Selamat Datang!

Hi,anda boleh baca novel percuma dalam blog ini



Monday, February 11, 2013

Bab 25


25


Hai N!
Maaf kerana saya tidak dapat terus menghantar berita. Banyak perkara yang perlu diselesaikan pertama kali menjejakkan kaki di bumi mat saleh ini. Namun, saya tidak pernah melupai N. Sebagaimana yang telah dijanjikan, saya menulis surat ini. Jika saya kesuntukan masa, saya berjanji pada diri sendiri yang saya akan menghantar poskad untuk N. Ini adalah sebagai tanda bahawa saya tidak pernah melupakan N. Bila ke pejabat pos nanti, saya akan beli banyak aerogram untuk memudahkan kita berkomunikasi.
            Bagaimana nak mula, ya? Saya kurang arif dalam hal surat menyurat ini. Tetapi cukuplah buat kali ini saya menyatakan bahawa saya sedang membiasakan diri hidup sebagai mahasiswa di negara orang. Memang saya rindukan kemesraan yang dikecapi semasa belajar di tanah air dulu. Namun, apakan daya, hidup mesti diteruskan ...
            Sekian dulu buat kali ini. Jika ada apa-apa yang menarik, akan saya ceritakan dalam surat yang lain. Itupun jika N sudi membalas surat saya ini dan mendengar kisah-kisah saya di perantauan ini.
            Salam buat N dan seisi keluarga.

SKI
           
            Nadirah tersenyum panjang menatap surat yang dihulurkan oleh Nek Salmah ketika dia pulang bercuti pertengahan semester. Surat ringkas daripada Syed Khalid itu sudah cukup menghiburkan hatinya. Memang jejaka itu tidak melupakan janjinya. Sebelum pulang lagi Nek Salmah sudah memaklumkan bahawa ada surat bersetem luar negara sampai ke rumah. Dia memang mengharapkan surat daripada Abang Azrul atau setidak-tidaknya daripada Nisha. Namun, tidak disangka-sangkanya surat daripada Syed Khalid yang menyusul. Nisha ... Nadirah mengeluh panjang. Sudah lama benar dia tidak mendengar khabar berita daripada rakan baiknya yang seorang itu. Mungkin terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai pelajar. Maklumlah, hidup di negara orang, tentu banyak cabaran yang perlu ditempuhi. Dalam hatinya Nadirah mencemburui pencapaian kawannya itu. Seronoknya dapat hidup di negara orang, fikirnya. Kerana itu dia sudah mulai melupakan aku! Gerutunya dalam hati.
            “Surat siapa, Ira? Azrul?” Tiba-tiba Atuk Malek yang disangkakannya tidur di kerusi malas menyapa. Nadirah menoleh pada susuk datuknya yang semakin mengecil. Penyakitnya benar-benar menuntut derita. Semakin hari orang tua itu semakin lemah.
            “Bukan, tuk,” jawab Nadirah sepatah. Dia tahu atuk mungkin terlalu merindui Azrul. Sudah beberapa kali dia menyebut nama Azrul. Ketika makan, dia teringatkan masakan kegemaran Azrul. Dan paling menyiat perasaannya, kata-kata atuk yang sering menyebut kebimbangannya tidak sempat hendak bertemu dengan Azrul lagi. Dia seperti dapat mengagak yang hayatnya tidak lama.
            “Kalau begitu, Saiful agaknya?” Atuk Malek meneka.
            Berdebar rasa hati Nadirah mendengarkan nama itu disebut.
            “Tak, atuk. Kawan Ira yang datang melawat atuk dulu, Syed Khalid.”
            Lama Atuk Malek terdiam. Dia hanya menggoyang-goyangkan kerusi malasnya. Nadirah melipat kembali surat yang masih di tangan. Ketika dia hendak bangun, suara Atuk Malek kedengaran lagi.
            “Dua tiga hari lepas Saiful ada menelefon.”
            Nadirah tersentak mendengar kata-kata datuknya itu.
            “Dia rasa terkilan, kamu tak balas suratnya,”
            Merah padam wajah Nadirah menahan malu. Dia tidak sangka Saiful akan mengadukan hal itu kepada datuknya. ‘Childish sungguh Saiful ni!’ Bentak Nadirah dalam hati.
            “Balaslah suratnya, Ira. Kesian dia. Atuk kata kalau nak bercakap dengan kamu, telefonlah dalam seminggu lagi, kamu bercuti dan akan pulang ke mari.” Perlahan sahaja suara Atuk Malek menyatakan permintaannya. Hati Nadirah menjadi sayu tiba-tiba. Atuk Malek benar-benar menyayangi Saiful.
            “Insya-Allah, tuk. Bukan Ira tak mahu balas, tetapi Ira sibuk dengan hal kuliah, assignment ...”
            “Sekarang kan dah cuti?” Belum sempat Nadirah menghabiskan ayatnya, Atuk Malek sudah meningkah. Nadirah terdiam.
            “Yalah.” Dia hanya mampu menjawab sebegitu. Atuk Malek dapat membaca yang kata-katanya itu sekadar alasan. Memang dia sengaja tidak membalas surat Saiful kerana marahkan lelaki itu. Kesabarannya menunggu berita daripada Saiful sudah hilang, dan ketika surat Saiful tiba, dia sudah tidak ada hati untuk membalasnya. Biar Saiful pula rasa bagaimana yang dia rasakan. Benar, penantian itu suatu penyeksaan.
            Nadirah masuk ke bilik, merebahkan badannya ke katil empuk. Surat Syed Khalid disimpannya ke dalam kotak. ‘Bila aku dah ada mood, aku akan balas.’ Janjinya dalam hati. Terkenang juga kepada Saiful. Namun jari jemarinya terasa berat hendak memegang pen ketika itu. ‘Ah, nanti Saiful akan telefon, tak perlu balas suratnya!’ Pujuk hatinya sendiri. Cuti semester selama sebulan baru sahaja bermula. Bila dia terasa bosan nanti, akan dibalasnya surat kawan-kawannya itu satu persatu.

Bab 24


24

Cuaca di Dundee ketika itu memang terasa amat sejuk meskipun sudah tiga lapis pakaian membaluti tubuhnya. Sambil mengepit beg yang berisi nota kuliah, dia melangkah lambat-lambat menyusuri St Andrew Street yang banyak menempatkan kafe dan kedai makan.  Matanya liar memerhati kiranya ada yang menawarkan jawatan kosong untuk pembantu kedai secara sambilan. Cuti semester akan bermula tidak lama lagi. Dia perlu mencari kerja ketika musim cuti bagi menampung perbelanjaan harian dan juga mengirim sedikit untuk ibu di kampung. Nilai pertukaran yang tinggi di negara itu membolehkan keluarganya menerima kiriman yang lumayan walaupun menghantar hanya sedikit. Dia sudah berkira-kira, sekurang-kurangnya dia akan menitipkan seratus pound sterling setiap bulan. Jumlah itu, hampir menyamai gaji bulanan ibunya sebagai pembantu tadika Kemas di kampung.
            Langkahnya terhenti tiba-tiba di hadapan sebuah cafe. Iklan jawatan kosong yang ditampal pada cermin pintu masuk membuatkan hatinya berdebar-debar. Tanda ‘Close’ terpampang di pintu kedai, tetapi dengan jelas dia nampak masih ada orang yang sedang sibuk bekerja di dalam. Haruskah dia masuk dan bertanya pada tuan punya atau menelefon sahaja? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Dia bimbang akan penerimaan tauke kedai terhadap dirinya. Sebagai pelajar luar negara, dia tidak sepatutnya bekerja. Namun, bila difikirkan bukan dia seorang yang berbuat begitu. Ramai pelajar yang terpaksa membuat kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan seharian.
            “Apa awak buat di sini?” Sergahan seseorang membuatkan dia tersentak. Renungan curiga lelaki Inggeris dalam usia 50-an itu benar-benar membuatkan dia serba-salah. Dia tidak berani menjawab. Bimbang jawapannya akan mengundang masalah.
            “Awak pelajar universiti?” soal orang tua itu lagi. Tentulah dia dengan mudah dapat mengecam latar belakangnya. Kebanyakan wajah asing di situ merupakan penuntut universiti.
            “Err ... ya!” Jawabnya tergagap-gagap.
            “Marilah masuk,” pelawa orang tua itu sambil menolak pintu kafe. “Di luar ni sangat sejuk. Elok minum kopi untuk panaskan badan.”
            Tanpa menjawab, dia hanya mengekori orang tua itu. Sebaik masuk, lelaki Inggeris itu menanggalkan jaket dan topinya lalu disangkut ke penyangkut yang tersedia berhampiran pintu.  Dia ikut berbuat demikian.
            “Duduklah,” pelawa lelaki Inggeris itu lagi. Dia juga agak hairan mengapa lelaki Inggeris itu begitu baik terhadapnya. Sebentar kemudian dilihatnya seorang wanita sebaya lelaki itu datang menghampiri lalu menghulurkan dua cawan kopi yang masih berasap.
            “Ini Elma, isteri saya. Kamu?”
            “Oh ya, saya Saiful. Dari Malaysia. Awak boleh panggil saya Pul.” Serentak dengan itu Saiful menyalami kedua-dua orang tua itu.
            “Hai, Pool! Minumlah,” pelawa Elma cuba beramah mesra.
            “Terima kasih.”
            “Saya Jack O’Brien, tuan punya kafe ini. Tentu awak mahu mencari kerja, bukan?” Jack O’Brien cuba meneka. Saiful tersenyum mengangguk.
            “Ya, kalau Mr O’Brien sudi mengambil saya.” Balas Saiful.
            “Apa kebolehan kamu?”
            Nampaknya sesi temuduga sudah bermula. Saiful tergagap-gagap juga menjawab soalan yang dikemukakan oleh Mr O’Brien. Sebenarnya memang dia tidak berkebolehan langsung menjadi pembantu kedai makan. Dia tidak arif soal masakan. Mencuci pinggan mangkuk juga dia tidak cekap. Pendek kata segalanya perlu dipelajari dan dibiasakan. Secara jujur Saiful menerangkan kebolehannya yang tidak seberapa. Dan dia juga menceritakan pengalamannya menjadi pekerja di KFC ketika cuti sekolah dahulu. Namun katanya, jika diberi peluang, dia akan bekerja bersungguh-sungguh.
            “Baiklah, kamu boleh mula bekerja bila cuti sudah bermula nanti. Upah kamu 3 pound sejam. Jika kamu rajin, saya akan naikkan lagi. Upah dibayar seminggu sekali.” Beritahu Mr O’Brien. Saiful cukup gembira dengan kata-kata lelaki Inggeris itu. Dia berjanji akan datang lagi sebaik sahaja peperiksaan selesai. Beberapa kali ungkapan terima kasih diucapkan sebelum dia melangkah keluar. Lelaki Inggeris itu nampak baik. Dia berharap lelaki itu dapat menerima dirinya seadanya.
            Ketika sampai di pintu kedai dia terserempak dengan seorang gadis. Dia cuba melemparkan senyuman manis, namun gadis Inggeris itu kelihatan bersahaja.
            “Itu Angeline, anak gadis saya,” laung lelaki Inggeris itu.
            “Hai, saya Saiful,” sapa Saiful ramah.
            “Hai,” Jawab gadis itu acuh tak acuh dan terus masuk ke bahagian belakang.
Senyumannya melirik panjang di sepanjang perjalanan pulang. Dia ingin berkongsi rasa gembiranya dengan seseorang. Sebaik tiba di rumah, suasana agak sunyi. Rakan serumah mungkin sudah tidur atau sibuk mengulang kaji untuk peperiksaan akhir. Saiful teringatkan Nadirah. Semenjak menjejakkan kaki di bumi Mat Saleh ini, hanya sekali dua dia menghantar surat kepada gadis itu. Itupun tiada balasan yang diterimanya. Mungkin Nadirah juga sibuk dengan pelajaran. Mungkin juga Nadirah masih belum berkesempatan membaca suratnya kerana dua pucuk surat dihantar beralamatkan rumah datuknya di kampung. Dia tidak tahu alamat kolej Nadirah. Sebaik sahaja membersihkan diri, dia teringat hendak menelefon Atuk Malek. Namun memikirkan yang waktu itu di Malaysia masih awal pagi, dia membatalkan hasratnya. Besok sahajalah dia menelefon. Saiful segera merebahkan diri ke katil. Rakan sebiliknya sudah lama lena dibuai mimpi dengan buku yang melekap di muka. Saiful hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat rakannya itu.