Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Saturday, October 15, 2011

Bab 5

5


Sudah dua minggu berturut-turut Nadirah tidak hadir di sebarang perjumpaan yang diaturkan oleh Kelab Rekreasi khusus untuk ekspedisi mereka ke Gunung Kinabalu. Setiap kali diajak oleh Ayu, ada sahaja alasan yang diberikan oleh Nadirah. Alasannya kali ini, ada kelas ganti. Bingung Ayu memikirkan perihal sahabat yang seorang itu. Apakah Nadirah benar-benar ada kelas atau sengaja tunjuk perasaan? Dia seperti sudah tidak berminat lagi hendak menyertai ekspedisi tersebut setelah apa yang berlaku tempoh hari. Selesai perjumpaan hari itu Ayu serta-merta ke kolej Nadirah. Jika Nadirah belum pulang dari kuliah, dia akan menunggu di situ. Tidak sabar rasanya hendak berkongsi cerita tentang perbincangan mereka kali ini. Lagipun, dia ingin mengajak gadis itu terus keluar berjoging. Aktiviti itu pun sudah jarang dilakukan bersama. Sebaik sahaja memarkir skuter, matanya segera mengarah pada bilik Nadirah. Dari jauh dia dapat melihat kelibat Nadirah di biliknya, bukannya berada di kelas seperti yang didakwa. Hmm ... tipu aku ya! Getus Ayu dalam hati, sedikit geram. Baru hendak melangkah, sebuah motosikal tiba-tiba berhenti di sisinya.
Bunyi enjin motosikal itu turut menarik perhatian Nadirah yang leka di meja studinya. Dia menjengah keluar. Dilihatnya Ayu sedang berbual dengan seorang lelaki yang dia sendiri tidak pasti siapa.  Lelaki itu masih memakai topi keledar. Seketika kemudian Ayu segera merapati bangunan asrama. Hati Nadirah terasa berdebar-debar. Tidak disangka-sangkanya Ayu akan membuat spot check.
                Pastinya Ayu ke bilik aku, fikir Nadirah. Memang tepat dugaannya, selang beberapa minit kedengaran suara Ayu memberi salam.
“Oh, kau memerap di bilik rupa-rupanya, ya?” tegur Ayu sebaik Nadirah membuka pintu. Tanpa dipelawa gadis itu segera masuk dan melabuhkan punggungnya di sebelah Nadirah yang kembali duduk di katilnya.
“Tak ada moodlah ...” ujar Nadirah, malas. Dia segera mencapai anak patung Barney yang terbaring di sisi dan memeluknya kemas. Kepalanya dilentukkan ke dinding, benar-benar kelihatan seperti tidak bersemangat.
                “Abang Wak cari kaulah!” kata Ayu sambil menepuk paha gadis di sebelahnya itu. Nadirah agak tersentak, kenapa pula Abang Wak mesti mencarinya? Pastinya tentang ekspedisi itu!
                “Sudahlah, semuanya dah berakhir. Aku tak nak ikutlah ekspedisi ni,” beritahu Nadirah dengan nada rajuk. Kata-kata itu amat mengejutkan Ayu.
                “Alah, janganlah macam tu. Takkan sebab kecil hati dengan pak cik tu kau nak tarik diri? Aku bagaimana? Takkan kau nak biarkan aku seorang diri dalam kumpulan tu? Sudahlah ahli kumpulan tu aku tak berapa kenal,” Ayu cuba memujuk. Istilah ‘pak cik’ untuk lelaki yang memberikan penerangan hari itu membuatkan Nadirah terasa geli hati. Namun, mengingati lelaki itu menyebabkan hatinya menjadi geram tiba-tiba.
                “Kau berkenal-kenalanlah dengan mereka. Apa salahnya,” Nadirah memberi cadangan.
Ayu mengeluh. Merajuk pulak budak ni ... dengusnya.
                “Jom …” tiba-tiba dia mengajak.
                “Ke mana?”
                “Abang Wak ada kat bawah. Dia nak jumpa kau!”
                Kata-kata Ayu membuatkan Nadirah tersentak. Dia segera menjengah ke luar tingkap, bagai tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Ayu. Tetapi benarlah, lelaki bermotosikal yang berbual dengan Ayu tadi rupa-rupanya Abang Wak. Demi menghormati lelaki itu, Nadirah akur. Dia segera bersiap untuk menemui Abang Wak. Abang Wak mengajak mereka berbual di kafeteria.
                “Kenapa N nak tarik diri?” soal Abang Wak seperti kurang percaya dengan apa yang didengarinya daripada mulut Nadirah petang itu. Nadirah terdiam seketika, memikirkan alasan terbaik untuk diberikan pada Abang Wak.
                “N rasa tak cukup persediaanlah. Bagilah peluang pada orang lain dulu,” balas Nadirah ringkas. Abang Wak mengerutkan dahinya, merenung Nadirah dalam-dalam. Nadirah berasa serba-salah. Tentunya Abang Wak marah.
                At this stage? N tahu tak yang nama peserta sudah dihantar ke Bahagian Keselamatan dan tiket kapal terbang pun kita dah tempah.  Kita dah hampir final stage. Kalau N tarik diri sekarang, abang tak janji untuk dapatkan balik semua bayaran yang dah N buat,” suara Abang Wak tegas bercampur kesal. Nadirah terasa sedikit kecut. Rasa hormat pada pensyarah muda itu membuatkan dia berasa sungguh malu dengan apa yang dikatakan olehnya sebentar tadi. Nadirah hanya tunduk sahaja. Tidak berani dia menatap wajah Abang Wak. Wajah lelaki keturunan Jawa itu kelihatan serius sekali.
                “Tak apalah, Abang Wak. N halalkan sahaja semua bayaran tu,” suara Nadirah takut-takut, tidak pasti dengan apa yang diucapkannya. Bayaran yang dibuat itu bukan sedikit. Dia juga sudah membeli pelbagai kelengkapan. Tapi rasanya Atuk Malek dan Nek Salmahlah yang paling gembira dengan keputusan ini. Mungkin juga ini doa mereka, Allah telah memakbulkannya. Fikir Nadirah.
                “Bukan itu masalahnya. Banyak kerja, N. Semuanya dah siap diuruskan, tiba-tiba N timbulkan masalah pula. N ingat senangkah hendak menguruskan 40 orang pelajar dengan macam-macam perangai ni?” rungut Abang Wak, kurang berpuas hati. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu persiapan yang sudah diatur lengkap itu terganggu.
Nadirah mendiamkan diri. Dia tidak menyangka keputusannya itu menyusahkan Abang Wak. Ayu juga mempamerkan reaksi kurang senang dengan keputusannya itu. Agak lama juga mereka tidak bersuara. Dalam tunduk itu, dia perasan juga Ayu dan Abang Wak saling berinteraksi dengan isyarat mata.
                “Ada apa-apa yang tak kena?” Akhirnya Abang Wak menyoal dengan suara yang dikendurkannya. Nadirah memandang Ayu yang duduk di sisinya.
                “Dia kecil hati dengan kawan Abang Wak tu …” lancang sahaja bicara Ayu.
                Abang Wak tersengih. Bukan dia tidak tahu tentang insiden tempoh hari. Syed Khalid Ikhwan telah menceritakan segala-galanya.
                “Khalid memang tegas orangnya. Tapi dia baik,” beritahu Abang Wak tanpa dipinta.
                Baik? Sindir Nadirah dalam hati. Dia tidak nampak di mana baiknya lelaki itu. Ego, perasan, berlagak! Sumpahnya. Tetapi yang lebih menyakitkan hatinya adalah kerana lelaki itu membalas dendam pada tempat yang salah. Ayu yang cuba mempermainkannya, kenapa dia pula yang dijadikan ‘punching bag’?
                “Kalau dengan keputusan saya untuk menarik diri akan menyusahkan banyak pihak, beginilah Abang Wak …” Nadirah cuba memberikan cadangan. “Abang Wak tukarkan saya kepada kumpulan lain. Saya rasa saya tak boleh bekerjasama dengan kawan Abang Wak itu.”
                “Tak boleh!” tingkah Abang Wak serta-merta. “Pembahagian ahli kumpulan juga kita dah buat dengan teliti. Kenapa nak cari masalah? Khalid ketua kumpulan, ikut sahaja cakap dia. Bukan abang nak suruh N rapat sangat dengan dia. Be professional-lah …”
                Nadirah terdiam. Bukan dia tidak mahu bersikap profesional seperti saranan Abang Wak, tetapi alangkah lebih baik kalau dia tidak perlu melihat muka lelaki yang bernama ‘Syed Khalid Ikhwan’ itu di sepanjang ekspedisi mereka.
                “Alah N … kau kawan dengan aku aje. Pedulikan orang lain tu …” pujuk Ayu. Ayu juga ikut gusar sekiranya Abang Wak melayani kehendak Nadirah. Dulu mereka juga yang beria-ia memujuk pensyarah itu untuk menempatkan mereka dalam satu kumpulan. Kalau N ditukarkan, tentulah tidak seronok, fikir Ayu.
                “Kalau tak pun, tukar ketua kumpulan saja. Abang Wak masuk kumpulan kami, orang tu masuk kumpulan Abang Wak sekarang ...” Nadirah memberi cadangan. Ayu sudah tersengih-sengih. Memang itulah yang ditunggu-tunggunya.
                “Betul, betul!” sampuk Ayu, mengangguk-angguk.
Abang Wak tidak menjawab. Dia seperti memikirkan sesuatu. Tetapi dia kemudiannya menggeleng.
                “Susah N ... susah!  Apa kata pensyarah lain nanti,” ucap Abang Wak kemudiannya, “N kena tolong abang. Jangan susahkan abang ...”
                Suara Abang Wak seperti merayu itu membuatkan Nadirah rasa bersalah. Dia terdiam, masih menimbang-nimbang keputusan yang perlu dibuat. Antara peluang yang mungkin hanya datang sekali atau berhadapan lelaki yang dibencinya untuk selama mana ekspedisi itu berjalan. Ah, sukarnya membuat keputusan ... keluh Nadirah dalam hati. Wajah Abang Wak dan Ayu dipandangnya silih berganti. Kasihan pula melihat wajah Ayu yang penuh mengharap. Selama ini mereka sudah bersungguh-sungguh membuat latihan dan persiapan.
                “Okeylah, demi Abang Wak,” kata Nadirah kemudiannya.
                That’s my girl!  puji Abang Wak sambil memetik jari, membuatkan Ayu tersenyum ceria. Pandai Abang Wak memujuk.
                “Tapi mesti ingat, satu team mesti bekerjasama. Jangan ada yang buat hal sendiri tanpa merujuk ketua kumpulan,” kata-kata Abang Wak seperti amaran. Dia sudah dapat membaca sifat degil yang ada dalam diri Nadirah. Bukan ini pertama kali mereka melakukan ekspedisi bersama. Tetapi ekspedisi inilah yang lebih mencabar berbanding dengan ekspedisi yang pernah mereka lalui.
                “Sebenarnya Khalid tu baik. Dia tak ada niat nak sakitkan hati sesiapa. Mungkin N yang emosional sangat hari tu?” Abang Wak cuba menduga.
                Ingatan Nadirah segera terbang pada peristiwa dua minggu lepas. Aku emosional sangatkah? Desis hatinya.
                “Mungkin juga, Abang Wak. Tapi saya tak suka nama ayah saya dibabitkan dalam soal ini. Kalau dia nak marahkan saya, marah sajalah, saya boleh terima. Kenapa nak ungkit-ungkit pasal arwah ayah saya? Saya sedih sangat!” suara Nadirah mulai sebak. Air matanya ikut bergenang. Abang Wak dan Ayu tergamam melihatkan reaksi spontan Nadirah.
                “Okeylah, nanti abang cakap pada Khalid,” beritahu Abang Wak, cuba meredakan keadaan Nadirah.
                “Abang Wak, jangan!” tingkah Nadirah cepat-cepat. “Nanti dia ingat saya mengadu pada Abang Wak. Mesti dia kata saya ni manjalah dan macam-macam lagi!”
                Abang Wak tersengih mendengarkan kata-kata Nadirah. Dia akui, Khalid memang ‘straight-forward’ orangnya. Mungkin sebab dia masih muda dan kurang bergaul. Tetapi sifat ‘tiada kompromi’ itu antara ciri-ciri penting apabila mengetuai sesuatu ekspedisi bagi mendisiplinkan ahli kumpulan. Apatah lagi, ekspedisi yang berbahaya seperti ini.
                “Okey. Kita buat biasa saja ya? Tapi abang akan perhati-perhatikan N dari jauh. Kalau dia sakitkan hati N lagi, beritahu abang.” Pujuk Abang Wak lagi.
                Nadirah tersenyum. Abang Wak memang sangat disenanginya, sungguh bertanggungjawab. Selepas pertemuan itu Ayu segera mengajak Nadirah keluar berjoging. Ekspedisi yang dirancang hanya beberapa hari sahaja lagi. Mereka perlu meningkatkan stamina.


*  *  *  *
                                               

Hari itu hari terakhir untuk Nadirah keluar berjoging. Besok mereka akan bertolak ke Kota Kinabalu. Malangnya petang itu dia terpaksa berjoging sendirian kerana Ayu ada tugasan yang perlu diselesaikan segera. Hazimah pula seperti biasa, lebih rela memerap di bilik daripada keluar berjoging. Nadirah hanya berjoging di sekitar kampus sahaja. Lagipun memang ramai pelajar yang turut berjoging petang-petang begitu. Setelah penat, Nadirah duduk seketika sambil merenung padang menghijau yang tenang. Pemandangan ketika itu sungguh damai. Terbayang-bayang juga di ruang matanya bagaimana agaknya pemandangan di puncak Gunung Kinabalu. Tidak sabar pula rasanya hendak ke sana.
                “Hai, termenung panjang nampak?” tiba-tiba ada suara yang cukup asing menegurnya. Nadirah segera menoleh pada suara itu. ‘Ah, dia ni!’ Dengus Nadirah dalam hati. Lelaki yang cukup dibencinya ketika itu tersenyum mesra. Nadirah segera bangun.
                “Eh, duduklah,” kata lelaki itu.
                “Er … tak. Saya dah nak balik,” beritahu Nadirah, gugup. Tidak pasti apa alasan terbaik untuk melarikan diri daripada lelaki itu.
                “Tunggulah dulu,” pinta lelaki itu lagi seraya duduk di sebelahnya.
                “Dah nak masuk Maghrib. Saya dah selesai joging,” Nadirah memberi alasan dan cuba beredar. Lelaki itu segera bangun dan mengekorinya, perbuatan yang cukup merimaskan Nadirah.
                “Awak masih marahkan saya?” Tanya lelaki itu, mula berjalan beriringan dengannya. Nadirah tidak menjawab. ‘Takkan tak tahu …’ balas Nadirah dalam hati.
                “Saya minta maaf. Betul-betul … saya tak sangka saya melukakan hati awak. Saya cuma mahu bersikap profesional, melayan lelaki dan perempuan sama sahaja. Mungkin cara saya agak kasar bagi seorang perempuan yang lemah-lembut seperti awak,” terang lelaki itu, masih belum berputus asa untuk mengajak Nadirah berbual.
Profesional konon ... gerutu Nadirah. Dia masih membatukan diri. Hatinya berperang, hendak dilayan, dia terasa muak. Hendak buat tidak tahu sahaja, lelaki ini sudah mula mengekorinya dan seakan mahu dia melayannya berbual.
                “Okeylah, saya maafkan,” balas Nadirah sepatah. Dia berharap dengan berkata begitu lelaki itu akan segera berlalu.
                “Terima kasih. N, kita satu team, kan? Jadi saya harap awak tidak menyimpan dendam pada saya. Saya benar-benar rasa bersalah. Saya hendak berkawan dengan awak,” ujar lelaki itu lagi.
‘Oh, dia sudah tahu nama timangan aku,’ fikir Nadirah dalam hati.
                “Saya hormati awak sebagai ketua kumpulan, itu saja,” balas Nadirah, masih bertegas.
                “Terima kasih ... terima kasih,” lelaki itu cuba bersopan sekali lagi.
Buat seketika, mereka tidak berbicara namun lelaki itu masih mahu berjalan beriringan dengannya. Jika Nadirah melangkah laju, dia juga ikut berbuat demikian. Nadirah semakin rimas. Dia segera berhenti melangkah.
                “Boleh awak tolong saya?” soal Nadirah tiba-tiba.
                Lelaki itu tersenyum. Pastinya berasa berbesar hati hendak menghulurkan pertolongan.
                “Kecil tapak tangan, padang bola depan ni saya tadahkan ...” Lelaki itu cuba berjenaka. Nadirah menarik muka masam. Dia sengaja mendengus, mempamerkan rasa bosannya pada lelaki yang tidak faham-faham akan perasaannya ketika itu.
                “Katakan saja, N ...”
“Boleh tak awak jangan ikut saya?”
                Wajah lelaki itu serta-merta berubah. Mungkin tersentak mendengarkan kata-kata Nadirah. Tetapi kemudian dia kembali tersenyum sambil menghulurkan tangannya ingin bersalaman. Masih tidak berputus asa.
                “Saya Khalid …” Lelaki itu memperkenalkan diri, tersenyum mesra.
                Nadirah hanya memandang tangan yang dihulurkan.
                “Saya tahu, awak Syed Khalid Ikhwan ...” jawab Nadirah seperti mengejek.
                “Nampaknya awak juga mengambil tahu tentang saya, Nadirah Ifwani binti Abu Hassan!” Ceria bunyi nada suara lelaki itu. Gembira kerana Nadirah mengetahui nama penuhnya tanpa dia perlu memperkenalkan diri.
                “Abang Wak yang bagi tahu!” suara Nadirah sedikit tinggi. Kalau bukan Abang Wak yang pernah menyebut nama lelaki di hadapannya itu, dia sendiri tidak ingin mengambil tahu walaupun namanya. Biarlah dia memanggilnya ‘pak cik’ sampai bila-bila.
                “Iya?” soal lelaki itu penuh minat, “Apa lagi yang Abang Wak beritahu awak?”
                “Eh, awak jangan nak perasan sangat ya? Abang Wak cuma sebut nama awak, itu saja. Saya pun tak kuasa nak ambil tahu fasal awak lebih-lebih!” Nadirah mulai melenting.
                “Janganlah marah ... Saya ikhlas minta maaf dan nak bersahabat. Kita perlu bermesra sebab kita dalam kumpulan yang sama. Saya cuba berbaik, awak marah-marah pula ... tak seronok macam ni ...”
                Nadirah terdiam. Lelaki itu masih menghulurkan tangannya, ingin bersalaman. Akhirnya Nadirah hanya menyentuh hujung jemari lelaki itu, sekadar menyambut salam yang dihulurkan.
                “Terima kasih, N. Jumpa lagi di airport besok!”
Jangan haraplah aku nak berbaik dengan kau …’ marah Nadirah dalam hati. ‘Sekali kau buat aku, seribu tahun aku takkan lupa!’
                Lelaki itu tersenyum panjang. Mungkin berasa puas hati kerana maafnya diterima. Menghormati permintaan Nadirah, akhirnya dia berlalu dari situ. Nadirah memandang sekilas, memastikan dia sudah benar-benar pergi. Susuk lelaki itu yang tinggi lampai, berbadan tegap memang menampakkan yang dia sangat aktif bersukan. Wajahnya juga kacak, tentu ramai wanita yang menggilainya. Dan … tiba-tiba bunyi hon kereta mengejutkannya. Nadirah segera menoleh. Lelaki itu mengangkat tangan sambil melemparkan senyuman. Masih memandu RAV4! Kereta itu memang mahal, bukan calang-calang orang yang boleh memilikinya. Apa sebenarnya status lelaki ini? Pensyarah jugakah? Tetapi dia nampak tersangat muda, mungkin hampir sebaya dengan dirinya. Hati Nadirah mulai meragui.


Friday, October 7, 2011

Bab 4

4


Sewaktu tiba di bilik perjumpaan Kelab Rekreasi, Nadirah mendapati seorang lelaki muda sedang memberikan penerangan. Berkali-kali dia menoleh ke dalam bilik itu, bimbang tersilap. Melihatkan gelagatnya itu, lelaki yang terpacak di hadapan itu berhenti bercakap. Matanya merenung tajam pada Nadirah yang masih terintai-intai di celah pintu. Marah agaknya, fikir Nadirah. Namun bukan salah dia. Jika bukan kuliah Dr. Osman, sudah pasti dia memberanikan diri menyelinap keluar dari bilik kuliah. Tetapi pensyarah sebengis singa lapar itu mengambil sedikit masa untuk memberi penerangan tentang ujian yang akan diadakan tidak lama lagi. Kerana itu dia terlewat menghadiri taklimat ekspedisi. Terkocoh-kocoh dia mengerjakan solat Asar dan kemudian berkejar ke bilik tersebut. Demi terpandangkan Ayu, Nadirah tersenyum puas hati dan segera melangkah masuk. Memang tidak syak lagi, dia tidak tersilap bilik. Hampir serentak semua mata memandang padanya. Nadirah tidak menghiraukan pandangan semua orang, dan dia sempat menjeling sekilas pada lelaki di hadapan. Agaknya pak cik yang sepatutnya datang ada aral, maka dihantarnya anaknya sebagai pengganti, fikir Nadirah.
Nadirah segera mengambil tempat duduk di sebelah Ayu. Lelaki di hadapannya menyambung penerangannya semula. Nadirah cuba memberi perhatian walaupun tidak tahu hujung pangkal tentang apa yang dibincangkan ketika itu. Demi terpandangkan wajah lelaki yang sedang memberi ceramah itu, dada Nadirah terasa berdebar-debar. Lelaki itu seperti pernah ditemuinya. Apa tidaknya, raut wajahnya mirip benar dengan pemuda yang mereka jumpa di taman tempoh hari. Cuma hari ini dia kelihatan kemas, tidak berserabut seperti petang itu. Mungkin mirip sahaja, tetapi bukan dia ... Nadirah berdoa semoga kedua-duanya bukan orang yang sama.
                “Mana pak cik tu?” bisik Nadirah pada Ayu, ketika lelaki itu berpaling untuk menulis sesuatu di papan putih. Kelihatannya dia melukis gambar gunung. Gunung Kinabalu agaknya ... fikir Nadirah.
                “Syyy …” Ayu hanya menegakkan jari telunjuknya ke bibir, meminta sahabatnya itu diam.
                “Ayu, kau perasan tak dia ni macam orang yang kat taman tu?” bisik Nadirah lagi, tidak dapat menyembunyikan rasa gusarnya. Ayu tidak segera menjawab. Matanya terpaku pada lelaki di hadapan dan lukisannya. Lukisan macam budak-budak ... siap orang lidi sekali, ulas Nadirah dalam hati sambil tersengih.
                “Diamlah, aku rasa dia tak perasan kita. Kau relaks saja, nanti dia perasan pulak,” bisik Ayu sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan, bimbang kata-katanya didengari lelaki itu. Lelaki itu masih membetulkan lukisannya pada papan putih.  Ketika lelaki itu berpaling semula ke arah mereka, Ayu cuba bersahaja. Sedikit pun dia tidak menoleh pada Nadirah. Nadirah merenung Ayu dengan rasa curiga. Ayu kelihatan begitu tekun mendengar penerangan yang disampaikan oleh lelaki itu. Dicuit sedikit pun dia tidak bergerak. Mungkin juga terpegun dengan ketampanan jejaka itu. Tanpa disedarinya, Nadirah tersengih sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan sahabat di sisi. Ayu seperti orang terpukau lagaknya.
                Gelagat Nadirah diperhatikan oleh lelaki muda yang sedang bercakap itu. Dia segera menghentikan penerangannya. Matanya mencerlung memandang Nadirah, nampak sedikit marah dengan kekecohan yang dicetuskan oleh gadis yang baru tiba itu. ‘Dahlah sampai lambat, tak duduk diam pula!’ Rungutnya dalam hati.
                “Tolong beri perhatian semasa saya buat penerangan. Ekspedisi ini boleh jadi mudah dan boleh juga jadi sukar, bergantung pada keadaan cuaca hari itu,” ugut lelaki itu, serius. Nada suaranya sengaja ditinggikan. Memang dia pantang betul kalau sedang bercakap ada yang tidak memberi perhatian. Seolah-olah mereka tidak berminat pada ceramah yang diberikan. Buat penat sahaja aku datang sini ... gerutu pemuda itu dalam hati. Marah.
Melihatkan keseriusan pemuda itu, Nadirah cuma tersengih. Sungguh berbeza dengan wajahnya yang panik ketika kehilangan kereta kesayangan. Lucu sungguh! Kalau betullah ini lelaki yang sama dengan yang di taman dahulu, sudah tentu lelaki itu akan mengenalinya. Nadirah berfikir-fikir sambil menggigit hujung pennya. Agaknya inilah orangnya, fikir Nadirah. Bukan anak ‘pak cik’ itu seperti yang disangkakannya awal-awal tadi. Geli hati pula rasanya kerana selama ini dia benar-benar menyangkakan ketua kumpulan mereka itu agak berusia, mungkin sebaya Atuk Malek atau Dr. Osman. Atau setidak-tidaknya pastinya dalam lingkungan umur 30-an atau lebih, sebaya dengan Abang Wak juga. Tetapi lelaki di hadapannya itu nampak masih muda. Berdasarkan raut wajah, mungkin mereka hampir sebaya. Tak sangka, muda-muda begini sudah banyak pengalaman mendaki gunung sehingga mendapat kepercayaan daripada Abang Wak untuk mengetuai kumpulan mereka. Hebat sangatkah dia? Nadirah membuat penilaian tentang lelaki di hadapannya itu dalam hati. Dia tidak perasan, senyumnya ikut melebar.
                “Kenapa awak senyum? Ada apa-apa yang melucukan pada saya?” tiba-tiba lelaki itu menyoal. Matanya merenung tajam ke arah Nadirah, membuatkan gadis itu tersentak. Merah padam muka Nadirah menahan malu. Dia tidak langsung bermaksud hendak mentertawakan lelaki itu. Cuma terasa sedikit lucu kerana lelaki itu tidak seperti yang difikirkannya. Nadirah membetulkan duduk, menundukkan kepala, tidak berani dia hendak menatap wajah lelaki itu lama-lama. Dalam pada itu dia sempat mengerling pada Ayu. Gadis itu masih berlagak biasa-biasa sahaja.
                Lelaki itu menyambung kembali penerangannya. Nadirah hanya tekun menyalin semua maklumat yang boleh dijadikan rujukan dan panduan. Berdasarkan penerangan lelaki itu, Nadirah akui dia memang banyak pengetahuan tentang pendakian Gunung Kinabalu. Bukan setakat bercakap dan melukis rajah Gunung Kinabalu, dia juga menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya di sana. Kadang-kadang tergerak juga hati Nadirah untuk menanyakan beberapa soalan yang berlegar di kepala, tetapi soalan itu mati di situ sahaja. Dia tidak berani menyuarakannya. Lelaki itu nampak garang dan tidak mesra. Sesekali terbit juga rasa menyampah pada lelaki itu kerana di mata Nadirah dia nampak berlagak dengan pengalaman yang dimilikinya.
                “Encik Sukimin dah beri kepercayaan kepada saya untuk mengetuai kumpulan ini. Mudah saja. Kamu ikut cakap saya, Insya-Allah kumpulan kita selamat. Jangan ada yang nak buat hal sendiri atau memandai-mandai sendiri. Bila kita dalam satu pasukan, susah senang pun mesti dalam satu pasukan juga.” Ujar lelaki itu, masih serius.
                Nadirah hendak tergelak apabila mendengar nama Abang Wak dipanggil Encik Sukimin. Terasa begitu asing sekali di telinganya. Namun apabila lelaki di hadapannya itu merenung tajam padanya, Nadirah segera berpaling pada Ayu, pura-pura mengintai buku catatan gadis itu. Kelihatannya sudah banyak catatan yang telah dibuat oleh Ayu sebelum dia tiba di bilik itu. Hinggakan gambar Gunung Kinabalu yang dilukis di papan putih pun turut disalinnya.
                “Aku pinjam nota kau lepas ni, ya?” bisik Nadirah kepada rakan di sebelahnya itu. Ayu tidak mengangguk, tidak juga menolak. Hendak dikatakan tidak mendengar bisikannya, agak mustahil. Nadirah merungut sendirian melihatkan sikap Ayu yang cuba ‘maintain’ tak bertempat.
                “Ya, di belakang sana?” Tiba-tiba lelaki itu menegur. Nadirah terkejut. Dia memandang ke hadapan. ‘Dia menegur akukah?’ Soal Nadirah dalam hati. Nadirah mengangkat kening, sambil menuding jari telunjuk ke arah dadanya sendiri.
                “Ya, awaklah! Ada soalan?” ujar lelaki itu, tegas sahaja bunyinya.
                Nadirah geleng.                                                                                                                                           
                “Tolong beri perhatian masa saya bercakap, ya? Saya takkan ulang dua tiga kali. Saya tahulah ayah awak ASP, seorang wira negara. Tapi dalam kumpulan ini semuanya saya lihat tak ada pengalaman mendaki gunung. Inikan pula hendak mendaki gunung tertinggi di Asia, setinggi 4,104 meter! Sedangkan saya yang dah mendaki beberapa kali ini pun masih belum tentu berjaya, inikan pula awak. Saya nak ingatkan, pengalaman hebat ayah awak tu tak ada kena mengena dengan ekspedisi kita ini, walau awak anak pendaki Gunung Everest sekali pun. Jadi jangan main-main dan jangan ambil mudah!” Keras bunyi suara lelaki itu, seperti sengaja melepaskan kemarahannya yang telah terpendam sekian lama.
                Nadirah terasa telinganya membahang. Darahnya menyirap ke muka. Semua orang dalam bilik itu memandang tepat padanya dan mereka tersengih. Nadirah keliru. Kenapa semua orang mesti tersenyum sedangkan dia dimarahi tanpa sebab? Nadirah mengalihkan pandangannya pada Ayu di sisi. Ayu hanya tunduk. Kalau betullah ini orang yang di taman tempoh hari, amat tidak adil rasanya kalau kemarahan itu dilepaskan pada aku sahaja dek kerana perbuatan Ayu dahulu, desis hati Nadirah. Dia dapat merasakan yang lelaki di hadapannya itu cuba membalas dendam. Tidak semena-mena lelaki itu menghampiri mereka.
                “Ingat ya, saya diminta menjadi ketua kumpulan awak dan awak mesti hormati arahan saya kerana saya bertanggungjawab pada keselamatan semua ahli kumpulan ini. Kalau pangkat bapa awak tu lebih besar daripada saya pun, awak kena patuhi cakap saya!”
Kali ini Nadirah measakan bahawa kata-kata lelaki itu seperti ditujukan khusus kepadanya. Berlagak! Hati Nadirah menyumpah geram. Mengapa lelaki itu berkasar dengannya? Adakah kerana marahnya pada peristiwa di tepi tasik tempoh hari. Tetapi mengapa lelaki itu sengaja mengait-ngaitkan tentang bapanya pula? Dia benar-benar tidak faham. Jiwanya berasa sungguh tertekan. Hiba sungguh rasanya apabila ayah yang sudah tiada dipermain-mainkan. Nadirah menekup muka. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedih yang tiba-tiba meruntun jiwanya.
                “Hah, kenapa pula? Awak menangis? Kenapa manja sangat ni?” soal lelaki itu bertalu-talu.
“N, N ...” Ayu turut menggelabah. Dia menyiku-nyiku tubuh Nadirah yang terhingut-hingut menahan tangis. Nyata dia sendiri tidak pasti kenapa tiba-tiba sahaja rakan di sisinya itu menangis. Semua mata tertumpu kepadanya.
Nadirah berasa malu benar ketika itu. Dia tidak dapat menunggu lama lagi dan segera berlari keluar dari situ. Lelaki itu hanya memandang, terpinga-pinga.

Sunday, October 2, 2011

BAB 3

3

Nadirah leka menatap senarai barang keperluan yang perlu dibawanya nanti. Kemudian, dia bangun menghadap almari pakaiannya, membelek-belek track-suit dan sweater sama ada yang tergantung mahupun yang berlipat rapi di dalam almari. Dia menggigit jari. Masih tidak cukup, fikirnya. Dia kembali menghempaskan diri ke tilam empuk. Memeluk bantal sambil mendakap anak patung Barney pemberian Saiful. Dalam berkira-kira mahu membeli sehelai dua lagi, ingatannya kembali pada atuk dan nenek di kampung. Kedua-dua orang tua itu memang tidak merestui keinginannya untuk mendaki Gunung Kinabalu. Dia sudah faham benar dengan perangai atuk yang tidak gemar melihat anak gadis sepertinya melakukan aktiviti lasak. Puas memujuk, akhirnya atuk yang keras hati itu memberi keizinan bersyarat. Hanya sekali ini, kata Atuk Malek. Nadirah terpaksa akur. Selepas mendapat sijil pencapaian menakluki gunung tertinggi di Asia itu, Nadirah tidak akan mendaki mana-mana gunung lagi. Itu janjinya pada Atuk Malek. Cukuplah sekali, sekadar mencari pengalaman ketika masih muda remaja.
                Pintu bilik dikuak. Muncul Hazimah, gadis berkulit cerah yang bertudung labuh.
                “Assalamualaikum,” sapa Hazimah apabila menyedari rakan sebiliknya ada di dalam bilik itu.  
Gadis itu segera menuju ke meja dan meletakkan bukunya dengan berhati-hati. Hazimah amat teliti orangnya. Kadang-kadang tidak tahan juga Nadirah dengan sikap hati-hatinya yang keterlaluan. Barang-barangnya pantang dialih walau sedikitpun.
                “Waalaikumussalam,” balas Nadirah, tanpa menoleh pada rakan yang menyapa. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Terasa hendak berehat seketika. Dari pagi menghadiri kelas tidak berhenti-henti sehingga jam 5.00 petang, badannya terasa agak penat.
                Hazimah segera menanggalkan tudung, meninggalkan hanya serkup di kepala. Dia memerhati Nadirah yang masih terbaring lesu di katilnya.
                “Dah solat?” tegurnya.
                “Err ... belum,” jawab Nadirah, antara dengar dengan tidak.
                “Apa, belum?”
Rupa-rupanya gadis itu masih dapat menangkap butir bicaranya, fikir Nadirah. Dia sengaja memperlahankan suaranya, sekadar menjawab. Sudah pasti Hazimah akan menegurnya sebentar lagi.
“Bila nak solat? Dah pukul berapa ni? Karang tertidur terus!” Seperti yang dijangka, Hazimah mula berleter, persis seorang ibu yang menasihati anaknya.
                “Kejap lagilah, mak cik. Kau solatlah dulu. Aku penat, baru balik ni,” balas Nadirah acuh tak acuh. Baru hendak berehat sekejap, Hazimah sudah bising, rungutnya dalam hati. Bukan dia tidak tahu, sudah pastilah dia akan melengkapkan solat lima waktunya. Hanya bertangguh sedikit sahaja.
                “Jangan melengah-lengahkan solat, tak baik. Segerakan yang wajib dulu. Kalau nak ikutkan penat, semua orang pun penat …” Nasihat gadis itu lagi, masih tidak mahu mengalah.
                “Yalah … yalah…”
Malas hendak mendengar leteran Hazimah, Nadirah bingkas bangun. Dia segera menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Sesudah solat dilihatnya Hazimah sudah tidak ada di bilik. Mungkin juga ke bilik air. Hazimah, budak Terengganu itu bersifat ketua-tuaan walaupun usia mereka sebaya. Hampir tiga bulan hidup bersama di asrama itu, Nadirah sudah masak benar dengan perangainya.
                Selepas solat, mata Nadirah berasa segar semula. Dia membatalkan hasrat untuk tidur seketika. Dia kembali membelek senarai keperluan dan tangan kanannya ligat membuat catatan pada senarai itu. Hatinya cukup teruja. Tidak sia-sia dia memilih untuk aktif dalam Kelab Rekreasi, akhirnya dia menjadi salah seorang ahli yang terpilih untuk menyertai ekspedisi ke Gunung Kinabalu. Dia tidak pernah mendaki gunung sebelum ini, tetapi disebabkan ada beberapa orang senior yang menolak tawaran untuk mendaki gunung tersebut atas sebab kesihatan, maka dia dan Ayu ditawarkan untuk menggantikan tempat mereka. Semuanya bermula kerana dia berkenalan dengan Abang Wak atau nama sebenarnya Sukimin bin Parjo, pensyarah Sains Sukan di institusi pengajian tinggi itu. Pensyarah keturunan Jawa dari Sungai Besar yang masih bujang itu merupakan Penasihat Kelab Rekreasi yang disertainya. Walaupun ada yang mengatakan bahawa dia mengambil kesempatan, namun tidak dipedulikannya cakap-cakap begitu. Asalkan hasratnya terkabul, sudahlah. Lagipun seperti kata Abang Wak, bukan mudah hendak mencari pengganti dalam masa yang singkat terutamanya apabila terpaksa menanggung sendiri kos yang agak besar.
                “Jadi juga kamu pergi daki gunung tu, N?” tegur Hazimah dalam loghat Terengganunya yang pekat. Nadirah menoleh sambil tersenyum mengangguk.
                “Hish … kamu ni tak takut ke … tak ada kerja cari kerja …,” tambah Hazimah lagi.
                “Isy, pernyataan kamu tu silap, Imah!” pintas Nadirah, kurang bersetuju dengan kata-kata rakan sebiliknya itu. “Banyak manfaat mendaki gunung ni. Kita dapat mendisiplinkan diri, belajar bekerja secara berkumpulan, bertolak ansur, dan banyak lagilah. Aku dah tak sabar nak melihat keindahan ciptaan Tuhan di puncak sana. Lagipun apa nak ditakutkan, bukan aku seorang saja yang pergi. Empat puluh orang, kau tahu,” balas Nadirah dengan penuh yakin.
                “Aku dengar pernah ada yang hilang kat atas tu.”
                Kata-kata itu diungkapkan Hazimah agak perlahan, tetapi berjaya menarik perhatian Nadirah.
                “Hmm? Bila?”
                “Dah lama, tahun 1989. Masa tu famili aku tinggal di Sabah. Kamu tahulah, kan … ayah aku askar. Dua orang rakyat Sarawak hilang sampai sekarang tak jumpa-jumpa. Agaknya dah matilah tu,” Beritahu Hazimah jujur.
Nadirah tidak pasti tujuan Hazimah, adakah cuba menakut-nakutkannya atau sekadar memberitahu. Namun dia tidak peduli, niatnya hendak mendaki gunung pasti akan diteruskan. Dia sudah berusaha dan bersedia. Setiap petang dia berjoging untuk meningkatkan stamina.
                “Tak kisahlah, Imah. Bukan semua orang yang pergi akan hilang. Dah takdir dia begitu. Kau tu jangan nak menakut-nakutkan aku, doakan keselamatan aku sudahlah,” balas Nadirah dan bingkas bangun. Dia perlu bersiap untuk berjoging. Pasti teman jogingnya, Ayu akan tiba tidak lama lagi.
                “Aku bukan nak takutkan kamu, cuma nak bagi nasihat,” tingkah Hazimah.
                “Terima kasih. Aku nak pergi joging sekarang. Nak ikut?”
                Hazimah geleng.
                “Tunggu aku makan malam nanti, ya?” Nadirah berpesan sebelum keluar dari bilik itu. Gadis itu hanya mengangguk sambil tersenyum. Ketika menjengah ke luar tingkap dilihatnya Ayu sudah sampai dengan skuternya. Nadirah segera berlari turun dari asrama, membonceng skuter Ayu dan mereka berlepas ke tepi tasik untuk berjoging.
                Hari itu tidak seperti semalam. Cuaca amat cerah. Mereka berharap tidak bertemu lagi dengan jejaka semalam. Tetapi selama dua minggu berjoging di situ, mereka memang tidak pernah terserempak dengan kelibat jejaka itu. Mengingati peristiwa semalam, tawa kedua-dua gadis itu berderai. Terasa puas kerana mereka berjaya mempermainkan jejaka itu. Apatah lagi mengenangkan wajahnya yang panik kerana kehilangan kereta kesayangan. Lucu sungguh!
                “N, Abang Wak pesan petang besok ada taklimat khas,” beritahu Ayu ketika mereka berhenti rehat.
                “Taklimat apa lagi? Kan hari tu dah buat taklimat?”
                “Dia masukkan seorang veteran untuk jadi ketua kumpulan kita. Abang Wak kata otai (old timer) tu dah banyak kali daki gunung. Kali ni dia nak join kita pulak. Kalau jadi, masuk kali ni dalam tahun ini saja dah tiga kali dia mendaki Gunung Kinabalu tu. Kira berpengalaman sangatlah orangnya. Senanglah kita nanti …” jelas Ayu bersungguh-sunguh. Yakin benar dia dengan keupayaan orang tua itu. Sambil itu dia mengesat peluh yang mengalir di dahi dengan tuala kecil yang tersangkut di leher.
                “Larat ke dia lagi?” soal Nadirah mula meragui. Berdasarkan kata-kata Ayu, Nadirah dapat membayangkan yang ketua kumpulan yang bakal dilantik itu pastinya sudah berusia orangnya. Entah-entah setua Atuk Malek ... atau sebaya Dr. Osman, pensyarahnya yang berkepala botak, tapi garang macam singa lapar! Hi hi ... Nadirah tertawa dalam hati mengenangkan ‘veteran’ bayangannya itu.
                “Eh … mestilah! Kalau dah selalu daki gunung mesti fit!” ujar Ayu penuh yakin. Nadirah tergelak-gelak mendengarnya.
                “Tapi ... tak bestlah!” ungkap Nadirah kemudiannya.
                Dahi Ayu berkerut mendengarkan rungutan gadis itu.
                “Kenapa pulak?” soal Ayu.
                “Kau saja yang nampaknya suka sangat kat veteran tu! Aku tak yakin dia boleh menjadi ketua kumpulan yang baik. Usia dia dengan kita jauh berbeza. Mesti tak sehaluan!” terang Nadirah. Sudah pasti banyak pantang-larangnya nanti. Lihat saja Atuk Malek, puas dia berusaha meyakinkan orang tua itu tentang kebaikan mendaki gunung. Lagipun orang lelaki selalunya skeptikal dengan keupayaan orang perempuan, menganggap kaum hawa ini begitu lemah! Itu yang Nadirah tak boleh terima.
Ayu terdiam seketika. Mungkin memikirkan kata-kata Nadirah itu.
“Dia kawan Abang Wak, tentu baik macam Abang Wak,” terang Ayu lagi. Dia berpaling tepat pada wajah Nadirah yang kelihatan merenung jauh ke hadapan.
“Eh, cuba kau berfikiran positif sikit. Entah-entah pak cik tu sekepala dengan kita, boleh ngam! Hah ... kalau tidak, takkan dia beria-ia nak masuk kumpulan kita!”
Terkejut Nadirah melihatkan tingkah Ayu yang beria benar mempertahankan veteran itu.
                “Mana kau tahu?” soal Nadirah.
                “Abang Waklah yang cerita. Abang Wak kata dia kasihan pada kumpulan kita, semuanya tak ada pengalaman daki gunung. Takkan nak harap jurupandu aje. Sekurang-kurangnya kalau ada orang yang berpengalaman, tentu lebih senang. Dalam taklimat besok dia akan bagi pendedahan awal. Kau bolehlah tanya apa-apa soalan pun.”
                “Pukul berapa ya? Petang esok aku ada kelas gantilah.” Nadirah sedikit musykil.
                “Kelas ganti kau habis pukul berapa?” soal Ayu.
                “Pukul 6.00. Kalau dia boleh adakan pada pukul 6.30, okey juga. Sekurang-kurangnya sempat aku solat Asar dulu,” beritahu Nadirah sambil memandang Ayu meminta simpati. Tetapi kalau waktu taklimat tidak diganjakkan pun, dia tetap akan mengadakan masa untuk solat Asar. Cuma penangguhan waktu itu memungkinkan dia solat dengan lebih khusyuk lagi dan tidak tergesa-gesa.
                “Nanti aku beritahu Abang Wak. Aku rasa dia okey aje. Cuma tak tahulah pak cik tu okey atau tidaknya.” Balas Ayu.
                “Kau tolonglah cakap pada Abang Wak, ya? Aku memang nak sangat hadir taklimat besok. Rasanya banyak soalan yang aku nak tanya pada pak cik tu,” kata Nadirah.
                No problem!” janji Ayu, gembira. Akhirnya Nadirah dapat juga menerima kehadiran orang tua itu dalam kumpulan mereka.
                Nadirah tersengih melihat gelagat sahabat di sisi. Pantang disebut nama Abang Wak, mulalah wajahnya berseri-seri. Nadirah tahu Ayu ada menyimpan perasaan pada pensyarah itu.
                “Sukalah tu!” usik Nadirah.
                Ayu tersenyum sumbing sambil mencubit paha rakannya itu. Malu. Nadirah segera bangun dan terus berlari. Bimbang dicubit lagi. Ayu bingkas bangun, mengejar sahabatnya itu dari belakang.
                 Mereka meneruskan larian, memintas dua tiga orang tua yang ikut berjoging petang itu. Nama sahaja berjoging, tetapi sebenarnya mereka hanya berjalan-jalan mengambil angin petang yang nyaman di tepi tasik itu.
‘Pak cik-pak cik pencen ...’ getus Nadirah dalam hati. Tetapi sempat juga dia menghadiahi mereka senyuman mesra sambil melambai pada mereka.
Melihatkan pak cik-pak cik itu, terbayang-bayang pula di mata Nadirah susuk pak cik yang dikatakan oleh Ayu itu. Takkan kawan Abang Wak setua ini? Tetapi tidak mustahil juga sebab Abang Wak yang peramah itu berkawan dengan semua orang, tidak kira tua atau muda. Harap-harap pak cik itu seorang yang baik dan sudi membimbing mereka. Dan dia semestinya orang berada juga sebab sudah banyak kali ke Sabah, mendaki Gunung Kinabalu. Bukan sedikit wang yang perlu dihabiskan untuk aktiviti itu. Tetapi seperti kata Ayu, kalau sudah namanya kawan Abang Wak, tentu baik macam Abang Wak juga, fikir Nadirah. Pensyarah Sains Sukan itu sangat bertimbang rasa, mesra dan tidak sedikit pun membezakan jurang antara pensyarah dengan pelajar. Kerana itulah agaknya Ayu jatuh hati padanya. Abang Wak pula buat-buat jual mahal. Bukan dia tidak nampak Ayu meminatinya. Mungkin sebab itulah dia tidak menempatkan Ayu di bawah kumpulannya. Padahal siang malam gadis itu berdoa supaya mereka ditempatkan dalam satu kumpulan yang sama. Tuhan belum mahu memakbulkan doanya, tentu ada hikmah yang tersembunyi ... fikir Nadirah.
Selepas membuat satu pusingan lagi mereka bergegas untuk pulang kerana azan Maghrib daripada masjid berhampiran juga sudah berkumandang. Dan pastinya setibanya di bilik nanti Nadirah akan dileteri oleh Hazimah lagi. Mak tiri aku … gumam Nadirah sambil tersenyum geli hati mengingati gadis pantai timur itu.

Monday, September 26, 2011

Bab 2

2


Ketika Ayu sudah membawa Toyota RAV4 itu jauh ke arah tandas awam, seorang lelaki muncul dalam keadaan tergesa-gesa. Dia agak terpinga-pinga seperti mencari sesuatu. Sesekejap menoleh ke kiri, sekejap ke kanan. Nampak benar dia terlalu cemas. Agaknya si tuan punya RAV4 itulah ... Nadirah meneka dalam hati. Cepat-cepat dia berpaling pada skuter Ayu, cuba menyembunyikan rasa geli di hatinya melihatkan lelaki itu kelam-kabut seorang diri.  Namun bibirnya tetap menguntum senyum. Nadirah mengundurkan skuter Ayu perlahan-lahan. Padan muka, ucapnya dalam hati. Hujan yang sudah renyai-renyai tidak dipedulikannya. Memang dia sudah basah kuyup pun. Jika tadi dia bermandi peluh, sekarang bermandi hujan pula. Nasib baik dia mengenakan t-shirt hitam, jika tidak habis nampak semua asetnya.
            “Kak, kak!” panggil lelaki itu.
            Nadirah menoleh. Tidak ada sesiapa di situ kecuali dirinya. Panggil akukah, soalnya dalam hati. Melampau betul, aku ni nampak tua dari dia ke?
            “Kak, nampak tak kereta saya?” soal pemuda itu.
Hah, tahu pun rasa cemas dengan kehilangan kereta kesayangan! Mana tidaknya, kereta jenama mahal tu, fikir Nadirah.
            Nadirah mengangkat bahu sambil menggeleng. Sengaja dia tidak mahu melayan pemuda itu. Sudahlah menyusahkan aku tadi, panggil aku kakak pula! Dia ingat aku ni siapa, kakak dia? Nadirah segera menghidupkan enjin skuter. Dia ingin segera berlalu dari situ kerana lelaki itu sudah pun mendekatinya.
            “Eh, eh ... Tunggu!” Jerit pemuda itu dan cepat-cepat memegang handle skuter yang sudah mahu bergerak. Ketika itu Nadirah masih terkial-kial hendak menyeimbangkan skuter itu. Maklum saja, dia baru beberapa kali belajar menunggang skuter Ayu. Jika di kampung, pasti atuk dan nenek tidak membenarkan dia berbuat demikian. Dengan atuk dan nenek, terlalu banyak pantang larangnya. Dengan Ayu, semuanya boleh.
            Nadirah segera menopang skuter itu dengan kedua-dua belah kakinya. Tindakan mengejut pemuda itu kembali menaikkan kemarahan Nadirah yang sudah mula mengendur.
            “Awak ni kenapa? Berani awak pegang skuter saya?” marah Nadirah.
            Cepat-cepat lelaki itu melepaskan pegangannya. Dia mengangkat kedua-dua tangannya, memohon maaf.
            “Maaf, kak. Tapi takkan akak tak nampak kereta saya. Baru sekejap saya tinggalkan,” suara pemuda itu lirih, selaku memohon simpati Nadirah.
            “Akak ... akak!” leter Nadirah, “siapa akak awak?”
            “Err ... maaf, cik!” lelaki itu membetulkan panggilannya, “tolonglah cik, hari dah hujan ni. Saya perlukan kereta saya.”
            Nadirah terdiam seketika. Timbul pula rasa belas melihatkan pemuda itu mula merayu dan kelihatan amat terdesak. Kalau dia berada di tempat pemuda itu, dia juga akan berasa demikian. Mana tidaknya, harta bernilai ratusan ringgit hilang sekelip mata kerana kelalaian sendiri.
            “Memang tadi ada di sini,” balas Nadirah.
            “Betul, kan? Cik nampak kereta saya? Kalau dicuri orang, boleh cik jadi saksi? Kita ke balai, buat report polis?” usul lelaki itu bersungguh-sungguh.
            Nadirah hanya memandang lelaki itu ke atas ke bawah. Buat report polis? Jadi saksi? Isy .. tak pasal-pasal lain pula musibah yang datang. Apa yang hendak dikatakannya, dia tidak pasti. Ayu yang merancang semua ini. Takkan hendak memberitahu bahawa kereta lelaki itu dilarikan oleh teman baiknya.
            “Saya memang cemas tadi. Jam saya tertinggal di bangku dekat tasik. Saya panik, saya takut jam saya hilang. Jam dah jumpa, benda lain pula yang hilang!” keluh pemuda itu.
            Pasti jam mahal, telah Nadirah. Jika tidak takkan pemuda itu berkejar mencari jamnya dan sanggup meninggalkan kereta mahalnya begitu sahaja.
            “Jam awak lebih mahal dari kereta tu, ke?” sengaja Nadirah cuba menguji.
            “Bukan begitu, tapi jam itu ada nilai sentimentalnya sendiri,” balas pemuda itu.
            Nadirah terdiam. Kenapa aku mesti melayan lelaki ini, soalnya dalam hati. Hujan makin melebat, silap-silap aku boleh jatuh sakit pula. Dia menjeling ke arah tandas awam nun jauh di hadapannya. Memang tidak ternampak pun kelibat Ayu dengan kereta itu. Pandai Ayu menyembunyikan kenderaan lelaki ini.
            “Awak ni lalai sangat!” tempelak Nadirah, “Maaf, saya tak nampak siapa yang ambil kereta awak,” sambungnya lagi dan kemudiannya mula bergerak dari situ.
            Lelaki itu mendengus, melepaskan rasa geram. Apalah malang nasibnya hari ini. Mula-mula hilang jam, kemudian hilang kereta. Lebih malang lagi kerana ditempelak oleh gadis cantik. Dia hanya mampu menebalkan muka menahan rasa malu. Dia tidak tahu kepada siapa dia harus menghamburkan rasa marahnya. Tetapi dia amat pasti bahawa gadis itu nampak kereta yang ditinggalkannya sekejap tadi.  Dia membiarkan saja gadis itu berlalu pergi. Jika gadis itu tidak sudi membantu, apakan dayanya. Bukan salah dia kerana tidak menjaga kereta aku, bisiknya dalam hati. Dalam hujan, dia masih lagi tercegat di situ. Matanya masih terpaku pada gadis itu. Nampak sangat dia tidak begitu pandai membawa skuter, terhegeh-hegeh. Rasa nak tergelak juga melihatkan keadaan gadis itu, tetapi tidak jadi. Hatinya lebih risau memikirkan kereta kesayangan yang hilang sekelip mata. Memang benar kata gadis itu, aku lalai. Kerana sayangkan jam tangan yang berharga hampir dua ribu ringgit itu, aku kehilangan sebiji kereta yang berharga lebih 150 ribu ringgit! Apa hendak dijawab bila daddy bertanya nanti, keluh si pemuda.
            Tidak berapa lama kemudian dia nampak skuter tadi menghampirinya semula. Tetapi kali ini ditunggang dengan lebih yakin. Gadis itu berdua! Skuter itu diberhentikan betul-betul di sebelahnya.
            “Lain kali jangan lalai. Awak dah menyusahkan orang, kerana itu awak terima balasannya,” beritahu gadis yang berlindung di sebalik topi keledar. Jika tidak kerana topi keledar itu mempunyai cermin pelindung yang menutup sebahagian mukanya sudah pasti dia dapat mengecam wajah gadis itu dengan jelas. Gadis itu melemparkan segugus kunci kereta dan dia segera menyambut. Kunci kereta aku! Rasanya dia ingin menjerit kegirangan. Belum sempat hendak mengucapkan terima kasih, skuter itu memecut laju.
            Si jejaka masih berdiri dalam hujan, memerhati arah skuter itu datang. Dari jauh dia nampak buntut keretanya di sebalik tandas awam. Kali ini dia benar-benar yakin bahawa kedua-dua gadis itulah yang melarikan keretanya. Hatinya menyumpah geram. Nasib baik aku tak sempat mengucapkan terima kasih, sudah sah merekalah yang merancang masalah ini!