Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Monday, January 31, 2011

Novel: Rela Kupujuk 2 (BAB 1)

1

Suasana tepian Tasik Shah Alam semakin hening. Orang ramai yang mengambil angin petang di situ sudah mulai beransur pulang. Cuaca semakin gelap bukan sahaja kerana hari sudah menginjak ke senja, malah menandakan hujan akan turun sebentar lagi. Nadirah segera menapak laju ke arah sebuah bangku taman. Janji dengan Ayu, teman sekolej untuk berjumpa di situ. Mula-mula mereka memang berjoging bersama, tetapi ketika dia sudah penat, Ayu masih mahu meneruskan lariannya.
Nadirah segera melabuhkan punggung di bangku taman yang menghadap tasik, membuang penat sambil menunggu Ayu. Ayu, gadis bertubuh kecil dari Perak itu kini menjadi teman paling rapat semenjak menjejakkan kaki ke Institut Teknologi MARA, Shah Alam tiga bulan yang lalu. Hanya dia sahaja yang tercampak di situ sedangkan teman-teman lain berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bukan dia tidak sedih, malah berasa amat rendah diri, namun dengan kelulusan pangkat 1 dan agregat cukup-cukup makan sahaja, dia tidak mampu mengikut jejak Saiful. Nisha pula telah berlepas ke Amerika Syarikat memenuhi cita-citanya untuk menjejakkan kaki di bumi Uncle Sam itu. Sejak berpisah dengan kedua-dua sahabat karibnya itu, mereka amat jarang mengutus surat. Mungkin masing-masing sibuk dengan pelajaran. Nadirah sendiri mengakui dirinya juga agak sibuk. Mentelahan pula dia menyertai Kelab Kembara, kelab yang sering menganjurkan aktiviti lasak pada hujung minggu. Dia memang senang begitu, mengekalkan kesibukan agar dia tidak sempat untuk berfikir tentang kesedihan yang dilaluinya selama ini.
“Hah, berangan lagi?” jerkah Ayu yang tiba-tiba muncul.
Nadirah tersenyum hambar. Jerkahan Ayu tidak berjaya membuatkan dia terkejut kerana sememangnya dia menunggu kedatangan gadis itu.
“Tak adalah. Jom kita bergerak. Langit dah gelap sangat ni,” ujar Nadirah dan segera bangun.
“Eh, aku dah tak tahan ni. Aku nak cari toilet dulu. Kau tolong ambil skuter aku dan bawa ke sana,” kata Ayu sambil menunjukkan ke arah tandas awam yang tidak jauh dari situ.
“Okey, jumpa di sana.” Balas Nadirah dengan senang hati sambil menyambut kunci skuter yang dihulurkan oleh sahabatnya itu. Peluang menunggang skuter itu memang amat dinanti-nantikannya. Hanya menunggu pelawaan Ayu sahaja.
Ayu segera berlari-lari anak ke arah tandas awam. Gadis itu penuntut jurusan Komunikasi dan usianya lebih dua tahun dari Nadirah kerana dia memasuki ITM atas tiket STPM. Namun semenjak minggu orientasi mereka menjadi rapat dan disebabkan berkongsi minat yang sama mereka sering kelihatan berdua menghadiri aktiviti Kelab Kembara.
Nadirah melangkah deras menuju ke tempat parkir. Masih ada beberapa motosikal yang parkir di situ. Skuter Ayu tersepit antara beberapa motosikal besar dan salah satunya Harley Davidson. Nadirah segera membuka kunci handle untuk mengubah kedudukan skuter itu supaya mereka boleh beredar cepat dari situ. Jika terlambat, alamat basahlah mereka disimbahi hujan.
Zupp!
Bunyi brek mengejut sebuah pacuan empat roda yang tiba-tiba berhenti di belakangnya benar-benar mengejutkan Nadirah. Bimbang jika dia dilanggar oleh kenderaan yang berhenti melulu itu. Sudahlah begitu, pemiliknya tergesa-gesa keluar tanpa menutup pintu kenderaan dan membiarkan enjinnya masih terpasang. Nadirah menggerutu geram. ‘Harap kereta aje cantik, tapi otak tak ada ...’ marahnya dalam hati. Tetapi yang lebih memanaskan hatinya adalah kerana kenderaan itu menghalang laluannya. Dia langsung tidak dapat mengundurkan skuter Ayu dari tempat parkir.
Nadirah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, memikirkan cara hendak mengeluarkan skuter Ayu seberapa segera dari tempat itu. Jika tidak kerana kenderaan ini dan pemiliknya yang tidak berhati perut, pastilah dia sudah dapat mengeluarkan skuter itu dengan mudah. Titik-titik hujan sudah terasa menyentuh tapak tangannya. Cepat-cepat dia mengenakan topi keledar supaya kepalanya tidak terkena dek air hujan. Memang dia alah dengan hujan, boleh mendatangkan sakit kepala.
“N, kenapa lama sangat tu?”
Suara jeritan Ayu kedengaran dari tandas awam membuatkan Nadirah mengalih perhatiannya. Di kolej itu memang dia dikenali sebagai N. Nama glamor yang diberikan oleh senior. Dia juga menyenangi nama itu, mahu lari dari identiti Nad kerana dia bukan budak sekolah lagi. Biarlah di institut pengajian tinggi itu dia dikenali dengan nama lain pula, sesuai dengan perubahan tempat dan peningkatan usia.
“Lembap betullah budak ni ...” rungut Ayu, tidak berpuas hati kerana Nadirah masih terkial-kial hendak mengeluarkan skuternya. Ayu segera berlari-lari anak mendapatkan sahabatnya itu. ‘Dah bagi peluang bawa skuter aku pun, masih terhegeh-hegeh lagi. Bukan susah manapun nak bawa skuter comel aku yang ringan tu ..’ Ayu merungut-rungut dalam hati. Namun, apabila sampai ke tempat parkir itu dia menyedari kenapa susah sangat Nadirah hendak mengeluarkan skuternya itu.
“Kau tengoklah ni!” rungut Nadirah, terpaksa meninggikan suara sambil memuncungkan mulutnya ke arah pacuan empat roda berwarna perak di sebelahnya. Harap-harap pemiliknya pun dapat mendengar rungutan itu.
“Wow!” jerit Ayu, seolah-olah terpegun melihat kenderaan itu.
Nadirah memandang Ayu dengan rasa jengkel. Dalam geram, dia masih sempat lagi melahirkan rasa kekagumannya pada kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan tuannya itu. Bukan dia tidak minat pada kenderaan itu, malah gambar Toyota RAV4 itu memang tertampal pada dinding di hadapan meja studinya. Kereta idaman yang bakal dimiliki apabila dia bekerja nanti. Tetapi rasa marah dan geram pada tindakan tuan punya RAV4 itu lebih menyakitkan hatinya, mengatasi rasa kekaguman itu.
“Kalau dia hendak cepat, ingat-ingatlah juga pada orang lain. Orang pun nak cepat juga. Menyusahkan orang betul!” gerutu Nadirah.
Ayu memandang sahabatnya di sisi. Memikirkan jalan keluar. Rintik-rintik hujan yang semakin melebat tidak memungkinkan mereka menunggu lebih lama lagi.
“Kau rasa kalau kita ketepikan sedikit motor-motor ni, tentu kita boleh keluar tak?” soal Ayu.
Nadirah menimbangkan pendapat Ayu sambil memerhati motosikal yang parkir di situ satu persatu. Dari kapcai hinggalah ke Harley Davidson, sudah pasti dia tidak berdaya hendak mengalih kesemua motosikal itu. Nadirah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Aku tak larat ...” dia mengaku kalah sebelum mencuba.
Ayu mengeluh panjang sambil mendongak ke langit. Hujan sudah semakin melebat. Takkan mereka hanya boleh diam di situ tanpa berbuat sesuatu. Topi keledar segera disarungkan. Berapa lama lagi agaknya si tuan punya RAV4 ini akan kembali, fikir Ayu.
“Nak tunggu saja dan tak buat apa-apa?” tanya Nadirah, semakin bosan.
“Habis tu, kita nak buat apa? Kalau tak boleh alih motor ni, takkan kita ...” tiba-tiba suara Ayu terhenti. Kemudian gadis itu tersengih, seperti sudah ada idea. Dia mengetap jari dan segera menuju ke arah pintu pemandu RAV4 yang memang sedia terbuka.
Nadirah membulatkan matanya. Rasanya dia faham apa yang akan dilakukan oleh Ayu. Dia tidak menahan dan tidak juga menyuruh. Good luck to you, Ayu! Ucapnya dalam hati.





No comments:

Post a Comment