Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Friday, October 7, 2011

Bab 4

4


Sewaktu tiba di bilik perjumpaan Kelab Rekreasi, Nadirah mendapati seorang lelaki muda sedang memberikan penerangan. Berkali-kali dia menoleh ke dalam bilik itu, bimbang tersilap. Melihatkan gelagatnya itu, lelaki yang terpacak di hadapan itu berhenti bercakap. Matanya merenung tajam pada Nadirah yang masih terintai-intai di celah pintu. Marah agaknya, fikir Nadirah. Namun bukan salah dia. Jika bukan kuliah Dr. Osman, sudah pasti dia memberanikan diri menyelinap keluar dari bilik kuliah. Tetapi pensyarah sebengis singa lapar itu mengambil sedikit masa untuk memberi penerangan tentang ujian yang akan diadakan tidak lama lagi. Kerana itu dia terlewat menghadiri taklimat ekspedisi. Terkocoh-kocoh dia mengerjakan solat Asar dan kemudian berkejar ke bilik tersebut. Demi terpandangkan Ayu, Nadirah tersenyum puas hati dan segera melangkah masuk. Memang tidak syak lagi, dia tidak tersilap bilik. Hampir serentak semua mata memandang padanya. Nadirah tidak menghiraukan pandangan semua orang, dan dia sempat menjeling sekilas pada lelaki di hadapan. Agaknya pak cik yang sepatutnya datang ada aral, maka dihantarnya anaknya sebagai pengganti, fikir Nadirah.
Nadirah segera mengambil tempat duduk di sebelah Ayu. Lelaki di hadapannya menyambung penerangannya semula. Nadirah cuba memberi perhatian walaupun tidak tahu hujung pangkal tentang apa yang dibincangkan ketika itu. Demi terpandangkan wajah lelaki yang sedang memberi ceramah itu, dada Nadirah terasa berdebar-debar. Lelaki itu seperti pernah ditemuinya. Apa tidaknya, raut wajahnya mirip benar dengan pemuda yang mereka jumpa di taman tempoh hari. Cuma hari ini dia kelihatan kemas, tidak berserabut seperti petang itu. Mungkin mirip sahaja, tetapi bukan dia ... Nadirah berdoa semoga kedua-duanya bukan orang yang sama.
                “Mana pak cik tu?” bisik Nadirah pada Ayu, ketika lelaki itu berpaling untuk menulis sesuatu di papan putih. Kelihatannya dia melukis gambar gunung. Gunung Kinabalu agaknya ... fikir Nadirah.
                “Syyy …” Ayu hanya menegakkan jari telunjuknya ke bibir, meminta sahabatnya itu diam.
                “Ayu, kau perasan tak dia ni macam orang yang kat taman tu?” bisik Nadirah lagi, tidak dapat menyembunyikan rasa gusarnya. Ayu tidak segera menjawab. Matanya terpaku pada lelaki di hadapan dan lukisannya. Lukisan macam budak-budak ... siap orang lidi sekali, ulas Nadirah dalam hati sambil tersengih.
                “Diamlah, aku rasa dia tak perasan kita. Kau relaks saja, nanti dia perasan pulak,” bisik Ayu sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan, bimbang kata-katanya didengari lelaki itu. Lelaki itu masih membetulkan lukisannya pada papan putih.  Ketika lelaki itu berpaling semula ke arah mereka, Ayu cuba bersahaja. Sedikit pun dia tidak menoleh pada Nadirah. Nadirah merenung Ayu dengan rasa curiga. Ayu kelihatan begitu tekun mendengar penerangan yang disampaikan oleh lelaki itu. Dicuit sedikit pun dia tidak bergerak. Mungkin juga terpegun dengan ketampanan jejaka itu. Tanpa disedarinya, Nadirah tersengih sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan sahabat di sisi. Ayu seperti orang terpukau lagaknya.
                Gelagat Nadirah diperhatikan oleh lelaki muda yang sedang bercakap itu. Dia segera menghentikan penerangannya. Matanya mencerlung memandang Nadirah, nampak sedikit marah dengan kekecohan yang dicetuskan oleh gadis yang baru tiba itu. ‘Dahlah sampai lambat, tak duduk diam pula!’ Rungutnya dalam hati.
                “Tolong beri perhatian semasa saya buat penerangan. Ekspedisi ini boleh jadi mudah dan boleh juga jadi sukar, bergantung pada keadaan cuaca hari itu,” ugut lelaki itu, serius. Nada suaranya sengaja ditinggikan. Memang dia pantang betul kalau sedang bercakap ada yang tidak memberi perhatian. Seolah-olah mereka tidak berminat pada ceramah yang diberikan. Buat penat sahaja aku datang sini ... gerutu pemuda itu dalam hati. Marah.
Melihatkan keseriusan pemuda itu, Nadirah cuma tersengih. Sungguh berbeza dengan wajahnya yang panik ketika kehilangan kereta kesayangan. Lucu sungguh! Kalau betullah ini lelaki yang sama dengan yang di taman dahulu, sudah tentu lelaki itu akan mengenalinya. Nadirah berfikir-fikir sambil menggigit hujung pennya. Agaknya inilah orangnya, fikir Nadirah. Bukan anak ‘pak cik’ itu seperti yang disangkakannya awal-awal tadi. Geli hati pula rasanya kerana selama ini dia benar-benar menyangkakan ketua kumpulan mereka itu agak berusia, mungkin sebaya Atuk Malek atau Dr. Osman. Atau setidak-tidaknya pastinya dalam lingkungan umur 30-an atau lebih, sebaya dengan Abang Wak juga. Tetapi lelaki di hadapannya itu nampak masih muda. Berdasarkan raut wajah, mungkin mereka hampir sebaya. Tak sangka, muda-muda begini sudah banyak pengalaman mendaki gunung sehingga mendapat kepercayaan daripada Abang Wak untuk mengetuai kumpulan mereka. Hebat sangatkah dia? Nadirah membuat penilaian tentang lelaki di hadapannya itu dalam hati. Dia tidak perasan, senyumnya ikut melebar.
                “Kenapa awak senyum? Ada apa-apa yang melucukan pada saya?” tiba-tiba lelaki itu menyoal. Matanya merenung tajam ke arah Nadirah, membuatkan gadis itu tersentak. Merah padam muka Nadirah menahan malu. Dia tidak langsung bermaksud hendak mentertawakan lelaki itu. Cuma terasa sedikit lucu kerana lelaki itu tidak seperti yang difikirkannya. Nadirah membetulkan duduk, menundukkan kepala, tidak berani dia hendak menatap wajah lelaki itu lama-lama. Dalam pada itu dia sempat mengerling pada Ayu. Gadis itu masih berlagak biasa-biasa sahaja.
                Lelaki itu menyambung kembali penerangannya. Nadirah hanya tekun menyalin semua maklumat yang boleh dijadikan rujukan dan panduan. Berdasarkan penerangan lelaki itu, Nadirah akui dia memang banyak pengetahuan tentang pendakian Gunung Kinabalu. Bukan setakat bercakap dan melukis rajah Gunung Kinabalu, dia juga menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya di sana. Kadang-kadang tergerak juga hati Nadirah untuk menanyakan beberapa soalan yang berlegar di kepala, tetapi soalan itu mati di situ sahaja. Dia tidak berani menyuarakannya. Lelaki itu nampak garang dan tidak mesra. Sesekali terbit juga rasa menyampah pada lelaki itu kerana di mata Nadirah dia nampak berlagak dengan pengalaman yang dimilikinya.
                “Encik Sukimin dah beri kepercayaan kepada saya untuk mengetuai kumpulan ini. Mudah saja. Kamu ikut cakap saya, Insya-Allah kumpulan kita selamat. Jangan ada yang nak buat hal sendiri atau memandai-mandai sendiri. Bila kita dalam satu pasukan, susah senang pun mesti dalam satu pasukan juga.” Ujar lelaki itu, masih serius.
                Nadirah hendak tergelak apabila mendengar nama Abang Wak dipanggil Encik Sukimin. Terasa begitu asing sekali di telinganya. Namun apabila lelaki di hadapannya itu merenung tajam padanya, Nadirah segera berpaling pada Ayu, pura-pura mengintai buku catatan gadis itu. Kelihatannya sudah banyak catatan yang telah dibuat oleh Ayu sebelum dia tiba di bilik itu. Hinggakan gambar Gunung Kinabalu yang dilukis di papan putih pun turut disalinnya.
                “Aku pinjam nota kau lepas ni, ya?” bisik Nadirah kepada rakan di sebelahnya itu. Ayu tidak mengangguk, tidak juga menolak. Hendak dikatakan tidak mendengar bisikannya, agak mustahil. Nadirah merungut sendirian melihatkan sikap Ayu yang cuba ‘maintain’ tak bertempat.
                “Ya, di belakang sana?” Tiba-tiba lelaki itu menegur. Nadirah terkejut. Dia memandang ke hadapan. ‘Dia menegur akukah?’ Soal Nadirah dalam hati. Nadirah mengangkat kening, sambil menuding jari telunjuk ke arah dadanya sendiri.
                “Ya, awaklah! Ada soalan?” ujar lelaki itu, tegas sahaja bunyinya.
                Nadirah geleng.                                                                                                                                           
                “Tolong beri perhatian masa saya bercakap, ya? Saya takkan ulang dua tiga kali. Saya tahulah ayah awak ASP, seorang wira negara. Tapi dalam kumpulan ini semuanya saya lihat tak ada pengalaman mendaki gunung. Inikan pula hendak mendaki gunung tertinggi di Asia, setinggi 4,104 meter! Sedangkan saya yang dah mendaki beberapa kali ini pun masih belum tentu berjaya, inikan pula awak. Saya nak ingatkan, pengalaman hebat ayah awak tu tak ada kena mengena dengan ekspedisi kita ini, walau awak anak pendaki Gunung Everest sekali pun. Jadi jangan main-main dan jangan ambil mudah!” Keras bunyi suara lelaki itu, seperti sengaja melepaskan kemarahannya yang telah terpendam sekian lama.
                Nadirah terasa telinganya membahang. Darahnya menyirap ke muka. Semua orang dalam bilik itu memandang tepat padanya dan mereka tersengih. Nadirah keliru. Kenapa semua orang mesti tersenyum sedangkan dia dimarahi tanpa sebab? Nadirah mengalihkan pandangannya pada Ayu di sisi. Ayu hanya tunduk. Kalau betullah ini orang yang di taman tempoh hari, amat tidak adil rasanya kalau kemarahan itu dilepaskan pada aku sahaja dek kerana perbuatan Ayu dahulu, desis hati Nadirah. Dia dapat merasakan yang lelaki di hadapannya itu cuba membalas dendam. Tidak semena-mena lelaki itu menghampiri mereka.
                “Ingat ya, saya diminta menjadi ketua kumpulan awak dan awak mesti hormati arahan saya kerana saya bertanggungjawab pada keselamatan semua ahli kumpulan ini. Kalau pangkat bapa awak tu lebih besar daripada saya pun, awak kena patuhi cakap saya!”
Kali ini Nadirah measakan bahawa kata-kata lelaki itu seperti ditujukan khusus kepadanya. Berlagak! Hati Nadirah menyumpah geram. Mengapa lelaki itu berkasar dengannya? Adakah kerana marahnya pada peristiwa di tepi tasik tempoh hari. Tetapi mengapa lelaki itu sengaja mengait-ngaitkan tentang bapanya pula? Dia benar-benar tidak faham. Jiwanya berasa sungguh tertekan. Hiba sungguh rasanya apabila ayah yang sudah tiada dipermain-mainkan. Nadirah menekup muka. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedih yang tiba-tiba meruntun jiwanya.
                “Hah, kenapa pula? Awak menangis? Kenapa manja sangat ni?” soal lelaki itu bertalu-talu.
“N, N ...” Ayu turut menggelabah. Dia menyiku-nyiku tubuh Nadirah yang terhingut-hingut menahan tangis. Nyata dia sendiri tidak pasti kenapa tiba-tiba sahaja rakan di sisinya itu menangis. Semua mata tertumpu kepadanya.
Nadirah berasa malu benar ketika itu. Dia tidak dapat menunggu lama lagi dan segera berlari keluar dari situ. Lelaki itu hanya memandang, terpinga-pinga.

No comments:

Post a Comment