23
Suasana banglo mewah atas bukit itu kelihatan meriah dengan cahaya lampu yang terang benderang. Namun, kemeriahan itu hanya pada kilauan lampu yang pelbagai warna sahaja, tetapi persekitarannya agak sunyi daripada keriuhan suara manusia. Hanya bunyi air terjun buatan di sudut halaman yang memecah keheningan. Itulah kekurangan pada keluarga Tan Sri Syed Mokhtar, hartawan ternama tanah air. Kesemua anak lelakinya seramai empat orang masih belum berkeluarga. Walaupun mereka anak beranak tinggal bersama, kecuali Syed Khalid yang masih menuntut tetapi masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Dahulu ketika anak-anak masih kecil dan bersekolah, mereka hanya tinggal di rumah berkembar dua tingkat. Ketika itu, sudah terasa keriuhan dan keriangan anak-anak bergaduh atau bergurau senda sesama mereka. Apatah lagi membesarkan keempat-empat orang anak lelaki. Masing-masing ada kenakalan sendiri. Yang paling tua, Syed Mukhriz, agak mendengar kata tetapi suka berfoya-foya. Kedua dan ketiga, si kembar Syed Irfan dan Syed Zafran yang memang terkenal dengan kenakalannya sejak dari kecil. Syed Khalid Ikhwan sering menjadi mangsa usikan si kembar itu kerana dia yang paling kecil dan pendiam. Namun dalam diamnya, si bongsu agak degil dan sering mahu menang.
Lelaki dalam usia hampir enam puluh tahun itu tersenyum mengenangkan tingkah anak-anak yang kini sudah meningkat dewasa. Sambil melayan fikirannya, sesekali tangannya membuang makanan ikan ke kolam ikan koi. Berebut-rebut ikan berwarna perang kemerahan itu menangkap makanan seolah-olah sudah lama tidak diberi makan.
“Daddy, assalamualaikum,” suara parau memberi salam itu mengejutkan lamunannya. Tan Sri Syed Mokhtar segera berpaling. Tetapi hatinya berbunga riang. Susuk tinggi lampai itu segera dipeluknya. Rasa rindu di hati kini terubat.
“Lama Lid tak balik,” suara Tan Sri Syed Mokhtar lirih. Tangannya masih menepuk-nepuk bahu si anak.
“Lid sibuk, daddy. Ada peperiksaan,” balas Syed Khalid Ikhwan ringkas.
“Tak mengapa. Belajarlah bersungguh-sungguh. Abang-abang mana?”
“Lid balik dengan Abang Irfan. Yang lain Lid belum jumpa lagi,” balas Syed Khalid.
“Lid berpeluh-peluh ni, dari mana?” soal Tan Sri Syed Mokhtar apabila melihatkan keadaan anaknya itu yang agak tidak terurus.
Belum sempat menjawab, kedengaran suara dari luar memberi salam. Suara lelaki dan wanita yang tidak biasa didengari Syed Khalid. Daddy ada tetamu nampaknya, tetapi kenapa menyuruh mereka semua pulang? Syed Khalid tertanya-tanya sendiri. Tentu tetamu yang tidak biasa ditemui, kerana itu daddy menyuruh mereka pulang untuk bertemu. Syed Khalid cuba meneka.
Sambil menjawab salam, Tan Sri Syed Mokhtar pantas bergerak ke muka pintu, meninggalkan Syed Khalid yang masih berdiri di sisi kolam ikan koi. Kelihatan Puan Sri Zehan, isterinya sudah berada di ambang pintu menyambut kedatangan tamunya dengan riang. Mereka saling bertukar salam dan pelukan penuh mesra.
“Eh, mana Khalid tadi? Tadi ada di belakang saya?” soal Tan Sri Syed Mokhtar kepada isteri mudanya itu, sambil matanya liar mencari anak bongsunya itu. Pertanyaan itu tidak dihiraukan Puan Sri Zehan. Dia ramah melayan tetamunya yang datang dari jauh. Tan Sri dan Puan Sri itu mengiringi tetamunya ke ruang tamu untuk duduk berbual. Tanpa disedari, Syed Irfan menurut dari belakang.
“Wah, daddy, mommy. Sampai tak perasan saya langsung!” celah Syed Irfan, cuba memancing perhatian. Semua mata tertumpu padanya.
“Oh iya ...,” kata Tan Sri Mokhtar dan segera bangun mendapatkan anaknya itu.
“Ini Irfan, anak kedua saya. Irfan, kenalkan ini keluarga teman rapat daddy masa di US dulu, Uncle Mansor, isterinya Auntie Sofiah dan anak-anak mereka ..” Sampai di situ kata-katanya terhenti.
Syed Irfan segera menyalami suami-isteri itu satu persatu. Manakala dengan anak-anak mereka dia hanya menganggukkan kepala. Tetapi anak-anak gadis Uncle Mansor tetap menghulurkan tangan mereka. Cantik bergaya dan kelihatan seperti anak-anak mat saleh. Syed Irfan menyambut huluran tangan mereka.
“Ini anak-anak uncle, Zarith, Adriana dan Amani.” Uncle Mansor memperkenalkan anak-anak gadisnya. Auntie Sofiah hanya tersenyum memerhati.
“Anak lelaki kami, Aidil dan Adam masih di US. Mereka akan menyusul dua minggu lagi,” beritahu Auntie Sofiah.
“Err, nice meeting you,” ujar Syed Irfan, “Saya minta diri dulu, nak bersihkan diri. Saya baru balik dari Temerloh tadi dengan Khalid.”
Sambung Syed Irfan lagi sambil memegang bajunya. Badannya terasa melekit.
“Temerloh?” soal Tan Sri Syed Mokhtar, agak hairan.
Syed Irfan tersenyum penuh makna.
“Panjang ceritanya, daddy. Saya naik dululah,” kata Syed Irfan.
Tan Sri Syed Mokhtar hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Entah apalah projeknya di Temerloh tu,” omel lelaki itu. Selama ini dia tidak pernah mendengar apa-apa cerita tentang projek di Temerloh. Tetapi Syed Irfan selalu membuat kejutan. Mungkin hendak membuka cawangan di sana, fikirnya yang baik-baik sahaja. Dia kembali melayan tetamu jauhnya itu. Mansor adalah kawan baiknya ketika menuntut di US dahulu. Tamat belajar dia pulang ke Malaysia, tetapi Mansor menikahi Sofiah ketika masih belajar dan terus memilih untuk menetap di sana. Entah apa anginnya tiba-tiba mereka sudah mahu pulang terus ke Malaysia setelah berpuluh tahun menjadi warga Amerika. Berita itu diketahuinya beberapa bulan yang lalu. Kini sudah seminggu keluarga itu tiba di sini.
“Anak-anak kamu semuanya tinggi dengan nilai budaya Melayu,” suara Mansor tiba-tiba.
“Maksud kamu?” soal Tan Sri Syed Mokhtar agak ragu.
Mansor tidak terus bersuara. Dipandangnya anak gadisnya satu persatu. Gadis-gadis itu hanya tersenyum.
“Anak-anak aku tidak faham bahasa Melayu. Mereka dibesarkan dalam gaya hidup Barat.” Keluh Mansor. Sofiah hanya tunduk.
“Jadi kerana itu kamu mahu pulang terus ke sini?” celah Tan Sri Syed Mokhtar.
“Aku harap aku tidak terlalu lewat. Kalau boleh aku mahu mereka berkahwin dengan orang Melayu. Biarlah cucu-cucu aku dibesarkan dalam suasana keislaman dan kemelayuan,” ujar Mansor lagi. Dia berasa bebas bersuara kerana anak-anaknya tidak memahami apa yang dituturkan. Dia sendiri berasakan lidahnya agak ketat untuk bertutur dalam bahasa Melayu ketika mula sampai ke tanah air. Tetapi selepas seminggu, lidahnya kembali terbiasa.
Tan Sri Syed Mokhtar berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabat baiknya itu. Dia mahu mencungkil lagi, tetapi tidak sampai hati kerana pertemuan kekeluargaan itu biarlah berlaku secara baik dan bahagia.
“Ayuhlah kita ke meja makan. Semuanya sudah terhidang,” pelawa Puan Sri Zehan dalam bahasa Inggeris. Dia pasti, tamunya sudah tentu lebih memahami bahasa itu.
“Ya, betul,” sambut Tan Sri Syed Mokhtar, “rezeki sudah di depan mata. Apa hendak ditunggu lagi,” selorohnya. Kata-katanya disambut dengan ketawa. Sudah lama Mansor tidak mendengar gurauan sebegitu.
Mereka segera bergerak ke meja makan berkerusi dua belas, terletak bersebelahan ruang tamu. Ketika itu kedengaran kereta memasuki perkarangan rumah. Tan Sri Syed Mokhtar hanya membiarkan sahaja. Pastinya Syed Mukhriz dan Syed Zafran sudah pulang. Tidak lama selepas itu, Syed Khalid dan Syed Irfan juga menyertai mereka. Empat jejaka menghadap tiga gadis. Mungkin sudah terbiasa, anak-anak gadis Mansor ramah menyapa jejaka di hadapan mereka. Hanya Syed Khalid sahaja yang berdiam diri. Dibiarkan saja Syed Irfan dan Syed Zafran yang peramah itu melayani gadis-gadis itu.
“Maaflah, Khalid memang tidak peramah. Ada emas dalam mulutnya,” kata Tan Sri Syed Mokhtar. Mansor menterjemahkan kata-kata sahabatnya itu dan disambut dengan tawa anak-anaknya. Usia mereka hampir sebaya dengan anak-anak Tan Sri Syed Mokhtar. Syed Khalid hanya tersenyum mendengarkan sindiran bapanya.
Selepas makan malam, tetamu itu diajak berbual lagi. Peluang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan itu digunakan sepenuhnya oleh sahabat baik itu. Amani menunjukkan bakatnya bermain piano. Jari-jemarinya pantas bergerak mengalunkan lagu “Right Here Waiting”. Selama ini piano putih di ruang santai itu hanya dimainkan oleh Puan Sri Zehan. Bekas setiausaha Tan Sri Syed Mokhtar itu merupakan ibu tiri Syed Khalid Ikhwan. Juga seorang janda ketika menikahi bapanya. Tetapi wanita itu keturunan Cina peranakan Melaka dan hanya diislamkan ketika mahu bernikah. Kehadiran Puan Sri Zehan dalam keluarga itu diterima baik oleh anak-anak Tan Sri Syed Mokhtar kerana wanita itu penuh dengan sifat keibuannya. Syed Khalid ketika itu baru berumur 10 tahun. Kini sudah hampir 9 tahun Puan Sri Zehan hadir dalam keluarga mereka.
Tan Sri Syed Mokhtar membiarkan anak-anaknya bermesra dengan anak-anak Mansor. Mereka pernah bersua ketika bercuti di US beberapa tahun lepas, ketika zaman kanak-kanak lagi. Mungkin anak-anak itu sudah lupa dengan pertemuan mereka dahulu. Kali ini dia berharap hubungan itu tambah mesra lagi.
“Kalaulah antara mereka itu ada jodoh, alangkah baiknya,” tiba-tiba Mansor bersuara. Sofiah tersenyum lebar mendengarkan kata-kata si suami. Dia memang berkenan benar dengan tingkah anak-anak Tan Sri Syed Mokhtar, penuh adab dan budi bahasa Melayu. Bersalam pun mencium tangan orang tua. Budaya yang tidak lekat pada anak-anaknya.
“Soal jodoh, saya tidak memilih. Terserahlah pada budak-budak tu menentukan. Baik pada mereka, baik juga pada saya,” Tan Sri Syed Mokhtar memberi jawapan selamat. Dia berpendirian tidak mahu campur tangan dalam urusan memilih jodoh untuk anak-anaknya. Dia tidak percaya pada jodoh yang diaturkan keluarga. Ibu dan ayahnya dahulu dijodohkan oleh keluarga, akhirnya mereka bercerai kerana tidak ada keserasian. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang semula dalam keluarga itu. Cukuplah dirinya sahaja yang tersiksa akibat dibesarkan dalam keluarga yang bercerai-berai.
Mansor berasa terpukul dengan kata-kata itu. Hasrat mahu mengeratkan silaturahim dengan pertalian kekeluargaan terpaksa dipendamkan seketika. Tetapi dia tidak akan berputus asa. Ini baru pertemuan pertama. Pastinya akan ada lagi pertemuan susulan. Dia berharap salah satu anak Tan Sri Syed Mokhtar akan menerima salah seorang anaknya. Dilihatnya Syed Irfan dan Syed Zafran sangat mesra dengan anak-anaknya. Tidak mengapalah, fikir Mansor. Esok-esok dia akan ke pejabat Tan Sri Syed Mokhtar dan bercerita lebih lanjut lagi. Tidak manis kalau dalam pertemuan pertama ini dia sudah meminta macam-macam, seperti tidak ada hari esok lagi!
No comments:
Post a Comment