Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Tuesday, November 15, 2011

Bab 8

8


Nadirah cuba bangkit, namun ternyata tidak berjaya. Pergelangan kaki kanannya terasa berdenyut-denyut. Sesekali angin bertiup kencang diikuti dengan perarakan kabus yang semakin menebal. Dia menoleh ke belakang. Tiada kelibat manusia pun yang kelihatan melalui kawasan itu. Hatinya mula terasa kecut. Seingatnya, masih ada lagi sekurang-kurangnya dua tiga orang berbangsa Eropah yang berada di puncak gunung ketika dia mulai bergerak turun tadi. Kenapa hingga sekarang mereka masih tidak muncul-muncul?
                Nadirah memandang sekeliling. Kawasan itu beransur-ansur gelap. Dia tahu bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Jika hujan turun, alamat basah kuyuplah dirinya. Dia tidak tahu selama mana dia dapat bertahan dengan kesejukan yang melampau sebegitu. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa semoga ada orang yang akan melalui kawasan itu. Dia segera menyalakan lampu suluh yang terikat di kepala. Setidak-tidaknya orang akan nampak cahaya yang menunjukkan kehadirannya di situ. Nadirah memicit-micit pergelangan kakinya sambil mulutnya berdesit menahan kesakitan.
                “Nadirah! Nadirah!” Tiba-tiba dia terdengar suara yang melaungkan namanya. Sepantas kilat dia menyahut walaupun tidak pasti siapa yang memanggil. Namun dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada insan yang sudi mencarinya.
                Dalam keadaan jarak penglihatan yang semakin berkurangan, Nadirah nampak sesusuk tubuh semakin mendekatinya.
                “Sini ... sini!” Nadirah menghayunkan lampu suluh di kepala. Tidak tergambar perasaan gembiranya ketika itu.
                Namun kegembiraannya tidak lama. Nadirah mengeluh dalam hati apabila kelibat orang itu semakin jelas kelihatan. Syed Khalid rupanya. Macam tak ada orang lain lagi. Kalau Jamarin, tentu dia lebih gembira. Entah mengapa, melihat sahaja lelaki itu, perasaan gembiranya meluntur. Hatinya menjadi sakit pula. Sesungguhnya dia masih tidak boleh melupakan perbuatan Syed Khalid semasa taklimat tempoh hari. Dia benar-benar terguris.
                “Apa awak buat di sini?” sergah Syed Khalid. Marah bunyinya.
                Hendak menyelamat atau hendak mencari gaduh, rungut Nadirah. Kalau tak ada sebab, sudah pasti dia bersama-sama orang lain menuruni gunung itu. Kenapa masih mahu bertanya lagi? Nadirah hanya mendiamkan diri.
                “Awak tak fikirkah yang perbuatan awak ini menyusahkan orang? Tempat ini bahaya, awak tahu?” Suara Syed Khalid masih meninggi.
                “Saya tukar kasut tadi, tiba-tiba angin kencang,  kuat sehingga menolak tubuh saya. Saya jatuh tergolek ...” jawab Nadirah, geram bercampur sebak. Bukan dia sengaja hendak duduk di situ sendirian. Dia pun takut melihatkan keadaan sekeliling yang tidak secerah semalam. Takkan itu pun Syed Khalid tak boleh terfikir.
                Syed Khalid terasa seperti hendak ketawa mendengarkan kata-kata gadis itu, tetapi dia cuba berlagak serius.  ‘Budak ini betul-betul menyusahkan ... degil pula tu!’ Rungutnya dalam hati.
                “Bukankah sudah banyak kali saya ingatkan, buat kerja dalam satu team.  Kenapa awak tak minta Ayu tunggu? Saya pun tak jauh. Kalau awak beritahu, kami boleh tunggu sama-sama. Ini, kan dah menyusahkan? Kalau saya tak cari tadi bagaimana?”
                Nadirah mengetap bibir, menahan perasaan geram. Mahu sahaja dia menjawab bahawa dia sudah memberitahu Ayu, tetapi mulutnya seperti terkunci. Buat apalah hendak bersoal-jawab dengan lelaki ini. Bukan dia hendak memahami masalah aku. Tak habis-habis hendak menaikkan darah aku sahaja, gerutu Nadirah dalam hati.
                “Awak fikir awak hebat sangat, semuanya nak buat sendiri? Apa tunggu lagi, jalan sekarang. Hari dah nak hujan ni!”
                Lelaki ini sudah melampau, gumam Nadirah. Kenapalah dia yang datang mencari aku, bukan Jamarin. Benci betul dia melihatkan lelaki egois di hadapannya itu. Berlagak tidak bertempat.
                “Siapa suruh awak cari saya? Saya boleh balik sendiri!” marah Nadirah, walaupun dia tahu ketika itu dia sememangnya tidak terdaya hendak bangun. Buntutnya terasa sakit akibat terhentak pada batu dan kakinya mungkin terseliuh. Semuanya gara-gara angin kencang yang bertiup secara tiba-tiba.  Dia tidak sempat berpaut pada tali yang menjadi tanda arah laluan ke gunung itu. Namun demi menjaga maruahnya, dia tidak akan sekali-kali menunjukkan kelemahannya pada lelaki itu. Dia tekad tidak mahu menerima sebarang bantuan yang mahu dihulurkan Syed Khalid. Biarlah dia sendiri mencari jalan pulang. Lagipun dia percaya, masih ramai lagi pendaki yang akan menuruni laluan itu. Dan mereka sudah semestinya ditemani jurupandu. Kehadiran Syed Khalid hanya menambah kesakitan. Sakit di kaki, sakit di hati.
                Kepala batu! Marah Syed Khalid dalam hati. Ketika itu dia terfikir, alangkah bagusnya kalau Abang Wak memberikan kumpulan yang terdiri daripada lelaki sahaja? Ini tidak, hanya ada dua orang perempuan tetapi kecohnya seperti menjaga sepuluh orang. Syed Khalid hanya boleh menahan sabar melayani kerenah dua orang perempuan degil dalam kumpulannya itu.
“Cepatlah. Ikut saya dari belakang!” arah Syed Khalid dan segera berpusing. Setelah hampir lima langkah ke hadapan, dia tidak merasakan seperti ada orang mengekorinya. Dia segera berpaling. Dilihatnya Nadirah masih tidak bergerak. Syed Khalid mula berang.
                “Tunggu apa lagi?” tengkingnya, “Awak tak nampakkah cuaca macam mana sekarang?”
                Nadirah terdiam. Tidak habis-habis lelaki di hadapannya itu hendak menengking-herdiknya. Dia tidak minta untuk diselamatkan. Kalaulah betul aku menyusahkan, aku rela dibiarkan sendirian. Tetapi jatuh kerana dipukul angin kencang bukanlah disengajakan. Siapa yang mahu cedera atau sengaja mencederakan diri? Tiba-tiba air matanya bercucuran. Hatinya terasa hiba benar. Esakan yang cuba ditahan dapat juga ditangkap oleh telinga jejaka di hadapannya itu. Menyedari seperti ada sesuatu yang tidak kena, Syed Khalid berpatah semula walaupun hatinya berasa geram dengan keegoan si gadis. Manja, itulah yang terlintas di hatinya apabila melihatkan Nadirah sudah teresak-esak di situ. Sikit-sikit menangis, itulah modal perempuan, rungutnya dalam hati.
                “Kenapa menangis ni? Saya cuma nak sedarkan awak tentang keadaan cuaca yang tidak elok. Kita tak boleh lama-lama di sini. Awak faham, kan?” Syed Khalid cuba berlembut.
                Nadirah tidak menjawab.
                “Bangun!” Syed Khalid menghulurkan tangannya untuk membantu. Mulanya Nadirah enggan. Melihatkan kedegilan Nadirah, Syed Khalid segera menarik tangan gadis itu. Nadirah terpaksa akur dan turut memaut tangan lelaki itu untuk bangun. Tetapi kakinya yang sakit tidak memungkinkan dia berdiri betul. Dicubanya untuk berdiri tegak, namun kesakitan yang dialami terasa semakin menyucuk-nyucuk.
                “Ada masalah lagi?” soal Syed Khalid apabila menyedari keadaan Nadirah yang tidak stabil.
                “Kaki saya mungkin terseliuh. Sakit sangat ...” beritahu Nadirah sambil menyeka air mata yang masih berlinangan.
                “Duduk, biar saya tengok,” ujar Syed Khalid.
Nadirah hanya memandang tepat pada wajah jejaka di hadapannya itu dengan rasa curiga. Dalam hatinya berkira-kira, apa yang boleh dilakukan oleh lelaki ini?
“Saya cuma nak membantu. Percayalah, saya ada pengetahuan dalam first aid ...” Menyedari kecurigaan yang dipamerkan oleh gadis itu, Syed Khalid menerangkan secara jujur.
Dalam terpaksa Nadirah menurut sahaja arahan Syed Khalid. Dengan susah payah, dia duduk semula. Tanpa berlengah, Syed Khalid terus membukakan kasut dan stoking Nadirah dan memeriksa kaki si gadis. Berkerut dahi Nadirah menahan kesakitan apabila Syed Khalid menekan-nekan pergelangan kakinya. Mujurlah tidak ditendangnya lelaki itu.
                “Kaki awak dah bengkak. Saya cuba urut, tapi awak kena tahan sikit,” beritahu Syed Khalid sambil mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Nadirah merasakan kakinya sudah kebas kerana kesejukan. Minyak panas yang disapu oleh Syed Khalid pada kakinya amat melegakan. Kadang-kadang dia menjerit kecil menahan kesakitan kerana diurut oleh tangan lelaki yang agak kasar. Namun, Syed Khalid seperti tiada rasa belas kasihan. Dia tetap meneruskan kerjanya. Bukan dia tidak mendengar sedu-sedan gadis itu, tetapi dia sengaja tidak mahu memberi muka. Selepas mengurut seketika, dia membalutkan bandage pada kaki Nadirah.
                “Okey, cuba bangun,” Syed Khalid menghulurkan tangannya sekali lagi untuk membantu Nadirah setelah kerjanya selesai. Nadirah memaut sekuat hatinya untuk bangun.
                “Saya rasa saya tak boleh jalan. Sakit sangat...” rungut Nadirah.
                Syed Khalid memandang tepat pada wajah si gadis dengan rasa geram.
                “Awak mesti kuatkan semangat! Dalam keadaan begini jangan terlalu manjakan diri. Sikit-sikit menangis, sikit-sikit sakit ... Tengok, jarak penglihatan kita tambah kurang. Saya bukan begitu arif dengan laluan di sini walaupun dah banyak kali saya mendaki gunung ini. Awak nak kita mati kesejukan di sini?” Suara lelaki itu yang meninggi seperti memberikan kata dua. Kata-kata yang cukup membakar perasaan Nadirah ketika itu. Belum pun reda rasa marah tempoh hari, kini lelaki itu menambah luka di hatinya.
                “Awak ingat saya sengaja nak duduk sini? Kalau awak tak boleh tunggu saya, awak pergilah! Saya tak kisah!” Nadirah menghamburkan rasa marahnya. Geram betul dia dengan keegoan lelaki itu. Apa, dia fikir tanpa dirinya aku tidak boleh bergerak dari sini? Bukan dia seorang sahaja yang ada di atas gunung ini. Ramai lagi pendaki lain yang masih belum turun, Nadirah begitu optimis.
                Syed Khalid tidak berkata apa-apa. Pandangannya  pada Nadirah tidak berkelip-kelip. Seperti menyahut cabaran gadis itu, dia segera melangkah laju meninggalkan Nadirah sendirian.
                Nadirah tidak dapat menahan rasa geramnya lagi. Dia menangis tersedu-sedu.  Dalam keadaan itu dia hanya berserah pada Tuhan. Tubuhnya yang kesejukan dipeluknya erat. ‘Ya Allah, selamatkanlah hamba-Mu ini ...’ doa Nadirah dalam hati sambil menekup muka pada lutut. Bibirnya terasa menggeletar, kesejukan dan ketakutan. Air matanya juga terasa semakin lebat, sama lebatnya dengan hujan yang mulai turun.

No comments:

Post a Comment