Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Wednesday, November 16, 2011

Bab 9

9


Selang lima minit, Nadirah mulai berasa letih menangis sendirian. Tiada gunanya mengeluarkan air mata sedangkan keadaan itu tidak membawa dirinya ke mana-mana. Tidak ada orang pun yang akan mendengar tangisannya di puncak gunung itu. Tangan dan kakinya juga terasa semakin kebas. Dia menggigil kesejukan. Dia dapat merasakan giginya berlaga antara satu sama lain. Sarung tangan bulu yang sudah mulai basah kuyup itu dicabutnya. Nadirah merenung jari-jemarinya yang mulai kecut dan membiru.
“Sampai hati ...” Keluhnya sendirian. Rasa geram pada Syed Khalid bertambah-tambah. Dia tidak sangka lelaki itu tergamak meninggalkannya sendirian di atas puncak gunung yang banyak menyimpan pelbagai cerita yang tidak enak didengar. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci yang diketahuinya. ‘Jika aku mati pun, aku ingin mati dalam keadaan beriman,’ bisik hati kecilnya. Nadirah menadah tangan, memohon doa ke hadrat Ilahi semoga dirinya selamat. Tidak dapat digambarkan bagaimana penerimaan atuk dan nenek jika mereka mengetahui tentang kemalangan ini. Kecut hati Nadirah memikirkannya. Mungkin kerana inilah atuk sangat berat hati hendak melepaskan dia pergi tempoh hari. Nadirah tidak mampu lagi menahan rasa sebak yang terbuku di dadanya. Sedikit demi sedikit esakannya kedengaran kembali.  Akhirnya tanpa segan silu lagi dia melepaskan tangisan semahu-mahunya. Hiba sungguh dirasakannya. Kini dirinya dalam kesengsaraan dan ketakutan, seorang pun tidak ada untuk membantu. Salah dia juga, ada yang ingin membantu tetapi dia yang jual mahal. Entah mengapa, dirasakannya Syed Khalid tidak ikhlas. Jika tidak ikhlas, tidak perlulah berpura-pura di hadapannya. Kehadirannya di situ hanya menambah sakit di hati.
                “Ayah ... tolong Ira, ayah,” rayunya tanpa sedar. Selalunya apabila ketakutan, ayah akan segera datang menenangkannya. Dia akan terlena semula di pangkuan ayah. Tetapi, kini semuanya hanyalah kenangan. Nadirah kembali tersedu-sedu, sedih mengenangkan diri yang kini sebatang kara. ‘Alangkah malangnya nasibku, musibah datang bertimpa-timpa,’  keluh Nadirah dalam hati. Dicubanya  menggerakkan sedikit  kakinya, namun terasa berdenyut-denyut. Jika mahu bergerak sedikit pun sudah sakit, apakan dayanya hendak bangun dan berjalan seperti biasa? Sampai bila dia harus duduk di situ dan menunggu serta terus menunggu. Menunggu siapa? Syed Khalid? Ahh .. tidak mungkin lelaki itu akan datang kembali padanya. Kini harapannya pada Jamarin, jurupandu yang ditugaskan untuk menjaga kumpulannya. Tetapi mengapa Jamarin tidak muncul-muncul? Sudah lupakah dia pada tugas utamanya, menjaga kebajikan mereka? Nadirah mengeluh panjang dan terus membenamkan wajah ke lutut. Keika itu dia hanya mampu berdoa, mengharapkan suatu keajaiban berlaku.
                Tiba-tiba dirasakannya beg sandangnya disentap dari belakang. Nadirah segera menoleh. Jantungnya berdebar-debar melihatkan sesusuk tubuh yang tercegat di sampingnya.
                “Tinggalkan beg ini di sini,” ujar Syed Khalid.
                Nadirah hanya terkebil-kebil memandang lelaki itu. Terlalu sukar hendak mengikut keputusannya. Banyak barang berharga dalam beg itu, mana mungkin beg itu ditinggalkan di situ, fikir Nadirah.
                “Ambil yang perlu sahaja dan masukkan dalam poket,” arah Syed Khalid.
Dia turut membuang beg sandangnya. Nadirah hanya memerhati perbuatan lelaki itu dengan rasa ragu. Takkan dia hendak meninggalkan beg itu di sini? Beg yang digunakan Syed Khalid dari jenama mahal, Samsonite. Dia pernah melihat harganya di kedai beg dekat Balai Berlepas tempoh hari. Sayang jika beg itu ditinggalkan. Pasti ada yang akan mencurinya, fikir Nadirah.
                “Awak nak tinggalkan beg itu di sini?” soal Nadirah, kurang percaya dengan apa yang dilihatnya ketika itu.
Syed Khalid tidak menjawab pertanyaan gadis itu. Tanpa banyak bicara dia  segera menarik tubuh Nadirah lalu mencempungnya. Nadirah menggelupur ketakutan. Namun Syed Khalid tidak menghiraukan gelagat gadis itu. Dia mengemaskan pegangannya dan segera bergerak meninggalkan tempat itu.
                “Hei, apa yang awak nak buat ni? Turunkan saya! Turunkan saya!” jerit Nadirah sambil memukul-mukul dada lelaki itu. Syed Khalid tidak mengendahkan permintaan Nadirah yang masih meronta-ronta dalam dukungannya. Dalam kekalutan itu dia masih melangkah berhati-hati. Bimbang jika tersilap langkah, mereka akan bersama-sama tergolek ke jurang yang sayup-sayup pada pandangan mata.
                “Cuba awak diam!” jerkah Syed Khalid, sudah hampir hilang sabar dengan perlakuan gadis dalam dukungannya itu. Kecut mendengar amarah Syed Khalid, Nadirah tidak lagi meronta-ronta. Dalam terpaksa, dia memeluk erat tengkuk Syed Khalid, bimbang terjatuh. Mukanya disembamkan ke dada lelaki itu. Rasa geram dan malu bercampur-campur. Keadaannya ketika itu persis seperti anak kecil dalam dukungan bapanya. ‘Agaknya sampai bila lelaki ini tahan mendukung aku?’ Hati Nadirah tertanya-tanya.
                Mujurlah cuaca seperti menyebelahi mereka. Hujan sudah mulai berhenti.  Angin yang bertiup kencang juga sudah bergerak lambat. Cahaya matahari mulai menyelinap masuk di celah kepulan awan hitam. Langkah Syed Khalid diatur berhati-hati. Tiba-tiba dia berhenti. Nadirah mengangkat muka dan memandang tepat pada jejaka itu. Jejaka itu juga turut memandang padanya. Mata mereka bertentangan. Malu pada renungan sang jejaka, Nadirah segera menundukkan kelopak matanya. Panahan sinar mata Syed Khalid yang lembut membuatkan Nadirah benar-benar rasa bersalah.
                “Maaf, saya dah tak larat lagi mendukung awak,” mengakui kelemahannya, Syed Khalid turut menurunkan Nadirah perlahan-lahan. Nadirah segera melompat turun, namun terhincut-hincut menahan rasa berdenyut pada kaki kanannya. Dia mengaduh kesakitan.
                “Jangan paksa!” Larang Syed Khalid sambil memegang lengan gadis itu, membantunya berdiri betul. Dalam terpaksa, Nadirah memaut erat lengan Syed Khalid, bimbang jika dia tergelincir kerana memijak tanah yang basah dan licin disimbahi hujan.
                “Tak apa, tak apa, saya cuba ...” Pintas Nadirah.
                “Jangan, kaki awak dah bengkak. Nanti tendon cedera, lagi teruk,” beritahu Syed Khalid. Wajahnya agak cemas melihatkan keadaan Nadirah. Bukan dia tidak tahu bagaimana sakitnya jika tendon tercedera. Dia pernah mengalaminya kerana kecederaan semasa bermain bola sepak.
                “Saya rasa kita tukar posisi. Saya boleh gendong awak di belakang. Awak naiklah,” pelawa Syed Khalid sambil membongkokkan badannya, memberi laluan kepada Nadirah. Namun gadis itu memandangnya penuh curiga, sambil menggigit ibu jarinya. Syed Khalid tersenyum melihat gelagat manja gadis di hadapannya itu.
                “Kenapa? Tak percayakan saya lagi?” soal Syed Khalid.
Nadirah geleng.
                “Habis tu?”
                “S-s-saya ...”
Nadirah teragak-agak untuk meluahkan kata-katanya. Syed Khalid tersenyum lagi, seakan dapat membaca isi hati si gadis.
“Saya tahu awak malu. Tapi kita dalam keadaan darurat sekarang. Saya takkan biarkan awak sendirian di sini. Memang tanggungjawab saya untuk memastikan awak selamat. Kita tak ada pilihan yang lebih baik. Lagipun saya kesiankan awak. Kaki awak akan jadi lebih teruk kalau awak paksa diri. Awak tak nak ketinggalan dalam aktiviti lain, kan?” suara Syed Khalid seperti memujuk.
Nadirah terdiam seketika, memikirkan tawaran jejaka di hadapannya itu. Memang betul kata Syed Khalid, bukan mendaki gunung sahaja aktiviti yang dirancang ketika berada di bumi ‘Di bawah bayu’ ini. Selepas turun dari Gunung Kinabalu, mereka akan berkelah di Pulau Manukan, salah sebuah pulau yang diwartakan dalam Taman Tunku Abdul Rahman.
“Jika awak cedera, saya yakin Abang Wak takkan benarkan awak ikut kami ke Pulau Manukan. Awak akan direhatkan di Kampus Sabah,” sambung Syed Khalid lagi, sengaja mengapi-apikan perasaan Nadirah ketika itu. Bulat mata Nadirah merenung Syed Khalid yang tersenyum sinis. Sesungguhnya dia tidak mahu ditinggalkan sendirian. Rugilah dia jika tidak dapat menyertai semua aktiviti yang telah dirancang.
“Awak ...”
Syed Khalid mengangkat kening, tanda kurang pasti dengan soalan yang bakal dikemukakan oleh gadis itu.
“Saya boleh dukung awak di belakang. Posisi itu lebih mudah untuk saya bergerak pantas. Lagipun di hadapan sana ada lurah yang mesti kita turuni dengan menggunakan tangga. Bagaimana saya hendak bergerak jika saya masih mencempung awak?” terang Syed Khalid yang sudah kelihatan mesra. Dia ternyata telah membuang egonya selama ini. Hanya Nadirah yang masih ragu-ragu.
“Cepat naik,” ujar jejaka itu seperti sudah tidak sabar-sabar lagi, sambil menepuk-nepuk belakangnya.
Nadirah akur. Dia segera memanjat belakang Syed Khalid dan apabila sudah selesa, Syed Khalid mula bergerak ke hadapan.
“Awak ...” panggil Nadirah teragak-agak, suaranya agak kurang jelas.
“Ya?” soal Syed Khalid, memohon kepastian. Dia menoleh sedikit untuk melihat wajah Nadirah yang hampir dengan pipinya itu. Seumur hidupnya tidak pernah dia berada sebegitu rapat dengan perempuan. Hati di dalam agak berdebar-debar, namun cuba dikawal perasaan itu. Malulah jika Nadirah dapat membaca perasaannya. Dan jika masing-masing masih menyimpan rasa malu untuk mendekati antara satu sama lain, sudah tentu mereka tidak akan ke mana-mana.
“Terima kasih kerana sudi bantu saya. Maafkan saya, ya?” bisik Nadirah ke telinga Syed Khalid, cepat-cepat.
Kata-kata itu membuatkan Syed Khalid ketawa kuat. Entah apa yang dirasakan lucu, Nadirah kurang pasti.
“Hidup ini memang saling memerlukan. Jadi, pesan saya, jangan terlalu ego. Apa pun tindakan kita, fikirkan perasaan orang lain juga,” sinis suara jejaka itu.
Nadirah hanya mendengus. Memang dia cukup terasa dengan sindiran lelaki itu. Namun, dia terpaksa memekakkan telinga. Ketika itu, hanyalah Syed Khalid harapannya untuk meneruskan perjalanan ke kaki gunung. Dia sudah tidak berdaya untuk melangkah lagi.
“Awak dah bersedia?” Soal Syed Khalid tiba-tiba.
“Huh?” Soalan itu membuatkan Nadirah terkejut. Dia tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Syed Khalid. Dalam bercakap tentang perasaan, tiba-tiba bertanyakan soalan itu pula. Dia benar-benar panik.
“Pegang saya kuat-kuat,” beritahu Syed Khalid.
Dada Nadirah semakin berdebar. Kenapa tiba-tiba Syed Khalid berkata demikian? Ada maksud yang tidak baikkah dalam fikirannya? Tetapi Nadirah dapat merasakan yang ketika itu Syed Khalid juga menarik pahanya dan merapatkan ke badannya, memperkemaskan kedudukan. Nadirah terasa malu. Mujurlah pakaian yang dipakai berlapis-lapis itu menyebabkan dia tidak begitu terasa anggota badan mereka bersentuhan.

No comments:

Post a Comment