Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Wednesday, November 16, 2011

Bab 10

10

Nadirah memejamkan matanya rapat-rapat. Dia tidak pasti apa yang ingin dilakukan oleh Syed Khalid pada dirinya. Dalam keadaan itu dia hanya pasrah. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran, memohon perlindungan daripada Yang Maha Esa semoga dirinya terlepas daripada segala bala. Harapan untuk melindungi dirinya ketika itu hanyalah pada Syed Khalid semata-mata. Tetapi jika lelaki itu berpaling tadah, mengambil kesempatan atas dirinya pula, apakan dayanya lagi. Baru beberapa kali bersua lelaki itu, sudah pasti dia tidak dapat membaca hati budinya.

“Apa yang awak bisik-bisik seorang diri tu?” tegur Syed Khalid. Dia dapat mendengar bunyi bisikan Nadirah, tetapi tidak dapat menangkap butir bicara percakapannya.

“Eh, tak ada apa-apa ...” Cepat-cepat Nadirah menjawab.

Terasa pautannya bertambah longgar, Nadirah segera memaut leher Syed Khalid kuat-kuat, memendam rasa takut yang mula menguasai diri.

“Awak dah sedia?” ulang Syed Khalid lagi.

“S-sedia apa?” Nadirah gugup.

“Pegang kuat-kuat ... argh!!” Dalam bercakap itu, tiba-tiba Syed Khalid menjerit seperti orang kelemasan yang mencari ruang untuk bernafas.

“Kenapa, kenapa?” soal Nadirah, ikut cemas. Pautannya pada jejaka itu segera dilonggarkan.

“Awak ... awak macam nak cekik leher saya. Jangan kuat sangat, tak bernafas saya nanti,” kata Syed Khalid, terbatuk-batuk. Mungkin mahu membetulkan rongga kerongkong yang tersepit. Dia menarik nafas dalam-dalam.

Nadirah tersengih, tidak disangkanya dia memaut leher lelaki itu keterlaluan.

“Opps, maaf. Saya tak sangka saya terpaut kuat sangat,” ujar Nadirah, malu-malu. Pakaian tebal yang berlapis-lapis itu mungkin sebabnya kerana dia tidak merasakan pelukannya terlalu kuat.

“Bersedia ya, kita akan menuruni cerun menggunakan tangga. Awak peluk saya kuat-kuat, rapatkan badan pada saya,” beritahu Syed Khalid, “Sebab kalau kita melakukan kesilapan, kita mungkin terjatuh ke jurang yang dalam itu.”

Nauzubillah ... Dada Nadirah semakin berdebar-debar. Dia menjenguk ke hadapan. Betul, di hadapan mereka terbentang cerun curam. Mereka terpaksa meniti anak tangga yang diperbuat daripada kayu. Mampukah Syed Khalid melakukannya sedangkan dia menanggung bebanan yang berat di belakang? Nadirah resah memikirkan keselamatan mereka.

“Nanti dulu!” sanggah Nadirah.

“Kenapa?” Syed Khalid segera berpaling. Tanpa sengaja pipi mereka berlaga antara satu sama lain. Nadirah cuba berlagak selamba walaupun malunya pada lelaki itu tidak terkata. Dia perasan, wajah Syed Khalid ikut berubah.

“Kalau awak rasa tak yakin melalui cabaran ini, turunkan saya. Saya cuba berjalan sendiri. Saya tak mahu awak menerima susah kerana saya,” ujar Nadirah dengan suara yang bergetar. Rasa malu, takut, bimbang bercampur-campur.

“Jangan bimbang. Saya tahu apa yang saya buat. Berdoa semoga kita selamat. Yang penting, awak jangan panik. Relaks saja, rapatkan badan awak pada badan saya seolah-olah badan kita hanya satu. Insya-Allah, kita akan selamat.” Balas Syed Khalid dengan penuh yakin. Dalam hatinya tetap rasa bersyukur kerana Nadirah bukanlah berat sangat. Dia yakin mampu melakukannya jika Nadirah memberikan kerjasama.

Nadirah hanya menurut. Dia melekapkan badannya pada badan Syed Khalid. Harapannya hanya satu, semoga mereka selamat melalui cabaran yang amat getir ini. Minta-minta tangga yang bakal dilalui cukup kuat untuk menampung berat mereka berdua. Tidak sanggup untuk melihat kecuraman cerun yang bakal dilalui, Nadirah memejamkan matanya rapat-rapat. Nafasnya turun naik dengan kencang, menahan resah dan gelisah. Lama rasanya menunggu mereka tiba ke bawah cerun dengan selamat. Dia dapat merasakan Syed Khalid mengatur langkahnya dengan amat berhati-hati. Kini nyawanya bergantung pada kecekapan Syed Khalid dan dengan izin Allah s.w.t. semata-mata. Dalam hati, dia hanya mampu berdoa semoga mereka berdua dilindungi daripada bahaya.

“Alhamdulillah, dah selamat,” ujar Syed Khalid dengan gembira.

Nadirah segera membuka mata. Benar, mereka kini sudah tiba di bawah. Nadirah mengucap syukur.

“Terima kasih, terima kasih awak ...” ungkap Nadirah berkali-kali. Tidak tergambar perasaan gembiranya kerana sudah melepasi keadaan paling getir sepanjang ekspedisi itu. Tanpa sedar air matanya berlinangan. Kalaulah dia boleh melaluinya sendiri, tanpa bantuan Syed Khalid, tentu perasaannya tidak segusar ini. Selamat atau tidaknya mereka, bergantung kepada kecekapan Syed Khalid semata-mata. Mujurlah lelaki ini seorang yang berpengalaman mendaki gunung. Dalam pada itu dia juga berasa terhutang budi pada Abang Wak yang memasukkan Syed Khalid dalam kumpulannya.

“Kita rehat sekejap,” beritahu Syed Khalid. Dia menurunkan Nadirah perlahan-lahan. Bimbang menyakiti kaki gadis itu lagi. Dia ikut duduk di sisi Nadirah. Ketika itu baru dia perasan yang gadis itu mengalirkan air mata.

“Kenapa awak menangis?” soal Syed Khalid, hairan.

Nadirah segera mengesat air matanya.

“Saya terharu. Kita dah berjaya melalui cerun itu,” balas Nadirah, “Saya takut sangat!”

Syed Khalid menggeleng-gelengkan kepala sambil tersengih. Perempuan ... marah menangis, sedih menangis, takut menangis, gembira pun menangis! Dia tidak memahami perasaan perempuan. Agaknya spesies ini sangat mudah mengalirkan air mata dalam apa keadaan pun.

“Sabarlah. Kalau kita berjaya melepasi ujian ini, ekspedisi kita akan menjadi begitu bermakna. Bukan semua orang dapat melaluinya,” pujuk Syed Khalid.

Nadirah hanya mendiamkan diri. Dia berteleku kesejukan. Ekspedisi ini benar-benar mencabar. Dia tidak menyangka langsung akan melalui susah-payah sebegini. Memang betul cakap Syed Khalid, ekspedisi ini boleh jadi mudah, boleh jadi sukar. Dia antara yang ‘terpilih’ untuk melalui kesukaran itu. Mujurlah ada yang menawarkan bantuan. Mata Nadirah merenung jejaka di hadapannya yang mula terbaring keletihan. Kesian, kerana aku kau bersusah-payah. Nadirah benar-benar bersimpati kepada Syed Khalid. Dalam bermenung, tiba-tiba ingatannya melayang pada Saiful. Saiful juga seperti Syed Khalid, amat mudah untuk menghulurkan bantuan. Dia benar-benar berasa beruntung kerana bertemu dengan kedua-dua jejaka seperti itu.

“Nad ...”

Tiba-tiba Nadirah merasakan seperti ada suara yang memanggil sedemikian. Dia benar-benar terkejut. Sudah lama panggilan itu tidak digunakan. Kenapa tiba-tiba di puncak gunung ini kedengaran pula? Nadirah mula berasa gementar. Ada yang cuba mengusiknyakah? Dia menoleh pada Syed Khalid yang masih terbaring sambil menutup mata dengan lengannya. Kelihatan seperti sedang terlena. Tidak berani pula dia hendak mengejutkan jejaka itu. Perlahan-lahan dia berensut merapati jejaka itu, masih mengharapkan perlindungan. Nadirah hanya memasang telinga, cuba mengamati sekiranya suara itu kedengaran lagi.

Seketika kemudian sesusuk tubuh muncul berhampiran mereka. Oh, Jamarin! Nadirah girang. Sekurang-kurangnya kehilangannya mendapat perhatian dari jurupandu itu. Nadirah segera melambaikan tangannya kepada jejaka Dusun itu.

“Kamu tak apa-apa, Na .. Nad?” soal Jamarin, ragu-ragu dengan nama yang perlu dipanggilnya. Memang dia terlupa nama gadis itu seperti yang diberitahu oleh kawan-kawannya sebentar tadi.

Nadirah menggeleng.

“Nadirah!” Nadirah segera membetulkan panggilan namanya, “Kaki saya terseliuh kerana terjatuh ditolak angin kencang. Nasib baik Syed Khalid datang membantu,” terang Nadirah.

Mendengar suara orang bercakap-cakap, Syed Khalid mengangkat lengannya dan membuka mata. Demi terpandangkan Jamarin berhampiran mereka, dia bingkas bangun.

“Tak ada apa-apa. Semuanya selamat,” balas Syed Khalid pula. Tanpa dipinta dia segera menceritakan kejadian yang berlaku kepada Jamarin.

“Macam ini, kamu berdua teruskan perjalanan. Kawan-kawan kamu ada menunggu di check point terdekat. Sudah tak jauh, hanya lima hingga sepuluh minit dari sini. Saya pergi ambil beg kamu.” Beritahu Jamarin. Sekejap sahaja lelaki itu sudah hilang dari pandangan.

“Mari, kita teruskan perjalanan,” ujar Syed Khalid kepada Nadirah. Dia membongkokkan badan, sudah bersedia untuk menggendong Nadirah sekali lagi.

Nadirah benar-benar terasa malu. Namun dia tiada pilihan. Dalam hati dia hanya dapat memujuk dirinya bahawa semuanya adalah kerana darurat. Jika tidak, pasti dia tidak sanggup didukungi oleh seorang jejaka seperti Syed Khalid. Apatah lagi dia pernah memusuhi lelaki itu.

Sewaktu mereka tiba di check point yang terdekat, kelihatan ahli kumpulan yang lain sudah sedia menunggu. Sebaik sahaja terpandang kelibat Syed Khalid yang masih menggendong Nadirah, mereka bersorak, membuat siulan nakal, untuk mengusik kedua-duanya. Keadaan itu membuatkan Syed Khalid menjadi panik seketika. Dia segera melepaskan Nadirah yang berada di belakangnya sehingga gadis itu jatuh terjelepuk di atas tanah. Nadirah menjerit kesakitan. Ayu segera berlari mendapatkan rakannya itu, bimbang terjadi sesuatu yang buruk.

“Kau tak apa-apa, N?” tanya Ayu cemas.

Nadirah menggosok-gosok kakinya yang masih berdenyut. Sambil itu mulutnya merungut. Ayu segera berpaling pada jejaka yang masih terkebil-kebil, tidak keruan.

“Apa kau ni, Syed? Dah tahu kawan kita sakit, kau jatuhkan dia, kenapa?” marah Ayu.

Wajah Syed Khalid kelihatan serba-salah. Dia memang tidak sengaja hendak menjatuhkan gadis itu. Rasa malu disorak oleh rakan-rakan menyebabkan dia bertindak di luar sedar.

“Maaf ...” Suara Syed Khalid terketar-ketar. Dia tidak tahu apa yang perlu dibuatnya ketika itu. Mujurlah Abang Wak muncul tiba-tiba untuk melihat keadaan Nadirah. Syed Khalid berasa cukup lega. Perlahan-lahan dia mengundur diri, memberikan Abang Wak ruang untuk merawat gadis itu pula.

No comments:

Post a Comment