17
Hazimah bingkas bangun apabila mendengarkan pintu biliknya diketuk berkali-kali dan suara halus memberi salam kedengaran berselang-seli. Baru sahaja hendak melelapkan mata, sudah ada yang mengganggu, gerutu Hazimah. Sudahlah malam tadi dia tidak dapat tidur lena, sibuk mengulang kaji pelajaran buat kali terakhir. Baru kinilah fikirannya lega apabila kertas terakhir sudah diduduki pagi tadi. Dia cuma hendak berehat sekejap.
“Ada orang cari Nadirah,” beritahu Wan Hasnah, pelajar Part I seperti Nadirah juga. Wajah di sebalik daun pintu itu kelihatan polos sahaja.
“Eh? Nadirah kan dah balik kampung! Siapa cari?”
Wan Hasnah hanya mengangkat bahu.
“Lelaki!” ujarnya kemudian.
“Okey. Nanti aku beritahu dia. Thanks Wan!”
Gadis itu hanya mengangguk. Tugasnya hanyalah menyampaikan pesanan. Selebihnya biarlah empunya diri atau wakilnya yang menguruskan. Tanpa berlengah dia terus berlalu dari situ.
Hazimah segera mengintai dari celah tingkap, melihat kelibat lelaki yang dikatakan oleh Wan Hasnah.
‘Hmm ... Syed Khalid! Dia tak tahukah yang Nadirah dah balik?’ fikir Hazimah dalam hati. ‘Kalau dia tahu, pasti dia tidak mencari di sini.’
Dalam bersoal-jawab sendirian itu, tangannya pantas menyarungkan tudung kepala. Syed Khalid sudah pasti menunggu sehingga Nadirah turun. Yakin sangat yang si cantik manis itu masih di sini, fikir Hazimah. Menjadi tugasnyalah kini memberitahu Syed Khalid tentang ketiadaan Nadirah supaya lelaki itu cepat beredar dari situ.
Kedatangan Hazimah disambut dengan senyuman oleh Syed Khalid yang sedang bersandar di pintu keretanya. Nampaknya sudah bersedia benar hendak menemui seseorang. ‘Malang sekali, orang yang ditunggu takkan muncul,’ bisik Hazimah dalam hati. Kesian juga dia pada jejaka itu.
“Assalamualaikum,” Hazimah menyapa.
“Waalaikumussalam. Nadirah?” soal Syed Khalid, tidak sabar lagaknya.
“Nadirah sudah balik kampung.” Beritahu Hazimah ringkas.
Serta-merta wajah jejaka di hadapannya berubah. Dia terkedu seketika. Tidak tahu apa yang patut dikatakannya ketika itu. Nadirah menipu diri aku? Kenapa gadis semanis Nadirah tergamak menipu? Atau Nadirah sengaja hendak mempermainkan aku? Dia tak mahu berjumpa denganku, maka dia terus balik pagi tadi? Pelbagai persoalan negatif mulai menghasut dirinya. Tiba-tiba dadanya terasa mendidih.
“Dia kata nak balik petang ni?” Syed Khalid cuba bersuara walaupun kerongkongnya rasa tersumbat. Sesak menahan rasa marah yang terbuku. Pantang dirinya kalau orang menipu. Apatah lagi jika Nadirah, dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa dirinya dipermainkan gadis itu.
“Memang sepatutnya dia balik petang ni. Tapi pagi tadi tiba-tiba dia dapat panggilan telefon. Atuknya sakit. Dia terpaksa balik segera,” terang Hazimah.
Syed Khalid menarik nafas lega. Kenapa dengan mudah dia menuduh gadis itu yang bukan-bukan. Sepatutnya dia mendengar penjelasan Hazimah dahulu.
“Awak janji nak jumpa dia ke?” soal Hazimah kemudiannya.
Syed Khalid geleng. Memang dia tidak pernah berjanji hendak menemui Nadirah petang itu. Kebetulan terserempak di pejabat HEP tempoh hari, dia hanya bertanya bila Nadirah akan pulang. Namun, tidak pula berjanji akan datang menemuinya. Dia cuma mahu buat kejutan untuk Nadirah dengan menghantarnya ke stesen bas. Selain itu, ada hal penting yang ingin dimaklumkannya. Tapi nampaknya dia pula yang dikejutkan dengan ketiadaan Nadirah petang itu.
Hazimah hanya memandang jejaka di hadapannya yang kelihatan muram. Nampak sangat dia kecewa. ‘Tidak pandai langsung hendak menyembunyikan perasaan!’ Hazimah terasa ingin ketawa tapi terpaksa disimpan dalam hati.
“Macam nilah, Syed. Saya bagi awak nombor telefon kampung Nadirah,” usul Hazimah, moga-moga duka jejaka itu akan terubat. Benarlah seperti sangkaannya, wajah yang muram itu serta-merta kembali bersinar apabila mendengarkan saranannya.
“Terima kasih, Hazimah. Kalau awak ada alamatnya sekali lebih bagus!” tambah Syed Khalid, memberanikan diri meminta. Hazimah hanya mengulum senyum melihatkan gelagat Syed Khalid. Diberi betis, hendakkan peha pula, Hazimah membuat simpulan bahasa. Tanpa berlengah, dia segera minta diri untuk pulang ke asrama. Pastinya jejaka itu tidak sabar-sabar lagi hendak menghubungi Nadirah. Melihatkan riaknya, memang ada kesungguhan di wajahnya. Bukan sekali ini sahaja, malah Syed Khalid pernah membuat kejutan beberapa minggu dahulu. Entah apalah pula kejutannya kali ini, fikir Hazimah. Dia cepat-cepat menyalin nombor telefon dan alamat Nadirah. Seketika kemudian Hazimah muncul semula, menyerahkan kertas itu kepada Syed Khalid. Berkali-kali jejaka itu mengucapkan terima kasih sebelum beredar dari situ.
Syed Khalid memandu keretanya ke arah Kuala Lumpur. Kepalanya ligat berfikir. Faizul sudah pulang ke Jengka. Dia pula hanya mundar-mandir ke sana ke mari, tidak ada arah tujuan. Rancangnya petang ini dia mahu menemui Nadirah, menghantar gadis itu ke stesen bas. Dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur, sudah tentu banyak perkara yang boleh mereka bualkan. Kalau Lebuh Raya Persekutuan sesak, lebih bagus! Lebih panjanglah masa mereka hendak bermesra. Dia mahu mengenali Nadirah dengan lebih dekat lagi. Dia suka berkawan dengan gadis itu. Garang, tetapi manja. Dan hanya hari ini sahajalah peluang untuk mendekati gadis itu terbuka luas. Tetapi ... kini nampaknya semua yang dirancang tidak menjadi. Adakah ini menunjukkan bahawa dia tidak akan menemui Nadirah lagi?
Honk!!
Bunyi kuat hon lori di belakang mengejutkan lamunannya. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Syed Khalid mengerling pada papan tanda yang menunjukkan arah Kuantan. Dalam tak sedar dia sudah mengarah ke Lebuh Raya Karak. Kertas yang mengandungi alamat dan nombor telefon Nadirah diamati. Jika berdasarkan papan tanda, kampung Nadirah terletak hampir 200 kilometer dari situ. Bermakna hampir dua jam perjalanan. Jam menunjukkan hampir lima petang. Jika tidak kerana kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan ketika bertolak tadi, sudah tentu dia hampir sampai ketika ini. Entah mengapa hari itu kesesakan agak luar biasa. Kesesakan yang asalnya memang dia minta, tetapi bersama Nadirah. Kini hanya dia sendirian meredah lautan kereta yang semacam tidak bergerak itu, namun terpaksa digagahkannya juga, hanya kerana Nadirah. Ya, demi gadis itu!
Mujurlah perjalanan ke kampung Nadirah lancar sahaja, walaupun dia tiba ketika senja hampir berlabuh. Puas bertanya, akhirnya dia berhenti betul-betul di hadapan rumah kampung yang sederhana besar. ‘Tentu seronok tinggal di sini,’ fikirnya. Halaman yang luas, udara segar. Namun, dari cahaya neon yang sengaja dipasang di beranda, rumah itu seperti tidak berpenghuni. Syed Khalid tidak jadi turun dari kereta. Dia membuat keputusan untuk singgah di masjid berdekatan. Kebetulan dia melalui masjid itu sebentar tadi.
“Dari mana?” tegur seorang jemaah ketika dia bersalaman dengannya sebaik sahaja selesai mengerjakan solat Isyak.
“Kuala Lumpur,” jawabnya sepatah. Dipandangnya lelaki dalam anggaran lewat lima puluhan itu. Lelaki itu hanya mengangguk-angguk.
“Duduk mana?” Nampaknya lelaki itu seperti berminat untuk meneruskan perbualan.
“Belum tahu lagi. Saya baru sampai,” ujar Syed Khalid sambil melipat sejadah yang menjadi alas solatnya sebentar tadi.
“Maksudnya, anak tak ada saudara mara di sini?” Lelaki itu bertanya lagi, ada sedikit keraguan terpamer di wajahnya.
“Saya Khalid,” beritahu Syed Khalid memperkenalkan diri. “Saya sebenarnya datang menziarah datuk kawan saya sakit.”
“Siapa? Haji Malek?” soal orang tua itu.
Dahi Syed Khalid berkerut. Dia tidak pasti nama datuk Nadirah.
“Err ... mungkin. Saya sahabat Nadirah, kami sama-sama belajar di Shah Alam,” terang Syed Khalid, cuba memberi petunjuk.
Orang tua itu tersengih.
“Yalah, Haji Maleklah tu. Cucunya Nadirah,” beritahu orang tua itu. Syed Khalid menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak tersilap orang. Nampaknya datuk Nadirah terkenal di kalangan orang kampung itu. Atau, mungkin tidak ada orang kampung lain yang jatuh sakit, kecuali datuk Nadirah, jadi mudahlah orang tua itu meneka, fikir Syed Khalid.
“Bagaimana keadaannya, pak cik? Saya belum sempat melihatnya. Rumahnya nampak kosong sahaja,” Syed Khalid mula berminat untuk berbual.
“Mereka di hospital agaknya. Hmm ... kesihatannya agak membimbangkan. Maklumlah, sakit orang tua. Kencing manis, darah tinggi, lemah jantung ... semuanya ada,” ujar lelaki itu seraya melemparkan keluhan panjang. Bersimpati dengan nasib yang menimpa orang tua itu.
‘Berat nampaknya sakit datuk Nadirah ni,’ fikir Syed Khalid. Apatah lagi melihatkan wajah pak cik di hadapannya itu berkerut dan kelihatan gusar sekali. Mendengarkan kata-kata pak cik itu, hatinya terasa melonjak-lonjak hendak melihat keadaan datuk Nadirah. Rasa simpati datang mendadak.
“Kalau begitu, saya minta diri dululah, pak cik. Tak tahulah sama ada saya dibenarkan melawat pada waktu-waktu begini atau tidak.” Syed Khalid meminta diri. Orang tua itu hanya mengangguk. Selepas bersalaman, mereka membawa haluan masing-masing.
Syed Khalid terus memandu ke hospital. Keadaan di situ sunyi sahaja. Syed Khalid mati akal. Dia tidak tahu ke mana harus dituju terlebih dahulu. Sebaiknya dia ke wad lelaki, fikirnya. Tentu boleh bertanya pada jururawat bertugas. Ketika sampai di Wad Lelaki Hospital Daerah yang sederhana besarnya, Syed Khalid terintai-intai di celahan cermin tingkap nako. Dia menyelak sedikit kain langsir yang menutupi tingkap itu. Ada ramai pesakit, seorang pun dia tidak kenal. Bayang Nadirah pun tidak nampak langsung. Dalam pada itu terasa bahunya dipegang orang. Cepat-cepat dia menoleh.
“Cari siapa?” soal seorang pengawal keselamatan.
“Datuk ... err datuk saudara,” balas Syed Khalid tergagap-gagap.
“Nama?”
“Nama?” Syed Khalid kurang pasti dengan soalan itu.
“Yelah, nama datuk saudara awak tu apa?” Pengawal keselamatan itu membetulkan soalannya yang kurang jelas. Syed Khalid menggaru kepalanya yang tidak gatal. Soalan itu memang sukar dijawab.
“Haji Malek!” tiba-tiba dia teringat kata-kata orang tua di masjid sebentar tadi.
“Haji Malek?” soal pengawal keselamatan itu, meminta kepastian.
“Ya, ya!” jawab Syed Khalid kegembiraan. Sekurang-kurangnya serkap jarangnya mengena.
“Mari ikut saya,” kata lelaki itu. Syed Khalid mengekorinya ke pintu besar. Lapang rasa hati kerana pengawal keselamatan itu seperti dapat membantunya.
“Lihat, papan kenyataan ini ada senarai nama pesakit. Yang mana satu?” Lelaki itu menunjukkan papan putih yang tertulis dengan nama-nama pesakit dan katil yang diduduki mereka. Syed Khalid mengamati tulisan itu. Sekali lagi dia buntu. Ada tiga orang yang mempunyai nama yang sama, tetapi berlainan bin.
“Yang mana satu, ya?” Syed Khalid menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Err .. tak apalah, abang. Besok sahajalah saya datang melawat.” Akhirnya Syed Khalid mengalah.
“Hmm!” angguk lelaki itu, bersetuju dengan kata-kata Syed Khalid. “Sebaiknya awak pulang dulu. Hospital ini tempat pesakit berehat. Lagipun hari dah malam, waktu melawat dah lama habis.” Sambungnya lagi sebelum beredar dari situ.
Syed Khalid termenung seketika. Ke mana harus ditujunya malam-malam buta begini? Balik KL? Ah, terasa malas pula hendak membuat perjalanan jauh malam-malam begini. Lagipun, hatinya terasa begitu berat hendak meninggalkan daerah yang baru dijejakinya. Hendak ke rumah Nadirah, dia berasa segan. Tidak elok lelaki datang bertandang ke rumah gadis yang tiada ikatan persaudaraan langsung. Ke hotel? Malas pula rasanya mencari. Matanya memerhati pada kawasan sekitar. Daerah itu begitu asing baginya. Akhirnya pandangannya tertumpu pada sebuah pacuan empat roda berwarna perak yang diparkir elok. ‘Kereta aku! Ah, tidur dalam kereta pun jadilah sementara menanti hari siang.’ Tanpa berlengah Syed Khalid segera menapak ke keretanya. Dia membaringkan tempat duduk pemandu, menyediakan tempat berehatnya malam ini. Enjin dihidupkan dan dia memasang alat hawa dingin. Radio sengaja dipasang bagi membuai lenanya.
No comments:
Post a Comment