Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Wednesday, December 7, 2011

Bab 11

11

Sebaik tiba di kaki gunung, rombongan itu ditempatkan di asrama Kinabalu Park. Mereka akan bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Manukan keesokan harinya. Sepanjang petang pelajar itu mengambil peluang untuk berehat. Dua hari berturut-turut mendaki dan menuruni gunung yang tertinggi di Asia itu, pastilah kehilangan tenaga yang banyak. Besok perlu berekspedisi ke pulau pula dengan menaiki bot. Lagipun kesejukan persekitaran menyebabkan pelajar itu lebih memilih untuk tidur sahaja.
Selepas makan malam, Nadirah dan Ayu  sengaja berjalan-jalan di perkarangan asrama, mengambil angin di luar. Lagipun malam masih muda. Hendak tidur, sudah puas mereka melelapkan mata sepanjang petang. Kebetulan mata masih belum mengantuk, mereka mengambil kesempatan itu untuk bersantai sambil merakam kenangan di asrama Kinabalu Park. Di foyer asrama, kelihatan beberapa orang pendaki berbangsa Eropah duduk-duduk sambil berbual-bual sesama mereka dan menghisap rokok. Mereka hanya tersenyum dan bertukar anggukan apabila melihat kehadiran Nadirah dan Ayu di situ.
            “Be careful, girl,” tegur salah seorang daripada mereka apabila melihatkan Nadirah berjalan terhencut-hencut. Nadirah tahu kakinya masih bengkak, tetapi sengaja dipaksanya juga berjalan menggunakan sebatang kayu sebagai topang.
Thanks,” balas Nadirah, menghargai keprihatinan pemuda Eropah itu.
Handsome! Getus hatinya. Namun dia tidak dapat berlama-lama di situ. Asap rokok yang berkepul-kepul di awangan membuatkan Nadirah berasa rimas. Dia segera mengajak Ayu beredar dari situ. Tetapi gadis itu berkeras mahu mengambil gambar mat-mat saleh itu sebagai kenangan. Orang-orang Eropah itu pula memberikan kerjasama yang baik. Mereka melayan Ayu dengan mesra. Terpaksalah Nadirah mengalah dengan kehendak Ayu. Seketika kemudian mereka beredar pula ke perkarangan asrama, cuba mencari sudut yang baik untuk diabadikan di lensa kamera. Tetapi suasana yang gelap di luar memaksa mereka masuk semula ke bangunan asrama.
Bingung seketika memikirkan ke mana hendak di tuju. Udara sejuk malam itu membuatkan kedua-dua gadis itu memutuskan untuk kembali ke dalam asrama. Akhirnya mereka sepakat untuk ke ruang rehat, di situ terdapat pendiang yang apinya masih membara. Lebih selesa duduk di situ untuk memanaskan badan. Suasana agak sunyi. Namun tidak lama. Sedikit demi sedikit kedengaran titisan air hujan yang mula menimpa atap zink asrama itu. Hujan kembali turun.
            “Kau tunggu sini, aku buatkan kopi,” Ayu menawarkan diri. Nadirah hanya mengangguk. Sambil menunggu, dia melemparkan seketul dua kayu untuk menyemarakkan lagi unggun api yang mulai membara. Tidak berapa lama menunggu, Ayu tiba sambil menatang dua biji kole berisi kopi panas di tangan kanan dan kirinya. Dia menyuakan satu kepada Nadirah. Sambil menghirup kopi panas, mereka berbual, bergelak ketawa mengenangkan kisah-kisah lucu sepanjang perjalanan mereka dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan juga pengalaman mendaki Gunung Kinabalu. Masuk hari ini, sudah tiga hari mereka berada di ‘Negeri di Bawah Bayu’ itu. Besok mereka akan bertolak ke Pulau Manukan, bermalam di sana semalaman sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur lusa.        
Perbualan rancak kedua-dua gadis itu terhenti serta-merta apabila tiba-tiba Ayu mengerang kesakitan sambil memegang perutnya. Nadirah panik.
“Kenapa, Ayu?” soal Nadirah dengan rasa cemas. Tadi elok sahaja mereka berbual, tiba-tiba Ayu kelihatan seperti menahan kesakitan.
“Alah ... perut aku memulas pulak! Mesti tak sesuai dengan kopi ni,” rungut Ayu yang mudah sensitif dengan makanan asing. Dia bingkas bangun dan berlari ke luar.
“Aku cari tandas!” suara Ayu sayup kedengaran di sebalik daun pintu. Nadirah hanya tergelak memerhati tingkah rakannya itu. Ada-ada sahaja si Ayu ni, gumamnya.
Dalam mentertawakan gelagat si Ayu, Nadirah terdengar suara garau berdehem beberapa kali.  Dia segera menoleh pada pemilik suara yang seolah-olah sengaja ingin menarik perhatiannya itu. Jejaka yang  berdiri di ambang pintu itu tersenyum sambil mara ke arahnya tanpa dipelawa.
            “Tak tidur lagi?” sapa si jejaka dengan nada yang lembut.
            Nadirah terkesima. Kehadiran Syed Khalid tanpa diundang itu membuatkan dia serba-salah. Apatah lagi dia hanya sendirian. Rasa malunya pada jejaka itu masih menebal.
            “Sejuk, lebih selesa duduk dekat pendiang ni sambil minum kopi untuk panaskan badan,” beritahu Nadirah, tidak terus menjawab soalan si jejaka. Nadirah memeluk tubuh, menggosok-gosok lengannya menahan kesejukan.
Syed Khalid tersenyum.
            “Boleh saya join?” tanya Syed Khalid sambil melabuhkan duduknya di bangku kosong berhampiran Nadirah. Dia tidak perlu menunggu jawapan daripada gadis itu kerana ruang rehat itu milik orang ramai. Soalannya itu lebih kepada berbahasa sahaja.
            Nadirah kehilangan kata-kata. Sesekali dia memanjangkan lehernya ke arah pintu, mengharapkan kedatangan Ayu. Jika ada Ayu, tidaklah dia berasa begitu kekok berhadapan dengan lelaki ini, fikir Nadirah. Namun dia sedar, takkan Ayu boleh menyelesaikan urusannya secepat itu!
Syed Khalid dapat membaca riak resah pada wajah gadis di hadapannya itu namun dia cuba berlagak selamba. Dia kemudiannya bangun dan mengambil beberapa puntung kayu api untuk menyemarakkan lagi api pendiang.  Dia sengaja berlama-lama di hadapan pendiang itu,  menguis-nguis puntung kayu yang berserakan dan mengumpulkannya di tengah-tengah pendiang. Hanya apabila puntung kayu itu terbakar marak barulah dia duduk semula.
“Saya nak ke dapur tadi, tapi terdengar pula suara orang berbual. Rupa-rupanya awak dan Ayu,” Syed Khalid memulakan perbualan.
“Eh, mana Ayu?” soalnya kemudian apabila menyedari ketiadaan gadis itu.
Emergency call!” balas Nadirah selamba, membuatkan Syed Khalid tertawa berdekah-dekah. Sejak mengenali gadis itu, dia asyik ke tandas sahaja! Tiada alasan lain.
“Macam mana kaki? Ada kurang sakitnya?” soal Syed Khalid sambil mengalih pandangan pada kaki kanan Nadirah yang masih berbalut. Nadirah tersenyum, turut memerhatikan kakinya yang terlunjur lurus.
“Alhamdulillah, dah kurang sakit walaupun kadang-kadang terasa masih berdenyut-denyut. Terima kasih Syed, kerana bantu saya. Kalau tidak ...” Nadirah tidak meneruskan kata-katanya. Dia tidak pasti apa yang akan berlaku sekiranya Syed Khalid tidak datang membantu.
“Tak apa, memang tugas saya. Saya lebih rasa bersalah kalau tidak dapat  menolong awak.” Ujar lelaki itu, ikhlas. Sudah tugasnya sebagai ketua kumpulan, lagipun hanya dia yang berpengalaman. Jadi tidak wajar kalau dia berlepas tangan sahaja dalam hal-hal kecemasan seperti ini.
“Tapi, saya pun nak minta maaf kerana tak sengaja menjatuhkan awak pagi tadi,” sambung Syed Khalid lagi sambil matanya melirik pada Nadirah, memandang gadis itu dengan rasa bersalah. Bimbang juga akan dimarahi kerana sejak peristiwa pagi tadi, dia langsung tidak bercakap dengan Nadirah. Dia memang sengaja mengelakkan diri daripada berjumpa dengan gadis itu. Rasa malu dan rasa bersalah silih berganti. Cuma kebetulan malam ini dia tersua gadis itu secara tidak sengaja, jadi peluang ini mahu digunakan untuk menebus kesilapannya pagi tadi.
Nadirah hanya tertawa. Dia memang tahu kejadian itu tidak disengajakan. Syed Khalid nampak benar-benar panik apabila mendengar sorakan kawan-kawan satu kumpulan.
“Tak, awak tak salah. Saya tahu, awak panik.” balas Nadirah.
Syed Khalid ikut ketawa.
“Alhamdulillah, awak faham keadaan saya. Sebenarnya saya memang tak biasa dengan perempuan. Apatah lagi mendukung begitu. Tapi niat saya cuma nak bantu awak cepat beredar dari puncak gunung itu. Saya tak sangka budak-budak tu pandang serong pada perbuatan saya. Saya malu, itu yang buat saya tak tentu arah!” terang Syed Khalid panjang lebar. Mendengarkan kata-kata lelaki itu, tawa Nadirah mati serta-merta.
“Takkan lelaki seperti awak tak biasa dengan perempuan?” Nadirah cuba menduga. Seperti tidak masuk akal pula apabila dia mengaku tidak biasa dengan perempuan! Hati Nadirah berasa sedikit curiga.
Syed Khalid menggeleng.
“Secara jujur saya katakan, awak perempuan pertama yang berani saya dekati secara berhadapan seperti ini. Saya memang tak biasa dengan perempuan. Saya membesar dalam keluarga yang kesemuanya lelaki!”
Pelik! Pengakuan itu agak memeranjatkan Nadirah. Terdetik juga rasa tidak percaya dengan pengakuan lelaki itu. Mana mungkin dia dibesarkan dalam keluarga yang kesemuanya lelaki?
“Ibu awak kan perempuan?” soal Nadirah.
Syed Khalid tunduk, bermain dengan jari-jemarinya. Agak lama juga dia terdiam. Kemudian dia mengangkat kepala, memandang gadis di hadapannya itu dengan pandangan yang sayu. Anak matanya dikecilkan, seolah-olah menyelongkar zaman silam dalam kenangan.
“Ibu meninggal ketika saya masih bayi. Saya dibesarkan oleh orang gaji, pun lelaki. Hanya ketika berumur 10 tahun barulah ayah saya berkahwin lain.” Suara jejaka itu berbaur rasa sedih. Nadirah terdiam seketika. Kesedihan itu mengingatkan dia pada kisah dukanya juga. Tetapi ada perkataan jejaka itu yang menarik perhatiannya.
“Orang gaji lelaki?” tanya Nadirah, masih kurang percaya. Seumur hidupnya tidak pernah terbayangkan orang lelaki menjadi pembantu rumah.
Syed Khalid mengangguk.
“Ya, awak tentu pernah menonton filem Nasib Labu Labi, kan? Macam itulah. Saya pun selalu panggil Pak Lan dan Pak Abu yang jadi pembantu rumah kami tu Labu dan Labi.” Terang Syed Khalid sambil ketawa mengenangkan kedua-dua pembantu rumahnya itu. Pak Lan membersihkan rumah manakala Pak Abu memasak. Nadirah ikut ketawa. Lucu juga apabila mendengarkan kisah Labu Labi bukan setakat dalam filem, tetapi hadir dalam realiti.
Lalu tanpa dipinta Syed Khalid menceritakan kisah Labu dan Labi di rumahnya. Cuma kedua-dua orang tua itu tidaklah terlalu lurus seperti Labu dan Labi yang digambarkan dalam filem P. Ramlee itu. Pak Lan dan Pak Abu amat berdisiplin dan baik hati orangnya. Syed Khalid turut menceritakan beberapa peristiwa lucu ketika dia dibesarkan oleh Labu dan Labinya.
“Tapi kini Labu dan Labi saya sudah bersara,” Syed Khalid menamatkan ceritanya di situ.
Terpegun Nadirah mendengarkan cerita Syed Khalid. Dia tidak pasti mengapa jejaka itu sudi berkongsi cerita tentang keluarganya pula malam itu. Namun, dia berasa terhibur dengan cerita lucu Syed Khalid tentang Labu dan Labinya itu. Sekurang-kurangnya malamnya di asrama Kinabalu Park tanpa apa-apa alat pandang dengar itu tidaklah terlalu kosong dan hambar.
“Saya nak bersahabat dengan awak, Nadirah. Boleh?” ujar Syed Khalid kemudiannya, penuh mengharap. Dia tahu Nadirah seperti tidak mahu memaafkannya. Kerana pada pertemuan di padang ITM tempoh hari, gadis itu melayannya sambil lewa sahaja. Di puncak gunung juga dia tidak mesra, masih membina jurang antara mereka. Sehinggalah ketika dia mendukung gadis itu, barulah si gadis berlembut sedikit. Mungkin kerana berasa terhutang budi dengan bantuan yang dihulurkan. Tetapi dia membantu dengan ikhlas. Jika Nadirah masih ingin menjauhkan diri darinya pun, dia terpaksa menerima hakikat itu. Dia memang tidak pandai mendekati perempuan, apatah lagi memenangi hati kaum hawa itu.

Wednesday, November 16, 2011

Bab 10

10

Nadirah memejamkan matanya rapat-rapat. Dia tidak pasti apa yang ingin dilakukan oleh Syed Khalid pada dirinya. Dalam keadaan itu dia hanya pasrah. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran, memohon perlindungan daripada Yang Maha Esa semoga dirinya terlepas daripada segala bala. Harapan untuk melindungi dirinya ketika itu hanyalah pada Syed Khalid semata-mata. Tetapi jika lelaki itu berpaling tadah, mengambil kesempatan atas dirinya pula, apakan dayanya lagi. Baru beberapa kali bersua lelaki itu, sudah pasti dia tidak dapat membaca hati budinya.

“Apa yang awak bisik-bisik seorang diri tu?” tegur Syed Khalid. Dia dapat mendengar bunyi bisikan Nadirah, tetapi tidak dapat menangkap butir bicara percakapannya.

“Eh, tak ada apa-apa ...” Cepat-cepat Nadirah menjawab.

Terasa pautannya bertambah longgar, Nadirah segera memaut leher Syed Khalid kuat-kuat, memendam rasa takut yang mula menguasai diri.

“Awak dah sedia?” ulang Syed Khalid lagi.

“S-sedia apa?” Nadirah gugup.

“Pegang kuat-kuat ... argh!!” Dalam bercakap itu, tiba-tiba Syed Khalid menjerit seperti orang kelemasan yang mencari ruang untuk bernafas.

“Kenapa, kenapa?” soal Nadirah, ikut cemas. Pautannya pada jejaka itu segera dilonggarkan.

“Awak ... awak macam nak cekik leher saya. Jangan kuat sangat, tak bernafas saya nanti,” kata Syed Khalid, terbatuk-batuk. Mungkin mahu membetulkan rongga kerongkong yang tersepit. Dia menarik nafas dalam-dalam.

Nadirah tersengih, tidak disangkanya dia memaut leher lelaki itu keterlaluan.

“Opps, maaf. Saya tak sangka saya terpaut kuat sangat,” ujar Nadirah, malu-malu. Pakaian tebal yang berlapis-lapis itu mungkin sebabnya kerana dia tidak merasakan pelukannya terlalu kuat.

“Bersedia ya, kita akan menuruni cerun menggunakan tangga. Awak peluk saya kuat-kuat, rapatkan badan pada saya,” beritahu Syed Khalid, “Sebab kalau kita melakukan kesilapan, kita mungkin terjatuh ke jurang yang dalam itu.”

Nauzubillah ... Dada Nadirah semakin berdebar-debar. Dia menjenguk ke hadapan. Betul, di hadapan mereka terbentang cerun curam. Mereka terpaksa meniti anak tangga yang diperbuat daripada kayu. Mampukah Syed Khalid melakukannya sedangkan dia menanggung bebanan yang berat di belakang? Nadirah resah memikirkan keselamatan mereka.

“Nanti dulu!” sanggah Nadirah.

“Kenapa?” Syed Khalid segera berpaling. Tanpa sengaja pipi mereka berlaga antara satu sama lain. Nadirah cuba berlagak selamba walaupun malunya pada lelaki itu tidak terkata. Dia perasan, wajah Syed Khalid ikut berubah.

“Kalau awak rasa tak yakin melalui cabaran ini, turunkan saya. Saya cuba berjalan sendiri. Saya tak mahu awak menerima susah kerana saya,” ujar Nadirah dengan suara yang bergetar. Rasa malu, takut, bimbang bercampur-campur.

“Jangan bimbang. Saya tahu apa yang saya buat. Berdoa semoga kita selamat. Yang penting, awak jangan panik. Relaks saja, rapatkan badan awak pada badan saya seolah-olah badan kita hanya satu. Insya-Allah, kita akan selamat.” Balas Syed Khalid dengan penuh yakin. Dalam hatinya tetap rasa bersyukur kerana Nadirah bukanlah berat sangat. Dia yakin mampu melakukannya jika Nadirah memberikan kerjasama.

Nadirah hanya menurut. Dia melekapkan badannya pada badan Syed Khalid. Harapannya hanya satu, semoga mereka selamat melalui cabaran yang amat getir ini. Minta-minta tangga yang bakal dilalui cukup kuat untuk menampung berat mereka berdua. Tidak sanggup untuk melihat kecuraman cerun yang bakal dilalui, Nadirah memejamkan matanya rapat-rapat. Nafasnya turun naik dengan kencang, menahan resah dan gelisah. Lama rasanya menunggu mereka tiba ke bawah cerun dengan selamat. Dia dapat merasakan Syed Khalid mengatur langkahnya dengan amat berhati-hati. Kini nyawanya bergantung pada kecekapan Syed Khalid dan dengan izin Allah s.w.t. semata-mata. Dalam hati, dia hanya mampu berdoa semoga mereka berdua dilindungi daripada bahaya.

“Alhamdulillah, dah selamat,” ujar Syed Khalid dengan gembira.

Nadirah segera membuka mata. Benar, mereka kini sudah tiba di bawah. Nadirah mengucap syukur.

“Terima kasih, terima kasih awak ...” ungkap Nadirah berkali-kali. Tidak tergambar perasaan gembiranya kerana sudah melepasi keadaan paling getir sepanjang ekspedisi itu. Tanpa sedar air matanya berlinangan. Kalaulah dia boleh melaluinya sendiri, tanpa bantuan Syed Khalid, tentu perasaannya tidak segusar ini. Selamat atau tidaknya mereka, bergantung kepada kecekapan Syed Khalid semata-mata. Mujurlah lelaki ini seorang yang berpengalaman mendaki gunung. Dalam pada itu dia juga berasa terhutang budi pada Abang Wak yang memasukkan Syed Khalid dalam kumpulannya.

“Kita rehat sekejap,” beritahu Syed Khalid. Dia menurunkan Nadirah perlahan-lahan. Bimbang menyakiti kaki gadis itu lagi. Dia ikut duduk di sisi Nadirah. Ketika itu baru dia perasan yang gadis itu mengalirkan air mata.

“Kenapa awak menangis?” soal Syed Khalid, hairan.

Nadirah segera mengesat air matanya.

“Saya terharu. Kita dah berjaya melalui cerun itu,” balas Nadirah, “Saya takut sangat!”

Syed Khalid menggeleng-gelengkan kepala sambil tersengih. Perempuan ... marah menangis, sedih menangis, takut menangis, gembira pun menangis! Dia tidak memahami perasaan perempuan. Agaknya spesies ini sangat mudah mengalirkan air mata dalam apa keadaan pun.

“Sabarlah. Kalau kita berjaya melepasi ujian ini, ekspedisi kita akan menjadi begitu bermakna. Bukan semua orang dapat melaluinya,” pujuk Syed Khalid.

Nadirah hanya mendiamkan diri. Dia berteleku kesejukan. Ekspedisi ini benar-benar mencabar. Dia tidak menyangka langsung akan melalui susah-payah sebegini. Memang betul cakap Syed Khalid, ekspedisi ini boleh jadi mudah, boleh jadi sukar. Dia antara yang ‘terpilih’ untuk melalui kesukaran itu. Mujurlah ada yang menawarkan bantuan. Mata Nadirah merenung jejaka di hadapannya yang mula terbaring keletihan. Kesian, kerana aku kau bersusah-payah. Nadirah benar-benar bersimpati kepada Syed Khalid. Dalam bermenung, tiba-tiba ingatannya melayang pada Saiful. Saiful juga seperti Syed Khalid, amat mudah untuk menghulurkan bantuan. Dia benar-benar berasa beruntung kerana bertemu dengan kedua-dua jejaka seperti itu.

“Nad ...”

Tiba-tiba Nadirah merasakan seperti ada suara yang memanggil sedemikian. Dia benar-benar terkejut. Sudah lama panggilan itu tidak digunakan. Kenapa tiba-tiba di puncak gunung ini kedengaran pula? Nadirah mula berasa gementar. Ada yang cuba mengusiknyakah? Dia menoleh pada Syed Khalid yang masih terbaring sambil menutup mata dengan lengannya. Kelihatan seperti sedang terlena. Tidak berani pula dia hendak mengejutkan jejaka itu. Perlahan-lahan dia berensut merapati jejaka itu, masih mengharapkan perlindungan. Nadirah hanya memasang telinga, cuba mengamati sekiranya suara itu kedengaran lagi.

Seketika kemudian sesusuk tubuh muncul berhampiran mereka. Oh, Jamarin! Nadirah girang. Sekurang-kurangnya kehilangannya mendapat perhatian dari jurupandu itu. Nadirah segera melambaikan tangannya kepada jejaka Dusun itu.

“Kamu tak apa-apa, Na .. Nad?” soal Jamarin, ragu-ragu dengan nama yang perlu dipanggilnya. Memang dia terlupa nama gadis itu seperti yang diberitahu oleh kawan-kawannya sebentar tadi.

Nadirah menggeleng.

“Nadirah!” Nadirah segera membetulkan panggilan namanya, “Kaki saya terseliuh kerana terjatuh ditolak angin kencang. Nasib baik Syed Khalid datang membantu,” terang Nadirah.

Mendengar suara orang bercakap-cakap, Syed Khalid mengangkat lengannya dan membuka mata. Demi terpandangkan Jamarin berhampiran mereka, dia bingkas bangun.

“Tak ada apa-apa. Semuanya selamat,” balas Syed Khalid pula. Tanpa dipinta dia segera menceritakan kejadian yang berlaku kepada Jamarin.

“Macam ini, kamu berdua teruskan perjalanan. Kawan-kawan kamu ada menunggu di check point terdekat. Sudah tak jauh, hanya lima hingga sepuluh minit dari sini. Saya pergi ambil beg kamu.” Beritahu Jamarin. Sekejap sahaja lelaki itu sudah hilang dari pandangan.

“Mari, kita teruskan perjalanan,” ujar Syed Khalid kepada Nadirah. Dia membongkokkan badan, sudah bersedia untuk menggendong Nadirah sekali lagi.

Nadirah benar-benar terasa malu. Namun dia tiada pilihan. Dalam hati dia hanya dapat memujuk dirinya bahawa semuanya adalah kerana darurat. Jika tidak, pasti dia tidak sanggup didukungi oleh seorang jejaka seperti Syed Khalid. Apatah lagi dia pernah memusuhi lelaki itu.

Sewaktu mereka tiba di check point yang terdekat, kelihatan ahli kumpulan yang lain sudah sedia menunggu. Sebaik sahaja terpandang kelibat Syed Khalid yang masih menggendong Nadirah, mereka bersorak, membuat siulan nakal, untuk mengusik kedua-duanya. Keadaan itu membuatkan Syed Khalid menjadi panik seketika. Dia segera melepaskan Nadirah yang berada di belakangnya sehingga gadis itu jatuh terjelepuk di atas tanah. Nadirah menjerit kesakitan. Ayu segera berlari mendapatkan rakannya itu, bimbang terjadi sesuatu yang buruk.

“Kau tak apa-apa, N?” tanya Ayu cemas.

Nadirah menggosok-gosok kakinya yang masih berdenyut. Sambil itu mulutnya merungut. Ayu segera berpaling pada jejaka yang masih terkebil-kebil, tidak keruan.

“Apa kau ni, Syed? Dah tahu kawan kita sakit, kau jatuhkan dia, kenapa?” marah Ayu.

Wajah Syed Khalid kelihatan serba-salah. Dia memang tidak sengaja hendak menjatuhkan gadis itu. Rasa malu disorak oleh rakan-rakan menyebabkan dia bertindak di luar sedar.

“Maaf ...” Suara Syed Khalid terketar-ketar. Dia tidak tahu apa yang perlu dibuatnya ketika itu. Mujurlah Abang Wak muncul tiba-tiba untuk melihat keadaan Nadirah. Syed Khalid berasa cukup lega. Perlahan-lahan dia mengundur diri, memberikan Abang Wak ruang untuk merawat gadis itu pula.

Bab 9

9


Selang lima minit, Nadirah mulai berasa letih menangis sendirian. Tiada gunanya mengeluarkan air mata sedangkan keadaan itu tidak membawa dirinya ke mana-mana. Tidak ada orang pun yang akan mendengar tangisannya di puncak gunung itu. Tangan dan kakinya juga terasa semakin kebas. Dia menggigil kesejukan. Dia dapat merasakan giginya berlaga antara satu sama lain. Sarung tangan bulu yang sudah mulai basah kuyup itu dicabutnya. Nadirah merenung jari-jemarinya yang mulai kecut dan membiru.
“Sampai hati ...” Keluhnya sendirian. Rasa geram pada Syed Khalid bertambah-tambah. Dia tidak sangka lelaki itu tergamak meninggalkannya sendirian di atas puncak gunung yang banyak menyimpan pelbagai cerita yang tidak enak didengar. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci yang diketahuinya. ‘Jika aku mati pun, aku ingin mati dalam keadaan beriman,’ bisik hati kecilnya. Nadirah menadah tangan, memohon doa ke hadrat Ilahi semoga dirinya selamat. Tidak dapat digambarkan bagaimana penerimaan atuk dan nenek jika mereka mengetahui tentang kemalangan ini. Kecut hati Nadirah memikirkannya. Mungkin kerana inilah atuk sangat berat hati hendak melepaskan dia pergi tempoh hari. Nadirah tidak mampu lagi menahan rasa sebak yang terbuku di dadanya. Sedikit demi sedikit esakannya kedengaran kembali.  Akhirnya tanpa segan silu lagi dia melepaskan tangisan semahu-mahunya. Hiba sungguh dirasakannya. Kini dirinya dalam kesengsaraan dan ketakutan, seorang pun tidak ada untuk membantu. Salah dia juga, ada yang ingin membantu tetapi dia yang jual mahal. Entah mengapa, dirasakannya Syed Khalid tidak ikhlas. Jika tidak ikhlas, tidak perlulah berpura-pura di hadapannya. Kehadirannya di situ hanya menambah sakit di hati.
                “Ayah ... tolong Ira, ayah,” rayunya tanpa sedar. Selalunya apabila ketakutan, ayah akan segera datang menenangkannya. Dia akan terlena semula di pangkuan ayah. Tetapi, kini semuanya hanyalah kenangan. Nadirah kembali tersedu-sedu, sedih mengenangkan diri yang kini sebatang kara. ‘Alangkah malangnya nasibku, musibah datang bertimpa-timpa,’  keluh Nadirah dalam hati. Dicubanya  menggerakkan sedikit  kakinya, namun terasa berdenyut-denyut. Jika mahu bergerak sedikit pun sudah sakit, apakan dayanya hendak bangun dan berjalan seperti biasa? Sampai bila dia harus duduk di situ dan menunggu serta terus menunggu. Menunggu siapa? Syed Khalid? Ahh .. tidak mungkin lelaki itu akan datang kembali padanya. Kini harapannya pada Jamarin, jurupandu yang ditugaskan untuk menjaga kumpulannya. Tetapi mengapa Jamarin tidak muncul-muncul? Sudah lupakah dia pada tugas utamanya, menjaga kebajikan mereka? Nadirah mengeluh panjang dan terus membenamkan wajah ke lutut. Keika itu dia hanya mampu berdoa, mengharapkan suatu keajaiban berlaku.
                Tiba-tiba dirasakannya beg sandangnya disentap dari belakang. Nadirah segera menoleh. Jantungnya berdebar-debar melihatkan sesusuk tubuh yang tercegat di sampingnya.
                “Tinggalkan beg ini di sini,” ujar Syed Khalid.
                Nadirah hanya terkebil-kebil memandang lelaki itu. Terlalu sukar hendak mengikut keputusannya. Banyak barang berharga dalam beg itu, mana mungkin beg itu ditinggalkan di situ, fikir Nadirah.
                “Ambil yang perlu sahaja dan masukkan dalam poket,” arah Syed Khalid.
Dia turut membuang beg sandangnya. Nadirah hanya memerhati perbuatan lelaki itu dengan rasa ragu. Takkan dia hendak meninggalkan beg itu di sini? Beg yang digunakan Syed Khalid dari jenama mahal, Samsonite. Dia pernah melihat harganya di kedai beg dekat Balai Berlepas tempoh hari. Sayang jika beg itu ditinggalkan. Pasti ada yang akan mencurinya, fikir Nadirah.
                “Awak nak tinggalkan beg itu di sini?” soal Nadirah, kurang percaya dengan apa yang dilihatnya ketika itu.
Syed Khalid tidak menjawab pertanyaan gadis itu. Tanpa banyak bicara dia  segera menarik tubuh Nadirah lalu mencempungnya. Nadirah menggelupur ketakutan. Namun Syed Khalid tidak menghiraukan gelagat gadis itu. Dia mengemaskan pegangannya dan segera bergerak meninggalkan tempat itu.
                “Hei, apa yang awak nak buat ni? Turunkan saya! Turunkan saya!” jerit Nadirah sambil memukul-mukul dada lelaki itu. Syed Khalid tidak mengendahkan permintaan Nadirah yang masih meronta-ronta dalam dukungannya. Dalam kekalutan itu dia masih melangkah berhati-hati. Bimbang jika tersilap langkah, mereka akan bersama-sama tergolek ke jurang yang sayup-sayup pada pandangan mata.
                “Cuba awak diam!” jerkah Syed Khalid, sudah hampir hilang sabar dengan perlakuan gadis dalam dukungannya itu. Kecut mendengar amarah Syed Khalid, Nadirah tidak lagi meronta-ronta. Dalam terpaksa, dia memeluk erat tengkuk Syed Khalid, bimbang terjatuh. Mukanya disembamkan ke dada lelaki itu. Rasa geram dan malu bercampur-campur. Keadaannya ketika itu persis seperti anak kecil dalam dukungan bapanya. ‘Agaknya sampai bila lelaki ini tahan mendukung aku?’ Hati Nadirah tertanya-tanya.
                Mujurlah cuaca seperti menyebelahi mereka. Hujan sudah mulai berhenti.  Angin yang bertiup kencang juga sudah bergerak lambat. Cahaya matahari mulai menyelinap masuk di celah kepulan awan hitam. Langkah Syed Khalid diatur berhati-hati. Tiba-tiba dia berhenti. Nadirah mengangkat muka dan memandang tepat pada jejaka itu. Jejaka itu juga turut memandang padanya. Mata mereka bertentangan. Malu pada renungan sang jejaka, Nadirah segera menundukkan kelopak matanya. Panahan sinar mata Syed Khalid yang lembut membuatkan Nadirah benar-benar rasa bersalah.
                “Maaf, saya dah tak larat lagi mendukung awak,” mengakui kelemahannya, Syed Khalid turut menurunkan Nadirah perlahan-lahan. Nadirah segera melompat turun, namun terhincut-hincut menahan rasa berdenyut pada kaki kanannya. Dia mengaduh kesakitan.
                “Jangan paksa!” Larang Syed Khalid sambil memegang lengan gadis itu, membantunya berdiri betul. Dalam terpaksa, Nadirah memaut erat lengan Syed Khalid, bimbang jika dia tergelincir kerana memijak tanah yang basah dan licin disimbahi hujan.
                “Tak apa, tak apa, saya cuba ...” Pintas Nadirah.
                “Jangan, kaki awak dah bengkak. Nanti tendon cedera, lagi teruk,” beritahu Syed Khalid. Wajahnya agak cemas melihatkan keadaan Nadirah. Bukan dia tidak tahu bagaimana sakitnya jika tendon tercedera. Dia pernah mengalaminya kerana kecederaan semasa bermain bola sepak.
                “Saya rasa kita tukar posisi. Saya boleh gendong awak di belakang. Awak naiklah,” pelawa Syed Khalid sambil membongkokkan badannya, memberi laluan kepada Nadirah. Namun gadis itu memandangnya penuh curiga, sambil menggigit ibu jarinya. Syed Khalid tersenyum melihat gelagat manja gadis di hadapannya itu.
                “Kenapa? Tak percayakan saya lagi?” soal Syed Khalid.
Nadirah geleng.
                “Habis tu?”
                “S-s-saya ...”
Nadirah teragak-agak untuk meluahkan kata-katanya. Syed Khalid tersenyum lagi, seakan dapat membaca isi hati si gadis.
“Saya tahu awak malu. Tapi kita dalam keadaan darurat sekarang. Saya takkan biarkan awak sendirian di sini. Memang tanggungjawab saya untuk memastikan awak selamat. Kita tak ada pilihan yang lebih baik. Lagipun saya kesiankan awak. Kaki awak akan jadi lebih teruk kalau awak paksa diri. Awak tak nak ketinggalan dalam aktiviti lain, kan?” suara Syed Khalid seperti memujuk.
Nadirah terdiam seketika, memikirkan tawaran jejaka di hadapannya itu. Memang betul kata Syed Khalid, bukan mendaki gunung sahaja aktiviti yang dirancang ketika berada di bumi ‘Di bawah bayu’ ini. Selepas turun dari Gunung Kinabalu, mereka akan berkelah di Pulau Manukan, salah sebuah pulau yang diwartakan dalam Taman Tunku Abdul Rahman.
“Jika awak cedera, saya yakin Abang Wak takkan benarkan awak ikut kami ke Pulau Manukan. Awak akan direhatkan di Kampus Sabah,” sambung Syed Khalid lagi, sengaja mengapi-apikan perasaan Nadirah ketika itu. Bulat mata Nadirah merenung Syed Khalid yang tersenyum sinis. Sesungguhnya dia tidak mahu ditinggalkan sendirian. Rugilah dia jika tidak dapat menyertai semua aktiviti yang telah dirancang.
“Awak ...”
Syed Khalid mengangkat kening, tanda kurang pasti dengan soalan yang bakal dikemukakan oleh gadis itu.
“Saya boleh dukung awak di belakang. Posisi itu lebih mudah untuk saya bergerak pantas. Lagipun di hadapan sana ada lurah yang mesti kita turuni dengan menggunakan tangga. Bagaimana saya hendak bergerak jika saya masih mencempung awak?” terang Syed Khalid yang sudah kelihatan mesra. Dia ternyata telah membuang egonya selama ini. Hanya Nadirah yang masih ragu-ragu.
“Cepat naik,” ujar jejaka itu seperti sudah tidak sabar-sabar lagi, sambil menepuk-nepuk belakangnya.
Nadirah akur. Dia segera memanjat belakang Syed Khalid dan apabila sudah selesa, Syed Khalid mula bergerak ke hadapan.
“Awak ...” panggil Nadirah teragak-agak, suaranya agak kurang jelas.
“Ya?” soal Syed Khalid, memohon kepastian. Dia menoleh sedikit untuk melihat wajah Nadirah yang hampir dengan pipinya itu. Seumur hidupnya tidak pernah dia berada sebegitu rapat dengan perempuan. Hati di dalam agak berdebar-debar, namun cuba dikawal perasaan itu. Malulah jika Nadirah dapat membaca perasaannya. Dan jika masing-masing masih menyimpan rasa malu untuk mendekati antara satu sama lain, sudah tentu mereka tidak akan ke mana-mana.
“Terima kasih kerana sudi bantu saya. Maafkan saya, ya?” bisik Nadirah ke telinga Syed Khalid, cepat-cepat.
Kata-kata itu membuatkan Syed Khalid ketawa kuat. Entah apa yang dirasakan lucu, Nadirah kurang pasti.
“Hidup ini memang saling memerlukan. Jadi, pesan saya, jangan terlalu ego. Apa pun tindakan kita, fikirkan perasaan orang lain juga,” sinis suara jejaka itu.
Nadirah hanya mendengus. Memang dia cukup terasa dengan sindiran lelaki itu. Namun, dia terpaksa memekakkan telinga. Ketika itu, hanyalah Syed Khalid harapannya untuk meneruskan perjalanan ke kaki gunung. Dia sudah tidak berdaya untuk melangkah lagi.
“Awak dah bersedia?” Soal Syed Khalid tiba-tiba.
“Huh?” Soalan itu membuatkan Nadirah terkejut. Dia tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Syed Khalid. Dalam bercakap tentang perasaan, tiba-tiba bertanyakan soalan itu pula. Dia benar-benar panik.
“Pegang saya kuat-kuat,” beritahu Syed Khalid.
Dada Nadirah semakin berdebar. Kenapa tiba-tiba Syed Khalid berkata demikian? Ada maksud yang tidak baikkah dalam fikirannya? Tetapi Nadirah dapat merasakan yang ketika itu Syed Khalid juga menarik pahanya dan merapatkan ke badannya, memperkemaskan kedudukan. Nadirah terasa malu. Mujurlah pakaian yang dipakai berlapis-lapis itu menyebabkan dia tidak begitu terasa anggota badan mereka bersentuhan.

Tuesday, November 15, 2011

Bab 8

8


Nadirah cuba bangkit, namun ternyata tidak berjaya. Pergelangan kaki kanannya terasa berdenyut-denyut. Sesekali angin bertiup kencang diikuti dengan perarakan kabus yang semakin menebal. Dia menoleh ke belakang. Tiada kelibat manusia pun yang kelihatan melalui kawasan itu. Hatinya mula terasa kecut. Seingatnya, masih ada lagi sekurang-kurangnya dua tiga orang berbangsa Eropah yang berada di puncak gunung ketika dia mulai bergerak turun tadi. Kenapa hingga sekarang mereka masih tidak muncul-muncul?
                Nadirah memandang sekeliling. Kawasan itu beransur-ansur gelap. Dia tahu bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Jika hujan turun, alamat basah kuyuplah dirinya. Dia tidak tahu selama mana dia dapat bertahan dengan kesejukan yang melampau sebegitu. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa semoga ada orang yang akan melalui kawasan itu. Dia segera menyalakan lampu suluh yang terikat di kepala. Setidak-tidaknya orang akan nampak cahaya yang menunjukkan kehadirannya di situ. Nadirah memicit-micit pergelangan kakinya sambil mulutnya berdesit menahan kesakitan.
                “Nadirah! Nadirah!” Tiba-tiba dia terdengar suara yang melaungkan namanya. Sepantas kilat dia menyahut walaupun tidak pasti siapa yang memanggil. Namun dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada insan yang sudi mencarinya.
                Dalam keadaan jarak penglihatan yang semakin berkurangan, Nadirah nampak sesusuk tubuh semakin mendekatinya.
                “Sini ... sini!” Nadirah menghayunkan lampu suluh di kepala. Tidak tergambar perasaan gembiranya ketika itu.
                Namun kegembiraannya tidak lama. Nadirah mengeluh dalam hati apabila kelibat orang itu semakin jelas kelihatan. Syed Khalid rupanya. Macam tak ada orang lain lagi. Kalau Jamarin, tentu dia lebih gembira. Entah mengapa, melihat sahaja lelaki itu, perasaan gembiranya meluntur. Hatinya menjadi sakit pula. Sesungguhnya dia masih tidak boleh melupakan perbuatan Syed Khalid semasa taklimat tempoh hari. Dia benar-benar terguris.
                “Apa awak buat di sini?” sergah Syed Khalid. Marah bunyinya.
                Hendak menyelamat atau hendak mencari gaduh, rungut Nadirah. Kalau tak ada sebab, sudah pasti dia bersama-sama orang lain menuruni gunung itu. Kenapa masih mahu bertanya lagi? Nadirah hanya mendiamkan diri.
                “Awak tak fikirkah yang perbuatan awak ini menyusahkan orang? Tempat ini bahaya, awak tahu?” Suara Syed Khalid masih meninggi.
                “Saya tukar kasut tadi, tiba-tiba angin kencang,  kuat sehingga menolak tubuh saya. Saya jatuh tergolek ...” jawab Nadirah, geram bercampur sebak. Bukan dia sengaja hendak duduk di situ sendirian. Dia pun takut melihatkan keadaan sekeliling yang tidak secerah semalam. Takkan itu pun Syed Khalid tak boleh terfikir.
                Syed Khalid terasa seperti hendak ketawa mendengarkan kata-kata gadis itu, tetapi dia cuba berlagak serius.  ‘Budak ini betul-betul menyusahkan ... degil pula tu!’ Rungutnya dalam hati.
                “Bukankah sudah banyak kali saya ingatkan, buat kerja dalam satu team.  Kenapa awak tak minta Ayu tunggu? Saya pun tak jauh. Kalau awak beritahu, kami boleh tunggu sama-sama. Ini, kan dah menyusahkan? Kalau saya tak cari tadi bagaimana?”
                Nadirah mengetap bibir, menahan perasaan geram. Mahu sahaja dia menjawab bahawa dia sudah memberitahu Ayu, tetapi mulutnya seperti terkunci. Buat apalah hendak bersoal-jawab dengan lelaki ini. Bukan dia hendak memahami masalah aku. Tak habis-habis hendak menaikkan darah aku sahaja, gerutu Nadirah dalam hati.
                “Awak fikir awak hebat sangat, semuanya nak buat sendiri? Apa tunggu lagi, jalan sekarang. Hari dah nak hujan ni!”
                Lelaki ini sudah melampau, gumam Nadirah. Kenapalah dia yang datang mencari aku, bukan Jamarin. Benci betul dia melihatkan lelaki egois di hadapannya itu. Berlagak tidak bertempat.
                “Siapa suruh awak cari saya? Saya boleh balik sendiri!” marah Nadirah, walaupun dia tahu ketika itu dia sememangnya tidak terdaya hendak bangun. Buntutnya terasa sakit akibat terhentak pada batu dan kakinya mungkin terseliuh. Semuanya gara-gara angin kencang yang bertiup secara tiba-tiba.  Dia tidak sempat berpaut pada tali yang menjadi tanda arah laluan ke gunung itu. Namun demi menjaga maruahnya, dia tidak akan sekali-kali menunjukkan kelemahannya pada lelaki itu. Dia tekad tidak mahu menerima sebarang bantuan yang mahu dihulurkan Syed Khalid. Biarlah dia sendiri mencari jalan pulang. Lagipun dia percaya, masih ramai lagi pendaki yang akan menuruni laluan itu. Dan mereka sudah semestinya ditemani jurupandu. Kehadiran Syed Khalid hanya menambah kesakitan. Sakit di kaki, sakit di hati.
                Kepala batu! Marah Syed Khalid dalam hati. Ketika itu dia terfikir, alangkah bagusnya kalau Abang Wak memberikan kumpulan yang terdiri daripada lelaki sahaja? Ini tidak, hanya ada dua orang perempuan tetapi kecohnya seperti menjaga sepuluh orang. Syed Khalid hanya boleh menahan sabar melayani kerenah dua orang perempuan degil dalam kumpulannya itu.
“Cepatlah. Ikut saya dari belakang!” arah Syed Khalid dan segera berpusing. Setelah hampir lima langkah ke hadapan, dia tidak merasakan seperti ada orang mengekorinya. Dia segera berpaling. Dilihatnya Nadirah masih tidak bergerak. Syed Khalid mula berang.
                “Tunggu apa lagi?” tengkingnya, “Awak tak nampakkah cuaca macam mana sekarang?”
                Nadirah terdiam. Tidak habis-habis lelaki di hadapannya itu hendak menengking-herdiknya. Dia tidak minta untuk diselamatkan. Kalaulah betul aku menyusahkan, aku rela dibiarkan sendirian. Tetapi jatuh kerana dipukul angin kencang bukanlah disengajakan. Siapa yang mahu cedera atau sengaja mencederakan diri? Tiba-tiba air matanya bercucuran. Hatinya terasa hiba benar. Esakan yang cuba ditahan dapat juga ditangkap oleh telinga jejaka di hadapannya itu. Menyedari seperti ada sesuatu yang tidak kena, Syed Khalid berpatah semula walaupun hatinya berasa geram dengan keegoan si gadis. Manja, itulah yang terlintas di hatinya apabila melihatkan Nadirah sudah teresak-esak di situ. Sikit-sikit menangis, itulah modal perempuan, rungutnya dalam hati.
                “Kenapa menangis ni? Saya cuma nak sedarkan awak tentang keadaan cuaca yang tidak elok. Kita tak boleh lama-lama di sini. Awak faham, kan?” Syed Khalid cuba berlembut.
                Nadirah tidak menjawab.
                “Bangun!” Syed Khalid menghulurkan tangannya untuk membantu. Mulanya Nadirah enggan. Melihatkan kedegilan Nadirah, Syed Khalid segera menarik tangan gadis itu. Nadirah terpaksa akur dan turut memaut tangan lelaki itu untuk bangun. Tetapi kakinya yang sakit tidak memungkinkan dia berdiri betul. Dicubanya untuk berdiri tegak, namun kesakitan yang dialami terasa semakin menyucuk-nyucuk.
                “Ada masalah lagi?” soal Syed Khalid apabila menyedari keadaan Nadirah yang tidak stabil.
                “Kaki saya mungkin terseliuh. Sakit sangat ...” beritahu Nadirah sambil menyeka air mata yang masih berlinangan.
                “Duduk, biar saya tengok,” ujar Syed Khalid.
Nadirah hanya memandang tepat pada wajah jejaka di hadapannya itu dengan rasa curiga. Dalam hatinya berkira-kira, apa yang boleh dilakukan oleh lelaki ini?
“Saya cuma nak membantu. Percayalah, saya ada pengetahuan dalam first aid ...” Menyedari kecurigaan yang dipamerkan oleh gadis itu, Syed Khalid menerangkan secara jujur.
Dalam terpaksa Nadirah menurut sahaja arahan Syed Khalid. Dengan susah payah, dia duduk semula. Tanpa berlengah, Syed Khalid terus membukakan kasut dan stoking Nadirah dan memeriksa kaki si gadis. Berkerut dahi Nadirah menahan kesakitan apabila Syed Khalid menekan-nekan pergelangan kakinya. Mujurlah tidak ditendangnya lelaki itu.
                “Kaki awak dah bengkak. Saya cuba urut, tapi awak kena tahan sikit,” beritahu Syed Khalid sambil mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Nadirah merasakan kakinya sudah kebas kerana kesejukan. Minyak panas yang disapu oleh Syed Khalid pada kakinya amat melegakan. Kadang-kadang dia menjerit kecil menahan kesakitan kerana diurut oleh tangan lelaki yang agak kasar. Namun, Syed Khalid seperti tiada rasa belas kasihan. Dia tetap meneruskan kerjanya. Bukan dia tidak mendengar sedu-sedan gadis itu, tetapi dia sengaja tidak mahu memberi muka. Selepas mengurut seketika, dia membalutkan bandage pada kaki Nadirah.
                “Okey, cuba bangun,” Syed Khalid menghulurkan tangannya sekali lagi untuk membantu Nadirah setelah kerjanya selesai. Nadirah memaut sekuat hatinya untuk bangun.
                “Saya rasa saya tak boleh jalan. Sakit sangat...” rungut Nadirah.
                Syed Khalid memandang tepat pada wajah si gadis dengan rasa geram.
                “Awak mesti kuatkan semangat! Dalam keadaan begini jangan terlalu manjakan diri. Sikit-sikit menangis, sikit-sikit sakit ... Tengok, jarak penglihatan kita tambah kurang. Saya bukan begitu arif dengan laluan di sini walaupun dah banyak kali saya mendaki gunung ini. Awak nak kita mati kesejukan di sini?” Suara lelaki itu yang meninggi seperti memberikan kata dua. Kata-kata yang cukup membakar perasaan Nadirah ketika itu. Belum pun reda rasa marah tempoh hari, kini lelaki itu menambah luka di hatinya.
                “Awak ingat saya sengaja nak duduk sini? Kalau awak tak boleh tunggu saya, awak pergilah! Saya tak kisah!” Nadirah menghamburkan rasa marahnya. Geram betul dia dengan keegoan lelaki itu. Apa, dia fikir tanpa dirinya aku tidak boleh bergerak dari sini? Bukan dia seorang sahaja yang ada di atas gunung ini. Ramai lagi pendaki lain yang masih belum turun, Nadirah begitu optimis.
                Syed Khalid tidak berkata apa-apa. Pandangannya  pada Nadirah tidak berkelip-kelip. Seperti menyahut cabaran gadis itu, dia segera melangkah laju meninggalkan Nadirah sendirian.
                Nadirah tidak dapat menahan rasa geramnya lagi. Dia menangis tersedu-sedu.  Dalam keadaan itu dia hanya berserah pada Tuhan. Tubuhnya yang kesejukan dipeluknya erat. ‘Ya Allah, selamatkanlah hamba-Mu ini ...’ doa Nadirah dalam hati sambil menekup muka pada lutut. Bibirnya terasa menggeletar, kesejukan dan ketakutan. Air matanya juga terasa semakin lebat, sama lebatnya dengan hujan yang mulai turun.

Wednesday, October 26, 2011

BAB 7

7


Hujan yang turun lebat awal malam membuatkan semua pelajar berasa gusar. Mereka bimbang tidak dapat mendaki hingga ke puncak disebabkan cuaca yang kurang baik. Pastinya jurupandu tidak mengizinkan mereka meneruskan pendakian. Jika begitu keadaannya, sia-sialah pendakian mereka hari itu, hanya sampai separuh jalan sahaja. Namun, menjelang jam 10 malam, hujan mulai berhenti.  Masing-masing berasa sungguh lega apabila jurupandu memberikan keizinan untuk meneruskan pendakian. Tepat jam 2.00 pagi, mereka memulakan pendakian semula. Meskipun kedinginan mencengkam namun kegigihan dan kesungguhan untuk menakluk puncak Kinabalu menjadikan semangat pelajar-pelajar itu begitu berkobar-kobar untuk meneruskan pendakian. Walaupun laluan agak sukar kerana jalan licin, mereka berjaya juga menawan puncak Kinabalu hampir jam 7.00 pagi, ketika cahaya mentari mula memancar dari kaki gunung. Pemandangan begitu mengasyikkan. Pelajar-pelajar itu saling berebut untuk mengabadikan kenangan di puncak tertinggi di Asia Tenggara itu.   Setelah menikmati pemandangan dan mengambil gambar, pelajar-pelajar itu digesa turun. Walaupun berasa tidak puas hati, namun jurupandu mempunyai alasan tersendiri.
“Bimbang hujan turun lagi kerana nampaknya cuaca kurang elok,” beritahu Jamarin. 
Syed Khalid turut mengakui kebenaran kata-kata Jamarin. Walaupun telah banyak kali mendaki Gunung Kinabalu itu, tetapi inilah kali pertama dia menempuh keadaan cuaca yang tidak menentu. Namun dia tetap bersyukur kerana semua anak buahnya dapat mendaki hingga ke puncak. Rasa bangga juga terdetik apabila dia dapat memberi motivasi untuk ahli kumpulannya supaya meneruskan pendakian, terutamanya kepada kedua-dua gadis yang pada tanggapannya agak degil itu. Nampak saja gadis-gadis itu lemah-lembut, hakikatnya semangat mereka begitu kuat. Stamina juga kuat, maklum sahaja dia selalu memerhati mereka berjoging membuat persediaan. Ada juga ahli kumpulan lain yang hanya separuh jalan dan berpatah balik ke Kem Gunting Lagadan kerana tidak sanggup untuk menghadapi laluan yang sukar itu atau pun tiada stamina lagi.
“Tahniah, kerana kumpulan kita berjaya menawan puncak Kinabalu,” ujar Syed Khalid, tersenyum penuh bangga. Kata-katanya menerima tepukan dari ahli kumpulannya. Memang, tanpa semangat yang cekal pastinya mereka tidak mampu berbuat demikian. Nadirah melihat lelaki ini tersenyum buat pertama kalinya. Selalunya serius sahaja. Kan bagus tersenyum begitu, barulah terserlah ketampanannya ... fikir Nadirah. Ini tidak, memandang orang pun macam hendak ditelannya.
“Bila turun nanti, sentiasa pegang tali panduan. Saya bimbang angin kuat akan menerbangkan kamu nanti ...” nasihat Syed Khalid kemudiannya dan disambut dengan deraian ketawa oleh ahli-ahli kumpulannya. Mahu cuba berlawak pula, getus Nadirah dalam hati.
“Eh, saya serius!” tegas Syed Khalid menyebabkan tawa para pelajar itu terhenti serta-merta. Wajahnya kembali serius.
“Keadaan cuaca sekarang sukar dijangka. Kadang-kadang angin bertiup sangat kencang. Saya mahu kamu mengambil berat langkah keselamatan. Turun nanti, pegang tali dan jangan berpisah jauh antara satu sama lain,” Syed Khalid memberikan peringatan. Jamarin turut mengiakan kata-kata jejaka itu. Dia memang sudah kenal dengan Syed Khalid. Dua tiga kali juga dia mengiringi Syed Khalid mendaki bersama rakan-rakannya. Dan yang paling dia suka, lelaki itu tidak lokek menghulurkan wang ringgit sebagai upah tambahan bagi menghargai penat lelahnya.
“Saya akan jalan di hadapan untuk tunjuk arah. Kamu jaga di belakang,” pinta Jamarin kepada Syed Khalid. Syed Khalid mengangguk setuju.
Keadaan ketika menuruni puncak gunung tidaklah sesukar ketika mendaki. Pada bahagian-bahagian yang curam, mereka terpaksa turun dengan bergantung kepada tali yang disediakan. Namun, kawasan gunung yang gondol dan berbatu itu agak licin disebabkarn hujan.
“Pegang tali kuat-kuat! Angin bertiup kencang!” jerit Jamarin tiba-tiba.
Ketika itu Nadirah merasakan dirinya seperti melayang dibawa angin. Mujurlah dia dapat memaut tali sekuat-kuatnya. Pada saat itu dirasakannya nyawanya juga seakan melayang. Benarlah seperti kata Syed Khalid. Timbul rasa hormat terhadap jejaka itu. Jika tidak mengikut arahannya pastilah dia diterbangkan angin kencang sebentar tadi.  Semua pendaki diarah untuk duduk seketika sementara menunggu keadaan reda.
“Kalau aku nampaklah cerun di bawah tu pagi tadi, pasti aku takut nak panjat!” bisik Ayu kepada Nadirah sambil menjeling pada cerun yang berada di bawah. Nadirah tidak menjawab. Hatinya turut mengakui bahawa kecuraman cerun yang sedang mereka turuni itu amat mengerikan.  Dia tidak berani hendak memberi komen. Selain ketakutan yang menguasai dirinya, kesejukan juga tidak dapat dibendung. Stoking dan sarung tangan bulu yang dipakai juga terasa basah dek air hujan. Hendak membukanya bimbang lebih sejuk.
Setelah tiupan angin kencang berhenti, Jamarin mengarahkan supaya mereka mula bergerak kembali. Menurut Jamarin, tiada lagi laluan yang sesukar itu selepas ini. Nadirah dan Ayu menarik nafas lega. Mereka berjalan agak perlahan kerana kaki mereka mulai terasa sakit. Lutut juga sudah terasa ketat dan urat kaki menegang, membuatkan kaki menjadi berat untuk terus melangkah. Kasut yang dipakai oleh Nadirah juga sudah robek di hujung akibat tekanan bertubi-tubi.
“Kau nak jalan dulu, pergilah. Aku tukar kasut sekejap,” beritahu Nadirah.
Ayu seperti tidak mengendahkan kata-katanya. Mungkin juga tidak mendengar kerana telinganya disumbat dengan earphone walkman. Gadis itu terus sahaja melangkah meninggalkan Nadirah sendirian. Sekejap sahaja hendak menukar kasut, fikir Nadirah. Lagi pun dia tidak berasa begitu khuatir sangat kerana dia tahu masih ramai pendaki lain yang berada di belakangnya. Sekurang-kurangnya dia boleh menjadikan mereka teman ketika turun, jika tidak dapat mengejar Ayu untuk bersama-samanya. Syed Khalid juga berjalan di hadapan mereka, mungkin sudah tidak berasa risau seperti mula-mula tadi. Mereka sengaja membuat Syed Khalid berada lebih ke hadapan kerana tidak suka diekori dari belakang.
“N, kau rasa jauh lagi tak checkpoint yang terdekat? Aku macam tak tahanlah nak buang air ... Sejuk sangat!” rungut Ayu. Bibirnya mula bergetar menahan kesejukan. Namun tiada sahutan daripada rakannya itu.  Ayu menghentikan langkahnya dan segera menoleh. Kelibat gadis itu memang tiada berhampirannya.
“N!  Nadirah!”  Ayu memanggil dengan perasaan cemas. Tadi elok sahaja Nadirah berjalan di belakangnya, fikir Ayu.  Kenapa tiba-tiba dia hilang dari pandangan?  Hati Ayu mula terasa berdebar-debar.  Bukan dia tidak pernah mendengar cerita-cerita mistik tentang gunung ini. Memikirkan hal itu, dia mengucap panjang.
“Kenapa?” tanya Syed Khalid apabila terdengar teriakan Ayu.  Dia segera berpatah untuk mendapatkan Ayu yang berada sedikit ke belakang.
“Nadirah, tadi dia ada di belakang saya. Saya tak sedar bila dia hilang!” suara Ayu seperti hendak menangis. Jantungnya berdebar, dia bimbang sesuatu yang buruk menimpa rakannya itu. Wajah Syed Khalid berubah serta-merta.
“Dia ada di hadapan tak? Mungkin bersama-sama dengan yang lain?” ujar Syed Khalid, masih menaruh harapan agar gadis itu tidak pergi jauh.  Ayu menggeleng.
“Tak mungkin. Tadi dia di belakang saya.  Kalau dia potong saya pun, tentu saya perasan,” beritahu Ayu. Lagipun, takkan Nadirah akan memotongnya, untuk apa! Fikir Ayu.
Syed Khalid mendongak ke atas. Keadaan muka bumi yang curam itu membuatkan dia berfikir lama untuk berpatah balik.  Walaupun berjalan sedikit ke hadapan dari dua gadis itu, dia tidak begitu bimbang akan keselamatan mereka. Dia masih dapat mendengar bualan gadis-gadis itu. Kadang-kadang dia turut tersenyum mendengarkan celoteh mereka yang lucu. Tetapi dia juga tidak sedar bila suara kedua-duanya berhenti berbual dan seorang daripada mereka tertinggal. Namun sebagai ketua kumpulan dia tidak boleh membiarkan Nadirah keseorangan. Amanah yang diberikan Abang Wak perlu dipikul walau apa pun risikonya.
“Awak ikut Jamarin dan lain-lain ke depan. Beritahu Jamarin, saya berpatah balik untuk cari Nadirah.  Saya rasa dia tak jauh dari sini, mungkin di belakang kita sahaja. Tapi awak tak payahlah tunggu. Hari nak hujan ni, nanti basah kuyup pula,” beritahu Syed Khalid sambil mendongak melihat kepulan awan hitam yang mulai bergerak lambat di atas kepalanya.  Bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Jika mereka tidak mempercepatkan langkah ke checkpoint berhampiran, alamat akan basah kuyuplah nanti.
“Awak macam mana?” tanya Ayu.
“Macam mana apa?  Sudahlah, jangan banyak soal lagi. Cepat bergerak, nanti ditinggalkan Jamarin lebih jauh.  Takkan awak nak patah balik ikut saya. Kalau hujan bagaimana?”
Ayu terdiam. Memang dia tidak ada pilihan.  Hendak berpatah balik mencari Nadirah, dia sudah tidak berdaya.  Kakinya terasa begitu berat untuk diangkat.  Hendak menunggu di situ sendirian, dia takut. Pundi-pundi kencingnya juga terasa sudah begitu penuh. Memang dia tidak dapat menahan lebih lama lagi. Namun dalam hati, dia masih risaukan Nadirah. Pilihan terbaik ialah menyertai Jamarin dan ahli kumpulan yang lain yang telah berada lebih jauh ke hadapan.
“Apa tunggu lagi? Saya hendak pergi sekarang!” jerkah Syed Khalid.
“Err ... Syed, tolong cari kawan saya. Awak mesti tunggu dia. Jangan tinggalkan dia keseorangan,” pesan Ayu, terketar-ketar.
“Itu memang tugas saya. Awak jangan risaulah. Pergi cepat!”
Ayu tidak menunggu lama lagi. Dia segera beredar dengan rasa yang berat.  Namun dia berharap sesuatu yang buruk tidak menimpa Nadirah.  Dia berdoa semoga  Syed Khalid akan menemui Nadirah dan membawa dia kembali bersama-sama.

Monday, October 17, 2011

Bab 6

6

Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Empat puluh orang pelajar ITM yang terpilih dibawa ke kaki Gunung Kinabalu pagi itu dengan sebuah bas. Cuaca yang cerah seolah-olah begitu gembira menyambut kedatangan mereka. Selain rombongan pelajar tersebut, terdapat juga beberapa kumpulan persendirian dari kalangan orang Eropah yang ikut mendaki. Masing-masing sibuk membuat pendaftaran di Taman Kinabalu sebelum memulakan pendakian. Nadirah dan Ayu serta beberapa orang rakan yang lain mengambil kesempatan itu untuk bergambar di sekitar taman yang cantik dengan pemandangan alam semula jadi. Lebih kurang jam 9.00 pagi urusan pendaftaran mereka selesai dan mereka memulakan pendakian mengikut kumpulan masing-masing. Kumpulan Nadirah diberikan seorang jurupandu anak tempatan dari suku Dusun yang bernama Jamarin.  Sambil mendaki, Jamarin rancak bercerita tentang keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini. Menurutnya tidak ramai yang berjaya mendaki sampai ke puncak disebabkan halangan cuaca. Serentak dengan itu juga Syed Khalid mengingatkan anak buahnya tentang kepentingan menjaga keselamatan diri.
                “Jangan paksa diri. Jika tidak berdaya, berehatlah dulu,” nasihat Syed Khalid kepada ahli kumpulannya. Pandangannya jatuh pada Nadirah dan Ayu.
Berdesing telinga Nadirah mendengarkan kata-kata itu. Dirasakannya kata-kata itu persis ditujukan untuk dirinya dan Ayu. ‘Mentang-mentang kita orang ni perempuan … dia ingat tak ada stamina agaknya,’ gerutu Nadirah dalam hati. Dia hanya melemparkan senyuman sinis kepada Ayu sambil mencebikkan bibir dan mengangkat kening. Memahami sindiran kawannya itu, Ayu hanya tersenyum.
                Pendakian hari itu berjalan lancar. Sambil mendaki, Syed Khalid kelihatan sibuk mengambil gambar menggunakan kamera canggihnya. Tidak ada seorang pun ahli kumpulan mereka yang mempunyai kamera begitu. Kamera mereka biasa-biasa sahaja, sesuai dengan status pelajar yang dipegang mereka. Hidup pun atas biasiswa Kerajaan dan bantuan emak bapak, bagaimana hendak berbelanja mewah. Hanya orang berada yang mampu memiliki kamera sebegitu, fikir Nadirah. Nadirah dan Ayu bertukar kamera, sesekali meminta ahli kumpulan itu mengambil gambar mereka berdua. Sambil mendaki mereka terserempak juga dengan bangsa Eropah. Walau sudah berusia, mereka masih bersemangat hendak mendaki. Ada juga yang membawa anak dalam usia belasan tahun. Ayu tidak ketinggalan mengambil gambar mereka sebagai kenangan. Mat salih itu pun agak sporting juga. Sesekali mereka terserempak dengan orang Dusun yang mendaki sambil mengusung tong gas. Terpegun mereka melihatkan ketangkasan orang Dusun itu mendaki seperti berlari sambil membawa bebanan yang berat. Pastinya menghantar bekalan ke Kem Gunting Lagadan, tempat mereka berteduh malam ini sebelum bertolak esok pagi. Namun, belum pun separuh pendakian, suku Dusun itu sudah turun dan mengangkut tong gas kosong pula. Hebat! Fikir Nadirah.
                “Jamarin, kamu carikan kami boyfriend orang Dusun juga, gagah-gagah sekali,” usik Ayu sambil cuba meniru gaya percakapan orang Sabah. Jamarin hanya tersengih.
                “Boleh ... boleh! Aku pun belum kahwin lagi,” balas lelaki Dusun itu.
                “Aku enggak maulah sama kau! Asyik ditinggalkan saja,” balas Ayu.
                Tawa mereka pecah. Syed Khalid ikut ketawa. Sekurang-kurangnya gurauan itu mengalih perhatian mereka daripada keletihan.
                “Kalau mahukan orang Dusun, kenalah lasak-lasak. Tidak boleh manja-manja, kan Jamarin?” tambah Syed Khalid. Jamarin tertawa sambil mengiakan kata-kata Syed Khalid. Ayu hanya mencebik, sempat lagi mengata aku, bisiknya. Nadirah ikut terusik. Tetapi dia diam sahaja. Tak habis-habis lelaki ini hendak mengata aku, fikirnya.
 Walaupun keletihan, mereka tiba di Kem Gunting Lagadan dalam sekitar jam 2.00 petang, iaitu kumpulan pertama yang berjaya sampai terlebih dahulu. Nadirah dan Ayu segera memilih bilik di asrama Gunting Lagadan. Kemudian bergegas pula untuk memasak bagi semua ahli kumpulan seramai 40 orang itu. Mereka terpaksa memasak sendiri kerana sebagai pelajar, mereka tidak mampu hendak membeli makanan di Kem Laban Rata yang berharga RM8 sepinggan! Namun persediaan telah dibuat. Setiap peserta membawa sedikit bekalan makanan. Mereka telah memasak sambal ikan bilis, telur rebus dan rendang terlebih dahulu. Hanya nasi yang dimasak di kem tersebut. Cara itu lebih jimat dan keseronokannya lebih terasa. Selepas makan tengah hari pelajar-pelajar tersebut mengambil kesempatan untuk berbual mesra dan mengambil gambar di kawasan sekitarnya. Cuaca hari itu cukup baik, udara segar dan nyaman, namun kesejukan amat terasa hingga ke tulang hitam. Nadirah sendiri menyarungkan empat lapis T-shirt bagi menahan kesejukan.
                “Kau dah okey ke dengan Cif kita tu?” Soal Ayu tiba-tiba ketika mereka berbual-bual di beranda asrama Gunting Lagadan. Hati Ayu tergerak hendak bertanyakan soalan itu apabila terpandangkan Syed Khalid yang sedang membaca di bawah sepohon pokok rendang. Jejaka itu nampaknya seperti mengasingkan diri, tidak bercampur dengan pelajar-pelajar lain.
                “Tak ada maknanya aku nak berbaik dengan dia. Aku hormati dia sebagai ketua saja. Itupun kerana nasihat Abang Wak. Nak kawan lebih-lebih minta maaflah ...” tingkah Nadirah, berbaur geram. Ayu tergelak kecil.
                “Tak habis lagi dendam kesumat kau ya?”
                “Susah nak lupa. Kau tengoklah betapa sombongnya dia, orang lain mencari kawan dan bermesra. Dia pula mengasingkan diri di situ. Status ketua kumpulan tu besar sangatkah? Mentang-mentang dia banyak pengalaman,” kata Nadirah separuh mengejek. Ayu tertawa.
                “Eh, aku dengar dia tu anak Tan Sri. Bapanya hartawan, kau tahu!” bisik Ayu.
                “Ye ke? Patutlah lain macam aje ...” Nadirah sedikit terkejut. Tetapi apabila mengamati perwatakan lelaki itu, dia memang nampak seperti orang berada. Apa tidaknya, hari itu dilihatnya lelaki itu memandu kereta mewah. Jika orang biasa sahaja, mana mampu untuk memiliki kereta seperti itu dalam usia yang masih muda. Dan hari ini dia mengeluarkan kamera mahalnya pula.
                “Tentu banyak girlfriend, kan? Handsome ... kaya ... Selalunya orang macam tu playboy. Suka guna kelebihan dia untuk memikat perempuan,” Nadirah meneka. Bukan dia tidak nampak, pelajar di asramanya itu berlumba-lumba untuk memenangi hati jejaka yang tampan dan berada. Jiwa remaja katakan ... Dia juga dulu pun begitu. Meminati Saiful dari jauh, bukan kerana kekayaannya tetapi kerana personaliti jejaka itu. Namun apabila Saiful sudah berada di genggaman, dia melepaskannya pula. Dia sendiri sukar menafsirkan perasaannya pada jejaka itu. Hati berasa seronok mendampinginya, tetapi di suatu sudut yang lain tindakan Saiful memang tidak dapat diterimanya.
                “Mungkin juga.” Balas Ayu, matanya masih tertancap pada kelibat Syed Khalid yang duduk sendirian.
“Tapi aku tengok dia tak macam itu pun. Pendiam, tak campur orang. Nak kata sombong pun, hampir juga,” tambah Ayu. Sambil berbual, mata mereka sekejap-sekejap memandang pada Syed Khalid di bawah pokok. Bimbang juga jika kata-kata mereka didengari oleh lelaki itu.
                “Bukankah kau kata dia anak hartawan? Mana setaraf nak berkawan dengan kita semua? Itu sebab dia lebih rela duduk seorang diri di bawah pokok itu dan baca  buku!” balas Nadirah.
                “Mungkin dia tak pandai berkawan agaknya? Kesian ...” Ayu seperti bersimpati. Nadirah tergelak melihatkan simpati Ayu yang tidak bertempat.
                “Kalau begitu kau pergilah berkawan dengan dia. Mana tahu, nanti jodoh kau sampai dengan dia! Umur kau pun dah nak masuk 21 tahun, kan? Bila lagi nak cari pasangan? Nanti jadi anak dara tua pulak,” usik Nadirah sambil menolak tubuh rakannya itu.
“Eh, tak kuasa aku!” tingkah Ayu. ‘Lainlah kalau dia yang mengurat aku dulu ...’ sambung gadis itu dalam hati. Dalam pada itu, mata Ayu masih tertancap pada jejaka yang kelihatan tekun membaca.
 Tawa mereka pecah lagi.
                Gelak tawa kedua-dua gadis itu menarik perhatian Syed Khalid tiba-tiba. Matanya yang asyik menghadap buku dialihkan kepada gadis-gadis itu dengan pandangan yang tajam.
                “Eh, dia pandang kitalah,” bisik Ayu, mulai berdebar.
                “Buat biasa saja,” balas Nadirah sambil memandang ke arah lain.
                “Dia terasa agaknya kita mengata dia?” suara Ayu berbaur kegusaran.
                “Ah, mana dia boleh dengar? Kan jauh ni?” Nadirah juga sedikit cemas. Mungkin dalam ghairah bercerita suara mereka dapat ditangkap oleh jejaka itu. Maklumlah, walaupun jarak mereka agak jauh, namun keadaan di sekitar sunyi. Hanya bunyi desiran angin sahaja yang bertiup kuat. Kebanyakan pelajar lain mengambil kesempatan itu untuk menikmati pemandangan di sekitar dan mengambil gambar kenangan. Ada juga yang tidur dan berehat.
                Syed Khalid menutup buku yang dibacanya, bingkas bangun dan melangkah menuju ke arah gadis-gadis itu.
                “Awak berdua tak nak tidur ke?” soalnya apabila hampir dengan Nadirah dan Ayu.
                “Kenapa, bang? Abang nak ajak kami tidur sekali?” balas Ayu, sengaja mengusik  dan kemudian tertawa. Wajah Syed Khalid agak serius, mungkin tidak suka diajak bergurau begitu. Nadirah menyentap tangan Ayu. Baginya gurauan gadis itu agak keterlaluan.
                “Eloklah pergi berehat daripada berbual kosong. Besok, awal pagi kita nak mula mendaki balik. Nanti tak cukup rehat, tak cukup stamina pulak,” Syed Khalid mula bersyarah.
Nadirah dan Ayu saling berpandangan, kurang gemar ditegur begitu. Syed Khalid melayan mereka seperti budak-budak kecil.  Buat seketika mereka diam sahaja.
                “Jomlah, Ayu ....”  Nadirah segera menarik tangan rakannya itu tanpa memandang ke arah Syed Khalid yang hanya memerhati sejak dari tadi. Meluatnya pada lelaki itu tidak dapat digambarkan. Ayu hanya menurut.
                “Saya ikhlas memberi nasihat, bukan hendak menunjukkan kuasa!” Laung Syed Khalid kepada kedua-dua gadis itu setelah disedarinya tegurannya itu seperti tidak dihargai. Kata-katanya tidak diendahkan. Gadis-gadis itu segera berlalu tanpa menoleh lagi.
                “Apa salah aku?” Rungut Syed Khalid sendirian. Salahkah cuba berbuat baik?
                Syed Khalid memeluk tubuhnya yang dicengkam kedinginan.  Keadaan cuaca yang agak sejuk tidak memungkinkan dia berdiri lama di situ. Matanya juga terasa begitu berat. Akhirnya Syed Khalid ikut melangkah masuk ke asrama dan mencari tempat tidurnya.