22
Syed Irfan merenung
wajah adiknya lama-lama. Dia agak curiga dengan perangai ‘pelik’ adiknya itu. Selama
ini dia mengenali Syed Khalid sebagai seorang yang pendiam, tidak suka bergaul
dan pemalu dengan perempuan. Jika ada saudara-mara atau tetamu yang datang
bertandang ke rumah, Syed Khalid lebih suka berkurung dalam biliknya. Hari ini dia melihat sisi lain adiknya itu. Sudah
berubahkah dia? Adakah kerana gadis itu? Semua soalan itu berlegar-legar dalam
fikirannya.
Syed
Khalid menyedari renungan abangnya itu, tetapi dia langsung tidak kisah. Memang
dia nekad sebentar tadi, berpatah balik semata-mata mahu membuat janji untuk
Nadirah. Dia nampak wajah murung Nadirah sebelum mereka berpisah petang itu.
Mungkin gadis itu sengaja hendak menyembunyikan perasaannya yang sebenar.
Mungkin dia memang terasa sedih dengan perpisahan yang bakal menjelma, tetapi
tidak mahu mempamerkannya di hadapan orang ramai. Yalah, baru hendak kenal
mesra, dah berpisah. Syed Khalid sendiri merasakan cukup seronok dapat berkenalan
dengan Nadirah. Seperti ada magnet pada Nadirah untuk dia mendekatinya walaupun
malunya pada gadis itu tidak terkata. Jika dia tidak memulakan langkah,
entah-entah dia langsung tidak dapat berkawan dengan gadis itu. Jadi, dia
terpaksa membuang rasa malu itu jauh-jauh dan memberanikan diri. Baginya Nadirah
lain daripada yang lain, hanya satu-satunya seperti itu dan mungkin sukar untuknya
menemui seseorang yang betul-betul berkenan di hati.
Agak
lama juga kedua-dua beradik itu tidak bercakap-cakap. Syed Irfan, seperti biasa
hanya menyanyi-nyanyi kecil. Sesekejap dia bersiul mengikut rentak lagu di
radio bagi menghilangkan kebosanan. Pandangannya dihalakan ke luar, melihat
persekitaran di kiri-kanan lebuh raya yang menghijau. Syed Khalid masih tekun
dengan pemanduannya. Syed Irfan sudah maklum yang adiknya itu memang payah
hendak diajak berbual. Sejak kecil dia selalu mengasingkan diri daripada
adik-beradik yang lain. Hanya daddy
sahaja yang rapat dengan adik bongsunya itu. Dan daddy akan ikut segala kemahuan adiknya itu walaupun kemahuan
mereka adik-beradik selalu berbeza. Melanjutkan pelajaran ke Scotland bukanlah
persetujuan daddy. Malah daddy sebenarnya mahu Syed Khalid
mendalami dunia bisnes, meneruskan legasi yang telah dibinanya. Tetapi Syed
Khalid tetap dengan keputusannya, mahu meneruskan pengajian dalam bidang
kejuruteraan. Memang pelik, kerana tiada seorang pun dalam keluarga mereka
terlibat dalam bidang itu. Kebanyakannya lebih tertumpu pada dunia perniagaan,
mengambil jurusan pengurusan perniagaan ataupun perakaunan. Syed Irfan tahu,
adiknya itu akan meneruskan apa saja yang dicita-citakannya walaupun mendapat
tentangan daddy. Tetapi seperti
biasa, selepas bertekak daddy
selalunya akan cair dan mengalah dengan kehendak Syed Khalid.
“Kau memang rapat dengan Nadirah?”
Pertanyaan abangnya itu membuatkan
Syed Khalid tersentak. Dia baru sahaja terasa hendak membuka mulut, bertanyakan
hal sebenar kedatangan abangnya yang tiba-tiba. Tetapi Syed Irfan terlebih
dahulu bersuara.
“Kawan biasa,” balas Syed Khalid
ringkas.
Syed Irfan tersengih dan kemudian
tertawa kecil seperti menyindir. Syed Khalid menjeling abangnya di sisi.
“Kawan?” soal Syed Irfan seperti
tidak percaya.
Syed Khalid hanya mendiamkan diri.
Memang itu jawapan yang tepat. Dia tiada jawapan selain itu. Terpulanglah jika
Syed Irfan enggan mempercayainya.
“Tetapi dia memang cantik orangnya.
Lemah lembut. Putih bersih kulitnya ... bibir mulusnya kemerah-merahan. Macam
kacukan ... Rambutnya lembut beralun ...”
Terasa berdesing telinga Syed Khalid
mendengar bicara abangnya yang cuba mengupas tentang diri Nadirah. Dia tidak
suka abangnya itu terlalu meneliti tubuh badan Nadirah. Dia berasa cemburu
tiba-tiba. Namun dia enggan melayani abangnya itu.
Syed
Irfan berpaling pada adiknya.
“Kau tahu, sebenarnya kecantikan
Nadirah tu pada matanya. Matanya redup, bulu mata lebat. Wah, cantik sekali!”
tambah Syed Irfan sambil menepuk tangan.
Mendidih rasa hati Syed Khalid
mendengar kata-kata itu. Tetapi dia sedar, Nadirah bukan kepunyaannya. Jika dia
bersuara, tentu Syed Irfan akan mentertawakannya. Dia tahu, Syed Irfan sengaja
hendak menguji kesabarannya. Sejak kecil lagi Syed Irfan suka mengusiknya. Apa
sahaja barang miliknya cuba diganggu. Sikapnya yang tidak suka bercakap itu
membuatkan abangnya lebih suka mengusik. Dia hanya bersabar dengan sikap abang
yang suka mencari fasal itu.
“Eh, kalau Nadirah tu masih solo,
tolong adjust untuk aku. Kau pun
bukan ada apa-apa hubungan dengan dia, kan?” tiba-tiba Syed Irfan memberi
cadangan.
Syed Khalid hanya menyimpan perasaan
geram di hati. Dia tidak mahu memberi apa-apa komen. Patutlah sejak di rumah
Nadirah tadi Syed Irfan seperti sangat berminat pada gadis itu.
“Kenapa abang cari saya?” Syed
Khalid cuba mengalih topik perbualan.
Syed Irfan tidak terus menjawab.
Fikirannya masih pada Nadirah. Terbayang-bayang
senyuman gadis itu. Kelembutan dan keayuan Nadirah berbeza dengan gadis-gadis
yang pernah dikenalinya. Jika boleh, dia ingin mengenali gadis itu lebih dekat
lagi. Tak apalah, pujuk dirinya. Syed Khalid pasti boleh menolong. Dia
berpaling pada Syed Khalid yang hanya serius memandu.
“Nanti berikan aku nombor telefon
Nadirah,” ujar Syed Irfan.
“Kenapa abang cari saya?” suara Syed
Khalid lebih keras.
Syed Irfan tertawa kecil. Dia tahu
Syed Khalid mula marah. Tetapi dia tidak peduli.
“Oh, pasal tu. Daddy panggil, ada family
dinner malam ini,” beritahu Syed Irfan.
Syed Khalid terdiam. Memang sudah
menjadi kelaziman, jika daddy
memanggil makan malam untuk keluarga bermakna ada hal besar yang akan
dibincangkan. Walau sesibuk mana pun mereka, setiap orang mesti hadir. Daddy seorang yang tegas. Hanya dia
sahaja yang berani menentang daddy.
Mungkin kerana tidak dapat menghubunginya maka Syed Irfan meminta bantuan Abang
Wak. Syed Irfan tahu yang dia juga rapat dengan Abang Wak sejak akhir-akhir
ini.