Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Saturday, January 28, 2012

Bab 19



19




WAJAH orang tua yang terlantar di atas katil hospital itu kelihatan berkerut sedikit ketika Syed Khalid memberi salam. Nadirah memandang kepadanya, mengisyaratkan supaya diam. Atuk Malek sedang tidur lena. Tetapi tidur itu tampak terganggu dengan kehadirannya di situ. Mungkin orang tua itu dapat merasakan kehadirannya itu. Syed Khalid mampir ke sisi kedua-dua beranak itu. Mata tua Atuk Malek terbuka perlahan-lahan. Mungkin orang tua itu dapat menangkap bau haruman yang dipakainya. Bau bedak yang baru dibeli di kedai runcit berhampiran. Agak kuat baunya, mampu menutup rahsia dia tidak mandi pagi itu.
            “Saiful?” sapa Atuk Malek dengan suara yang lemah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Nadirah tersentak dengan teguran itu. Syed Khalid mengalih pandangan pada Nadirah. Tangannya menyambut salam orang tua itu. Tapak tangan tua itu kelihatan besar, tidak sesuai dengan susuk tubuhnya yang kecut. Kesian, tapak tangannya mungkin membengkak akibat dicucuk jarum untuk memasukkan drip. Namun, hatinya tertanya-tanya juga, siapa Saiful yang disebut Atuk Malek?
            “Err .. bukan Saiful, tuk. Ini kawan Ira di ITM, ...”
            “Khalid!” pintas Syed Khalid memperkenalkan dirinya.
            “Ugh, Khalid? ... Atuk ingat Saiful tadi.” Suara orang tua itu agak lemah.
            Nadirah terdiam seketika. Kesian, atuk mungkin teringatkan Saiful. Saiful yang kini berada beribu-ribu batu jaraknya. Saiful yang hanya sekali menghantar berita semenjak berhijrah ke negara atas angin. Saiful mungkin sudah melupakan mereka. Timbul perasaan geram apabila mengenangkan Saiful. Tetapi atuk seperti merindui lelaki itu pula. Beberapa hari ini, dia seperti seronok bercerita tentang Saiful. Mengingat dan mengenang kembali budi baik jejaka itu atas keluarga mereka. Dan mahu dia menghargai segala kebaikan Saiful pada dirinya juga. Ah ... atuk, keluh Nadirah. Kehendak atuk cukup berbeza dengan kemahuannya. Atuk mungkin tidak tahu dia sedang belajar melupakan Saiful.
            “Mata atuk dah tak berapa nampak,” dengus orang tua itu dan cuba bangun. Nadirah segera menahan. Syed Khalid cepat-cepat memutar spring untuk menaikkan kepala katil supaya orang tua itu dapat meninggikan sedikit badannya.
            “Ada beli surat khabar?” soal orang tua itu kepada cucunya.
            “Ada, tuk,” pintas Syed Khalid sebelum sempat Nadirah menjawab, lalu  segera membentang akhbar yang dikepitnya. Mujurlah dia membeli akhbar itu di kedai runcit tadi. Tentu orang tua itu bosan terlantar di katil hospital sendirian.
“Saya bacakan untuk atuk,” Syed Khalid menawarkan khidmat, tetapi kemudian matanya memandang pada Nadirah, meminta kepastian.
“Bacalah, atuk faham.” Mengerti dengan persoalan yang berlegar di kepala Syed Khalid, Nadirah menjawab. Akhbar harian berbahasa Inggeris itu dibuka, dan Syed Khalid mula membaca tajuk utama. Apabila dipinta membaca lebih lanjut tentang sesuatu tajuk, barulah Syed Khalid membacakan berita penuh, terutamanya tentang politik dan sukan. Habis berita di akhbar, mereka bertukar-tukar pendapat tentang bidang sukan pula. Nadirah hanya memerhati keserasian antara kedua-duanya dengan perasaan gembira. Sekurang-kurangnya atuk ada teman untuk bercerita tentang topik yang diminatinya. Sambil itu dia mengemaskan pakaian Atuk Malek yang perlu dibawa pulang untuk dicuci. Beberapa kali juga dilihatnya Atuk Malek menguap, tetapi masih ingin terus berbual.
“Sudahlah atuk. Atuk rehatlah pula. Nanti atuk penat,” pujuk Nadirah.
“Ira dah nak balik ke?” soal orang tua itu seperti faham akan maksud yang tersirat di hati cucunya itu. Syed Khalid memandang pada Nadirah dan sengaja menjegilkan matanya, memarahi gadis itu. Nadirah hanya tersenyum.
“Kalau Ira balik, beritahu nenek, tengah hari nanti atuk nak ikan masak asam. Dah lama atuk tak makan tu,” beritahu Atuk Malek lalu berbaring semula.
“Baiklah, atuk. Atuk rehat ya? Tengah hari nanti Ira datang lagi dengan nenek,” pujuk Nadirah sambil membetulkan selimut datuknya. Syed Khalid menyalami orang tua itu.
“Kalau senang, datanglah lagi,” ujar Atuk Malek. Syed Khalid hanya mengangguk, “Insya Allah,” balasnya.
Sebelum beredar, Nadirah mencium dahi atuknya yang sudah memejamkan mata semula.
“Kesian ya?” bisik Syed Khalid ketika mengiringi Nadirah keluar dari wad. Nadirah hanya diam, mengetap bibir menahan sedih. Dia tidak tahu berapa lama Atuk Malek mampu bertahan. Kali ini keadaan penyakit atuk amat kritikal. Tiada tanda-tanda akan pulih. Hatinya diragut bimbang, bimbang menghadapi satu lagi kehilangan. Melihatkan wajah keruh Nadirah, Syed Khalid segera menepuk bahu gadis itu beberapa kali, cuba menenangkannya.
“Sabarlah, Insya Allah atuk N akan pulih,” dia memujuk, walaupun dia tahu impian itu amat tipis. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Nadirah menahan air mata yang mulai bergenang. Seboleh-bolehnya dia ingin menguatkan diri, tidak mahu jejaka itu melihat kerapuhan hatinya menghadapi situasi sukar sebegini.
Langkah kedua-duanya terhenti di hadapan kereta Syed Khalid. Mereka saling berpandangan.
“Saya hantar N balik,” beritahu Syed Khalid. Nadirah hanya mengangguk. Dia juga ingin memperkenalkan Syed Khalid kepada nenek. Sebelum itu, Nadirah meminta Syed Khalid singgah di pasar untuk membeli keperluan memasak seperti yang dipinta oleh datuknya.  Tidak terlintas di hati jejaka itu untuk membeli-belah di sebuah pasar segar. Seumur hidupnya dia tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat seperti itu. Baginya itu suatu pengalaman yang sangat menarik walaupun hanya membantu Nadirah membawakan barang-barang yang dibeli.
“Awak suka makan apa, Syed?” soal Nadirah.
“Kenapa? Kalau saya sebut, awak nak masakkan ke?”
“Sudah tentu boleh!” balas Nadirah dengan senang hati.
Syed Khalid hanya tertawa mendengar kata-kata gadis itu. Tawanya seperti mengejek, seolah-olah tidak percaya yang gadis itu boleh memasak.
“Kenapa, tak percaya ke?” soal Nadirah sedikit marah.
“Hmm ... jarang gadis seperti awak yang pandai di dapur. Cuba awak masakkan sambal sotong atau sambal udang goreng petai. Hmmm ... saya suka masakan itu. Mahu habis dua tiga pinggan nasi kalau ada lauk itu!” kata Syed Khalid sambil tertawa.
‘Hmm ... tak mencabar langsung!” gerutu Nadirah dalam hati. Tetapi dia cuma tersenyum mendengarkan kata-kata Syed Khalid. ‘Tunggu dan lihat!’ cabarnya dalam hati.
Nek Salmah menerima kehadiran Syed Khalid dengan senang hati walaupun dia agak terperanjat dengan kedatangan kawan Nadirah secara tiba-tiba itu. Nadirah tidak pernah bercerita yang dia mempunyai kawan lelaki yang rapat di asrama. Jika tidak rapat, bagaimana jejaka itu sanggup datang sejauh itu hanya kerana ingin menemui cucunya, telah orang tua itu.
“Bukan boyfriend nek, kawan saja,” terang Nadirah ketika Nek Salmah cuba mengusik cucunya itu.
Kemesraan antara nenek dan cucu itu menarik perhatian Syed Khalid. Dia ikut ke dapur untuk membantu. Duduk di ruang tamu seorang diri membuatkan dia kebosanan. Walaupun dilarang oleh Nadirah, dia tetap berkeras mahu membantu apa yang patut. Baginya semua itu adalah pengalaman yang amat berharga. Dia terhibur berada di situ. Barulah dia dapat merasakan suasana hidup berkeluarga yang sebenarnya. Pelbagai kerja disuruh Nadirah, memotong bawang, menumbuk cili, semua dilakukannya dengan senang hati walaupun begitu kekok. Rasa gembiranya hadir dalam keluarga itu melebihi segala-galanya.
“Nek .. boleh tak saya tinggal di sini sehari dua?” Syed Khalid menyuarakan hasratnya ketika mereka makan tengah hari. Bulat mata Nadirah memandang jejaka di hadapannya itu. Dia tidak sangka Syed Khalid akan membuat permintaan sebegitu.
“Sehari dua? Setahun pun tak apa kalau Tuan Syed sudi. Rumah kami ni serbanya kurang. Tak apa ke orang Kuala Lumpur tinggal di sini?” Nek Salmah merendah diri. Syed Khalid tertawa.
“Saya berasa seronok di sini. Saya ada nenek ... atuk, dan ...” matanya memandang pada Nadirah di sisi, “Nadirah!”
Tersentap tangkai hati Nadirah mendengarkan kata-kata itu.
“Di sini saya rasa nikmat hidup berkeluarga yang tidak pernah saya dapat di rumah sendiri,” sambung Syed Khalid lagi dengan nada yang perlahan.
“Nek, Syed ni ...”
“Panggil saya Khalid!” pintas Syed Khalid, bertegas. Dia tidak suka dirinya dihormati begitu sekali, apatah lagi Nek Salmah selalu menambah perkataan ‘Tuan’ sebelum namanya. Cukuplah dirinya dihormati dalam kalangan pekerja bapanya, bukan dalam kalangan kenalannya terutama keluarga Nadirah. Dia tidak mahu dirinya terlalu diasingkan.
“Err  ... Khalid ni anak hartawan, nek...”
“Jadi, kenapa?” soal Syed Khalid seperti kurang berpuas hati dengan kata-kata Nadirah.
“Kita tak terikutkan gaya hidupnya. Jadi, saya rasa baik awak balik KL saja,” Nadirah seperti memberikan kata putus. Wajah Syed Khalid serta merta berubah. Dia tidak sangka kehadirannya di situ seperti tidak disenangi oleh gadis itu.
“Kalau orang dah tak sudi nak buat macam mana ...” suara rajuk Syed Khalid kedengaran dan kemudian dia menyambung, “Lepas makan ni, saya hantar awak dan nenek ke hospital. Selepas jumpa atuk, saya akan balik seperti yang awak pinta.”
That sounds good!” ujar Nadirah dengan nada riang, seolah-olah sedikit pun tiada  rasa bersalah.
Nek Salmah terdiam mendengarkan butir bicara kedua-dua remaja di hadapannya itu. Dia melihat seperti ada keakraban antara kedua-duanya pada mulanya, namun dari kata-kata Nadirah, seperti ada yang tidak kena pula. Hai Nadirah ... kadang-kadang kedegilan cucunya itu tidak bertempat, keluh Nek Salmah. Selepas itu tiada lagi bualan rancak antara ketiga-tiganya. Syed Khalid menelan nasi dengan rasa terkilan. Lauk yang enak di hadapannya seperti tidak wujud lagi.

Bab 18



18


Syed Khalid masih berkerikut di tempat duduk pemandu. Cahaya mentari pagi yang memancar terang tidak langsung mengganggu lenanya yang panjang. Semalaman berperang dengan nyamuk yang mengganggu tidurnya, akhirnya Syed Khalid mengalah. Dia merelakan sahaja serangga itu menjamah tubuhnya asalkan dia dapat lena seketika. Baru beberapa jam tidur, dia belum merasa kepuasan berehat. Namun kenikmatan itu tidak lama. Bunyi ketukan di tingkap cermin kereta tiba-tiba mengganggu.
‘Ah, kacau!!’ Rungutnya, tetapi kata-kata itu hanya mampu berlegar-legar dalam kotak fikirannya sahaja. Seketika bunyi itu tidak kedengaran lagi. Dia segera menutup telinganya dengan lengan. Apa pun yang terjadi dia tidak mahu ambil pusing.
Baru hendak dibuai lena semula, bunyi ketukan itu berulang lagi. Terasa bunyi itu sengaja dibuat untuk mengejutkannya. Perlahan-lahan Syed Khalid cuba membuka mata walaupun tika itu kelopak matanya terasa begitu berat benar hendak diangkat. Dia memejamkan matanya kembali. Namun tidak lama, bunyi ketukan itu tambah kuat dan terasa benar-benar mengganggu. ‘Guard semalam lagikah,’ rungut Syed Khalid dalam hati. Dia menggenyeh-genyehkan mata lalu berpaling ke cermin tingkap. Sinar mentari pagi yang menerpa amat menyilaukan. Mujurlah ada sesusuk tubuh yang berdiri di cermin tingkap itu dapat menghadang suluhan cahaya yang tepat memancar ke matanya. Melihatkan ada orang yang berdiri di sisi keretanya, Syed Khalid bingkas bangun. Dan senyuman manis empunya diri itu membuatkan dia tambah gelabah. Punat cermin automatik segera ditekan untuk menurunkan cermin.
            “Hai ... selamat pagi.” Suara yang menyapa terasa begitu lembut kedengaran. Dada Syed Khalid terasa berdebar-debar. Seumur hidupnya dia tidak pernah dikejutkan dari tidur dengan suara lunak sebegitu. Syed Khalid membalas senyuman si gadis, walau diruntun rasa malu yang amat sangat.
            “Err... N!” Hanya itu yang termampu disuarakannya. Dia malu, teramat malu. Seorang gadis melihat rupa dirinya ketika baru bangun tidur! Entah bagaimanalah rupa aku ketika ini, fikir Syed Khalid. Dia segera meraup mukanya, membetulkan rambut yang tentunya kusut masai. Nadirah hanya tersengih. Mungkin geli hati melihat tingkahnya yang tidak tentu arah sebegitu.
            “Maaf jika saya mengganggu tidur awak, Syed,” luah Nadirah, masih lembut. Ada sedikit rasa bersalah kerana mengejutkan pemuda yang sedang lena itu.
            Syed Khalid tidak terus menjawab. Dia segera menaikkan semula cermin kereta, mematikan alat hawa dingin, radio, dan seterusnya enjin kereta. Kemudian dia menegakkan tempat duduk pemandu semula. Menyedari Syed Khalid ingin keluar dari kereta itu, Nadirah mengundur sedikit.
            “It’s okay, N. Dah sepatutnya saya bangun,” balas Syed Khalid ketika keluar dari keretanya. Dia menggeliat sedikit, mengendurkan urat-urat yang tegang, “Pukul berapa sekarang?”
            Nadirah mengangkat tangan, melihat pada jam yang dipakainya, “8.45. Saya beli breakfast untuk atuk tadi. Ternampak kereta awak. Itu yang saya datang kemari, nak pastikan betul-betul awak.”
            “Macam mana dengan atuk awak?” soal Syed Khalid. Sekali gus mengingatkan dirinya tentang matlamat asal kedatangannya ke situ.
            “Macam itulah, masih tak nampak perubahan.” Kali ini suara yang mesra tadi berbunyi lemah. “Marilah ikut saya, saya perkenalkan dengan atuk.”
            Syed Khalid terdiam seketika. Berfikir, bagaimana hendak menghadap orang tua Nadirah dalam keadaan dirinya yang tidak terurus seperti itu.
            “Atau nak balik ke rumah saya dulu, mandi dan breakfast?” usul Nadirah apabila menyedari yang Syed Khalid seperti agak keberatan.
            “Eh, tak payah susah-susahlah N. Malu saya ikut anak dara orang balik rumah pagi-pagi begini. Nanti apa kata orang pula!” pintas Syed Khalid. Nadirah jadi malu dengan kata-kata itu. Benar, tidak sepatutnya dia mempelawa seorang lelaki balik ke rumahnya. Tatkala atuk terlantar di wad pula. Nanti apa kata jiran tetangga. Kelak atuk dan nenek juga yang mendapat malu, jadi bahan umpatan orang.
            “Macam inilah, saya pergi public toilet saja. Ada 7 Eleven tak kat sini? Nak beli toiletries!” ujar Syed Khalid.
            Nadirah berfikir sejenak. Jari telunjuknya digigit. Matanya melilau ke arah kawasan deretan kedai berhampiran. ‘Comelnya ...,’ Getus hati Syed Khalid, melihat gadis yang berbaju merah jambu di hadapannya itu. Rambutnya yang separas bahu dibiarkan lepas. Juntaian rambut di dahi disepit dengan penyepit rambut berwarna merah jambu juga. Dia mengenakan jeans berwarna biru gelap dan sandal yang juga berwarna merah jambu! Susuk gadis itu diamati dari atas ke bawah. Cantiknya Nadirah pagi itu. Warna merah jambu memang kegilaan anak gadis belasan tahun sepertinya, dan Nadirah dilihatnya cukup kena dengan warna itu dek kerana kulitnya yang putih bersih.
            “7 Eleven tak ada di sini. Tapi rasanya ada kedai runcit yang dah buka pagi ni. Tapi kena carilah,” beritahu Nadirah kemudiannya. Syed Khalid segera mengalihkan pandangannya, bimbang gadis di hadapannya itu perasan dirinya diperhatikan.
            “Tak apalah. Saya pergi cari. Awak pergilah temankan atuk awak. Nanti saya datang,” beritahu Syed Khalid. Nadirah tersenyum mendengarkan jawapan jejaka itu.
            “Okey. Terus saja ke wad lelaki. Saya ada menunggu atuk, sejak malam tadi.” Beritahu Nadirah. ‘Sejak malam tadi? Tetapi kenapa aku tak nampak Nadirah? Mungkin Nadirah tidur, sebab itu tak nampak.’ Syed Khalid tertanya-tanya sendiri.
            “Jumpa di sana, ya?” ujar Nadirah sambil melangkah pergi. Syed Khalid melambaikan tangannya. Dia hanya memerhati lenggang si gadis sebelum masuk semula ke perut kereta. Entah kenapa dia berasa cukup senang melihat gadis itu. Perasaan itu cukup lain, sukar digambarkan dengan kata-kata. Tidak pernah perasaan sedemikian dirasakannya seumur hidup ini. Apatah lagi selama ini pun dia tidak pernah rapat dengan mana-mana perempuan. Agaknya beginilah rasanya apabila berkawan rapat dengan bukan kaum sejenis, perasaan itu jadi lain. Rasa seronok dan terhibur. Walaupun Nadirah nampak garang dan tidak mesra pada mulanya, tetapi dia tidak kisah. 'Aku akan berusaha untuk menjinakkan gadis itu, kalau dia masih jual mahal,' ikrar Syed Khalid dalam hati.
Kicauan sekawan burung yang berterbangan dan tiba-tiba hinggap ke dahan pokok yang rendang tempat dia berteduh, mengembalikan angannya ke alam nyata. Tambah mengejutkan, seekor daripada burung itu melepaskan najisnya ke dada Syed Khalid. Dia menyumpah geram. Tiada apa yang dapat dilakukan, selain segera masuk ke keretanya dan beredar dari situ.


Saturday, January 7, 2012

Bab 17


17

Hazimah bingkas bangun apabila mendengarkan pintu biliknya diketuk berkali-kali dan suara halus memberi salam kedengaran berselang-seli. Baru sahaja hendak melelapkan mata, sudah ada yang mengganggu, gerutu Hazimah. Sudahlah malam tadi dia tidak dapat tidur lena, sibuk mengulang kaji pelajaran buat kali terakhir. Baru kinilah fikirannya lega apabila kertas terakhir sudah diduduki pagi tadi. Dia cuma hendak berehat sekejap.
            “Ada orang cari Nadirah,” beritahu Wan Hasnah, pelajar Part I seperti Nadirah juga. Wajah di sebalik daun pintu itu kelihatan polos sahaja.
            “Eh? Nadirah kan dah balik kampung! Siapa cari?”
            Wan Hasnah hanya mengangkat bahu.
            “Lelaki!” ujarnya kemudian.
            “Okey. Nanti aku beritahu dia. Thanks Wan!”
            Gadis itu hanya mengangguk. Tugasnya hanyalah menyampaikan pesanan. Selebihnya biarlah empunya diri atau wakilnya yang menguruskan. Tanpa berlengah dia terus berlalu dari situ.
            Hazimah segera mengintai dari celah tingkap, melihat kelibat lelaki yang dikatakan oleh Wan Hasnah.
‘Hmm ... Syed Khalid! Dia tak tahukah yang Nadirah dah balik?’ fikir Hazimah dalam hati. ‘Kalau dia tahu, pasti dia tidak mencari di sini.’
Dalam bersoal-jawab sendirian itu, tangannya pantas menyarungkan tudung kepala. Syed Khalid sudah pasti menunggu sehingga Nadirah turun. Yakin sangat yang si cantik manis itu masih di sini, fikir Hazimah. Menjadi tugasnyalah kini memberitahu Syed Khalid tentang ketiadaan Nadirah supaya lelaki itu cepat beredar dari situ.
Kedatangan Hazimah disambut dengan senyuman oleh Syed Khalid yang sedang bersandar di pintu keretanya. Nampaknya sudah bersedia benar hendak menemui seseorang. ‘Malang sekali, orang yang ditunggu takkan muncul,’ bisik Hazimah dalam hati. Kesian juga dia pada jejaka itu.
“Assalamualaikum,” Hazimah menyapa.
“Waalaikumussalam. Nadirah?” soal Syed Khalid, tidak sabar lagaknya.
“Nadirah sudah balik kampung.” Beritahu Hazimah ringkas.
Serta-merta wajah jejaka di hadapannya berubah. Dia terkedu seketika. Tidak tahu apa yang patut dikatakannya ketika itu. Nadirah menipu diri aku? Kenapa gadis semanis Nadirah tergamak menipu? Atau Nadirah sengaja hendak mempermainkan aku? Dia tak mahu berjumpa denganku, maka dia terus balik pagi tadi? Pelbagai persoalan negatif mulai menghasut dirinya. Tiba-tiba dadanya terasa mendidih.
“Dia kata nak balik petang ni?” Syed Khalid cuba bersuara walaupun kerongkongnya rasa tersumbat. Sesak menahan rasa marah yang terbuku. Pantang dirinya kalau orang menipu. Apatah lagi jika Nadirah, dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa dirinya dipermainkan gadis itu.
“Memang sepatutnya dia balik petang ni. Tapi pagi tadi tiba-tiba dia dapat panggilan telefon. Atuknya sakit. Dia terpaksa balik segera,” terang Hazimah.
Syed Khalid menarik nafas lega. Kenapa dengan mudah dia menuduh gadis itu yang bukan-bukan. Sepatutnya dia mendengar penjelasan Hazimah dahulu.
“Awak janji nak jumpa dia ke?” soal Hazimah kemudiannya.
Syed Khalid geleng. Memang dia tidak pernah berjanji hendak menemui Nadirah petang itu. Kebetulan terserempak di pejabat HEP tempoh hari, dia hanya bertanya bila Nadirah akan pulang. Namun, tidak pula berjanji akan datang menemuinya. Dia cuma mahu buat kejutan untuk Nadirah dengan menghantarnya ke stesen bas. Selain itu, ada hal penting yang ingin dimaklumkannya. Tapi nampaknya dia pula yang dikejutkan dengan ketiadaan Nadirah petang itu.
Hazimah hanya memandang jejaka di hadapannya yang kelihatan muram. Nampak sangat dia kecewa. ‘Tidak pandai langsung hendak menyembunyikan perasaan!’ Hazimah terasa ingin ketawa tapi terpaksa disimpan dalam hati.
“Macam nilah, Syed. Saya bagi awak nombor telefon kampung Nadirah,” usul Hazimah, moga-moga duka jejaka itu akan terubat. Benarlah seperti sangkaannya, wajah yang muram itu serta-merta kembali bersinar apabila mendengarkan saranannya.
“Terima kasih, Hazimah. Kalau awak ada alamatnya sekali lebih bagus!” tambah Syed Khalid, memberanikan diri meminta. Hazimah hanya mengulum senyum melihatkan gelagat Syed Khalid. Diberi betis, hendakkan peha pula, Hazimah membuat simpulan bahasa.  Tanpa berlengah, dia segera minta diri untuk pulang ke asrama. Pastinya jejaka itu tidak sabar-sabar lagi hendak menghubungi Nadirah. Melihatkan riaknya, memang ada kesungguhan di wajahnya. Bukan sekali ini sahaja, malah Syed Khalid pernah membuat kejutan beberapa minggu dahulu. Entah apalah pula kejutannya kali ini, fikir Hazimah. Dia cepat-cepat menyalin nombor telefon dan alamat Nadirah. Seketika kemudian Hazimah muncul semula, menyerahkan kertas itu kepada Syed Khalid. Berkali-kali jejaka itu mengucapkan terima kasih sebelum beredar dari situ.
Syed Khalid memandu keretanya ke arah Kuala Lumpur. Kepalanya ligat berfikir. Faizul sudah pulang ke Jengka. Dia pula hanya mundar-mandir ke sana ke mari, tidak ada arah tujuan. Rancangnya petang ini dia mahu menemui Nadirah, menghantar gadis itu ke stesen bas. Dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Lumpur, sudah tentu banyak perkara yang boleh mereka bualkan. Kalau Lebuh Raya Persekutuan sesak, lebih bagus! Lebih panjanglah masa mereka hendak bermesra. Dia mahu mengenali Nadirah dengan lebih dekat lagi. Dia suka berkawan dengan gadis itu. Garang, tetapi manja. Dan hanya hari ini sahajalah peluang untuk mendekati gadis itu terbuka luas. Tetapi ... kini nampaknya semua yang dirancang tidak menjadi. Adakah ini menunjukkan bahawa dia tidak akan menemui Nadirah lagi?
Honk!!
Bunyi kuat hon lori di belakang mengejutkan lamunannya. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Syed Khalid mengerling pada papan tanda yang menunjukkan arah Kuantan. Dalam tak sedar dia sudah mengarah ke Lebuh Raya Karak. Kertas yang mengandungi alamat dan nombor telefon Nadirah diamati. Jika berdasarkan papan tanda, kampung Nadirah terletak hampir 200 kilometer dari situ. Bermakna hampir dua jam perjalanan. Jam menunjukkan hampir lima petang. Jika tidak kerana kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan ketika bertolak tadi, sudah tentu dia hampir sampai ketika ini. Entah mengapa hari itu kesesakan agak luar biasa. Kesesakan yang asalnya memang dia minta, tetapi bersama Nadirah. Kini hanya dia sendirian meredah  lautan kereta yang semacam tidak bergerak itu, namun terpaksa digagahkannya juga, hanya kerana Nadirah. Ya, demi gadis itu!
Mujurlah perjalanan ke kampung Nadirah lancar sahaja, walaupun dia tiba ketika senja hampir berlabuh. Puas bertanya, akhirnya dia berhenti betul-betul di hadapan rumah kampung yang sederhana besar. ‘Tentu seronok tinggal di sini,’ fikirnya. Halaman yang luas, udara segar. Namun, dari cahaya neon yang sengaja dipasang di beranda, rumah itu seperti tidak berpenghuni. Syed Khalid tidak jadi turun dari kereta. Dia membuat keputusan untuk singgah di masjid berdekatan. Kebetulan dia melalui masjid itu sebentar tadi.
“Dari mana?” tegur seorang jemaah ketika dia bersalaman dengannya sebaik sahaja selesai mengerjakan solat Isyak.
“Kuala Lumpur,” jawabnya sepatah. Dipandangnya lelaki dalam anggaran lewat lima puluhan itu. Lelaki itu hanya mengangguk-angguk.
“Duduk mana?” Nampaknya lelaki itu seperti berminat untuk meneruskan perbualan.
“Belum tahu lagi. Saya baru sampai,” ujar Syed Khalid sambil melipat sejadah yang menjadi alas solatnya sebentar tadi.
“Maksudnya, anak tak ada saudara mara di sini?” Lelaki itu bertanya lagi, ada sedikit keraguan terpamer di wajahnya.
“Saya Khalid,” beritahu Syed Khalid memperkenalkan diri. “Saya sebenarnya datang menziarah datuk kawan saya sakit.”
“Siapa? Haji Malek?” soal orang tua itu.
Dahi Syed Khalid berkerut. Dia tidak pasti nama datuk Nadirah.
“Err ... mungkin. Saya sahabat Nadirah, kami sama-sama belajar di Shah Alam,” terang Syed Khalid, cuba memberi petunjuk.
Orang tua itu tersengih.
“Yalah, Haji Maleklah tu. Cucunya Nadirah,” beritahu orang tua itu. Syed Khalid menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak tersilap orang. Nampaknya datuk Nadirah terkenal di kalangan orang kampung itu. Atau, mungkin tidak ada orang kampung lain yang jatuh sakit, kecuali datuk Nadirah, jadi mudahlah orang tua itu meneka, fikir Syed Khalid.
“Bagaimana keadaannya, pak cik? Saya belum sempat melihatnya. Rumahnya nampak kosong sahaja,” Syed Khalid mula berminat untuk berbual.
“Mereka di hospital agaknya. Hmm ... kesihatannya agak membimbangkan. Maklumlah, sakit orang tua. Kencing manis, darah tinggi, lemah jantung ... semuanya ada,” ujar lelaki itu seraya melemparkan keluhan panjang. Bersimpati dengan nasib yang menimpa orang tua itu.
 ‘Berat nampaknya sakit datuk Nadirah ni,’ fikir Syed Khalid. Apatah lagi melihatkan wajah pak cik di hadapannya itu berkerut dan kelihatan gusar sekali. Mendengarkan kata-kata pak cik itu, hatinya terasa melonjak-lonjak hendak melihat keadaan datuk Nadirah. Rasa simpati datang mendadak.
“Kalau begitu, saya minta diri dululah, pak cik. Tak tahulah sama ada saya dibenarkan melawat pada waktu-waktu begini atau tidak.”  Syed Khalid meminta diri. Orang tua itu hanya mengangguk. Selepas bersalaman, mereka membawa haluan masing-masing.
Syed Khalid terus memandu ke hospital. Keadaan di situ sunyi sahaja. Syed Khalid mati akal. Dia tidak tahu ke mana harus dituju terlebih dahulu. Sebaiknya dia ke wad lelaki, fikirnya. Tentu boleh bertanya pada jururawat bertugas. Ketika sampai di Wad Lelaki Hospital Daerah yang sederhana besarnya, Syed Khalid terintai-intai di celahan cermin tingkap nako. Dia menyelak sedikit kain langsir yang menutupi tingkap itu. Ada ramai pesakit, seorang pun dia tidak kenal. Bayang Nadirah pun tidak nampak langsung. Dalam pada itu terasa bahunya dipegang orang. Cepat-cepat dia menoleh.
“Cari siapa?” soal seorang pengawal keselamatan.
“Datuk ... err datuk saudara,” balas Syed Khalid tergagap-gagap.
“Nama?”
“Nama?” Syed Khalid kurang pasti dengan soalan itu.
“Yelah, nama datuk saudara awak tu apa?” Pengawal keselamatan itu membetulkan soalannya yang kurang jelas. Syed Khalid menggaru kepalanya yang tidak gatal. Soalan itu memang sukar dijawab.
“Haji Malek!” tiba-tiba dia teringat kata-kata orang tua di masjid sebentar tadi.
“Haji Malek?” soal pengawal keselamatan itu, meminta kepastian.
“Ya, ya!” jawab Syed Khalid kegembiraan. Sekurang-kurangnya serkap jarangnya mengena.
“Mari ikut saya,” kata lelaki itu. Syed Khalid mengekorinya ke pintu besar. Lapang rasa hati kerana pengawal keselamatan itu seperti dapat membantunya.
“Lihat, papan kenyataan ini ada senarai nama pesakit. Yang mana satu?” Lelaki itu menunjukkan papan putih yang tertulis dengan nama-nama pesakit dan katil yang diduduki mereka. Syed Khalid mengamati tulisan itu. Sekali lagi dia buntu. Ada tiga orang yang mempunyai nama yang sama, tetapi berlainan bin.
“Yang mana satu, ya?” Syed Khalid menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Err .. tak apalah, abang. Besok sahajalah saya datang melawat.” Akhirnya Syed Khalid mengalah.
“Hmm!” angguk lelaki itu, bersetuju dengan kata-kata Syed Khalid. “Sebaiknya awak pulang dulu. Hospital ini tempat pesakit berehat. Lagipun hari dah malam, waktu melawat dah lama habis.” Sambungnya lagi sebelum beredar dari situ.
Syed Khalid termenung seketika. Ke mana harus ditujunya malam-malam buta begini? Balik KL? Ah, terasa malas pula hendak membuat perjalanan jauh malam-malam begini. Lagipun, hatinya terasa begitu berat hendak meninggalkan daerah yang baru dijejakinya. Hendak ke rumah Nadirah, dia berasa segan. Tidak elok lelaki datang bertandang ke rumah gadis yang tiada ikatan persaudaraan langsung. Ke hotel? Malas pula rasanya mencari. Matanya memerhati pada kawasan sekitar. Daerah itu begitu asing baginya. Akhirnya pandangannya tertumpu pada sebuah pacuan empat roda berwarna perak yang diparkir elok. ‘Kereta aku! Ah, tidur dalam kereta pun jadilah sementara menanti hari siang.’ Tanpa berlengah Syed Khalid segera menapak ke keretanya. Dia membaringkan tempat duduk pemandu, menyediakan tempat berehatnya malam ini. Enjin dihidupkan dan dia memasang alat hawa dingin. Radio sengaja dipasang bagi membuai lenanya.