album yang berada di tangan Nadirah berpindah ke tangannya. Mungkin tidak sabar menantikan Nadirah yang berhenti agak lama pada satu-satu gambar. Dan gadis itu kelihatan terpaku seketika pada gambar Nadirah dan Syed Khalid.
            “Dapat boyfriend baru?” tegurnya sambil melirik pada Nadirah di samping. Nadirah ketawa mendengarkan usikan itu.
            “Boyfriend? Hah, kalau kau nak tahu budak ni lah yang menyebabkan aku hampir tak jadi nak ikut ekspedisi tu!” balas Nadirah.
            “Tapi kau nampak mesra sahaja dengannya?” Dahi Hazimah berkerut memikirkan kata-kata rakan sebiliknya itu. Bukan dia tidak tahu kes Nadirah merajuk disebabkan oleh lelaki yang berada dalam gambar itu. Tetapi dalam hatinya memuji, handsome juga budak ni!
            “Mesralah, sebab dia dah banyak tolong aku!” beritahu Nadirah. Dia lantas menceritakan peristiwa yang berlaku antara dirinya dengan Syed Khalid.
            “Itulah, lain kali jangan membenci orang tak tentu fasal. Silap-silap orang yang kau benci itulah jadi orang yang paling kau sayang!” nasihat Hazimah.
            “Maksud kau?”
            Hazimah bangkit dan menuju ke lokernya, mengambil tuala yang tersangkut di penyangkut baju. Dia kemudiannya berpaling pada rakannya itu sambil tersengih.
            “Jadi tok laki mung lah ...” suara Hazimah mengejek dalam loghat Terengganu yang pekat diikuti ketawa kecil.
            Nadirah mencebik. Ada-ada saja usikan Hazimah. Nadirah memerhati sahaja gadis Terengganu itu melangkah keluar menuju ke bilik air. Sebaik Hazimah menutup pintu bilik, dia berbaring di katilnya. Bermenung. Sejak pulang dari ekspedisi itu dia tidak pernah bersua dengan Syed Khalid. Mungkin kesibukan menghadapi pelajaran menyebabkan masing-masing tidak terserempak di mana-mana lokasi dalam kampus itu. Ketika Hazimah muncul semula di muka pintu dengan tuala membaluti kepalanya, dia masih bermenung.
            “Panjang angan-angan?” tegur Hazimah, “Ingat pada si dia?”
            Nadirah tersengih, tetapi kemudiannya menggeleng.
            “Kau balik kampung hujung minggu ni?” soal Hazimah lagi, mula mengenakan pakaian.
            “Tidak, rasanya. Tak lama lagi kan exam. Aku tunggu cuti semester, baru balik,” terang Nadirah. Bukan dia tidak ingat hendak menjenguk atuk dan nenek, tetapi mengenangkan peperiksaan semester tidak berapa lama lagi, dia terpaksa menangguhkan hasratnya terlebih dahulu. Atuk dan nenek selalu dihubungi melalui telefon.
            “Kalau tak balik, boleh temankan aku ke KL. Aku nak cari barang sikit untuk dibawa balik nanti,” beritahu Hazimah.
            “Okey, no problem.” Balas Nadirah.
Dia bingkas bangun, menyimpan album gambar itu ke dalam laci. Cadangan Hazimah disambut dengan senang hati, kerana dia juga ingin berbelanja buat atuk dan nenek. Sesekali pulang bercuti, sudah pastinya ole-ole untuk kedua-dua orang tuanya itu tidak dilupakan. Ketika membuka laci itu, matanya tertancap pada surat daripada Nisha. Surat gadis itu sudah lama diterimanya, sebelum dia bertolak ke Kota Kinabalu lagi. Namun masih belum sempat dibalas. Dia bertekad, sebelum tidur malam ini sudah pasti dia akan menulis buat Nisha, menceritakan pengalamannya mendaki gunung. Itupun jika dia tidak terus tertidur ...

Wednesday, December 7, 2011

13

13


Senja itu agak suram. Mengenangkan hari semacam mahu hujan, Nadirah segera mengerjakan solat sebaik sahaja masuk waktu.  Dia bimbang, jika hujan turun, payah pula dia hendak mengambil wuduk di bilik air yang disediakan di kawasan perkhemahan itu.
            “Cepatlah N, apa kau duduk dalam khemah ni lagi? Tak panas ke?” tegur Ayu yang tiba-tiba  menjengah di sebalik pintu khemah. Nadirah menoleh, tatkala dia baru sahaja memberi salam sesudah selesai mengerjakan solat jamak Maghrib dan Isyak. Tanpa menjawab soalan Ayu, Nadirah meneruskan doa dan wiridnya. Sudah pastinya al-Fatihah untuk arwah ayah dan ibu tidak akan dilupakan. Ayu hanya menanti dengan sabar di sisinya. Kesal juga dia menanyakan soalan sebegitu. Fikirnya entah apa yang dibuat oleh Nadirah sendirian dalam khemah itu.
            “Kau tak solat?” soal Nadirah kepada Ayu sebaik sahaja menanggalkan telekungnya. Soalan itu hanya dijawab dengan senyuman oleh gadis di sebelahnya itu.
            “Cepatlah siap, ada orang tunggu kau nak makan bersama!” ujar Ayu.
            “Siapa? Takkan nak makan pun nak tunggu aku? Kalau dah lapar, makan sajalah. Tak payah nak tunggu,” gerutu Nadirah sambil melipat telekung dan disimpan ke dalam begnya. Dia mengekori Ayu keluar dari khemah yang cukup untuk memuatkan empat orang itu.
            “Mari ikut aku. Nanti kau tahulah siapa yang sedang menunggu kau. Aku tengok, selagi kau tak datang, dia tak jamah pun makanan yang ada di depan matanya.  Asyik-asyik tanya kau. Rimas aku!” Leter Ayu sambil berjalan menuju ke arah tempat barbeque.
            Kelihatannya ketika itu semua pelajar dan tenaga pengajar yang ikut serta sedang menikmati makan malam. Kedua-dua gadis itu menghampiri dapur pemanggang yang sedang berasap. Bau ikan, udang dan sotong panggang segar itu sudah cukup membuka selera. Apatah lagi perut memang sudah kosong minta diisi.
            “Nak makan apa, pilihlah,” pelawa Zarif, pelajar undang-undang yang ditugaskan untuk memanggang. Kalut tangannya membalik-balikkan ikan, udang dan sotong yang sedang dibakar. Ikhlas dan Hakim ikut membantu.
            “Kau tak makan, Zarif? Asyik memanggang aje,” tegur Ayu, sambil menguis-nguis sotong yang dilonggokkan dalam sebuah dulang, mencari yang paling besar.
            “Aku kan tukang masak. Sambil-sambil tu aku makanlah,” balas Zarif.
            Ayu masih melayan Zarif dan rakan-rakannya berbual tentang masakan mereka. Nadirah hanya memasang telinga sambil menunggu sotong siap dibakar. Dia mahu memilih yang paling baru dipanggang. Makan ketika masih panas lebih sedap!
            “N,” suatu suara menyapa Nadirah dari belakang. Gadis itu segera menoleh.
            “Saya dah ambilkan untuk awak,” ujar Syed Khalid dengan bangga sambil menunjukkan pinggan kertas yang berisi sotong bakar dan ikan bakar yang masih berasap. Harapannya agar gadis itu gembira dengan tindakannya itu. Namun, Nadirah kelihatan agak tergamam. Mengapa tidak, sungguh dia tidak menyangka akan menerima layanan istimewa daripada Syed Khalid malam itu.
            “Terima kasih,” ujar Nadirah, hampir tidak percaya.
            “Eh, baru sampai ke adik abang ni?”
Belum sempat hendak menerima pinggan yang dihulurkan Syed Khalid, tiba-tiba Abang Wak datang mencelah.
            “Saya solat dulu. Tadi hari macam nak hujan saja,” ujar Nadirah, membalas sapaan pensyarah muda itu dengan ramah.
            “Oh ... Bagusnya wanita muslimah ni!” puji Abang Wak, “Dah ambil makanan? Jom, ikut abang. Abang nak beri sesuatu yang istimewa untuk N!”
            Melihatkan kemesraan antara Abang Wak dengan Nadirah, Syed Khalid mengundur sedikit, pura-pura mengambil makanan.
            “Saya .. err ..” Nadirah serba-salah. Matanya sempat mengerling pada Syed Khalid di sisi. Abang Wak seperti tidak menyedari kehadiran lelaki itu di sampingnya. Syed Khalid hanya tersenyum hambar dan kemudiannya berlalu dari situ tanpa sepatah kata. Ayu menyedari keadaan sedikit kalut, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Dia perlu berbuat sesuatu agar Abang Wak tidak menyedari yang dia sudah ‘potong jalan’ Syed Khalid. Maruah pensyarah muda itu perlu dijaga, tetapi maruah Syed Khalid juga perlu dipelihara. Kedua-duanya amat penting baginya. Mana-mana pun dia tidak kisah.
            “Eh ... Syed, tunggu aku!” jerit Ayu dan cepat-cepat mengekori jejaka itu. Dia sudah membuat keputusan, jika Abang Wak lebih sukakan Nadirah, biarlah dia yang mengejar Syed Khalid pula. Lelaki itu lebih muda, handsome, dan kaya ... kalah Abang Wak!
            Abang Wak cuma tersenyum melihat tingkah Ayu. Baguslah kalau gadis itu mengejar Syed Khalid. Bukan dia tidak perasan akan sikap Ayu yang cuba mendampinginya, tetapi dia lebih sukakan Nadirah yang agak lemah-lembut dan manja. Entah kenapa, sejak kehadiran gadis itu dalam Kelab Rekreasi, dia jadi begitu bersemangat untuk mengatur pelbagai program. Gadis itu pula ringan tulang, sering tampil untuk membantu dia menjayakan program yang dianjurkannya.
            “Jom kita ke sana,” ajak Abang Wak sambil menunjukkan tempat duduknya bersama-sama pensyarah lain. Nadirah tiada pilihan. Dia akur dengan permintaan Abang Wak. Tetapi dalam hatinya masih tertanya-tanya, apa istimewanya dia sehingga Abang Wak mengajaknya makan bersama pensyarah pula. Mengapa hanya dia yang diajak, sedangkan Ayu tidak dipelawa. Semua persoalan itu berlegar-legar di benaknya.
Kehadiran mereka disambut mesra oleh Encik Helmi dan Puan Syirah, pensyarah suami isteri. Cik Qaisara dan Cik Aqilah pensyarah yang turut serta dalam ekspedisi itu juga sedang menjamu selera di samping mereka. Apabila terpandangkan kedatangan Abang Wak dan Nadirah, mereka berbisik sesama sendiri dan gelak-gelak kecil. Hati kecil Nadirah agak tersentuh dengan perbuatan mereka, tetapi sebagai pelajar dia terpaksa menelan sahaja gelagat kedua-dua pensyarah muda itu. Bersabar sahajalah, bisiknya dalam hati.
            “Nadirah, jom makan ikan pari bakar ni. Wak baru memancing petang tadi, dapat anak pari sesat,” pelawa Encik Helmi sambil tertawa kecil, cuba mengambil hati pelajar itu.
            “Inilah yang abang nak beritahu N. Pasti N suka, kan?” kata Abang Wak sambil mencubit sedikit isi pari dan mencicahnya dengan air asam. Nadirah cuma tersenyum. Menu pensyarah itu agak lain daripada para pelajar. Ikan pari bakar dicicah air asam. Mungkin resipi istimewa yang dibawa Puan Syirah. Dilihatnya Encik Helmi begitu berselera sekali meratah pari bakar segar itu.
            “Sebelum sampai sini dulu, N selalu sebut nak makan pari fresh dari laut. Hah ... susah payah abang dengan Encik Helmi dapatkan untuk N. Makanlah ...” ujar Abang Wak lagi, penuh bangga.
            “Makan Nadirah, jangan malu-malu,” pelawa Puan Syirah.
            Nadirah menjamah sedikit ikan pari bakar itu. Memang sedap, maklum sahaja isinya masih segar. Dia cuba berlagak biasa walaupun perasaan malu terhadap pensyarah-pensyarah itu masih menebal.
            “Macam mana dengan kaki? Sakit lagi?” tegur Puan Syirah. Kemesraan yang ditunjukkan oleh pensyarah itu masih belum berjaya membuatkan Nadirah berasa selesa bersama-sama mereka.
            “Alhamdulillah, beransur baik. Saya dah tak perlu bertongkat lagi,” balas Nadirah, gembira dengan perkembangan dirinya.
            “Baguslah, tetapi awak jangan banyak bergerak sangat. Kaki tu baru nak baik,” sampuk Encik Helmi pula. Nadirah tersenyum mengangguk.
            Cerita yang dibualkan oleh pensyarah-pensyarah itu tidak menarik perhatian Nadirah. Dia lebih suka jika dirinya ‘dibebaskan’ dari kumpulan pensyarah itu dan bersama-sama Ayu dan rakan-rakannya yang lain. Tidak merasa pari segar dibakar pun tak mengapa, fikirnya. Kesal pula hatinya bercakap tentang pari bakar sebelum terbang ke Sabah dahulu. Tidak disangka-sangkanya Abang Wak mengambil berat akan kata-katanya itu.
            “Err ... Nak apa-apa lagi tak, boleh saya ambilkan,” Nadirah menawarkan diri, sekali gus cuba beredar dari situ.
            “Tak apa, N. Kami boleh ambil sendiri. Awak tu sakit, duduk saja di situ,” balas Abang Wak. Jawapan Abang Wak itu nyata bukanlah satu penghormatan buatnya. Nadirah hanya makan ala kadar sambil melayani pensyarah-pensyarah itu berbual. Dalam fikirannya, tentu Ayu sedang berseronok melayani Syed Khalid dan yang lain-lain. Kenapalah aku terpilih pula untuk menyertai grup ini, rintih Nadirah dalam hati.
            Di celah-celah pelajar yang silih berganti mengambil makanan masing-masing dia dapat melihat kemesraan Ayu, Syed Khalid dan beberapa orang lagi sedang mengambil gambar antara satu sama lain. Pelbagai aksi dibuat, dan wajah mereka tergambar kegembiraan.  Seronoknya mereka ... 

Bab 12

12


Nadirah cuma tersenyum. Walaupun hatinya pernah terguris kerana kata-kata lelaki itu tetapi dia sudah memaafkannya. Keikhlasan Syed Khalid menghulurkan bantuan sudah cukup untuk membuka pintu hatinya untuk melupakan apa yang telah berlaku. Jika tidak kerana lelaki itu, Nadirah tidak dapat membayangkan bagaimana nasibnya kini.
“Kita memang sudah berkawan pun,” balas Nadirah setelah sekian lama membuatkan Syed Khalid ternanti-nanti akan jawapannya.
Syed Khalid menarik nafas lega mendengarkan kata-kata gadis itu. Dia segera menghulurkan tangannya untuk bersalaman dan Nadirah tidak teragak-agak untuk menyambutnya. Kali ini dia menyambutnya dengan ikhlas, bukan seperti dahulu.
“Terima kasih kerana sudi bersahabat dengan saya. Semoga persahabatan ini berkekalan.” Ujar lelaki itu penuh semangat. Nadirah hanya mengangguk. Dia mencapai cawan kopi yang sudah mulai menyejuk lalu menghirupnya.
“Minum seorang saja?” tegur Syed Khalid.
“Opps!” Nadirah menekup mulut, tersipu-sipu dengan tingkahnya yang tidak disengajakan. Kemudian dia cepat-cepat menyapu sisa kopi yang melekat di bibir. “Maaf, Ayu cuma buat dua cawan sahaja untuk kami. Kalau awak nak, saya boleh buatkan.”
“Sebenarnya tadi saya nak ke dapur, cari minuman. Tapi kalau awak sudi buatkan, apa salahnya. Tentulah air tangan awak lebih sedap, semanis orangnya!” balas Syed Khalid. Nadirah hanya tersenyum dengan pujian itu.
Ketika Nadirah mahu bangun, Syed Khalid segera memegang lengannya untuk membantu. Nadirah cepat-cepat menarik tangannya, memandang lelaki itu penuh rasa curiga. Memang pantang baginya lelaki mengambil kesempatan.
“Err .. saya cuma nak bantu awak. Kesian, awak masih belum pulih betul,” suara Syed Khalid teragak-agak. Dia perasan tingkah Nadirah yang kelihatan tidak selesa diperlakukan begitu, tetapi dia hanya berniat baik. Tidak sampai hati pula melihatkan gadis itu bersusah-payah untuk bangun.
“Tak apa. Dah jauh saya berjalan tadi. Insya-Allah, saya okey,” balas Nadirah.
Tanpa membuang masa, Nadirah segera bergerak ke dapur yang terletak bersebelahan ruang rehat. Syed Khalid hanya mengekori sambil memerhatikan keadaan gadis itu. Terbit rasa simpati melihatkan Nadirah berjalan terdengkut-dengkut. Ketika Nadirah mengangkat cerek yang kelihatan berasap di dapur itu, terasa ringan sahaja tidak berisi.
“Bukan rezeki awak. Kita kena masak air dulu,” beritahu Nadirah dan segera mengambil cerek itu untuk diisikan air.
“Biar saya bantu awak,” beritahu Syed Khalid apabila melihatkan pergerakan Nadirah agak sukar walaupun hendak ke sinki berhampiran. Dia segera mencapai cerek di tangan Nadirah.
“Banyak mana nak isi air ni?” soal Syed Khalid sambil memutar kepala paip.
“Sikit cukuplah, lebih cepat masak,” beritahu Nadirah. Hendak masak air pun tidak tahu, maklumlah, anak jutawan! Desis hati Nadirah.
Sambil menunggu air masak, mereka berbual-bual tentang banyak perkara, terutama soal pelajaran. Rupa-rupanya Syed Khalid juga seorang pelajar. Dia mengambil A Level di Kolej Yayasan Pelajaran MARA sebelum melangkah ke luar negara.
“Kenapa awak tak terus ke luar negara? Awak kan anak jutawan?” soal Nadirah. Syed Khalid kelihatan agak kurang senang dengan kata-kata Nadirah itu.
“Mana awak tahu semua ini?” soalnya pula.
“Kalau ke kelas pun awak bawa RAV4, tentulah anak orang kaya. Pensyarah pun ada yang tak mampu pakai kereta tu,” balas Nadirah selamba.
Syed Khalid terdiam seketika.
“Kereta tu ...?”  bibirnya mengomel seketika. Berfikir alasan yang sesuai untuk diberitahu pada gadis itu. Haruskah dia berterus-terang?
“Err ... sebenarnya saya pinjam aje kereta tu. Dan apa yang awak dengar pasal saya ni anak jutawan, tidak tepat. Saya orang biasa saja, bukan seperti yang awak sangkakan,” beritahu Syed Khalid teragak-agak.
Nadirah tersenyum sinis. Haruskah dia mempercayai kata-kata lelaki itu?
“Awak tak percayakah?” soal Syed Khalid ragu-ragu.
“Terpulanglah. Cuma saya nak beritahu awak, saya pentingkan kejujuran dalam persahabatan. Orang munafik bukan kawan saya!”
Syed Khalid terpempan mendengarkan kata-kata Nadirah. Dia terasa sindiran Nadirah amat tajam. Namun dia tiada pilihan.
Apabila air yang dijerang menggelegak, Syed Khalid menuangkannya ke dalam kole yang telah diisi dengan kopi dan gula secukup rasa oleh Nadirah. Dia hanya memerhati gadis itu mengacau air kopi yang masih panas.
“Nah, air kopi awak dah sedia untuk diminum. Hati-hati, masih panas!” Nadirah menghulurkan kole itu kepada Syed Khalid. Dia sengaja membancuhnya panas-panas kerana dalam keadaan cuaca yang amat dingin itu, sekejap sahaja kopi itu akan menjadi sejuk.
“Ohh ... di sini rupanya berdua-duaan!” Jerkah Ayu di muka pintu dapur.
Kedua-dua remaja itu tersentak dan segera menoleh ke arah Ayu yang tiba-tiba muncul.
“Dah siap urusan kau?” tegur Nadirah, membuatkan Ayu pula tersipu-sipu. Dia mengertap bibir geram. Nadirah sengaja hendak memalukannya di hadapan jejaka pujaannya itu. Wajahnya kemerah-merahan menahan rasa malu. Namun Syed Khalid kelihatannya selamba sahaja.
“Jom kita berbual di hadapan,” ajak Syed Khalid. Baginya kedatangan Ayu satu rahmat. Dia memang terasa malu apabila disindir dengan perkataan munafik. Dia tidak berniat begitu. Harap-harap kedatangan Ayu dapat menyembunyikan perasaan gusarnya sebentar tadi.
Perbualan ketiga-tiganya semakin rancak. Syed Khalid tidak lokek berkongsi pengalamannya mendaki Gunung Kinabalu yang menurutnya sudah masuk kali keempat. Setiap kali mendaki, ada sahaja pengalaman pahit dan manis yang dilaluinya.
“Apa yang pahit dan manisnya kali ini?” soal Ayu penuh teruja. Persis wartawan pula, fikir Nadirah sambil menjeling sahabat di sisi. Sejak mula berbual, Ayu kelihatan amat tertarik dengan jejaka itu. Ada-ada sahaja soalan yang ditanya. Hai  ... dulu berminat pada Abang Wak. Sekarang minatnya sudah beralih pada lelaki inikah? Tetapi tidak dinafikan Syed Khalid jauh lebih handsome daripada Abang Wak. Wajah ala-ala Pakistan itu dengan kulit cerah memang membuatkan sedap mata memandang. Syed Khalid kelihatan begitu sempurna sekali, sesuai dengan statusnya sebagai ‘anak jutawan’ seperti yang diketahuinya. Tetapi jejaka ini menafikannya pula.
“Tiada yang pahit kali ini, tetapi banyak yang manis ...” sahut Syed Khalid sambil mengerling pada Nadirah dengan penuh makna. Nadirah tidak menyedarinya kerana ketika itu dia membelek kaki kanan yang mula terasa berdenyut kembali. Ayu terasa jantungnya berdetap kencang. Lelaki ini sudah mula jatuh hati pada Nadirahkah? Abang Wak pun begitu, fikirnya. Kenapa semua lelaki harus tertarik pada Nadirah? Apa kurangnya aku? Ayu mula memikirkan Nadirah menjadi satu saingan kepadanya.
“Kenapa, N?” soal Syed Khalid apabila melihatkan gadis itu seperti tidak memberi perhatian pada kata-katanya sebentar tadi.
“Kaki saya macam berdenyut balik ... agaknya banyak sangat berjalan tadi,” suara Nadirah separuh kesal. Dia bimbang tidak dapat mengikuti ekspedisi ke Pulau Manukan besok jika kakinya buat hal lagi. Sedangkan aktiviti itulah yang memang ditunggu-tunggunya.
“Kalau gitu awak masuk berehat. Jangan bergerak banyak,” lembut suara Syed Khalid menasihati. Menambah rasa getar di hati Ayu. Alangkah seronoknya kalau aku di tempat Nadirah, semua lelaki yang kupuja memberi perhatian, rintih Ayu dalam hati. Tetapi bukan senang hendak menambat hati lelaki yang kita suka. Ayu hanya memendam perasaan dalam diam. Nadirah pun satu, suka mencari publisiti murah. Merajuklah, jatuhlah ... terbit juga rasa geram di hati Ayu terhadap junior yang satu itu.
“Saya masuk dululah, Syed, Ayu. Kalau kau orang nak berbual lagi, teruskan,” kata Nadirah dan terus bangun dari situ. Ayu hanya tersenyum.
“Err ... saya pun nak berehat juga. Jumpa lagi esok. Thanks for the nice coffee ...” ujar Syed Khalid sambil menunjukkan kole yang masih dipegangnya. Dia menghirup kopi yang penghabisan dan kemudian menuju ke dapur untuk membasuh kole tersebut. Ayu menurut di belakang, juga ingin mencuci kole minuman mereka dan membiarkan Nadirah berjalan pulang ke asrama sendirian.

Bab 11

11

Sebaik tiba di kaki gunung, rombongan itu ditempatkan di asrama Kinabalu Park. Mereka akan bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Manukan keesokan harinya. Sepanjang petang pelajar itu mengambil peluang untuk berehat. Dua hari berturut-turut mendaki dan menuruni gunung yang tertinggi di Asia itu, pastilah kehilangan tenaga yang banyak. Besok perlu berekspedisi ke pulau pula dengan menaiki bot. Lagipun kesejukan persekitaran menyebabkan pelajar itu lebih memilih untuk tidur sahaja.
Selepas makan malam, Nadirah dan Ayu  sengaja berjalan-jalan di perkarangan asrama, mengambil angin di luar. Lagipun malam masih muda. Hendak tidur, sudah puas mereka melelapkan mata sepanjang petang. Kebetulan mata masih belum mengantuk, mereka mengambil kesempatan itu untuk bersantai sambil merakam kenangan di asrama Kinabalu Park. Di foyer asrama, kelihatan beberapa orang pendaki berbangsa Eropah duduk-duduk sambil berbual-bual sesama mereka dan menghisap rokok. Mereka hanya tersenyum dan bertukar anggukan apabila melihat kehadiran Nadirah dan Ayu di situ.
            “Be careful, girl,” tegur salah seorang daripada mereka apabila melihatkan Nadirah berjalan terhencut-hencut. Nadirah tahu kakinya masih bengkak, tetapi sengaja dipaksanya juga berjalan menggunakan sebatang kayu sebagai topang.
Thanks,” balas Nadirah, menghargai keprihatinan pemuda Eropah itu.
Handsome! Getus hatinya. Namun dia tidak dapat berlama-lama di situ. Asap rokok yang berkepul-kepul di awangan membuatkan Nadirah berasa rimas. Dia segera mengajak Ayu beredar dari situ. Tetapi gadis itu berkeras mahu mengambil gambar mat-mat saleh itu sebagai kenangan. Orang-orang Eropah itu pula memberikan kerjasama yang baik. Mereka melayan Ayu dengan mesra. Terpaksalah Nadirah mengalah dengan kehendak Ayu. Seketika kemudian mereka beredar pula ke perkarangan asrama, cuba mencari sudut yang baik untuk diabadikan di lensa kamera. Tetapi suasana yang gelap di luar memaksa mereka masuk semula ke bangunan asrama.
Bingung seketika memikirkan ke mana hendak di tuju. Udara sejuk malam itu membuatkan kedua-dua gadis itu memutuskan untuk kembali ke dalam asrama. Akhirnya mereka sepakat untuk ke ruang rehat, di situ terdapat pendiang yang apinya masih membara. Lebih selesa duduk di situ untuk memanaskan badan. Suasana agak sunyi. Namun tidak lama. Sedikit demi sedikit kedengaran titisan air hujan yang mula menimpa atap zink asrama itu. Hujan kembali turun.
            “Kau tunggu sini, aku buatkan kopi,” Ayu menawarkan diri. Nadirah hanya mengangguk. Sambil menunggu, dia melemparkan seketul dua kayu untuk menyemarakkan lagi unggun api yang mulai membara. Tidak berapa lama menunggu, Ayu tiba sambil menatang dua biji kole berisi kopi panas di tangan kanan dan kirinya. Dia menyuakan satu kepada Nadirah. Sambil menghirup kopi panas, mereka berbual, bergelak ketawa mengenangkan kisah-kisah lucu sepanjang perjalanan mereka dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan juga pengalaman mendaki Gunung Kinabalu. Masuk hari ini, sudah tiga hari mereka berada di ‘Negeri di Bawah Bayu’ itu. Besok mereka akan bertolak ke Pulau Manukan, bermalam di sana semalaman sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur lusa.        
Perbualan rancak kedua-dua gadis itu terhenti serta-merta apabila tiba-tiba Ayu mengerang kesakitan sambil memegang perutnya. Nadirah panik.
“Kenapa, Ayu?” soal Nadirah dengan rasa cemas. Tadi elok sahaja mereka berbual, tiba-tiba Ayu kelihatan seperti menahan kesakitan.
“Alah ... perut aku memulas pulak! Mesti tak sesuai dengan kopi ni,” rungut Ayu yang mudah sensitif dengan makanan asing. Dia bingkas bangun dan berlari ke luar.
“Aku cari tandas!” suara Ayu sayup kedengaran di sebalik daun pintu. Nadirah hanya tergelak memerhati tingkah rakannya itu. Ada-ada sahaja si Ayu ni, gumamnya.
Dalam mentertawakan gelagat si Ayu, Nadirah terdengar suara garau berdehem beberapa kali.  Dia segera menoleh pada pemilik suara yang seolah-olah sengaja ingin menarik perhatiannya itu. Jejaka yang  berdiri di ambang pintu itu tersenyum sambil mara ke arahnya tanpa dipelawa.
            “Tak tidur lagi?” sapa si jejaka dengan nada yang lembut.
            Nadirah terkesima. Kehadiran Syed Khalid tanpa diundang itu membuatkan dia serba-salah. Apatah lagi dia hanya sendirian. Rasa malunya pada jejaka itu masih menebal.
            “Sejuk, lebih selesa duduk dekat pendiang ni sambil minum kopi untuk panaskan badan,” beritahu Nadirah, tidak terus menjawab soalan si jejaka. Nadirah memeluk tubuh, menggosok-gosok lengannya menahan kesejukan.
Syed Khalid tersenyum.
            “Boleh saya join?” tanya Syed Khalid sambil melabuhkan duduknya di bangku kosong berhampiran Nadirah. Dia tidak perlu menunggu jawapan daripada gadis itu kerana ruang rehat itu milik orang ramai. Soalannya itu lebih kepada berbahasa sahaja.
            Nadirah kehilangan kata-kata. Sesekali dia memanjangkan lehernya ke arah pintu, mengharapkan kedatangan Ayu. Jika ada Ayu, tidaklah dia berasa begitu kekok berhadapan dengan lelaki ini, fikir Nadirah. Namun dia sedar, takkan Ayu boleh menyelesaikan urusannya secepat itu!
Syed Khalid dapat membaca riak resah pada wajah gadis di hadapannya itu namun dia cuba berlagak selamba. Dia kemudiannya bangun dan mengambil beberapa puntung kayu api untuk menyemarakkan lagi api pendiang.  Dia sengaja berlama-lama di hadapan pendiang itu,  menguis-nguis puntung kayu yang berserakan dan mengumpulkannya di tengah-tengah pendiang. Hanya apabila puntung kayu itu terbakar marak barulah dia duduk semula.
“Saya nak ke dapur tadi, tapi terdengar pula suara orang berbual. Rupa-rupanya awak dan Ayu,” Syed Khalid memulakan perbualan.
“Eh, mana Ayu?” soalnya kemudian apabila menyedari ketiadaan gadis itu.
Emergency call!” balas Nadirah selamba, membuatkan Syed Khalid tertawa berdekah-dekah. Sejak mengenali gadis itu, dia asyik ke tandas sahaja! Tiada alasan lain.
“Macam mana kaki? Ada kurang sakitnya?” soal Syed Khalid sambil mengalih pandangan pada kaki kanan Nadirah yang masih berbalut. Nadirah tersenyum, turut memerhatikan kakinya yang terlunjur lurus.
“Alhamdulillah, dah kurang sakit walaupun kadang-kadang terasa masih berdenyut-denyut. Terima kasih Syed, kerana bantu saya. Kalau tidak ...” Nadirah tidak meneruskan kata-katanya. Dia tidak pasti apa yang akan berlaku sekiranya Syed Khalid tidak datang membantu.
“Tak apa, memang tugas saya. Saya lebih rasa bersalah kalau tidak dapat  menolong awak.” Ujar lelaki itu, ikhlas. Sudah tugasnya sebagai ketua kumpulan, lagipun hanya dia yang berpengalaman. Jadi tidak wajar kalau dia berlepas tangan sahaja dalam hal-hal kecemasan seperti ini.
“Tapi, saya pun nak minta maaf kerana tak sengaja menjatuhkan awak pagi tadi,” sambung Syed Khalid lagi sambil matanya melirik pada Nadirah, memandang gadis itu dengan rasa bersalah. Bimbang juga akan dimarahi kerana sejak peristiwa pagi tadi, dia langsung tidak bercakap dengan Nadirah. Dia memang sengaja mengelakkan diri daripada berjumpa dengan gadis itu. Rasa malu dan rasa bersalah silih berganti. Cuma kebetulan malam ini dia tersua gadis itu secara tidak sengaja, jadi peluang ini mahu digunakan untuk menebus kesilapannya pagi tadi.
Nadirah hanya tertawa. Dia memang tahu kejadian itu tidak disengajakan. Syed Khalid nampak benar-benar panik apabila mendengar sorakan kawan-kawan satu kumpulan.
“Tak, awak tak salah. Saya tahu, awak panik.” balas Nadirah.
Syed Khalid ikut ketawa.
“Alhamdulillah, awak faham keadaan saya. Sebenarnya saya memang tak biasa dengan perempuan. Apatah lagi mendukung begitu. Tapi niat saya cuma nak bantu awak cepat beredar dari puncak gunung itu. Saya tak sangka budak-budak tu pandang serong pada perbuatan saya. Saya malu, itu yang buat saya tak tentu arah!” terang Syed Khalid panjang lebar. Mendengarkan kata-kata lelaki itu, tawa Nadirah mati serta-merta.
“Takkan lelaki seperti awak tak biasa dengan perempuan?” Nadirah cuba menduga. Seperti tidak masuk akal pula apabila dia mengaku tidak biasa dengan perempuan! Hati Nadirah berasa sedikit curiga.
Syed Khalid menggeleng.
“Secara jujur saya katakan, awak perempuan pertama yang berani saya dekati secara berhadapan seperti ini. Saya memang tak biasa dengan perempuan. Saya membesar dalam keluarga yang kesemuanya lelaki!”
Pelik! Pengakuan itu agak memeranjatkan Nadirah. Terdetik juga rasa tidak percaya dengan pengakuan lelaki itu. Mana mungkin dia dibesarkan dalam keluarga yang kesemuanya lelaki?
“Ibu awak kan perempuan?” soal Nadirah.
Syed Khalid tunduk, bermain dengan jari-jemarinya. Agak lama juga dia terdiam. Kemudian dia mengangkat kepala, memandang gadis di hadapannya itu dengan pandangan yang sayu. Anak matanya dikecilkan, seolah-olah menyelongkar zaman silam dalam kenangan.
“Ibu meninggal ketika saya masih bayi. Saya dibesarkan oleh orang gaji, pun lelaki. Hanya ketika berumur 10 tahun barulah ayah saya berkahwin lain.” Suara jejaka itu berbaur rasa sedih. Nadirah terdiam seketika. Kesedihan itu mengingatkan dia pada kisah dukanya juga. Tetapi ada perkataan jejaka itu yang menarik perhatiannya.
“Orang gaji lelaki?” tanya Nadirah, masih kurang percaya. Seumur hidupnya tidak pernah terbayangkan orang lelaki menjadi pembantu rumah.
Syed Khalid mengangguk.
“Ya, awak tentu pernah menonton filem Nasib Labu Labi, kan? Macam itulah. Saya pun selalu panggil Pak Lan dan Pak Abu yang jadi pembantu rumah kami tu Labu dan Labi.” Terang Syed Khalid sambil ketawa mengenangkan kedua-dua pembantu rumahnya itu. Pak Lan membersihkan rumah manakala Pak Abu memasak. Nadirah ikut ketawa. Lucu juga apabila mendengarkan kisah Labu Labi bukan setakat dalam filem, tetapi hadir dalam realiti.
Lalu tanpa dipinta Syed Khalid menceritakan kisah Labu dan Labi di rumahnya. Cuma kedua-dua orang tua itu tidaklah terlalu lurus seperti Labu dan Labi yang digambarkan dalam filem P. Ramlee itu. Pak Lan dan Pak Abu amat berdisiplin dan baik hati orangnya. Syed Khalid turut menceritakan beberapa peristiwa lucu ketika dia dibesarkan oleh Labu dan Labinya.
“Tapi kini Labu dan Labi saya sudah bersara,” Syed Khalid menamatkan ceritanya di situ.
Terpegun Nadirah mendengarkan cerita Syed Khalid. Dia tidak pasti mengapa jejaka itu sudi berkongsi cerita tentang keluarganya pula malam itu. Namun, dia berasa terhibur dengan cerita lucu Syed Khalid tentang Labu dan Labinya itu. Sekurang-kurangnya malamnya di asrama Kinabalu Park tanpa apa-apa alat pandang dengar itu tidaklah terlalu kosong dan hambar.
“Saya nak bersahabat dengan awak, Nadirah. Boleh?” ujar Syed Khalid kemudiannya, penuh mengharap. Dia tahu Nadirah seperti tidak mahu memaafkannya. Kerana pada pertemuan di padang ITM tempoh hari, gadis itu melayannya sambil lewa sahaja. Di puncak gunung juga dia tidak mesra, masih membina jurang antara mereka. Sehinggalah ketika dia mendukung gadis itu, barulah si gadis berlembut sedikit. Mungkin kerana berasa terhutang budi dengan bantuan yang dihulurkan. Tetapi dia membantu dengan ikhlas. Jika Nadirah masih ingin menjauhkan diri darinya pun, dia terpaksa menerima hakikat itu. Dia memang tidak pandai mendekati perempuan, apatah lagi memenangi hati kaum hawa itu.