Dahi Tan Sri Syed Mokhtar berkerut
mendengarkan penjelasan Mansor. Tidak disangkanya sahabat baiknya itu akan
menerima nasib sebegini rupa. Setelah tiga bulan, baru kini dia mahu membuka
mulut tentang perkara itu. Lelaki berbadan besar itu membuang pandangan ke luar
tingkap pejabat yang menampakkan sebahagian kota raya. Kenderaan kelihatan bertali arus,
bersesak-sesak memenuhi jalan utama. Seperti sesaknya fikirannya mendengar
berita itu. Hari ini semua persoalan tentang kepulangan Mansor secara tiba-tiba
itu telah terjawab. Tan Sri Syed Mokhtar berpaling pada Mansor yang termangu di
sofa.
“Aku
... err ..” Payah benar rasanya Tan Sri Syed Mokhtar hendak meneruskan bicara
semula. Mendengarkan cerita Mansor sebentar tadi, mulutnya terasa seperti
dikunci. Rasa terkejut masih bersarang di minda.
“Aku
memang malu hendak meminta tolong daripada kamu, Mokhtar. Tapi .. “ kata-kata
Mansor terhenti di situ. Dia nampak wajah berkerut sahabatnya, mungkin masih
payah hendak mempercayai apa yang diperkatakannya sebentar tadi.
“Aku
memang tidak ada pilihan yang lebih baik. Ketika aku mendapat tahu tentang
masalah kesihatanku, apabila terpandang wajah anak-anakku yang terlalu jauh terpesong
dari akar-umbinya, aku jadi takut. Aku tidak mempunyai banyak masa lagi,” keluh
Mansor.
“Aku
memang malu,” sambung Mansor lagi, “Tersangat-sangat malu tetapi aku terpaksa
tebalkan muka ini demi menyelamatkan anak-anak aku. Aku seorang bapa yang gagal
..”
“Mansor!”
Tan
Sri Syed Mokhtar terpaksa menegah Mansor daripada terus berkata-kata. Sepanjang
pengetahuannya, Mansor seorang yang kuat didikan agamanya. Begitu juga Sofiah. Ketika
di AS dahulu, mereka sering mengadakan acara-acara berkaitan keagamaan
bersama-sama. Mansor sangat aktif mengendalikan majlis-majlis berunsurkan keagamaan
di kalangan penuntut di sana kerana dia lebih dahulu berkeluarga. Pengakuan
Mansor memang tidak dapat diterimanya. Dia tidak boleh percaya dengan apa yang
didengarinya sebentar tadi.
Kedua-duanya
diam seketika. Mansor menghirup air kopi yang masih bersisa. Tan
Sri Syed Mokhtar masih berfikir.
Mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang menimpa Mansor dan
keluarganya. Kini masalah Mansor menjadi masalahnya juga. Tidak semena-mena dia
terpaksa memikirkan masalah orang lain. Tetapi Tan Sri Syed Mokhtar tidak mahu
berkira sangat dengan Mansor. Budi Mansor dan keluarganya sangat-sangat
dihargai. Kini sudah tibalah masanya dia membalas jasa Mansor pula walaupun
masalah itu sangat berat.
“Apa
kata kalau kita pergi solat Maghrib dulu, kemudian kita makan malam sambil
fikir-fikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah kamu ni,” Tan Sri Syed
Mokhtar memberi cadangan. Dia mengerling ke luar tingkap. Cahaya matahari sudah
menghilang, meninggalkan mega merah menandakan maghrib sudah menjelma. Mansor
hanya menurut.
Ketika
melalui meja setiausahanya, Tan Sri Syed Mokhtar terpandang kelibat Syed
Mukhriz dan Zarith yang beriringan keluar di pintu pejabat sambil bergelak
ketawa. Nampaknya anak-anak mereka cepat mesra. Tan Sri Syed Mokhtar mengerling
pada Mansor yang juga kelihatan terkejut. Mereka saling berpandangan. Nampaknya
kedua-duanya tidak menyedari kehadiran bapa mereka di situ.
Usai
solat Maghrib berjemaah, mereka makan di sebuah restoran berhampiran. Di situ,
perbincangan diteruskan. Mansor meneruskan cerita tentang penyakit yang
dihadapinya. Nampaknya, memang tiada harapan untuk sembuh. Secara luarannya,
Mansor nampak seperti biasa tetapi doktor meramalkan hayatnya tidak panjang.
Mansor tidak mahu berubat lagi. Dia redha dengan penyakit yang diturunkan oleh
Allah ke atas dirinya.
“Selepas
mendapat tahu tentang SLE, aku terus menunaikan haji bersama Sofiah. Aku
benar-benar insaf. Tetapi aku redha dengan apa yang aku alami. Jika tidak
kerana penyakit ini, pastinya aku belum bertaubat,” ujar Mansor lirih.
Tan
Sri Syed Mokhtar memang perasan akan perubahan wajah Mansor yang kemerahan,
tetapi dia hanya terfikir bahawa mungkin Mansor tidak biasa dengan cuaca di
sini. Tidak pula disangkanya itu adalah simptom SLE, penyakit kronik auto-imun
yang jarang sekali menyerang lelaki. Menurut Mansor, penyakit itu telah menyerang
buah pinggangnya. Sendi-sendinya juga terasa sakit. Seboleh-bolehnya dia akan
mengelakkan cuaca panas, kerana itu dia mahu mengadakan pertemuan lewat petang
atau malam.
“Anak-anak
aku terlalu bebas di sana. Aku menyesal kerana terlalu memberi mereka kebebasan.
Aku tidak beratkan untuk mereka menjaga solat dan juga berpuasa. Aku juga
kadang-kadang terlalai ..,” rintih Mansor. Air matanya mula bergenang. Wajahnya
menampakkan penyesalan. Tan Sri Syed Mokhtar hanya menggelengkan kepala. Tidak
disangkanya Mansor akan terpesong begitu. Ketika meninggalkan keluarga Mansor
lebih 15 tahun dahulu, mereka baik-baik sahaja. Tetapi mungkin arus kemodenan
melalaikan Mansor.
“Apa
yang boleh aku bantu kamu?” soal Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya. Memang pada
awal pertemuan Mansor sudah membayangkan supaya anak-anaknya diselamatkan.
Tetapi dia tidak faham kehendak Mansor yang sebenarnya.
“Aku
minta maaf, aku mungkin keterlaluan.” Balas Mansor. Dia merenung anak mata
sahabat lamanya itu. Di mata Mansor, Syed Mokhtar juga sudah berubah. Syed Mokhtar
yang dulunya seorang yang biasa-biasa sudah menjadi korporat. Ketika melangkah
masuk ke banglo Syed Mokhtar, terasa dirinya begitu kerdil. Syed Mokhtar sudah
menjadi usahawan yang begitu berjaya.
“Ketika
aku di Mekah, aku teringatkan kamu. Aku mula terfikir yang aku boleh meminta
bantuan kamu untuk menyelamatkan anak-anakku. Sofiah juga bersetuju dengan
pendapat aku,” sambung Mansor lagi. Tan Sri Syed Mokhtar mendengar dengan
tekun.
“Malam
itu, apabila diperkenalkan dengan semua anak-anak kamu, aku menjadi semakin
yakin bahawa firasatku tidak salah. Mereka sangat baik dan terdidik. Jika boleh
...” Mansor tidak menghabiskan kata-katanya. Dia berasa ragu-ragu untuk
bersuara. Dipandangnya wajah Tan Sri Syed Mokhtar. Lelaki itu tampak bersahaja,
mungkin sudah dapat membaca isi hatinya.
“Aku
minta maaf, Mokhtar,” suara Mansor berbaur kesal. “Aku tidak sepatutnya
menyusahkan keluarga kamu dalam hal ini. Tetapi aku mohon sangat-sangat agar
anak-anakku diselamatkan. Aku tidak ada orang lain lagi,” rintih Mansor dengan
suara yang sebak.
Tan
Sri Syed Mokhtar menepuk-nepuk bahu sahabatnya.
“Sabarlah,
Mansor. Aku faham apa yang kamu mahu. Tetapi aku ini berfikiran terbuka. Aku tidak
mahu dipersalahkan jika rumah tangga anak-anak tidak bahagia kerana mereka
dipaksa kahwin dengan pilihan kita. Jika mereka suka sama suka, akulah yang
paling gembira,” ujar Tan Sri Syed Mokhtar. Mansor terdiam.
“Amani
... Amani ..” Mansor menyebut nama anak bongsunya beberapa kali.
“Amani
gadis yang baik, lembut dan masih mentah,” Tan Sri Syed Mokhtar memberi
tafsirannya pada anak gadis Mansor seperti yang dilihatnya pada malam itu. Gadis
itu kelihatan riang dan manja, sesuai dengan usia remajanya.
“Dia
paling rapat dengan aku. Pastinya dia tidak boleh terima jika aku sudah tiada. Aku
lihat dia betul-betul menyenangi anak bongsu kamu. Kalau boleh, usahakanlah
supaya mereka dijodohkan,” pinta Mansor.
Tan
Sri Syed Mokhtar agak terkejut dengan permintaan itu. Dia tahu Syed Khalid agak
matang dan pendiam. Tidak seperti abang-abangnya. Mahukah Syed Khalid menerima
hasrat Mansor? Tan Sri Syed Mokhtar menghela nafas panjang. Selepas pertemuan
malam itu, dia tahu Amani selalu menghubungi Syed Khalid. Pernah dia
terserempak Amani datang ke rumahnya dan meminta Syed Khalid menemankannya
berjalan-jalan di Kota Raya Kuala Lumpur. Ketika Syed Khalid mahu berlepas ke
Scotland, Amani beria-ia menangis kerana perpisahan itu. Dia tidak pasti perasaan
Syed Khalid terhadap Amani. Tetapi pertemuan singkat antara Syed Khalid dan
Amani kelihatannya meninggalkan kesan mendalam pada gadis itu.
“Tentang
hal itu, aku boleh bertanya pada Khalid. Tetapi kamu tidak perasankah, hubungan
antara Mukhriz dan Zarith tadi?” Tan Sri Syed Mokhtar cuba mengalih perhatian sahabatnya pada anak sulung mereka.
“Mukhriz
dan Zarith hanya teman baik. Aku sudah bertanyakan hal itu pada Zarith. Lagipun
dia sudah ada teman lelaki di AS. Mereka akan berkahwin tidak lama lagi. Aku
harap Mukhriz boleh tolong tengok-tengokkan Zarith. Cuma aku berasa agak lega
kerana teman lelaki Zarith seorang Islam juga,” terang Mansor.
Tan
Sri Syed Mokhtar mengangguk-angguk. Dia tidak menafikan, Syed Mukhriz memang
suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Anak sulungnya itu memang mudah mesra.
Teman wanitanya ramai, silih berganti. Berlainan sekali dengan Syed Khalid. Tidak
pernah dia mendengar anak bongsunya itu mempunyai teman wanita. Tetapi jika
Amani berjaya mencuri hati Syed Khalid, dia tidak pula menahan. Walau sesosial
mana pun Amani, dia percaya gadis itu masih boleh dibentuk. Pasti Syed Khalid
dapat membimbing Amani.
“InsyaAllah,
Mansor. Aku cuba risik-risik tentang hubungan Syed Khalid dengan Amani. Jika
mereka suka sama suka, aku akan usahakan supaya mereka cepat dijodohkan,”
beritahu Tan Sri Syed Mokhtar.
Kata-kata
Syed Mokhtar itu sudah cukup membuatkan Mansor kembali bersemangat. Mansor tahu
Amani memang sudah mula menaruh hati pada Syed Khalid. Sejak pertemuan malam
itu, Amani selalu bercerita tentang Syed Khalid. Dia tidak sanggup melihat
Amani kecewa. Dan yang paling meyakinkannya, dia pasti Syed Khalid dapat
menyelamatkan Amani.
Mansor
pulang dengan perasaan lega. Tan Sri Syed Mokhtar sahabat baiknya yang tidak
pernah mengecewakannya sepanjang mereka berkawan. Dia menerima kata-kata Tan
Sri Syed Mokhtar sebagai janji. Dia berdoa semoga hubungan yang diharapkan
antara Amani dan Syed Khalid akan menjadi kenyataan.