Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Thursday, November 8, 2012

Bab 23


23

Suasana banglo mewah atas bukit itu kelihatan meriah dengan cahaya lampu yang terang benderang. Namun, kemeriahan itu hanya pada kilauan lampu yang pelbagai warna sahaja, tetapi persekitarannya agak sunyi daripada keriuhan suara manusia. Hanya bunyi air terjun buatan di sudut halaman yang memecah keheningan. Itulah kekurangan pada keluarga Tan Sri Syed Mokhtar, hartawan ternama tanah air. Kesemua anak lelakinya seramai empat orang masih belum berkeluarga. Walaupun mereka anak beranak tinggal bersama, kecuali Syed Khalid yang masih menuntut tetapi masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Dahulu ketika anak-anak masih kecil dan bersekolah, mereka hanya tinggal di rumah berkembar dua tingkat. Ketika itu, sudah terasa keriuhan dan keriangan anak-anak bergaduh atau bergurau senda sesama mereka. Apatah lagi membesarkan keempat-empat orang anak lelaki. Masing-masing ada kenakalan sendiri. Yang paling tua, Syed Mukhriz, agak mendengar kata tetapi suka berfoya-foya. Kedua dan ketiga, si kembar Syed Irfan dan Syed Zafran yang memang terkenal dengan kenakalannya sejak dari kecil. Syed Khalid Ikhwan sering menjadi mangsa usikan si kembar itu kerana dia yang paling kecil dan pendiam. Namun dalam diamnya, si bongsu agak degil dan sering mahu menang.
            Lelaki dalam usia hampir enam puluh tahun itu tersenyum mengenangkan tingkah anak-anak yang kini sudah meningkat dewasa. Sambil melayan fikirannya, sesekali tangannya membuang makanan ikan ke kolam ikan koi. Berebut-rebut ikan berwarna perang kemerahan itu menangkap makanan seolah-olah sudah lama tidak diberi makan.
            Daddy, assalamualaikum,” suara parau memberi salam itu mengejutkan lamunannya. Tan Sri Syed Mokhtar segera berpaling. Tetapi hatinya berbunga riang. Susuk tinggi lampai itu segera dipeluknya. Rasa rindu di hati kini terubat.
            “Lama Lid tak balik,” suara Tan Sri Syed Mokhtar lirih. Tangannya masih menepuk-nepuk bahu si anak.
            “Lid sibuk, daddy. Ada peperiksaan,” balas Syed Khalid Ikhwan ringkas.
            “Tak mengapa. Belajarlah bersungguh-sungguh. Abang-abang mana?”
            “Lid balik dengan Abang Irfan. Yang lain Lid belum jumpa lagi,” balas Syed Khalid.
            “Lid berpeluh-peluh ni, dari mana?” soal Tan Sri Syed Mokhtar apabila melihatkan keadaan anaknya itu yang agak tidak terurus.
            Belum sempat menjawab, kedengaran suara dari luar memberi salam. Suara lelaki dan wanita yang tidak biasa didengari Syed Khalid. Daddy ada tetamu nampaknya, tetapi kenapa menyuruh mereka semua pulang? Syed Khalid tertanya-tanya sendiri. Tentu tetamu yang tidak biasa ditemui, kerana itu daddy menyuruh mereka pulang untuk bertemu. Syed Khalid cuba meneka.
            Sambil menjawab salam, Tan Sri Syed Mokhtar pantas bergerak ke muka pintu, meninggalkan Syed Khalid yang masih berdiri di sisi kolam ikan koi. Kelihatan Puan Sri Zehan, isterinya sudah berada di ambang pintu menyambut kedatangan tamunya dengan riang. Mereka saling bertukar salam dan pelukan penuh mesra.
            “Eh, mana Khalid tadi? Tadi ada di belakang saya?” soal Tan Sri Syed Mokhtar kepada isteri mudanya itu, sambil matanya liar mencari anak bongsunya itu. Pertanyaan itu tidak dihiraukan Puan Sri Zehan. Dia ramah melayan tetamunya yang datang dari jauh. Tan Sri dan Puan Sri itu mengiringi tetamunya ke ruang tamu untuk duduk berbual. Tanpa disedari, Syed Irfan menurut dari belakang.
            “Wah, daddy, mommy. Sampai tak perasan saya langsung!” celah Syed Irfan, cuba memancing perhatian. Semua mata tertumpu padanya.
            “Oh iya ...,” kata Tan Sri Mokhtar dan segera bangun mendapatkan anaknya itu.
            “Ini Irfan, anak kedua saya. Irfan, kenalkan ini keluarga teman rapat daddy masa di US dulu, Uncle Mansor, isterinya Auntie Sofiah dan anak-anak mereka ..” Sampai di situ kata-katanya terhenti.
            Syed Irfan segera menyalami suami-isteri itu satu persatu. Manakala dengan anak-anak mereka dia hanya menganggukkan kepala. Tetapi anak-anak gadis Uncle Mansor tetap menghulurkan tangan mereka. Cantik bergaya dan kelihatan seperti anak-anak mat saleh. Syed Irfan menyambut huluran tangan mereka.
            “Ini anak-anak uncle, Zarith, Adriana dan Amani.” Uncle Mansor memperkenalkan anak-anak gadisnya. Auntie Sofiah hanya tersenyum memerhati.
            “Anak lelaki kami, Aidil dan Adam masih di US. Mereka akan menyusul dua minggu lagi,” beritahu Auntie Sofiah.
            “Err, nice meeting you,” ujar Syed Irfan, “Saya minta diri dulu, nak bersihkan diri. Saya baru balik dari Temerloh tadi dengan Khalid.”
            Sambung Syed Irfan lagi sambil memegang bajunya. Badannya terasa melekit.
            “Temerloh?” soal Tan Sri Syed Mokhtar, agak hairan.
            Syed Irfan tersenyum penuh makna.
            “Panjang ceritanya, daddy. Saya naik dululah,” kata Syed Irfan.
            Tan Sri Syed Mokhtar hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
            “Entah apalah projeknya di Temerloh tu,” omel lelaki itu. Selama ini dia tidak pernah mendengar apa-apa cerita tentang projek di Temerloh. Tetapi Syed Irfan selalu membuat kejutan. Mungkin hendak membuka cawangan di sana, fikirnya yang baik-baik sahaja. Dia kembali melayan tetamu jauhnya itu. Mansor adalah kawan baiknya ketika menuntut di US dahulu. Tamat belajar dia pulang ke Malaysia, tetapi Mansor menikahi Sofiah ketika masih belajar dan terus memilih untuk menetap di sana. Entah apa anginnya tiba-tiba mereka sudah mahu pulang terus ke Malaysia setelah berpuluh tahun menjadi warga Amerika. Berita itu diketahuinya beberapa bulan yang lalu. Kini sudah seminggu keluarga itu tiba di sini.
            “Anak-anak kamu semuanya tinggi dengan nilai budaya Melayu,” suara Mansor tiba-tiba.
            “Maksud kamu?” soal Tan Sri Syed Mokhtar agak ragu.
            Mansor tidak terus bersuara. Dipandangnya anak gadisnya satu persatu. Gadis-gadis itu hanya tersenyum.
            “Anak-anak aku tidak faham bahasa Melayu. Mereka dibesarkan dalam gaya hidup Barat.” Keluh Mansor. Sofiah hanya tunduk.
            “Jadi kerana itu kamu mahu pulang terus ke sini?” celah Tan Sri Syed Mokhtar.
            “Aku harap aku tidak terlalu lewat. Kalau boleh aku mahu mereka berkahwin dengan orang Melayu. Biarlah cucu-cucu aku dibesarkan dalam suasana keislaman dan kemelayuan,” ujar Mansor lagi. Dia berasa bebas bersuara kerana anak-anaknya tidak memahami apa yang dituturkan. Dia sendiri berasakan lidahnya agak ketat untuk bertutur dalam bahasa Melayu ketika mula sampai ke tanah air. Tetapi selepas seminggu, lidahnya kembali terbiasa.
            Tan Sri Syed Mokhtar berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabat baiknya itu. Dia mahu mencungkil lagi, tetapi tidak sampai hati kerana pertemuan kekeluargaan itu biarlah berlaku secara baik dan bahagia.
            “Ayuhlah kita ke meja makan. Semuanya sudah terhidang,” pelawa Puan Sri Zehan dalam bahasa Inggeris. Dia pasti, tamunya sudah tentu lebih memahami bahasa itu.
            “Ya, betul,” sambut Tan Sri Syed Mokhtar, “rezeki sudah di depan mata. Apa hendak ditunggu lagi,” selorohnya. Kata-katanya disambut dengan ketawa. Sudah lama Mansor tidak mendengar gurauan sebegitu.
Mereka segera bergerak ke meja makan berkerusi dua belas, terletak bersebelahan ruang tamu. Ketika itu kedengaran kereta memasuki perkarangan rumah. Tan Sri Syed Mokhtar hanya membiarkan sahaja. Pastinya Syed Mukhriz dan Syed Zafran sudah pulang. Tidak lama selepas itu, Syed Khalid dan Syed Irfan juga menyertai mereka. Empat jejaka menghadap tiga gadis. Mungkin sudah terbiasa, anak-anak gadis Mansor ramah menyapa jejaka di hadapan mereka. Hanya Syed Khalid sahaja yang berdiam diri. Dibiarkan saja Syed Irfan dan Syed Zafran yang peramah itu melayani gadis-gadis itu.
“Maaflah, Khalid memang tidak peramah. Ada emas dalam mulutnya,” kata Tan Sri Syed Mokhtar. Mansor menterjemahkan kata-kata sahabatnya itu dan disambut dengan tawa anak-anaknya. Usia mereka hampir sebaya dengan anak-anak Tan Sri Syed Mokhtar. Syed Khalid hanya tersenyum mendengarkan sindiran bapanya.
Selepas makan malam, tetamu itu diajak berbual lagi. Peluang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan itu digunakan sepenuhnya oleh sahabat baik itu. Amani menunjukkan bakatnya bermain piano. Jari-jemarinya pantas bergerak mengalunkan lagu “Right Here Waiting”. Selama ini piano putih di ruang santai itu hanya dimainkan oleh Puan Sri Zehan. Bekas setiausaha Tan Sri Syed Mokhtar itu merupakan ibu tiri Syed Khalid Ikhwan. Juga seorang janda ketika menikahi bapanya. Tetapi wanita itu keturunan Cina peranakan Melaka dan hanya diislamkan ketika mahu bernikah. Kehadiran Puan Sri Zehan dalam keluarga itu diterima baik oleh anak-anak Tan Sri Syed Mokhtar kerana wanita itu penuh dengan sifat keibuannya. Syed Khalid ketika itu baru berumur 10 tahun. Kini sudah hampir 9 tahun Puan Sri Zehan hadir dalam keluarga mereka.
Tan Sri Syed Mokhtar membiarkan anak-anaknya bermesra dengan anak-anak Mansor. Mereka pernah bersua ketika bercuti di US beberapa tahun lepas, ketika zaman kanak-kanak lagi. Mungkin anak-anak itu sudah lupa dengan pertemuan mereka dahulu. Kali ini dia berharap hubungan itu tambah mesra lagi.
“Kalaulah antara mereka itu ada jodoh, alangkah baiknya,” tiba-tiba Mansor bersuara. Sofiah tersenyum lebar mendengarkan kata-kata si suami. Dia memang berkenan benar dengan tingkah anak-anak Tan Sri Syed Mokhtar, penuh adab dan budi bahasa Melayu. Bersalam pun mencium tangan orang tua. Budaya yang tidak lekat pada anak-anaknya.
“Soal jodoh, saya tidak memilih. Terserahlah pada budak-budak tu menentukan. Baik pada mereka, baik juga pada saya,” Tan Sri Syed Mokhtar memberi jawapan selamat. Dia berpendirian tidak mahu campur tangan dalam urusan memilih jodoh untuk anak-anaknya. Dia tidak percaya pada jodoh yang diaturkan keluarga. Ibu dan ayahnya dahulu dijodohkan oleh keluarga, akhirnya mereka bercerai kerana tidak ada keserasian. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang semula dalam keluarga itu. Cukuplah dirinya sahaja yang tersiksa akibat dibesarkan dalam keluarga yang bercerai-berai.
Mansor berasa terpukul dengan kata-kata itu. Hasrat mahu mengeratkan silaturahim dengan pertalian kekeluargaan terpaksa dipendamkan seketika. Tetapi dia tidak akan berputus asa. Ini baru pertemuan pertama. Pastinya akan ada lagi pertemuan susulan. Dia berharap salah satu anak Tan Sri Syed Mokhtar akan menerima salah seorang anaknya. Dilihatnya Syed Irfan dan Syed Zafran sangat mesra dengan anak-anaknya. Tidak mengapalah, fikir Mansor. Esok-esok dia akan ke pejabat Tan Sri Syed Mokhtar dan bercerita lebih lanjut lagi. Tidak manis kalau dalam pertemuan pertama ini dia sudah meminta macam-macam, seperti tidak ada hari esok lagi!

Saturday, May 5, 2012

Bab 22



22


Syed Irfan merenung wajah adiknya lama-lama. Dia agak curiga dengan perangai ‘pelik’ adiknya itu. Selama ini dia mengenali Syed Khalid sebagai seorang yang pendiam, tidak suka bergaul dan pemalu dengan perempuan. Jika ada saudara-mara atau tetamu yang datang bertandang ke rumah, Syed Khalid lebih suka berkurung dalam biliknya. Hari ini dia melihat sisi lain adiknya itu. Sudah berubahkah dia? Adakah kerana gadis itu? Semua soalan itu berlegar-legar dalam fikirannya.
Syed Khalid menyedari renungan abangnya itu, tetapi dia langsung tidak kisah. Memang dia nekad sebentar tadi, berpatah balik semata-mata mahu membuat janji untuk Nadirah. Dia nampak wajah murung Nadirah sebelum mereka berpisah petang itu. Mungkin gadis itu sengaja hendak menyembunyikan perasaannya yang sebenar. Mungkin dia memang terasa sedih dengan perpisahan yang bakal menjelma, tetapi tidak mahu mempamerkannya di hadapan orang ramai. Yalah, baru hendak kenal mesra, dah berpisah. Syed Khalid sendiri merasakan cukup seronok dapat berkenalan dengan Nadirah. Seperti ada magnet pada Nadirah untuk dia mendekatinya walaupun malunya pada gadis itu tidak terkata. Jika dia tidak memulakan langkah, entah-entah dia langsung tidak dapat berkawan dengan gadis itu. Jadi, dia terpaksa membuang rasa malu itu jauh-jauh dan memberanikan diri. Baginya Nadirah lain daripada yang lain, hanya satu-satunya seperti itu dan mungkin sukar untuknya menemui seseorang yang betul-betul berkenan di hati.
Agak lama juga kedua-dua beradik itu tidak bercakap-cakap. Syed Irfan, seperti biasa hanya menyanyi-nyanyi kecil. Sesekejap dia bersiul mengikut rentak lagu di radio bagi menghilangkan kebosanan. Pandangannya dihalakan ke luar, melihat persekitaran di kiri-kanan lebuh raya yang menghijau. Syed Khalid masih tekun dengan pemanduannya. Syed Irfan sudah maklum yang adiknya itu memang payah hendak diajak berbual. Sejak kecil dia selalu mengasingkan diri daripada adik-beradik yang lain. Hanya daddy sahaja yang rapat dengan adik bongsunya itu. Dan daddy akan ikut segala kemahuan adiknya itu walaupun kemahuan mereka adik-beradik selalu berbeza. Melanjutkan pelajaran ke Scotland bukanlah persetujuan daddy. Malah daddy sebenarnya mahu Syed Khalid mendalami dunia bisnes, meneruskan legasi yang telah dibinanya. Tetapi Syed Khalid tetap dengan keputusannya, mahu meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Memang pelik, kerana tiada seorang pun dalam keluarga mereka terlibat dalam bidang itu. Kebanyakannya lebih tertumpu pada dunia perniagaan, mengambil jurusan pengurusan perniagaan ataupun perakaunan. Syed Irfan tahu, adiknya itu akan meneruskan apa saja yang dicita-citakannya walaupun mendapat tentangan daddy. Tetapi seperti biasa, selepas bertekak daddy selalunya akan cair dan mengalah dengan kehendak Syed Khalid.
            “Kau memang rapat dengan Nadirah?”
            Pertanyaan abangnya itu membuatkan Syed Khalid tersentak. Dia baru sahaja terasa hendak membuka mulut, bertanyakan hal sebenar kedatangan abangnya yang tiba-tiba. Tetapi Syed Irfan terlebih dahulu bersuara.
            “Kawan biasa,” balas Syed Khalid ringkas.
            Syed Irfan tersengih dan kemudian tertawa kecil seperti menyindir. Syed Khalid menjeling abangnya di sisi.
            “Kawan?” soal Syed Irfan seperti tidak percaya.
            Syed Khalid hanya mendiamkan diri. Memang itu jawapan yang tepat. Dia tiada jawapan selain itu. Terpulanglah jika Syed Irfan enggan mempercayainya.
            “Tetapi dia memang cantik orangnya. Lemah lembut. Putih bersih kulitnya ... bibir mulusnya kemerah-merahan. Macam kacukan ... Rambutnya lembut beralun ...”
            Terasa berdesing telinga Syed Khalid mendengar bicara abangnya yang cuba mengupas tentang diri Nadirah. Dia tidak suka abangnya itu terlalu meneliti tubuh badan Nadirah. Dia berasa cemburu tiba-tiba. Namun dia enggan melayani abangnya itu.
Syed Irfan berpaling pada adiknya.
            “Kau tahu, sebenarnya kecantikan Nadirah tu pada matanya. Matanya redup, bulu mata lebat. Wah, cantik sekali!” tambah Syed Irfan sambil menepuk tangan.
            Mendidih rasa hati Syed Khalid mendengar kata-kata itu. Tetapi dia sedar, Nadirah bukan kepunyaannya. Jika dia bersuara, tentu Syed Irfan akan mentertawakannya. Dia tahu, Syed Irfan sengaja hendak menguji kesabarannya. Sejak kecil lagi Syed Irfan suka mengusiknya. Apa sahaja barang miliknya cuba diganggu. Sikapnya yang tidak suka bercakap itu membuatkan abangnya lebih suka mengusik. Dia hanya bersabar dengan sikap abang yang suka mencari fasal itu.
            “Eh, kalau Nadirah tu masih solo, tolong adjust untuk aku. Kau pun bukan ada apa-apa hubungan dengan dia, kan?” tiba-tiba Syed Irfan memberi cadangan.
            Syed Khalid hanya menyimpan perasaan geram di hati. Dia tidak mahu memberi apa-apa komen. Patutlah sejak di rumah Nadirah tadi Syed Irfan seperti sangat berminat pada gadis itu.
            “Kenapa abang cari saya?” Syed Khalid cuba mengalih topik perbualan.
            Syed Irfan tidak terus menjawab. Fikirannya masih pada Nadirah.  Terbayang-bayang senyuman gadis itu. Kelembutan dan keayuan Nadirah berbeza dengan gadis-gadis yang pernah dikenalinya. Jika boleh, dia ingin mengenali gadis itu lebih dekat lagi. Tak apalah, pujuk dirinya. Syed Khalid pasti boleh menolong. Dia berpaling pada Syed Khalid yang hanya serius memandu.
            “Nanti berikan aku nombor telefon Nadirah,” ujar Syed Irfan.
            “Kenapa abang cari saya?” suara Syed Khalid lebih keras.
            Syed Irfan tertawa kecil. Dia tahu Syed Khalid mula marah. Tetapi dia tidak peduli.
            “Oh, pasal tu. Daddy panggil, ada family dinner malam ini,” beritahu Syed Irfan.
            Syed Khalid terdiam. Memang sudah menjadi kelaziman, jika daddy memanggil makan malam untuk keluarga bermakna ada hal besar yang akan dibincangkan. Walau sesibuk mana pun mereka, setiap orang mesti hadir. Daddy seorang yang tegas. Hanya dia sahaja yang berani menentang daddy. Mungkin kerana tidak dapat menghubunginya maka Syed Irfan meminta bantuan Abang Wak. Syed Irfan tahu yang dia juga rapat dengan Abang Wak sejak akhir-akhir ini.

Sunday, April 22, 2012

Bab 21



21

Ayu kelihatan tersengih-sengih seperti kerang busuk. Agaknya gembira benar dia kerana dapat membuat kejutan pada petang itu. Jauh sedikit ke belakang kelihatan Abang Wak mengekorinya beriringan dengan seorang lagi lelaki sebayanya yang tidak Nadirah kenali. Semakin dekat, Ayu berlari-lari anak mendapatkan Nadirah. Sebaik bertemu, dia memeluk dan mencium gadis itu seolah-olah sudah sekian lama tidak bertemu. Walhal baru dua hari lepas mereka bertemu di kafetaria kampus. Takkan Ayu begitu merinduinya, fikir Nadirah. Ada sedikit keraguan di wajahnya.
            “Rindu betul aku dengan kau ni!” Ayu seakan menjerit. Gelagatnya tidak seperti biasa. Nadirah memang tidak pernah melihat Ayu berkelakuan begitu. Apatah lagi di hadapan Abang Wak dan seorang lagi lelaki yang agak asing itu. Biar betul Ayu ni .. rungut Nadirah dalam hati. Bukan dia tidak gembira dengan kehadiran Ayu, tetapi dia hairan bagaimana Ayu tergerak hati untuk ke sini, bersama-sama Abang Wak pula! Serentak dengan itu dia baru tersedar, Syed Khalid juga tiba-tiba muncul pagi itu. Sepanjang bersama sejak pagi tadi soalan itu tidak pula terlintas di fikirannya. Mengapa semua orang tiba-tiba ambil berat tentang keluarganya? Nadirah semakin keliru.
            Abang Wak, rakannya dan Syed Khalid saling bersalaman. Mereka kelihatan mesra seperti sudah mengenali antara satu sama lain. Dalam pada itu, sempat juga Nadirah mengamati, raut wajah lelaki yang mengiringi Abang Wak ada iras Syed Khalid. Mungkin ada pertalian saudara antara kedua-duanya? Fikir Nadirah. Tangan Ayu masih merangkul pinggangnya. Seperti dirinya juga, Ayu hanya memerhati ketiga-tiga jejaka itu.
            “N, ini abang saya, Syed Irfan,” Syed Khalid memperkenalkan lelaki asing itu, seperti dapat membaca apa yang berlegar di benak Nadirah ketika itu. Nadirah hanya mengangguk. Patutlah ada iras Syed Khalid juga. Mungkin lelaki inilah yang berkawan dengan Abang Wak.
            “Pasti N terkejut, kan? Mengapa tiba-tiba kami ke sini,” Abang Wak pula bersuara. Nadirah tidak terus menjawab. Memang dia tidak menyangka mereka akan muncul di situ. Mereka bukan kawan rapatnya yang terlalu mengambil berat tentang masalah keluarganya selama ini.
            “Irfan singgah ke pejabat abang, katanya dalam misi  mencari Khalid.” Ayat yang terkeluar dari mulut Abang Wak itu membuatkan Syed Irfan tertawa.
“Kebetulan Ayu ada di pejabat abang masa tu. Terus kami bercadang untuk ke mari,” beritahu Abang Wak tanpa dipinta.
            Syed Khalid kelihatan tersipu-sipu. Dia tiada idea untuk menerangkan mengapa dia di situ sejak semalam. Dia juga tidak pasti bagaimana mereka tahu bahawa dia mencari Nadirah di kampungnya. Adakah kedatangan mereka petang itu hanya semata-mata hendak menjejakinya?
            “Panjang ceritanya. Abang Wak bagi versi ringkas saja,” sampuk Ayu, seperti tidak berpuas hati dengan penjelasan Abang Wak.
“Ayu di pejabat abang untuk serahkan laporan aktiviti. Kemudian, kawannya datang dan minta cari Khalid di asramanya. Tetapi seorang pun tak tahu ke mana Khalid pergi. Fauzul cadangkan kami mencari di hostel kau sebab katanya mungkin Khalid nak ajak kau keluar. Bila kami ke hostel kau, Hazimah beritahu tentang datuk kau. Katanya kau balik kampung kerana datuk kau kritikal. Kami simpati, kerana itu kami sepakat datang ke sini. Lagipun Hazimah beritahu Khalid juga mencari kau. Tak sangka akhirnya kita jumpa di sini,” Ayu memperincikan cerita mereka sambil melirik pada Syed Khalid dengan penuh makna. Syed Khalid tertunduk malu. Tebal terasa mukanya. Pasti mereka menyangka ada hubungan istimewa antara dia dengan Nadirah. Tetapi niatku ikhlas, mahu berkongsi kedukaan Nadirah. Syed Khalid masih berkira-kira dalam hati.
            “Apa hal cari saya?” aju Syed Khalid kepada abangnya. Selama ini tidak pernah pula ahli keluarganya mencari. Masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Mencari dia di kampus bukan sesuatu yang biasa. Pasti ada hal besar.
            “Nanti abang cerita, hal keluarga,” perlahan sahaja suara Syed Irfan. Dia menepuk-nepuk bahu adiknya sambil tersenyum penuh makna.
            Syed Khalid tidak jadi hendak terus pulang. Sebaliknya dia mengikut rakan-rakan yang lain melawat datuk Nadirah. Melihatkan kehadiran tetamu yang ramai itu, Nek Salmah mengajak mereka singgah ke rumah. Dia amat berbesar hati menerima kedatangan kawan-kawan Nadirah dari jauh. Apatah lagi apabila diperkenalkan dengan pensyarah Nadirah dan dua orang ‘Tuan Syed’ itu. Rimas juga Nadirah mendengarkan panggilan ‘Tuan’ yang digunakan oleh neneknya itu. Tetapi dia tahu, nenek terlalu menghormati tetamu-tetamunya. Itulah nenek, adab sopan dan budi bahasanya sangat tebal.
            Sewaktu Nadirah menghidangkan minuman kepada tetamunya, Syed Khalid perasan yang abangnya tidak berkelip-kelip memerhati gadis itu. Ada rasa tidak enak di hatinya melihatkan kelakuan Irfan. Irfan adalah abang keduanya, kembar Syed Zafran. Kedua-duanya berbeza lima tahun dari usianya. Mereka tidak begitu rapat, kerana itu dia hairan bagaimana abangnya itu boleh mencarinya di kampus.
            Ayu pula kelihatan begitu intim dengan Abang Wak. Syed Khalid dapat mencium seperti ada hubungan serius antara kedua-duanya. Tak apalah, fikir Syed Khalid kerana selama ini Ayu juga nampak seperti cuba memikatnya. Tetapi dia lebih sukakan Nadirah. Dia tahu, Abang Wak juga seperti sukakan Nadirah. Kerana itu dia terpaksa berhati-hati, bimbang dikatakan mengganggu. Namun dilihatnya Nadirah seperti tidak berminat hendak menjalin hubungan akrab dengan sesiapa. Mungkin dia sudah ada pilihannya sendiri, siapa tahu? Takkan orang secantik Nadirah masih belum dimiliki, fikirnya. Tetapi, apa salahnya mencuba. Syed Khalid memujuk diri sendiri.
            Hampir sejam bertandang, tetamu Nadirah memohon untuk pulang. Syed Irfan mahu pulang bersama adiknya, maka dibiarkan Abang Wak pulang berdua-duaan dengan Ayu. Pastilah Ayu lebih suka begitu, fikir Nadirah. Eloklah, Ayu pun sudah di hujung pengajian. Abang Wak pula masih bujang. Kalau ada keserasian antara kedua-duanya, teruskanlah saja. Sempat juga dia mengusik Ayu sebelum mereka berangkat. Seperti biasa, Ayu hanya tersengih-sengih.
Nadirah menghantar pemergian kedua-duanya di pinggir tangga. Sebaik sahaja kereta Syed Khalid hilang dari pandangan, Nek Salmah segera masuk ke rumah. Namun Nadirah masih terpaku di situ. Membuang pandangan kosong ke hadapan. Fikirannya menerawang mengenangkan sahabat-sahabat yang kini semakin jauh di mata.
‘Kawan datang dan kawan hilang! Sudah nasibku ditinggalkan kawan-kawan baikku,’ keluhnya dalam hati. Sebak pula terasa apabila mengenangkan dirinya ditinggalkan oleh kawan-kawan satu persatu. Terbayang-bayang di ruang mata keakraban bersama Nisha, Saiful, dan kini Syed Khalid. Ketiga-tiga mereka meninggalkan dia sendirian untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.  Mungkin atas tiket kesibukan, kini jarang sekali berita dari Saiful dan Nisha yang diterimanya. Dan menyusul pula Syed Khalid, apa bezanya dia dengan mereka? Kerana itulah dia tidak mahu Syed Khalid terlalu rapat dengan dirinya. Dia sengaja menggunakan alasan ‘tidak manis’ itu untuk mengelakkan daripada menjadi terlalu rapat dengan lelaki itu. Bila terlalu rapat, dan kemudian ditinggalkan, sakitnya akan menjadi lain. Ingatannya hinggap pada Saiful. Nama lelaki itu sentiasa bermain di bibir Atuk Malek. Dan Nadirah mengakui, dia juga terkenangkan Saiful, tetapi Saiful memang sudah lama menyepikan diri. Sudah lupakah dia pada mereka? Hatinya sering tertanya-tanya. Jika melupakan dia, tidak mengapa tetapi janganlah sampai melupai atuk yang sering mengingatinya. Kesian orang tua itu. Tidak semena-mena air matanya mengalir. Mengingati Saiful dan mengenangkan atuk yang sedang bergelut dengan penyakitnya itu cukup merapuhkan kekebalan dirinya. Perlahan-lahan dia melangkah untuk masuk, tetapi langkahnya terhenti tiba-tiba apabila namanya dipanggil.
“Nadirah!!”
Serta-merta dia menoleh.
I’ll write to you, I promise!” Syed Khalid lantang bersuara sambil menjengah melalui tingkap kereta. Nadirah tersenyum mengangguk dan hanya sempat melambai sebelum kereta itu memecut semula. Dia menggeleng-gelengkan kepala melihat perlakuan Syed Khalid yang baru beberapa kali ditemuinya itu. Sanggup dia berpatah balik hanya untuk menyatakan hal itu sahaja! Namun, diterimanya kata-kata itu sebagai janji atas dasar kesungguhan lelaki itu.

Saturday, February 11, 2012

Bab 20



20

Sambil makan disuapkan cucunya, Atuk Malek berbual-bual dengan Syed Khalid. Dia perasan yang bualan anak muda itu tidak serancak pagi tadi. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Sesudah orang tua itu selesai makan, Syed Khalid minta diri untuk bertolak balik ke Kuala Lumpur.
            “Belajar bersungguh-sungguh ya, cu,” nasihat Atuk Malek. Syed Khalid cuma tersenyum sambil mengangguk.
            “Sebenarnya saya akan meneruskan pelajaran saya ke Scotland, atuk,” terang Syed Khalid perlahan. Bukan niat untuk berbangga, sekadar memberi makluman.
            “Scotland?” suara orang tua itu tinggi sedikit, seperti teruja. Atuk Malek yang mahu berbaring sebentar tadi, kini kelihatan duduk tegak semula.
            “Ya,” sahut Syed Khalid.
             “Hmmm ... atuk ada dua orang cucu di sana. Azrul dan Saiful,” kata Atuk Malek, dan kemudian dia mengeluh panjang, “Tak tahulah, entahkan atuk tak sempat jumpa mereka lagi.”
            Nadirah dan Syed Khalid saling berpandangan. Nek Salmah yang duduk di sisi katil hanya memerhati kedua-duanya. Berdebar juga rasa hatinya apabila si suami asyik menyebut perkataan ‘tak sempat’. Seolah-olah dia mengetahui ajalnya akan tiba tidak lama lagi. Orang tua itu kembali berbaring. Syed Khalid segera membantu.
            “Sabarlah, atuk. Abang Azrul akan balik cuti semester ni,” pujuk Nadirah, cuba menenangkan datuknya. Dia mengusap-usap lembut telapak tangan Atuk Malek. Sempat juga dia mengerling pada nenek yang tunduk dalam kemuraman. Nadirah memang perasan, wajah nenek mendung saja sejak atuk dimasukkan ke wad. Memanglah, banyak perkara yang perlu digalasnya serentak. Menjaga Atuk Malek, Tuk Chin lagi ... Jika dia tidak ada, pasti kelam kabut nenek menguruskan mereka seorang diri.
            Hanya Azrul, bagaimana dengan Saiful? Syed Khalid masih tertunggu-tunggu kata-kata seterusnya dari mulut Nadirah. Semenjak berkenalan dengan Atuk Malek pagi tadi, bibir orang tua itu tidak putus-putus menyebut nama Saiful. Apa agaknya hubungan Saiful dengan keluarga ini? Pasti hubungan yang agak dekat kerana bualan Atuk Malek selalu menjurus pada nama itu. Syed Khalid masih tertanya-tanya sendirian. Namun Nadirah kelihatannya enggan bersuara lanjut tentang Saiful. Nek Salmah lagilah, tiada sepatah kata pun tentang Saiful yang selalu disebut Atuk Malek. Ahh ... misteri betul! Keluh Syed Khalid dalam hati.
            “Dah lama atuk tak jumpa mereka. Entah mereka tak ingat lagi pada atuk,” Atuk Malek masih merungut.
            “Abang, Scotland dengan Malaysia ni bukannya dekat macam dari sini ke Kuala Lumpur. Banyak nak pakai duit kalau selalu balik sini,” pujuk Nek Salmah pula.
Nadirah perasan, kini tingkah Atuk Malek persis anak-anak kecil, perlu ditenangkan dan dipujuk selalu. Semakin tua, orang tua itu semakin perasa. Hatinya cepat benar tersentuh.
            “Dulu Saiful selalu telefon atuk, tanya khabar. Sekarang dah tak macam dulu ...” rungut orang tua itu lagi.
            “Siapa Saiful, tuk?” Syed Khalid memberanikan diri bertanya.
            “Cucu atuk ...” balas Atuk Malek.
            “Err ... Khalid, awak kata nak balik, kan? Mari saya temankan awak ke kereta.”  Sebelum Atuk Malek bercerita lanjut tentang Saiful, Nadirah cepat-cepat meningkah. Dia tidak gemar Syed Khalid terlalu mengambil tahu tentang keluarganya. Lagipun bagaimana dia hendak menjelaskan tentang hubungan keluarga mereka dengan Saiful. Terlalu komplikated!
            Syed Khalid menjeling pada Nadirah. Lagi ditahan, lagi rasa membuak perasaan ingin tahunya tentang Saiful. Pasti ada hubungan istimewa antara mereka, telah Syed Khalid. Jika tidak, tidak mungkin Nadirah begitu berahsia tentang Saiful, fikirnya.
“Saya balik dulu, atuk. Atuk mesti ikut nasihat doktor, jangan culas makan ubat, nanti sakit atuk lambat baik,” nasihat Syed Khalid dengan lembut.
Atuk Malek tersenyum mengangguk. “Terima kasih kerana sudi datang menjenguk atuk di sini. Senang-senang datanglah lagi.”
Selepas bersalaman dengan Atuk Malek dan Nek Salmah, Nadirah menghantar Syed Khalid ke keretanya. Dia perasan perubahan pada tingkah laku jejaka itu. Sepanjang perjalanan mereka ke kereta pun dia hanya mendiamkan diri, seperti berfikir.  Apalah agaknya yang berlegar dalam kepalanya?
“N, terima kasih atas layanan baik awak terhadap saya hari ini.” ujar Syed Khalid ketika menekan alat kawal jauh keretanya.
“Sama-sama,” balas Nadirah. “Awak mesti faham Syed ... Saya bukannya hendak menghalau awak. Tapi di sini kampung. Tak manis awak bermalam di rumah saya ketika atuk saya terlantar di wad. Tok Chin pula bukan boleh diharapkan untuk menjaga keluarga kami. Nanti saya difitnah ...”
“Syhh!!” Syed Khalid cepat-cepat menyuruh gadis di hadapannya itu diam.
Nadirah tercengang. Marahkah jejaka itu padanya? Dia hanya menyatakan perkara yang betul.
Syed Khalid merenung bebola mata gadis di hadapannya. Tampak kejujuran yang terpancar dari sinar matanya. ‘Bodohnya aku kerana menyangka yang bukan-bukan.’ Gerutu jejaka itu dalam hati. Dia kemudiannya tersenyum. Rupa-rupanya adat ketimuran masih menebal dalam diri gadis itu. Dalam hatinya memuji-muji pula pegangan si gadis.
“Saya faham dan saya hormati pendirian awak. Saya sebenarnya nak beritahu awak sesuatu,” ujar Syed Khalid.
“Katakan saja!” balas Nadirah cepat-cepat.
“Minggu depan saya akan berangkat ke Scotland. Jadi, kalau kita tak jumpa lagi selepas ini, mungkin hari ini hari terakhir kita berjumpa.”
Dilihatnya wajah Nadirah biasa-biasa sahaja. Sedikit pun tidak berasa apa-apa dengan kata-katanya itu. Tidak sedihkah dia dengan perpisahan ini?
Good luck, Syed! Semoga awak berjaya mengejar cita-cita awak,” balas Nadirah kemudiannya.
Syed Khalid cuba tersenyum. ‘Macam tak ada perasaan saja budak ni!’ Gerutunya dalam hati.
Thanks. Okeylah, I better make a move now, bye ... Err .. assalamualaikum!” Lambaian Syed Khalid mengakhiri perbualan mereka.
“N!!”
Baru sahaja hendak masuk ke kereta, kedengaran suara riang memanggil nama Nadirah. Mata mereka tertancap pada remaja yang kelihatan riang menghampiri.
Syed Khalid tidak jadi beralih dari situ. Nadirah juga kelihatan terkejut.
‘Bagaimana boleh mereka ada di sini?’ rungut Nadirah dalam hati.

Saturday, January 28, 2012

Bab 19



19




WAJAH orang tua yang terlantar di atas katil hospital itu kelihatan berkerut sedikit ketika Syed Khalid memberi salam. Nadirah memandang kepadanya, mengisyaratkan supaya diam. Atuk Malek sedang tidur lena. Tetapi tidur itu tampak terganggu dengan kehadirannya di situ. Mungkin orang tua itu dapat merasakan kehadirannya itu. Syed Khalid mampir ke sisi kedua-dua beranak itu. Mata tua Atuk Malek terbuka perlahan-lahan. Mungkin orang tua itu dapat menangkap bau haruman yang dipakainya. Bau bedak yang baru dibeli di kedai runcit berhampiran. Agak kuat baunya, mampu menutup rahsia dia tidak mandi pagi itu.
            “Saiful?” sapa Atuk Malek dengan suara yang lemah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Nadirah tersentak dengan teguran itu. Syed Khalid mengalih pandangan pada Nadirah. Tangannya menyambut salam orang tua itu. Tapak tangan tua itu kelihatan besar, tidak sesuai dengan susuk tubuhnya yang kecut. Kesian, tapak tangannya mungkin membengkak akibat dicucuk jarum untuk memasukkan drip. Namun, hatinya tertanya-tanya juga, siapa Saiful yang disebut Atuk Malek?
            “Err .. bukan Saiful, tuk. Ini kawan Ira di ITM, ...”
            “Khalid!” pintas Syed Khalid memperkenalkan dirinya.
            “Ugh, Khalid? ... Atuk ingat Saiful tadi.” Suara orang tua itu agak lemah.
            Nadirah terdiam seketika. Kesian, atuk mungkin teringatkan Saiful. Saiful yang kini berada beribu-ribu batu jaraknya. Saiful yang hanya sekali menghantar berita semenjak berhijrah ke negara atas angin. Saiful mungkin sudah melupakan mereka. Timbul perasaan geram apabila mengenangkan Saiful. Tetapi atuk seperti merindui lelaki itu pula. Beberapa hari ini, dia seperti seronok bercerita tentang Saiful. Mengingat dan mengenang kembali budi baik jejaka itu atas keluarga mereka. Dan mahu dia menghargai segala kebaikan Saiful pada dirinya juga. Ah ... atuk, keluh Nadirah. Kehendak atuk cukup berbeza dengan kemahuannya. Atuk mungkin tidak tahu dia sedang belajar melupakan Saiful.
            “Mata atuk dah tak berapa nampak,” dengus orang tua itu dan cuba bangun. Nadirah segera menahan. Syed Khalid cepat-cepat memutar spring untuk menaikkan kepala katil supaya orang tua itu dapat meninggikan sedikit badannya.
            “Ada beli surat khabar?” soal orang tua itu kepada cucunya.
            “Ada, tuk,” pintas Syed Khalid sebelum sempat Nadirah menjawab, lalu  segera membentang akhbar yang dikepitnya. Mujurlah dia membeli akhbar itu di kedai runcit tadi. Tentu orang tua itu bosan terlantar di katil hospital sendirian.
“Saya bacakan untuk atuk,” Syed Khalid menawarkan khidmat, tetapi kemudian matanya memandang pada Nadirah, meminta kepastian.
“Bacalah, atuk faham.” Mengerti dengan persoalan yang berlegar di kepala Syed Khalid, Nadirah menjawab. Akhbar harian berbahasa Inggeris itu dibuka, dan Syed Khalid mula membaca tajuk utama. Apabila dipinta membaca lebih lanjut tentang sesuatu tajuk, barulah Syed Khalid membacakan berita penuh, terutamanya tentang politik dan sukan. Habis berita di akhbar, mereka bertukar-tukar pendapat tentang bidang sukan pula. Nadirah hanya memerhati keserasian antara kedua-duanya dengan perasaan gembira. Sekurang-kurangnya atuk ada teman untuk bercerita tentang topik yang diminatinya. Sambil itu dia mengemaskan pakaian Atuk Malek yang perlu dibawa pulang untuk dicuci. Beberapa kali juga dilihatnya Atuk Malek menguap, tetapi masih ingin terus berbual.
“Sudahlah atuk. Atuk rehatlah pula. Nanti atuk penat,” pujuk Nadirah.
“Ira dah nak balik ke?” soal orang tua itu seperti faham akan maksud yang tersirat di hati cucunya itu. Syed Khalid memandang pada Nadirah dan sengaja menjegilkan matanya, memarahi gadis itu. Nadirah hanya tersenyum.
“Kalau Ira balik, beritahu nenek, tengah hari nanti atuk nak ikan masak asam. Dah lama atuk tak makan tu,” beritahu Atuk Malek lalu berbaring semula.
“Baiklah, atuk. Atuk rehat ya? Tengah hari nanti Ira datang lagi dengan nenek,” pujuk Nadirah sambil membetulkan selimut datuknya. Syed Khalid menyalami orang tua itu.
“Kalau senang, datanglah lagi,” ujar Atuk Malek. Syed Khalid hanya mengangguk, “Insya Allah,” balasnya.
Sebelum beredar, Nadirah mencium dahi atuknya yang sudah memejamkan mata semula.
“Kesian ya?” bisik Syed Khalid ketika mengiringi Nadirah keluar dari wad. Nadirah hanya diam, mengetap bibir menahan sedih. Dia tidak tahu berapa lama Atuk Malek mampu bertahan. Kali ini keadaan penyakit atuk amat kritikal. Tiada tanda-tanda akan pulih. Hatinya diragut bimbang, bimbang menghadapi satu lagi kehilangan. Melihatkan wajah keruh Nadirah, Syed Khalid segera menepuk bahu gadis itu beberapa kali, cuba menenangkannya.
“Sabarlah, Insya Allah atuk N akan pulih,” dia memujuk, walaupun dia tahu impian itu amat tipis. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Nadirah menahan air mata yang mulai bergenang. Seboleh-bolehnya dia ingin menguatkan diri, tidak mahu jejaka itu melihat kerapuhan hatinya menghadapi situasi sukar sebegini.
Langkah kedua-duanya terhenti di hadapan kereta Syed Khalid. Mereka saling berpandangan.
“Saya hantar N balik,” beritahu Syed Khalid. Nadirah hanya mengangguk. Dia juga ingin memperkenalkan Syed Khalid kepada nenek. Sebelum itu, Nadirah meminta Syed Khalid singgah di pasar untuk membeli keperluan memasak seperti yang dipinta oleh datuknya.  Tidak terlintas di hati jejaka itu untuk membeli-belah di sebuah pasar segar. Seumur hidupnya dia tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat seperti itu. Baginya itu suatu pengalaman yang sangat menarik walaupun hanya membantu Nadirah membawakan barang-barang yang dibeli.
“Awak suka makan apa, Syed?” soal Nadirah.
“Kenapa? Kalau saya sebut, awak nak masakkan ke?”
“Sudah tentu boleh!” balas Nadirah dengan senang hati.
Syed Khalid hanya tertawa mendengar kata-kata gadis itu. Tawanya seperti mengejek, seolah-olah tidak percaya yang gadis itu boleh memasak.
“Kenapa, tak percaya ke?” soal Nadirah sedikit marah.
“Hmm ... jarang gadis seperti awak yang pandai di dapur. Cuba awak masakkan sambal sotong atau sambal udang goreng petai. Hmmm ... saya suka masakan itu. Mahu habis dua tiga pinggan nasi kalau ada lauk itu!” kata Syed Khalid sambil tertawa.
‘Hmm ... tak mencabar langsung!” gerutu Nadirah dalam hati. Tetapi dia cuma tersenyum mendengarkan kata-kata Syed Khalid. ‘Tunggu dan lihat!’ cabarnya dalam hati.
Nek Salmah menerima kehadiran Syed Khalid dengan senang hati walaupun dia agak terperanjat dengan kedatangan kawan Nadirah secara tiba-tiba itu. Nadirah tidak pernah bercerita yang dia mempunyai kawan lelaki yang rapat di asrama. Jika tidak rapat, bagaimana jejaka itu sanggup datang sejauh itu hanya kerana ingin menemui cucunya, telah orang tua itu.
“Bukan boyfriend nek, kawan saja,” terang Nadirah ketika Nek Salmah cuba mengusik cucunya itu.
Kemesraan antara nenek dan cucu itu menarik perhatian Syed Khalid. Dia ikut ke dapur untuk membantu. Duduk di ruang tamu seorang diri membuatkan dia kebosanan. Walaupun dilarang oleh Nadirah, dia tetap berkeras mahu membantu apa yang patut. Baginya semua itu adalah pengalaman yang amat berharga. Dia terhibur berada di situ. Barulah dia dapat merasakan suasana hidup berkeluarga yang sebenarnya. Pelbagai kerja disuruh Nadirah, memotong bawang, menumbuk cili, semua dilakukannya dengan senang hati walaupun begitu kekok. Rasa gembiranya hadir dalam keluarga itu melebihi segala-galanya.
“Nek .. boleh tak saya tinggal di sini sehari dua?” Syed Khalid menyuarakan hasratnya ketika mereka makan tengah hari. Bulat mata Nadirah memandang jejaka di hadapannya itu. Dia tidak sangka Syed Khalid akan membuat permintaan sebegitu.
“Sehari dua? Setahun pun tak apa kalau Tuan Syed sudi. Rumah kami ni serbanya kurang. Tak apa ke orang Kuala Lumpur tinggal di sini?” Nek Salmah merendah diri. Syed Khalid tertawa.
“Saya berasa seronok di sini. Saya ada nenek ... atuk, dan ...” matanya memandang pada Nadirah di sisi, “Nadirah!”
Tersentap tangkai hati Nadirah mendengarkan kata-kata itu.
“Di sini saya rasa nikmat hidup berkeluarga yang tidak pernah saya dapat di rumah sendiri,” sambung Syed Khalid lagi dengan nada yang perlahan.
“Nek, Syed ni ...”
“Panggil saya Khalid!” pintas Syed Khalid, bertegas. Dia tidak suka dirinya dihormati begitu sekali, apatah lagi Nek Salmah selalu menambah perkataan ‘Tuan’ sebelum namanya. Cukuplah dirinya dihormati dalam kalangan pekerja bapanya, bukan dalam kalangan kenalannya terutama keluarga Nadirah. Dia tidak mahu dirinya terlalu diasingkan.
“Err  ... Khalid ni anak hartawan, nek...”
“Jadi, kenapa?” soal Syed Khalid seperti kurang berpuas hati dengan kata-kata Nadirah.
“Kita tak terikutkan gaya hidupnya. Jadi, saya rasa baik awak balik KL saja,” Nadirah seperti memberikan kata putus. Wajah Syed Khalid serta merta berubah. Dia tidak sangka kehadirannya di situ seperti tidak disenangi oleh gadis itu.
“Kalau orang dah tak sudi nak buat macam mana ...” suara rajuk Syed Khalid kedengaran dan kemudian dia menyambung, “Lepas makan ni, saya hantar awak dan nenek ke hospital. Selepas jumpa atuk, saya akan balik seperti yang awak pinta.”
That sounds good!” ujar Nadirah dengan nada riang, seolah-olah sedikit pun tiada  rasa bersalah.
Nek Salmah terdiam mendengarkan butir bicara kedua-dua remaja di hadapannya itu. Dia melihat seperti ada keakraban antara kedua-duanya pada mulanya, namun dari kata-kata Nadirah, seperti ada yang tidak kena pula. Hai Nadirah ... kadang-kadang kedegilan cucunya itu tidak bertempat, keluh Nek Salmah. Selepas itu tiada lagi bualan rancak antara ketiga-tiganya. Syed Khalid menelan nasi dengan rasa terkilan. Lauk yang enak di hadapannya seperti tidak wujud lagi.

Bab 18



18


Syed Khalid masih berkerikut di tempat duduk pemandu. Cahaya mentari pagi yang memancar terang tidak langsung mengganggu lenanya yang panjang. Semalaman berperang dengan nyamuk yang mengganggu tidurnya, akhirnya Syed Khalid mengalah. Dia merelakan sahaja serangga itu menjamah tubuhnya asalkan dia dapat lena seketika. Baru beberapa jam tidur, dia belum merasa kepuasan berehat. Namun kenikmatan itu tidak lama. Bunyi ketukan di tingkap cermin kereta tiba-tiba mengganggu.
‘Ah, kacau!!’ Rungutnya, tetapi kata-kata itu hanya mampu berlegar-legar dalam kotak fikirannya sahaja. Seketika bunyi itu tidak kedengaran lagi. Dia segera menutup telinganya dengan lengan. Apa pun yang terjadi dia tidak mahu ambil pusing.
Baru hendak dibuai lena semula, bunyi ketukan itu berulang lagi. Terasa bunyi itu sengaja dibuat untuk mengejutkannya. Perlahan-lahan Syed Khalid cuba membuka mata walaupun tika itu kelopak matanya terasa begitu berat benar hendak diangkat. Dia memejamkan matanya kembali. Namun tidak lama, bunyi ketukan itu tambah kuat dan terasa benar-benar mengganggu. ‘Guard semalam lagikah,’ rungut Syed Khalid dalam hati. Dia menggenyeh-genyehkan mata lalu berpaling ke cermin tingkap. Sinar mentari pagi yang menerpa amat menyilaukan. Mujurlah ada sesusuk tubuh yang berdiri di cermin tingkap itu dapat menghadang suluhan cahaya yang tepat memancar ke matanya. Melihatkan ada orang yang berdiri di sisi keretanya, Syed Khalid bingkas bangun. Dan senyuman manis empunya diri itu membuatkan dia tambah gelabah. Punat cermin automatik segera ditekan untuk menurunkan cermin.
            “Hai ... selamat pagi.” Suara yang menyapa terasa begitu lembut kedengaran. Dada Syed Khalid terasa berdebar-debar. Seumur hidupnya dia tidak pernah dikejutkan dari tidur dengan suara lunak sebegitu. Syed Khalid membalas senyuman si gadis, walau diruntun rasa malu yang amat sangat.
            “Err... N!” Hanya itu yang termampu disuarakannya. Dia malu, teramat malu. Seorang gadis melihat rupa dirinya ketika baru bangun tidur! Entah bagaimanalah rupa aku ketika ini, fikir Syed Khalid. Dia segera meraup mukanya, membetulkan rambut yang tentunya kusut masai. Nadirah hanya tersengih. Mungkin geli hati melihat tingkahnya yang tidak tentu arah sebegitu.
            “Maaf jika saya mengganggu tidur awak, Syed,” luah Nadirah, masih lembut. Ada sedikit rasa bersalah kerana mengejutkan pemuda yang sedang lena itu.
            Syed Khalid tidak terus menjawab. Dia segera menaikkan semula cermin kereta, mematikan alat hawa dingin, radio, dan seterusnya enjin kereta. Kemudian dia menegakkan tempat duduk pemandu semula. Menyedari Syed Khalid ingin keluar dari kereta itu, Nadirah mengundur sedikit.
            “It’s okay, N. Dah sepatutnya saya bangun,” balas Syed Khalid ketika keluar dari keretanya. Dia menggeliat sedikit, mengendurkan urat-urat yang tegang, “Pukul berapa sekarang?”
            Nadirah mengangkat tangan, melihat pada jam yang dipakainya, “8.45. Saya beli breakfast untuk atuk tadi. Ternampak kereta awak. Itu yang saya datang kemari, nak pastikan betul-betul awak.”
            “Macam mana dengan atuk awak?” soal Syed Khalid. Sekali gus mengingatkan dirinya tentang matlamat asal kedatangannya ke situ.
            “Macam itulah, masih tak nampak perubahan.” Kali ini suara yang mesra tadi berbunyi lemah. “Marilah ikut saya, saya perkenalkan dengan atuk.”
            Syed Khalid terdiam seketika. Berfikir, bagaimana hendak menghadap orang tua Nadirah dalam keadaan dirinya yang tidak terurus seperti itu.
            “Atau nak balik ke rumah saya dulu, mandi dan breakfast?” usul Nadirah apabila menyedari yang Syed Khalid seperti agak keberatan.
            “Eh, tak payah susah-susahlah N. Malu saya ikut anak dara orang balik rumah pagi-pagi begini. Nanti apa kata orang pula!” pintas Syed Khalid. Nadirah jadi malu dengan kata-kata itu. Benar, tidak sepatutnya dia mempelawa seorang lelaki balik ke rumahnya. Tatkala atuk terlantar di wad pula. Nanti apa kata jiran tetangga. Kelak atuk dan nenek juga yang mendapat malu, jadi bahan umpatan orang.
            “Macam inilah, saya pergi public toilet saja. Ada 7 Eleven tak kat sini? Nak beli toiletries!” ujar Syed Khalid.
            Nadirah berfikir sejenak. Jari telunjuknya digigit. Matanya melilau ke arah kawasan deretan kedai berhampiran. ‘Comelnya ...,’ Getus hati Syed Khalid, melihat gadis yang berbaju merah jambu di hadapannya itu. Rambutnya yang separas bahu dibiarkan lepas. Juntaian rambut di dahi disepit dengan penyepit rambut berwarna merah jambu juga. Dia mengenakan jeans berwarna biru gelap dan sandal yang juga berwarna merah jambu! Susuk gadis itu diamati dari atas ke bawah. Cantiknya Nadirah pagi itu. Warna merah jambu memang kegilaan anak gadis belasan tahun sepertinya, dan Nadirah dilihatnya cukup kena dengan warna itu dek kerana kulitnya yang putih bersih.
            “7 Eleven tak ada di sini. Tapi rasanya ada kedai runcit yang dah buka pagi ni. Tapi kena carilah,” beritahu Nadirah kemudiannya. Syed Khalid segera mengalihkan pandangannya, bimbang gadis di hadapannya itu perasan dirinya diperhatikan.
            “Tak apalah. Saya pergi cari. Awak pergilah temankan atuk awak. Nanti saya datang,” beritahu Syed Khalid. Nadirah tersenyum mendengarkan jawapan jejaka itu.
            “Okey. Terus saja ke wad lelaki. Saya ada menunggu atuk, sejak malam tadi.” Beritahu Nadirah. ‘Sejak malam tadi? Tetapi kenapa aku tak nampak Nadirah? Mungkin Nadirah tidur, sebab itu tak nampak.’ Syed Khalid tertanya-tanya sendiri.
            “Jumpa di sana, ya?” ujar Nadirah sambil melangkah pergi. Syed Khalid melambaikan tangannya. Dia hanya memerhati lenggang si gadis sebelum masuk semula ke perut kereta. Entah kenapa dia berasa cukup senang melihat gadis itu. Perasaan itu cukup lain, sukar digambarkan dengan kata-kata. Tidak pernah perasaan sedemikian dirasakannya seumur hidup ini. Apatah lagi selama ini pun dia tidak pernah rapat dengan mana-mana perempuan. Agaknya beginilah rasanya apabila berkawan rapat dengan bukan kaum sejenis, perasaan itu jadi lain. Rasa seronok dan terhibur. Walaupun Nadirah nampak garang dan tidak mesra pada mulanya, tetapi dia tidak kisah. 'Aku akan berusaha untuk menjinakkan gadis itu, kalau dia masih jual mahal,' ikrar Syed Khalid dalam hati.
Kicauan sekawan burung yang berterbangan dan tiba-tiba hinggap ke dahan pokok yang rendang tempat dia berteduh, mengembalikan angannya ke alam nyata. Tambah mengejutkan, seekor daripada burung itu melepaskan najisnya ke dada Syed Khalid. Dia menyumpah geram. Tiada apa yang dapat dilakukan, selain segera masuk ke keretanya dan beredar dari situ.


Saturday, January 7, 2012

Bab 17


17

Hazimah bingkas bangun apabila mendengarkan pintu biliknya diketuk berkali-kali dan suara halus memberi salam kedengaran berselang-seli. Baru sahaja hendak melelapkan mata, sudah ada yang mengganggu, gerutu Hazimah. Sudahlah malam tadi dia tidak dapat tidur lena, sibuk mengulang kaji pelajaran buat kali terakhir. Baru kinilah fikirannya lega apabila kertas terakhir sudah diduduki pagi tadi. Dia cuma hendak berehat sekejap.
            “Ada orang cari Nadirah,” beritahu Wan Hasnah, pelajar Part I seperti Nadirah juga. Wajah di sebalik daun pintu itu kelihatan polos sahaja.
            “Eh? Nadirah kan dah balik kampung! Siapa cari?”
            Wan Hasnah hanya mengangkat bahu.
            “Lelaki!” ujarnya kemudian.
            “Okey. Nanti aku beritahu dia. Thanks Wan!”
            Gadis itu hanya mengangguk. Tugasnya hanyalah menyampaikan pesanan. Selebihnya biarlah empunya diri atau wakilnya yang menguruskan. Tanpa berlengah dia terus berlalu dari situ.
            Hazimah segera mengintai dari celah tingkap, melihat kelibat lelaki yang dikatakan oleh Wan Hasnah.
‘Hmm ... Syed Khalid! Dia tak tahukah yang Nadirah dah balik?’ fikir Hazimah dalam hati. ‘Kalau dia tahu, pasti dia tidak mencari di sini.’
Dalam bersoal-jawab sendirian itu, tangannya pantas menyarungkan tudung kepala. Syed Khalid sudah pasti menunggu sehingga Nadirah turun. Yakin sangat yang si cantik manis itu masih di sini, fikir Hazimah. Menjadi tugasnyalah kini memberitahu Syed Khalid tentang ketiadaan Nadirah supaya lelaki itu cepat beredar dari situ.
Kedatangan Hazimah disambut dengan senyuman oleh Syed Khalid yang sedang bersandar di pintu keretanya. Nampaknya sudah bersedia benar hendak menemui seseorang. ‘Malang sekali, orang yang ditunggu takkan muncul,’ bisik Hazimah dalam hati. Kesian juga dia pada jejaka itu.
“Assalamualaikum,” Hazimah menyapa.
“Waalaikumussalam. Nadirah?” soal Syed Khalid, tidak sabar lagaknya.
“Nadirah sudah balik kampung.” Beritahu Hazimah ringkas.
Serta-merta wajah jejaka di hadapannya berubah. Dia terkedu seketika. Tidak tahu apa yang patut dikatakannya ketika itu. Nadirah menipu diri aku? Kenapa gadis semanis Nadirah tergamak menipu? Atau Nadirah sengaja hendak mempermainkan aku? Dia tak mahu berjumpa denganku, maka dia terus balik pagi tadi? Pelbagai persoalan negatif mulai menghasut dirinya. Tiba-tiba dadanya terasa mendidih.
“Dia kata nak balik petang ni?” Syed Khalid cuba bersuara walaupun kerongkongnya rasa tersumbat. Sesak menahan rasa marah yang terbuku. Pantang dirinya kalau orang menipu. Apatah lagi jika Nadirah, dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa dirinya dipermainkan gadis itu.
“Memang sepatutnya dia balik petang ni. Tapi pagi tadi tiba-tiba dia dapat panggilan telefon. Atuknya sakit. Dia terpaksa balik segera,” terang Hazimah.
Syed Khalid menarik nafas lega. Kenapa dengan mudah dia menuduh gadis itu yang bukan-bukan. Sepatutnya dia mendengar penjelasan Hazimah dahulu.
“Awak janji nak jumpa dia ke?” soal Hazimah kemudiannya.
Syed Khalid geleng. Memang dia tidak pernah berjanji hendak menemui Nadirah petang itu. Kebetulan terserempak di pejabat HEP tempoh hari, dia hanya bertanya bila Nadirah akan pulang. Namun, tidak pula berjanji akan datang menemuinya. Dia cuma mahu buat kejutan untuk Nadirah dengan menghantarnya ke stesen bas. Selain itu, ada hal penting yang ingin dimaklumkannya. Tapi nampaknya dia pula yang dikejutkan dengan ketiadaan Nadirah petang itu.
Hazimah hanya memandang jejaka di hadapannya yang kelihatan muram. Nampak sangat dia kecewa. ‘Tidak pandai langsung hendak menyembunyikan perasaan!’ Hazimah terasa ingin ketawa tapi terpaksa disimpan dalam hati.
“Macam nilah, Syed. Saya bagi awak nombor telefon kampung Nadirah,” usul Hazimah, moga-moga duka jejaka itu akan terubat. Benarlah seperti sangkaannya, wajah yang muram itu serta-merta kembali bersinar apabila mendengarkan saranannya.
“Terima kasih, Hazimah. Kalau awak ada alamatnya sekali lebih bagus!” tambah Syed Khalid, memberanikan diri meminta. Hazimah hanya mengulum senyum melihatkan gelagat Syed Khalid. Diberi betis, hendakkan peha pula, Hazimah membuat simpulan bahasa.  Tanpa berlengah, dia segera minta diri untuk pulang ke asrama. Pastinya jejaka itu tidak sabar-sabar lagi hendak menghubungi Nadirah. Melihatkan riaknya, memang ada kesungguhan di wajahnya. Bukan sekali ini sahaja, malah Syed Khalid pernah membuat kejutan beberapa minggu dahulu. Entah apalah pula kejutannya kali ini, fikir Hazimah. Dia cepat-cepat menyalin nombor telefon dan alamat Nadirah. Seketika kemudian Hazimah muncul semula, menyerahkan kertas itu kepada Syed Khalid. Berkali-kali jejaka itu mengucapkan terima kasih sebelum beredar dari situ.
Syed Khalid memandu keretanya ke arah Kuala Lumpur. Kepalanya ligat berfikir. Faizul sudah pulang ke Jengka. Dia pula hanya mundar-mandir ke sana ke mari, tidak ada arah tujuan. Rancangnya petang ini dia mahu menemui Nadirah, menghantar gadis itu ke stesen bas. Dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur, sudah tentu banyak perkara yang boleh mereka bualkan. Kalau Lebuh Raya Persekutuan sesak, lebih bagus! Lebih panjanglah masa mereka hendak bermesra. Dia mahu mengenali Nadirah dengan lebih dekat lagi. Dia suka berkawan dengan gadis itu. Garang, tetapi manja. Dan hanya hari ini sahajalah peluang untuk mendekati gadis itu terbuka luas. Tetapi ... kini nampaknya semua yang dirancang tidak menjadi. Adakah ini menunjukkan bahawa dia tidak akan menemui Nadirah lagi?
Honk!!
Bunyi kuat hon lori di belakang mengejutkan lamunannya. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Syed Khalid mengerling pada papan tanda yang menunjukkan arah Kuantan. Dalam tak sedar dia sudah mengarah ke Lebuh Raya Karak. Kertas yang mengandungi alamat dan nombor telefon Nadirah diamati. Jika berdasarkan papan tanda, kampung Nadirah terletak hampir 200 kilometer dari situ. Bermakna hampir dua jam perjalanan. Jam menunjukkan hampir lima petang. Jika tidak kerana kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan ketika bertolak tadi, sudah tentu dia hampir sampai ketika ini. Entah mengapa hari itu kesesakan agak luar biasa. Kesesakan yang asalnya memang dia minta, tetapi bersama Nadirah. Kini hanya dia sendirian meredah  lautan kereta yang semacam tidak bergerak itu, namun terpaksa digagahkannya juga, hanya kerana Nadirah. Ya, demi gadis itu!
Mujurlah perjalanan ke kampung Nadirah lancar sahaja, walaupun dia tiba ketika senja hampir berlabuh. Puas bertanya, akhirnya dia berhenti betul-betul di hadapan rumah kampung yang sederhana besar. ‘Tentu seronok tinggal di sini,’ fikirnya. Halaman yang luas, udara segar. Namun, dari cahaya neon yang sengaja dipasang di beranda, rumah itu seperti tidak berpenghuni. Syed Khalid tidak jadi turun dari kereta. Dia membuat keputusan untuk singgah di masjid berdekatan. Kebetulan dia melalui masjid itu sebentar tadi.
“Dari mana?” tegur seorang jemaah ketika dia bersalaman dengannya sebaik sahaja selesai mengerjakan solat Isyak.
“Kuala Lumpur,” jawabnya sepatah. Dipandangnya lelaki dalam anggaran lewat lima puluhan itu. Lelaki itu hanya mengangguk-angguk.
“Duduk mana?” Nampaknya lelaki itu seperti berminat untuk meneruskan perbualan.
“Belum tahu lagi. Saya baru sampai,” ujar Syed Khalid sambil melipat sejadah yang menjadi alas solatnya sebentar tadi.
“Maksudnya, anak tak ada saudara mara di sini?” Lelaki itu bertanya lagi, ada sedikit keraguan terpamer di wajahnya.
“Saya Khalid,” beritahu Syed Khalid memperkenalkan diri. “Saya sebenarnya datang menziarah datuk kawan saya sakit.”
“Siapa? Haji Malek?” soal orang tua itu.
Dahi Syed Khalid berkerut. Dia tidak pasti nama datuk Nadirah.
“Err ... mungkin. Saya sahabat Nadirah, kami sama-sama belajar di Shah Alam,” terang Syed Khalid, cuba memberi petunjuk.
Orang tua itu tersengih.
“Yalah, Haji Maleklah tu. Cucunya Nadirah,” beritahu orang tua itu. Syed Khalid menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak tersilap orang. Nampaknya datuk Nadirah terkenal di kalangan orang kampung itu. Atau, mungkin tidak ada orang kampung lain yang jatuh sakit, kecuali datuk Nadirah, jadi mudahlah orang tua itu meneka, fikir Syed Khalid.
“Bagaimana keadaannya, pak cik? Saya belum sempat melihatnya. Rumahnya nampak kosong sahaja,” Syed Khalid mula berminat untuk berbual.
“Mereka di hospital agaknya. Hmm ... kesihatannya agak membimbangkan. Maklumlah, sakit orang tua. Kencing manis, darah tinggi, lemah jantung ... semuanya ada,” ujar lelaki itu seraya melemparkan keluhan panjang. Bersimpati dengan nasib yang menimpa orang tua itu.
 ‘Berat nampaknya sakit datuk Nadirah ni,’ fikir Syed Khalid. Apatah lagi melihatkan wajah pak cik di hadapannya itu berkerut dan kelihatan gusar sekali. Mendengarkan kata-kata pak cik itu, hatinya terasa melonjak-lonjak hendak melihat keadaan datuk Nadirah. Rasa simpati datang mendadak.
“Kalau begitu, saya minta diri dululah, pak cik. Tak tahulah sama ada saya dibenarkan melawat pada waktu-waktu begini atau tidak.”  Syed Khalid meminta diri. Orang tua itu hanya mengangguk. Selepas bersalaman, mereka membawa haluan masing-masing.
Syed Khalid terus memandu ke hospital. Keadaan di situ sunyi sahaja. Syed Khalid mati akal. Dia tidak tahu ke mana harus dituju terlebih dahulu. Sebaiknya dia ke wad lelaki, fikirnya. Tentu boleh bertanya pada jururawat bertugas. Ketika sampai di Wad Lelaki Hospital Daerah yang sederhana besarnya, Syed Khalid terintai-intai di celahan cermin tingkap nako. Dia menyelak sedikit kain langsir yang menutupi tingkap itu. Ada ramai pesakit, seorang pun dia tidak kenal. Bayang Nadirah pun tidak nampak langsung. Dalam pada itu terasa bahunya dipegang orang. Cepat-cepat dia menoleh.
“Cari siapa?” soal seorang pengawal keselamatan.
“Datuk ... err datuk saudara,” balas Syed Khalid tergagap-gagap.
“Nama?”
“Nama?” Syed Khalid kurang pasti dengan soalan itu.
“Yelah, nama datuk saudara awak tu apa?” Pengawal keselamatan itu membetulkan soalannya yang kurang jelas. Syed Khalid menggaru kepalanya yang tidak gatal. Soalan itu memang sukar dijawab.
“Haji Malek!” tiba-tiba dia teringat kata-kata orang tua di masjid sebentar tadi.
“Haji Malek?” soal pengawal keselamatan itu, meminta kepastian.
“Ya, ya!” jawab Syed Khalid kegembiraan. Sekurang-kurangnya serkap jarangnya mengena.
“Mari ikut saya,” kata lelaki itu. Syed Khalid mengekorinya ke pintu besar. Lapang rasa hati kerana pengawal keselamatan itu seperti dapat membantunya.
“Lihat, papan kenyataan ini ada senarai nama pesakit. Yang mana satu?” Lelaki itu menunjukkan papan putih yang tertulis dengan nama-nama pesakit dan katil yang diduduki mereka. Syed Khalid mengamati tulisan itu. Sekali lagi dia buntu. Ada tiga orang yang mempunyai nama yang sama, tetapi berlainan bin.
“Yang mana satu, ya?” Syed Khalid menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Err .. tak apalah, abang. Besok sahajalah saya datang melawat.” Akhirnya Syed Khalid mengalah.
“Hmm!” angguk lelaki itu, bersetuju dengan kata-kata Syed Khalid. “Sebaiknya awak pulang dulu. Hospital ini tempat pesakit berehat. Lagipun hari dah malam, waktu melawat dah lama habis.” Sambungnya lagi sebelum beredar dari situ.
Syed Khalid termenung seketika. Ke mana harus ditujunya malam-malam buta begini? Balik KL? Ah, terasa malas pula hendak membuat perjalanan jauh malam-malam begini. Lagipun, hatinya terasa begitu berat hendak meninggalkan daerah yang baru dijejakinya. Hendak ke rumah Nadirah, dia berasa segan. Tidak elok lelaki datang bertandang ke rumah gadis yang tiada ikatan persaudaraan langsung. Ke hotel? Malas pula rasanya mencari. Matanya memerhati pada kawasan sekitar. Daerah itu begitu asing baginya. Akhirnya pandangannya tertumpu pada sebuah pacuan empat roda berwarna perak yang diparkir elok. ‘Kereta aku! Ah, tidur dalam kereta pun jadilah sementara menanti hari siang.’ Tanpa berlengah Syed Khalid segera menapak ke keretanya. Dia membaringkan tempat duduk pemandu, menyediakan tempat berehatnya malam ini. Enjin dihidupkan dan dia memasang alat hawa dingin. Radio sengaja dipasang bagi membuai lenanya.