20
Sambil makan
disuapkan cucunya, Atuk Malek berbual-bual dengan Syed Khalid. Dia perasan yang
bualan anak muda itu tidak serancak pagi tadi. Sepatah ditanya, sepatah
dijawab. Sesudah orang tua itu selesai makan, Syed Khalid minta diri untuk
bertolak balik ke Kuala Lumpur.
“Belajar bersungguh-sungguh ya, cu,”
nasihat Atuk Malek. Syed Khalid cuma tersenyum sambil mengangguk.
“Sebenarnya saya akan meneruskan
pelajaran saya ke Scotland, atuk,” terang Syed Khalid perlahan. Bukan niat
untuk berbangga, sekadar memberi makluman.
“Scotland?” suara orang tua itu tinggi
sedikit, seperti teruja. Atuk Malek yang mahu berbaring sebentar tadi, kini
kelihatan duduk tegak semula.
“Ya,” sahut Syed Khalid.
“Hmmm ... atuk ada dua orang cucu di sana.
Azrul dan Saiful,” kata Atuk Malek, dan kemudian dia mengeluh panjang, “Tak
tahulah, entahkan atuk tak sempat jumpa mereka lagi.”
Nadirah dan Syed Khalid saling
berpandangan. Nek Salmah yang duduk di sisi katil hanya memerhati kedua-duanya.
Berdebar juga rasa hatinya apabila si suami asyik menyebut perkataan ‘tak
sempat’. Seolah-olah dia mengetahui ajalnya akan tiba tidak lama lagi. Orang
tua itu kembali berbaring. Syed Khalid segera membantu.
“Sabarlah, atuk. Abang Azrul akan
balik cuti semester ni,” pujuk Nadirah, cuba menenangkan datuknya. Dia
mengusap-usap lembut telapak tangan Atuk Malek. Sempat juga dia mengerling pada
nenek yang tunduk dalam kemuraman. Nadirah memang perasan, wajah nenek mendung
saja sejak atuk dimasukkan ke wad. Memanglah, banyak perkara yang perlu
digalasnya serentak. Menjaga Atuk Malek, Tuk Chin lagi ... Jika dia tidak ada,
pasti kelam kabut nenek menguruskan mereka seorang diri.
Hanya Azrul, bagaimana dengan
Saiful? Syed Khalid masih tertunggu-tunggu kata-kata seterusnya dari mulut
Nadirah. Semenjak berkenalan dengan Atuk Malek pagi tadi, bibir orang tua itu
tidak putus-putus menyebut nama Saiful. Apa agaknya hubungan Saiful dengan
keluarga ini? Pasti hubungan yang agak dekat kerana bualan Atuk Malek selalu
menjurus pada nama itu. Syed Khalid masih tertanya-tanya sendirian. Namun
Nadirah kelihatannya enggan bersuara lanjut tentang Saiful. Nek Salmah lagilah,
tiada sepatah kata pun tentang Saiful yang selalu disebut Atuk Malek. Ahh ... misteri
betul! Keluh Syed Khalid dalam hati.
“Dah lama atuk tak jumpa mereka.
Entah mereka tak ingat lagi pada atuk,” Atuk Malek masih merungut.
“Abang, Scotland dengan Malaysia ni
bukannya dekat macam dari sini ke Kuala Lumpur. Banyak nak pakai duit kalau
selalu balik sini,” pujuk Nek Salmah pula.
Nadirah
perasan, kini tingkah Atuk Malek persis anak-anak kecil, perlu ditenangkan dan
dipujuk selalu. Semakin tua, orang tua itu semakin perasa. Hatinya cepat benar
tersentuh.
“Dulu Saiful selalu telefon atuk, tanya
khabar. Sekarang dah tak macam dulu ...” rungut orang tua itu lagi.
“Siapa Saiful, tuk?” Syed Khalid
memberanikan diri bertanya.
“Cucu atuk ...” balas Atuk Malek.
“Err ... Khalid, awak kata nak
balik, kan? Mari saya temankan awak ke kereta.” Sebelum Atuk Malek bercerita lanjut tentang
Saiful, Nadirah cepat-cepat meningkah. Dia tidak gemar Syed Khalid terlalu
mengambil tahu tentang keluarganya. Lagipun bagaimana dia hendak menjelaskan
tentang hubungan keluarga mereka dengan Saiful. Terlalu komplikated!
Syed Khalid menjeling pada Nadirah.
Lagi ditahan, lagi rasa membuak perasaan ingin tahunya tentang Saiful. Pasti
ada hubungan istimewa antara mereka, telah Syed Khalid. Jika tidak, tidak
mungkin Nadirah begitu berahsia tentang Saiful, fikirnya.
“Saya
balik dulu, atuk. Atuk mesti ikut nasihat doktor, jangan culas makan ubat,
nanti sakit atuk lambat baik,” nasihat Syed Khalid dengan lembut.
Atuk
Malek tersenyum mengangguk. “Terima kasih kerana sudi datang menjenguk atuk di
sini. Senang-senang datanglah lagi.”
Selepas
bersalaman dengan Atuk Malek dan Nek Salmah, Nadirah menghantar Syed Khalid ke
keretanya. Dia perasan perubahan pada tingkah laku jejaka itu. Sepanjang
perjalanan mereka ke kereta pun dia hanya mendiamkan diri, seperti berfikir. Apalah agaknya yang berlegar dalam kepalanya?
“N,
terima kasih atas layanan baik awak terhadap saya hari ini.” ujar Syed Khalid
ketika menekan alat kawal jauh keretanya.
“Sama-sama,”
balas Nadirah. “Awak mesti faham Syed ... Saya bukannya hendak menghalau awak.
Tapi di sini kampung. Tak manis awak bermalam di rumah saya ketika atuk saya
terlantar di wad. Tok Chin pula bukan boleh diharapkan untuk menjaga keluarga
kami. Nanti saya difitnah ...”
“Syhh!!”
Syed Khalid cepat-cepat menyuruh gadis di hadapannya itu diam.
Nadirah
tercengang. Marahkah jejaka itu padanya? Dia hanya menyatakan perkara yang
betul.
Syed
Khalid merenung bebola mata gadis di hadapannya. Tampak kejujuran yang
terpancar dari sinar matanya. ‘Bodohnya aku kerana menyangka yang bukan-bukan.’
Gerutu jejaka itu dalam hati. Dia kemudiannya tersenyum. Rupa-rupanya adat
ketimuran masih menebal dalam diri gadis itu. Dalam hatinya memuji-muji pula
pegangan si gadis.
“Saya
faham dan saya hormati pendirian awak. Saya sebenarnya nak beritahu awak
sesuatu,” ujar Syed Khalid.
“Katakan
saja!” balas Nadirah cepat-cepat.
“Minggu
depan saya akan berangkat ke Scotland. Jadi, kalau kita tak jumpa lagi selepas
ini, mungkin hari ini hari terakhir kita berjumpa.”
Dilihatnya
wajah Nadirah biasa-biasa sahaja. Sedikit pun tidak berasa apa-apa dengan
kata-katanya itu. Tidak sedihkah dia dengan perpisahan ini?
“Good luck, Syed! Semoga awak berjaya
mengejar cita-cita awak,” balas Nadirah kemudiannya.
Syed
Khalid cuba tersenyum. ‘Macam tak ada perasaan saja budak ni!’ Gerutunya dalam
hati.
“Thanks. Okeylah, I better make a move now, bye ... Err .. assalamualaikum!” Lambaian
Syed Khalid mengakhiri perbualan mereka.
“N!!”
Baru
sahaja hendak masuk ke kereta, kedengaran suara riang memanggil nama Nadirah. Mata
mereka tertancap pada remaja yang kelihatan riang menghampiri.
Syed
Khalid tidak jadi beralih dari situ. Nadirah juga kelihatan terkejut.
‘Bagaimana
boleh mereka ada di sini?’ rungut Nadirah dalam hati.
No comments:
Post a Comment